Kawan-kawan kakcik

Selasa, 30 September 2014

Aku sudah tiada cerita...

...kalaupun ada hanyalah cerita luka
mungkin ramai yang suka membaca
tapi untuk apa dibuka pekung di dada
kelak yang luka bertambah dalam lukanya

yang kononnya pakar belum tentu boleh dipercaya
ilmu mereka pun ada batasannya
kembali kuserahkan hati ini pada Yang Berkuasa
agar luka ini tetap ada ubