Kawan-kawan kakcik

Jumaat, 31 Julai 2015

Harga petrol dan diesel untuk bulan Ogos 2015...

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel turun 10 sen seliter bagi Ogos 2015 berkuat kuasa tengah malam ini (1 Ogos).

Harga baharu RON95 ialah RM2.05 seliter, RON97 pula RM2.45 seliter selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dan diesel RM1.95 seliter.

"Harga tersebut berkuat kuasa mulai 12.01 pagi, 1 Ogos ini," kata Timbalan Presiden Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia Datuk Zulkifli Mokti ketika dihubungi Bernama.

Makluman ini sekali gus menafikan penyebaran tidak bertanggungjawap di media sosial oleh pihak tertentu yang mendakwa kerajaan telah menaikkan harga ketiga-tiga bahan api setinggi 35 sen seliter.

Dakwaan itu menggunakan "Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan" sebagai sumber maklumat tersebut.

-- BERNAMA

Khamis, 30 Julai 2015

Kopi luwak (tahi musang) bukan lagi kopi termahal...

...sebaliknya sekarang sudah ada kopi tahi gajah yang merupakan kopi termahal di dunia...

Gambar dan artikel asal dari : KOSMO

Di satu kawasan berbukit-bukit yang subur di utara Thailand, seorang wanita sedang leka mengasingkan biji kopi dari timbunan najis gajah.


Proses pengasingan biji kopi itu merupakan sebahagian daripada kerja-kerja untuk menghasilkan minuman yang dianggap termahal di dunia.

Terletak di bahagian pedalaman, Thailand yang bersempadanan dengan Myanmar dan Laos lebih dikenali sebagai lokasi penyeludupan dadah berbanding penghasilan kopi.

Namun, seorang pengusaha kopi warga Kanada, Blake Dinkin, 44, mengambil keputusan untuk menjalankan urus niaga yang sah di kawasan itu.

“Apabila saya menjelaskan mengenai projek ini kepada penggembala gajah, saya tahu bahawa mereka akan menganggap saya gila.

“Namun, kopi yang terhasil dari saluran penghadaman gajah dapat menghasilkan minuman yang mewah kepada para pencinta kopi,” kata Dinkin yang merupakan pengasas jenama Black Ivory Coffee.

Dia menggunakan sistem pencernaan gajah untuk menghasilkan biji kopi yang berkualiti dan bernilai tinggi.
Pada mulanya, dia hanya mempertimbangkan hasrat untuk menggunakan musang luwak bagi menghasilkan kopi dengan mengutip biji-biji kopi dari najis haiwan tersebut.

Bagaimanapun, disebabkan permintaan terhadap kopi menerusi najis musang itu semakin meningkat di Asia Tenggara selepas ramai pengusaha dari Thailand, Indonesia dan Vietnam menceburi bidang tersebut, kualiti produk itu semakin berkurangan.


“Saya pernah menimbang hasrat untuk menggunakan singa dan zirafah sebagai mencerna kopi tetapi memilih gajah kerana haiwan ini memakan kopi pada musim kemarau di Asia Tenggara,” katanya.

Dia juga bekerjasama dengan persatuan kebajikan penyelamat gajah dengan menyelamatkan makhluk itu daripada dijadikan haiwan untuk tujuan pelancongan.

Namun, menghasilkan kopi daripada najis binatang berbadan besar dan berkulit tebal itu adalah lebih sukar daripada yang dijangkakan.

“Saya fikir, ia akan menjadi mudah dengan memberikan gajah tersebut memakan biji kopi dan ia akan mengeluarkan kopi yang hebat.

“Keputusan awal yang saya terima amat dahsyat kerana ia langsung tidak boleh diminum.
“Saya mengambil masa selama sembilan tahun untuk merealisasikan impian ini,” katanya.
Menurutnya, enzim dalam perut gajah berfungsi sebagai sebuah periuk masak. Secara perlahan-lahan, biji kopi yang dimakan oleh gajah itu akan diperap bersama herba-herba dan buah-buahan lain yang dimakan haiwan tersebut.

Kehilangan

“Proses penghadaman itu mengambil masa lebih daripada 17 jam dan asid pencernaan akan menghilangkan sedikit rasa kepahitan pada biji kopi tersebut.

“Saya kehilangan banyak biji kopi ketika gajah itu mandi. Kadang-kadang gajah akan membuang air besar di dalam sungai ketika mandi,” jelasnya.

Para isteri penggembala akan mengumpul biji kopi dari najis gajah itu sebelum membasuh dan dikeringkan di bawah sinaran matahari.

Untuk menghasilkan satu kilogram (kg) kopi, seekor gajah perlu memakan sekitar 33kg biji kopi bersama makanan yang lain seperti pisang dan tebu.

Proses untuk menghasilkan kopi yang sukar dan rasa berbeza itu telah menyebabkan harga produk tersebut menjadi mahal dalam pasaran.

 
 Pada tuaian ketiga tahun ini, Black Ivory Coffee menghasilkan 150kg kopi yang berharga sekitar AS$1,880 (RM7,009) sekilogram manakala secawan kopi itu pula berharga AS$13 (RM48).

Biarpun harganya begitu mahal, ia tetap mendapat permintaan daripada pelanggan-pelanggan yang meminati minuman kopi ini.

Dalam tempoh terdekat, kopi keluaran Black Ivory Coffee akan memasuki pasaran-pasaran mewah di bandar Paris, Perancis; Zurich, Switzerland; Copenhagen, Denmark dan Moscow, Rusia.

Namun, buat masa ini ia hanya dijual secara eksklusif di hotel-hotel mewah di Asia seperti di Thailand, Singapura dan Hong Kong.

Sementara itu, John Roberts iaitu pengarah yayasan yang bertanggungjawab menyelamatkan gajah daripada dipergunakan dalam industri pelancongan di Bangkok pada mulanya berasa ragu-ragu untuk memberikan gajah memakan biji kopi.

“Kafein tidak keluar dari biji kopi sehingga ia dimasak dan ia sesuai untuk dimakan oleh haiwan tersebut,” ujarnya.

Di samping itu, keluarga penggembala gajah juga akan dibayar untuk mengumpul biji kopi dari najis gajah itu. Lapan peratus hasil harga jualan kopi itu akan didermakan kepada yayasan tersebut bagi membantu untuk membayar kos rawatan veterinar untuk haiwan tersebut.

Hotel Antara di Chaing Saen, Thailand turut menyediakan minuman kopi itu kepada para tetamunya dengan menggunakan mesin bancuhan kopi abad ke-19 dari Perancis.

“Kopi ini mempunyai satu rasa yang unik dan ia tidak pahit langsung,” kata pelancong dari Jerman, Barbara Schautz. – AFP

Biarlah mahal macam mana pun, bagi percuma pun rasanya aku tak akan meminumnya...

Isyarat yang mana hendak diikut...


bila berada di persimpangan
dan kau pula paling di hadapan
kau lihat isyarat yang mengelirukan
janganlah tergesa-gesa membuat keputusam

jika pun kau mahu segera meneruskan perjalanan
isyarat hijau itu mungkin sekadar umpan
bila kau redah tanpa panduan
mungkin sahaja kau akan kemalangan

bila pula kau terlalu berhemah
konon berhenti kerana ada isyarat merah
orang belakangmu akan marah-marah
lalu di persimpangan kau mungkin akan berbalah

gunakan segala deria yang ada
perhatikan keadaan sekeliling dengan sebaiknya
barulah tetap akan kau ikut isyarat yang mana
destinasi yang kau tuju akan pasti arahnya


Rabu, 29 Julai 2015

Bila kebenaran cuba disembunyikan....

...maka janganlah hairan tiba-tiba kawan menjadi lawan

yang sebelum ini makan sepinggan

yang berjalan berpimpin tangan

tiba-tiba jadi tidak sehaluan

hanya kerana agenda yang berasingan

lalu pandai-pandailah mencari jalan

atau belum sempat berpaling sudah tersedia pelbagai tuduhan

dan mujur juga pertuduhan itu berkaitan kontrak pembekalan

bukan 'melewati' kebun kawan melalui salah jalan...

Selasa, 28 Julai 2015

Santuari Kelah Sungai Petang, Tasik Kenyir...

Teruja melihat kelah yang 'jinak' dalam rancangan Romantika edisi Dato' A Rahman Hassan dan Datin Fadzilah Mansor, aku pun membuat carian internet tentang tempat ini dan menjumpai maklumat ini :

Sumber = https://www.facebook.com/lagendatasikkenyir/posts/413464242119322

Santuari Kelah Sungai Petang terletak di Sungai Petang, Tasik Kenyir. Jarak perjalanan ke Santuari Kelah ini dari Pengkalan Gawi ialah 21 km dan mengambil masa 40 minit perjalanan dengan menaiki bot laju. Sekiranya anda melalui Jenagor, jarak perjalanan lebih dekat iaitu 16 km sahaja.
Pelbagai kemudahan termasuk pusat penyelidikan, pusat pembenihan, galeri dan akuarium ada di Kompleks Santuari Kelah Sungai Petang. Selain menjadi daya tarikan pelancong, Santuari Kelah Sungai Petang juga sesuai dijadikan lokasi untuk kegiatan kaji selidik, pembangunan dan penyelidikan (R&D), malah dapat meningkatkan ilmu pengetahuan orang ramai dengan mempelajari mengenai spesies Kelah
Ikan Kelah adalah spesies ikan yang cepat menghilangkan diri apabila terdengar bunyi atau terlihat kelibat manusia atau haiwan di daratan. Sekiranya berpeluang ke Santuari Kelah Sungai Petang ini, pengunjung pasti terpengun melihat beribu-ribu Kelah di sungai yang jernih airnya dan boleh dilihat. Malah ikan-ikan ini tidak berganjak walaupun menyedari kehadiran manusia. Ikan-ikan Kelah ini seolah-olah menanti kehadiran pengunjung menghulurkan makanan iaitu 'Pelet' ikan.
Selain memberi Ikan Kelah makan, anda juga berpeluang untuk memegang dan mencium Ikan Kelah. Ikan Kelah memberi tindak balas apabila dipegang. Walaupun hidup secara liar, namun Ikan Kelah ini tetap jinak dengan pengunjung.
Ikan Kelah mempunyai harga pasaran yang tinggi hingga RM80 sekilogram dan apabila sudah dimasak Gulai Lemak Tempoyak, harga hidangan boleh mencecah hingga RM300. Disebabkan harga pasaran yang tinggi, kaki pancing sanggup meredah jeram atau sungai di merata tempat termasuk ke beberapa lubuk utamanya di sekitar Tasik Kenyir.
Santuari Kelah Sungai Petang pasti tidak mengecewakan para pelancong yang mengunjunginya termasuk untuk mandi-manda sambil memberi makan ikan kelah. Berkunjunglah ke Santuari Kelah Sungai Petang ketika melancong di Tasik Kenyir.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Pusat Penerangan Pelancongan,
Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir.
Tel: 09-6267788


Kalau tak silap pendengaranku, Dato' A Rahman memberitahu Datin bahawa harga ikan kelah ini boleh mencecah hingga RM800/kg (tapi dalam catatan di atas tu cuma RM80/kg - mungkin aku silap dengar) ... Nampaknya memang aku tak mampulah hendak memakannya kalau hingga RM800/kg!

Isnin, 27 Julai 2015

Waspada jika diminta bayar RM500 untuk dapatkan rumah berharga RM150K...


Tergerak hatiku untuk mencari dan menyalin artikel ini berikutan perbualanku dengan En Suami yang hampir sahaja terpengaruh untuk membayar wang RM500 itu kepada 'seseorang' yang mempromosikan 'rumah dengan harga murah tapi perlu bayar RM500 dahulu' di sebuah pusat beli-belah...


Tengok harga rumah sekarang memang boleh buat sesak nafas, lagi-lagi rumah di sekitar Lembah Klang. Atas sebab itulah ramai terpaksa menyewa dek kerana kekangan seperti gaji yang tidak melayakkan diri untuk memiliki rumah sendiri.

Namun iklan daripada syarikat pemaju ini tentang harga rumah yang cukup murah dan tak masuk akal ini mengundang seribu satu persoalan.

Betul ke ada rumah dengan harga macam ini? Atau sekadar sindiket memandangkan kena bayar RM500 untuk jadi ahli dulu?

Promosi sekitar pasaraya & pusat beli belah


Ditawarkan dengan harga rumah yang berkali-kali murah daripada harga asal pastinya menjadi perhatian ramai. Tambahan pula syarikat pemaju ini siap membuat promosi di sekitar pasaraya dan pusat beli belah seluruh Malaysia.

Yang peliknya nak beli rumah tapi kena bayar RM500 dan jadi ahli terlebih dahulu. Selepas bayaran dibuat, sebaliknya hanya resit sahaja yang diberi, bukan sebarang surat perjanjian. Boleh percaya ke?

Tiada bukti projek terdahulu


Ragu dengan harga rumah yang ditawarkan, segelintir netizen cuba mendapatkan kepastian namun jawapan yang diberikan cukup menghampakan.

Walaupun didakwa sudah lebih 20 tahun menjalankan perniagaan, pemaju berkenaan gagal menunjukkan sebarang bukti tentang projek-projek yang telah dibangunkan.



Malah usaha orang ramai untuk bertanya dengan lebih lanjut tentang butiran lanjut berkenaan rumah yang ditawarkan dan latar belakang syarikat tidak berjaya. Hasil semakan status syarikat juga tiada rekod.

Siap beli untuk anak


Andai benar seperti yang didakwa, syarikat pemaju ini wajar dikenakan tindakan undang-undang memandangkan ia seolah mengambil kesempatan terhadap golongan yang memerlukan.

Yang kena orang kita juga.


Apa-apa pun harap korang semua berhati-hati. Jangan sebab nak beli rumah,kita kena tipu bulat-bulat.

Sumber : Facebook Say No To MLM , Twitter Neorackle

Ahad, 26 Julai 2015

'Buat bodoh je...'...

...itulah jawapan spontan yang aku beri bila ada yang bertanya :

'dah bersara ni, buat apa kat rumah?'

iyalah, kalau aku hendak bekerja semula, lebih baik aku jangan bersara

jika diikutkan dari usia aku bersara pilihan tahun lepas, ada 7 tahun lagi sebelum aku bersara wajib

ada juga yang bertanya :

'seronok jaga cucu?'

dan selalunya aku jawab :

'cucu?  biarlah makbapak dia yang jaga. Sesekali bolehlah saya tengok-tengokkan'

ada yang bagai tidak percaya

mereka ingat aku bersara awal kerana hendak jaga cucu

eh...baiklah aku jaga diriku sendiri

dah puas aku jaga anak-anak dari mereka kecil sampailah sekarang

kadang-kadang sampai tak boleh tidur bila mereka balik lewat

kadang-kadang hilang rasa lapar bila memikirkan apa yang mereka hendak makan

cukup-cukuplah

masa yang ada sedikit sebanyak untuk aku mencari diri...

Sabtu, 25 Julai 2015

Alangkah baiknya kalau pemimpin juga seprihatin masyarakat...

... pasti keperitan rakyat dapat diringankan ...


Sepang: "Saya menganggap kereta ini sebagai pinjaman dan berjanji kepada pemiliknya akan menggunakannya sebaik mungkin.

“Jika saya temui insan lain yang lebih susah, mungkin ketika itu tiba pula giliran saya menyerahkan kereta ini kepadanya," kata Ahmad Reza Samsuddin, 38.

Bapa tiga anak itu ditemui Harian Metro selepas wartawan mengaturkan pertemuan dengan seorang peniaga yang menyumbang kereta Proton Iswara selepas tersentuh dengan kisah kepayahan hidup Ahmad Reza yang tersebar di laman sosial baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu, wartawan dan peniaga yang enggan dikenali terpaksa mengambil masa selama hampir dua jam untuk memujuk Ahmad Reza supaya menerima kereta terbabit.

Nasib keluarga Ahmad Reza mula mendapat perhatian seluruh masyarakat negara ini apabila gambar dia menunggang motosikal bersama tiga anak lelakinya berusia tiga hingga lapan tahun dari Sepang ke Pulau Pinang menjadi ‘viral’ di laman sosial dua minggu lalu.

"Saya sama sekali tidak menyangka ada dalam kalangan masyarakat Malaysia yang begitu prihatin terhadap nasib kami sehingga sanggup 'meminjamkan' saya kereta demi keselamatan anak-anak.

"Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kami empat beranak dan saya harap saya tidak dipandang serong kerana bukanlah niat saya untuk mendapat perhatian sehingga ke tahap ini," katanya.

- hmetro

Jumaat, 24 Julai 2015

Isteri saya bukan masuk wad setiap hari...



Inilah baru dinamakan suami mithali! Walaupun isterinya sudah ada pengalaman melahirkan enam orang anak sebelum ini, si suami masih lagi setia menanti di sisi.

Malah, walaupun telah dihalang oleh nurse dan pengawal keselamatan hospital, si suami tetap teguh dengan pendiriannya mahu menemani isteri.

Alasan yang diberikan lelaki ini cukup mudah dan bakal menyentuh hati wanita! 


Yang di bawah ini dari :  https://www.facebook.com/nanie.sahak

Mcm2 ragam dlm wad ni… Rase sayu tgk pasangan dpn katil ni.. Isteri mengandung ank ke 7…di ulang ye ank ke 7 uolls… Suami muda 5thun dr isteri.. Isteri mngandung 3bln..kuar drh..
Si suami smpi brgaduh ngan nurse n mak guard nak teman istri nye..nurse x bg sbb ini wad pompuan..
Akhir nurse n mak guard benarkn die tngu di luar tapi aku tengok setiap 10min die msuk tgk isteri…
Last..nurse n mak guard biar je..
Terdetik dlm ati..bgaimana ank2 yg lain kat uma..x kje ke suami die ni… Nanie kan..xmau jd tnda tnye trus direct minta jwpan dr sisuami ni..
“kak (walau sebaya) istri sye bkn ari2 msuk wad…sye kne teman die..die ngndungkn ank sye..kdaan n emosi die sgt x stabil..sye kne teman die..ank2 sye yg lain sye minta tlg atuk n mkcik diorg tengokkn..saye kerja sendiri kak..masa sye bley adjust..yg penting isteri saye ni…”

Alololo…sweet nye…

Saban hari ada sahaja berita kemalangan yang mengerikan....

...hinggakan bila berada dalam kenderaan di atas jalanraya, selagi tidak tiba ke destinasi selagi itulah bagaikan 'hati berada di luar diri'...

Gambar-gambar berikut adalah rakaman oleh En. Suami (aku dan Qaid berada di dalam kereta), sehari sebelum menjelang 1 Syawal 1436 di jalan Ampang - Hulu Langat.  Kemalangan ini melibatkan kehilangan nyawa.  Sebelum ada yang bertanya, suka aku ingin memberitahu bahawa suamiku telah menelefon pasukan keselamatan yang berkenaan terlebih dahulu sebelum kami meneruskan perjalan dan kemudian berpatah balik ke tempat kejadian dan barulah suamiku merakamkan gambar-gambar ini :






Apakah kita merasakan bahawa kita tidak akan terlibat dengan kemalangan maka kita sesuka hati memandu kereta mengikut apa yang kita rasa?  

Itulah yang selalu aku ingatkan kepada suami dan anak-anakku :  jangan fikir kemalangan itu hanya akan melibatkan orang lain.  Dalam kita berhati-hati pun, kerana kesilapan orang lain kita mungkin sahaja akan terlibat sama.  Jangan lupa berdoa dan terus berhati-hati...

Khamis, 23 Julai 2015

Biarkan siLuncai terjun dengan labu-labunya...

...dia hendak terjun biarkan dia terjun
...kalau dia pandai berenang tahulah dia mencari tepian
...jika sebaliknya biar sahaja dia hanyut di lautan

- itu pilihan dia maka kita biarkan sahaja
...tak perlu kita turut melatah
...mungkin tujuannya hanya untuk menarik perhatian

- bila kita sibuk memerhatikan dia,  kita lupa di belakang ada buaya yang sentiasa menganga untuk membaham mangsa...

Rabu, 22 Julai 2015

Gambar-gambar di pagi raya...


Entah apa-apa gaya... yang penting gembira...

Resepi rendang ayam yang sangat ringkas dan mudah...


Nak makan rendang, tak semestinya kena tunggu hari raya atau hari-hari tertentu sahaja, kan?  Tapi zaman kanak-kanakku dulu, rendang ini boleh dianggap hidangan yang agak 'mewah'.  Iyalah, hidup dalam serba kekurangan dan miskin, mana mampu hendak membeli ayam.  Kalau ada pun, hanya ayam kampung yang ibubapaku pelihara sendiri...

Baiklah, berbalik kepada resepi rendang ayam caraku sendiri (pastinya sedikit sebanyak aku warisi dari Allahyarham ibuku)...

Bahan-bahannya :

Seekor ayam dipotong ikut suka tapi janganlah besar sangat dan dicuci bersih
10 biji bawang merah*
15 tangkai cili kering (kalau suka pedas boleh lebihkan)*
2 inci halia (agak-agaklah, tak perlu guna pembaris)*
2 batang serai (ambil kira-kira 2 inci bermula dari bahagian yang 'bunting')*
(kalau suka boleh juga letak seinci lengkuas - tapi aku tak suka)
2 sudu besar kerisik
1kg santan pekat (aku memang suka guna banyak santan - biar lemak)
6 keping asam gelugur (asam gelugur tu asam keping la kalau tak tahu)
Garam secukup rasa
Satu / Dua helai daun kunyit dihiris halus


Cara-caranya :

Semua bahan yang bertanda * dikisar halus.  Tapi ada juga yang tak suka serai itu dikisar, sebaliknya hanya diketuk dan dimasukkan ke dalam rendang.  Sebab aku 'kurang rajin', jadi semuanya aku kisar sahaja.

Masukkan ayam ke dalam kuali (letak kuali di atas dapur yang telah dinyalakan apinya.  Kalau tidak macam mana nak memasak, kan?)

Curahkan bahan-bahan yang telah dikisar ke atas ayam

Masukkan kerisik dan asam keping.

Gaul semua bahan dalam kuali itu dengan menggunakan sudip agar tidak melekat. 

Bila sudah digaul sebati, masukkan santan dan kecilkan api dapur.

Sesekali balik-balikkan rendang itu supaya ia masak sekata dan tidak melekat di kuali.

Agak-agak santan sudah mula pekat/kering, masukkan garam.

Sesuaikan rasa mengikut kata tekak.

Kalau hendak kering, masaklah sehingga kering.

Kalau hendak berkuah, tak perlu tunggu hingga kering.

Sebelum api dipadamkan, masukkan daun  kunyit yang telah dihiris halus ke dalam rendang untuk 'membangkitkan' keharumannya...


Ahad, 19 Julai 2015

Cerita 2 Syawal 1436H...

Aku duduk dalam kereta memerhati (di Pasar Jalan Chow Kit)...

Cempedak (kelihatan sudah tidak begitu elok)
berharga RM8.00/kg.  Murah ke mahal?
Segelas (ukuran sederhana) air itu berharga RM2.00!
Manakala sebiji kelapa muda (kalau di Tesco sudah
siap dikupas cantik dan diletakkan dalam bekas elok,
harganya tidak sampai RM5.00) berharga RM6.00!
Konsepnya - mahu beli, tak mahu sudah. Orang lain akan beli, asal sahaja aku boleh untung.

Rabu, 15 Julai 2015

Sudah balik ke kampung?...

Alhamdulillah...
semoga perjalanan adalah perjalanan yang dirahmati
dilindungi oleh Ilahi
dari segala kejadian yang tidak diingini
dan Hari Raya menjadi benar-benar bererti...

jika baru merancang untuk pulang
pastikan tindakan telah diambil 
agar rumah ditinggalkan dalam keadaan selamat
pintu, tigkap dan pagar telah dikunci
paip air dan segala suiz telah dimatikan
(eh...jangan tutup suiz peti sejuk - kecuali isinya dikosongkan
dan pintunya dibuka sedikit)

melangkahlah dengan Bismillah dan doa
semoga sejahtera yang pulang dan yang ditinggalkan
InsyaAllah.

Salam Aidil Fitri
Maaf Zahir dan Batin
Mohon Maaf Salah dan Silap
Andai Ada Tulisan Yang tidak Disenangi
Dengan Rendah Hati Mohon Dimaafi.

Dari :
KakcikNurSeroja.


Selasa, 14 Julai 2015

Ia bukan berkaitan dengan bangsa, tapi ia berkaitan dengan jiwa...

tidak semestinya bila disebut Melayu -
maka itulah bangsa yang paling baik
bangsa yang paling lemah lembut
bangsa yang paling pemaaf
bangsa yang paling penyabar

bagai tiada Melayu yang menderhaka
bagai tiada Melayu yang memfitnah sesama mereka
bagai tiada Melayu yang memang celaka!

Renung kembali ke dalam jiwa
jangan tengok kepada  mereka mereka mereka
semak dalam diri sendiri sahaja
adakah rasa iri sesama saudara
adakah rasa tak puas hati pada apa yang orang ada
adakah kita cukup berusaha untuk berjaya
atau adakah sebenarnya kita hanya
berfikir untuk menjatuhkan orang lain sahaja

bukalah mata dan minda
jangan berbunyi hanya dari bawah tempurung
jangan terpesona dengan hanyir bau kolong
jangan hanya tahu terpekik terlolong
jangan hanya seronok menepuk tong kosong

bila kita dijentik
kita akan memekik
kita biarkan api kemarahan mula berputik
tunggu masa untuk marak memercik

tapi saban hari kepala kita dipijak
tubuh badan diinjak-injak
sedikit kita tidak berganjak
sebab yang melakukan itu 'adik beradik seemak sebapak'

orang yang memandang naik hairan
oh... rupanya sesama sendiri Melayu ini penuh kesabaran
diam-diam mari perhatikan
kita ambil peluang saat Melayu ini kelalaian

kita cuit rusuk Melayu
biar mereka melatah huhahuhu
nanti bila sesama mereka jadi tak tentu
mudahlah kita masukkan agenda tertentu...


Isnin, 13 Julai 2015

Hari Raya tetap akan tiba...

...perlahan-lahan Ramadhan akan pergi
hanya beberapa langkah sahaja lagi
yang mengharapkan keajaiban akan terus mengharap
walau tanpa doa walau tiada usaha
Lailatul Qadar itu janji yang pasti
tapi bukan buat semua yang hanya tahu menanti-nanti
sedangkan detik demi detik dibiarkan berlalu sendiri

Hari Raya tetap akan tiba
ia hari untuk meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa
tapi adakah keinsafan yang disemai akan  lebur sama
bersukaria hingga halal haram sudah tidak nyata

Sedari pagi hingga ke malam
seronok berlibur dan makan-makan
jangan hingga terabai kewajipan
solat lima waktu jangan dilupa-lupakan

Hari Raya tetap akan tiba
sambutan setiap orang pasti tidak sama
ada yang merasakan tidak ada beza
hari raya atau hari-hari biasa

bagi yang mampu
pasti ingin segala yang serba baharu
bagi yang tidak berkemampuan
cukuplah sekiranya dapat makan

dan...
bagi aku sendiri
hari raya tetap ada sepi di sudut hati!

Apakah erti Hari Raya buat mereka?

Sabtu, 11 Julai 2015

Drama M.A.I.D sudah berakhir...

...aku menonton drama ini bila ada masa terluang dan aku terasa hendak menonton.

Namanya drama Melayu (adaptasi dari novel).  Jalan cerita macam dah tak ada ilham sangat.  Balik-balik kahwin konon terpaksa sedangkan dalam hati sama-sama suka.  Lepas tu mak mertua tak restu sebab dah ada calon menantu.

Dah beberapa drama macam itulah jalan ceritanya termasuk drama DIA ISTERI LUAR BIASA dan drama ENCIK SOMBONG DAN CIK BUNGA.  Kedua-dua drama ini aku tidak mengikuti sangat tapi ada beberapa episod yang aku TERtonton.

Wah...para pelakon sangat menghayati lakonan nampaknya.  Tak segan silu berpeluk sakan dengan bahasa tubuh yang menggambarkan keintiman melampau.

Baguslah LPFM sudah mengeluarkan syarat bahawa drama Melayu tidak boleh lagi ada  adegan berpeluk bercium.  Harapnya syarat itu sudah muktamad dan tidak hanya sekadar 'hangat-hangat tahi ayam'...

Jumaat, 10 Julai 2015

Saya dah bersaralah, Doktor...

Pagi ini aku ke hospital lagi.  Tak tertahan dengan sakit lutut.  Padahal 2/7 lepas aku sudah berjumpa dengan doktor dan menerima rawatan.

Sebaik masuk dan menyatakan sakit, doktor itu berkata 'cuti sakit lamalah kali ini, ya?'

Aku diamkan sahaja walaupun dalam hati berkata 'cuti sakit apanya?'

Selepas menerima rawatan, sekali lagi doktor berkata 'cuti sakit sampai raya, ya?'

Lantas sahaja aku menjawab 'saya dah bersaralah, doktor'...

Terus doktor itu berkata 'ohhhh... saya ingat masih bekerja'.

Sahlah doktor ini dijangkiti sindrom 'lupa' atau sindrom 'ramainya orang minta cuti sakit sebab dah nak raya'! Padahal belum pun sampai sepuluh hari lepas aku berjumpa dengannya dan dia maklum yang aku hanya seorang surirumah.  Pembantunya pun masih ingat yang aku ini tidak bekerja...

Hmmmm... kepada yang berjumpa dengan doktor semata-mata untuk mendapatkan cuti sakit walaupun tak sakit, ingat-ingatlah apakah nilainya puasa kita (sekiranya berpuasa lah) itu.

Khamis, 9 Julai 2015

Jangan pandang rupanya yang comot...

...tapi pandanglah kepada perut yang menerima.
Yang gembira bila kekosongannya diisi.
Walaupun mungkin ada yang mencebik,
namun perut dan nafsu yang lapar tetap
perlu dikenyangkan.

Bagaimana pula dengan jiwa kita?
Apakah kerana Quran yang terletak
di rak itu sudah buruk, maka kita rasa
kita tak boleh membacanya? Lalu
kita biarkan jiwa kita kosong tanpa
rasa berdosa.  Maka senanglah iblis
datang menggoda.

Bagaimana pula dengan ibubapa kita?
Apakah kerana mereka sudah tua dan tidak
bergaya, maka kita pinggirkan mereka.
Lupakah kita pada dakapan mereka pada
satu ketika?  Saat sakit pening kita dulu
merekalah yang kita cari.  Tapi hanya
kerana alasan-alasan basi, mereka kita
tak pedulikan lagi...

Fikirkanlah!

Rumahku dimasuki pencuri...

...berdasarkan segala bukti termasuk rakaman cctv di atas pintu
aku pun ke rumah penghulu untuk mengadu
malangnya penghulu bersikap 'pilih bulu'
lalu aku pula yang disoal siasat bertalu-talu

'kecurian berlaku kerana salah kamu'
'mungkin kamu yang terlupa mengunci pintu'
'kamu terlalu menunjukkan kekayaan kamu'
'kamu begini kamu begitu'

lalu terpinga-pingalah aku
eh ... penghulu ini sengaja mencari salahku
bukan dia ambil kisah dengan aduanku
sebaliknya melindungi sipencuri seolah-olah ada sesuatu

bila kutanya tidakkah hendak mengambil tindakan
sekali lagi aku terkedu mendengar jawapan
'yang kau tuduh itu kedatangannya akan dinantikan'
'bila-bila masa sahaja beliau dialu-alukan'

boleh pula jadinya begitu?
bukankah dahulu kalau diadukan tentang 'sianu'
tak sempat siang rumahnya diserbu
lengkap dengan sebatalion soldadu
kau bawa dia pergi setelah kau pecahkan pintu

tapi yang ini lain pula rentakmu
tahu-tahu kau kata sudah datang pun sipencuri itu bagai tetamu
keterangannya telah kau rakam dalam bilik yang bisu
tunggulah hasil siasatan nanti akan diberitahu

beginikah keadilan ciptaan manusia
yang tertindas terus ditekan hingga tak bernyawa
yang menindas dibela sambil bergelak ketawa
maka tunggulah penghakiman dari Dia Yang Maha Berkuasa...

Rabu, 8 Julai 2015

Siapa lagi yang hendak kupercaya?...

...baca di sini
begini ceritanya

dengar di sana
begitu katanya

tonton di situ
katanya jangan percaya

bersembang-sembang
lain pula kononnya

jadi???
apakah aku harus menutup mata
memekakkan telinga
jangan lagi berkata-kata

melainkan
telan sahaja segalanya
walau racun wajib minum
walau duri telanlah sahaja

jika begitu
ikat sahaja tanganku
bunuh sahaja pemikiranku
jangan bagi peluang aku menilai
biarkan aku lemas terkapai!

Selasa, 7 Julai 2015

Cuba kau ganggu anak kucing atau anak ayam...

...pasti kau tahu akan akibatnya.  Kalau kau mahu dikejar atau dicakar, cuba-cubalah kau usik anak mereka...

Tapi hairannya, manusia pula yang tidak kisah menyiksa anak sendiri.  Dipukul dihempas sesuka hati malah ada yang sehingga mati.

Andai ayam dan kucing boleh berkata-kata,  pasti mereka tak rela manusia disamakan dengan haiwan!

7/7/2015 - Ulangtahun kelahiran Angah yang ke 25...

Ketika ini aku berusia 28 tahun dan Angah sudah
beberapa bulan 'bernyawa' di dalam rahimku...
Kini Angah sudah dewasa.  Ramai
orang kata, dari 4 anak lelakiku,
wajah Angah adalah amat seiras
dengan wajahku...
Angah memang anak yang baik. Anak-anakku
yang lain pun baik juga.  Kebaikan mereka
dengan cara mereka yang tersendiri.  Angah ini
sangat pendiam berbanding adik beradiknya.
Gambar ini aku rakam ketika Angah tolong
memotong kuku kakiku.  Waktu ini aku hanya
merungut yang aku tidak mampu untuk
memotong kuku kaki sendiri kerana tidak
berupaya untuk tunduk akibat sakit lutut.
Angah yang mendengar terus mengambil
pengetip kuku dan mengetip kukuku tanpa
diminta.  Allah sahaja yang tahu betapa
terharunya hatiku ini.

Ya Allah Ya Tuhanku, aku hanyalah seorang ibu dan hambaMu yang serba lemah.  Aku hanya mampu memohon kepadaMu dengan segala kerendahan diriku.  Kau limpahkanlah segala rahmat dan kebaikan buat anakku Muhammad Muzammil dan juga adik beradiknya - Muhammad Mustaqim, Muhammad Muhaimin dan Muhammad Muzakkir. Begitu juga dengan menantuku Nurul Huda dan cucuku Muhammad Qaid Darwish. Jauhkan mereka dari segala bencana dan fitnah dunia serta isinya.  Tetapkan mereka di jalan yang Kau redhoi. Simbahkan hati mereka dengan rasa iman dan taqwa, yang sentiasa takut kepada larangan-laranganmu dan mencintai keredhoanMu. Jadikanlah mereka insan yang penuh rasa kasih sesama mereka dan hilangkan rasa sombong dan bongkak di hati mereka terhadap sesama manusia.

Aamiin Ya Rabbal 'Alamin...

Isnin, 6 Julai 2015

Tahun ke 29 aku berhari raya sebagai seorang menantu...

...aku tak perlu tahu apa pandangan mertua terhadap diriku
begitu juga dengan pandangan ipar duaiku
aku hanya ingin menjadi diriku
jika aku berlakon nanti akan diketahui juga lakonanku

aku bukan peminat barang kemas
tak kiralah yang palsu mahu pun yang benar-benar emas
memakainya pun boleh membuatkan aku lemas
rasa susah hendak bersiap atau berkemas

tidak timbul masalah hendak menunjuk bila balik ke kampung
yang penting silaturrahim dapat disambung
aku sedar suamiku bukan taukeh lombong
konon balik semata-mata hendak menunjuk sombong

apalah ada dalam fikiran
bila bercakap main lepas sembarang
mungkin teruja kerana sudah dikenal orang
maka asal dapat bercakap tak kisahlah walau jual temberang

bila orang dalam kesempitan
jangan jual lawak bodoh kerana ia takkan menghiburkan
saat orang dalam tekanan
diam itu lebih baik dari menunjukkan kebodohan!

imej dari : www.hargaemas.com.my

Semoga apa yang telah terjadi memberi pengajaran kepada'nya'. Jangan lacurkan gelaran 'pakar' itu sewenang-wenangnya.  Ada orang kata kalau kita diam, maknanya kita bodoh.  Rupa-rupanya bila kita bercakap, lagi terserlah kebodohan kita.  Oleh itu, mungkin diam adalah lebih baik buat kita...

Kepada yang tidak mengikuti perkembangan semasa, anggap sahaja nukilanku di atas tidak bermakna apa-apa...

Tiada warna tema untuk hari rayaku...

...anak-anakku kian dewasa
Along sudah berumahtangga
Angah sudah bekerja
Bangcik dan Adik ada citarasa berbeza

jadi,
aku biarkan sahaja
mereka pilih apa warna yang mereka suka
asalkan mereka rasa bahagia
aku dan suami ikutkan sahaja

sedangkan bagi kami berdua
kami pakai apa sahaja yang ada
sekarang bukan waktu hendak sesuka hati berbelanja
untung rugi kena diambilkira
jangan ikutkan nafsu yang menggila
kelak jadi muflis selepas hari raya!

Ahad, 5 Julai 2015

Berbuka puasa di Satay Station Ampang Waterfront...

Catatan berbuka di sini pada tahun lepas : http://kakciknurseroja.blogspot.com/2014/07/iftar-di-satay-station-hanya-rm5500-dan.html

Kuih muih yang comel...
...ambil dan makan, elakkan
pembaziran...
...buah-buahan juga ada...
...serta buah tamar
...hidangan ala kampung...
asam rebus keladi pun ada...
...pasti menambat selera
...tidak ketinggalan satay yang enak...
...serta kambing panggang...
...juga lemang...
...tak makan kambing?
ayam pun ada...
wah... cempedak goreng pun ada...
Persembahan ghazal secara langsung
Harganya cuma :
RM55++ untuk dewasa
RM28++ untuk kanak-kanak
Terima kasih Little CEO 
Muhammad Qaid Darwish
yang belanja kami makan di sini.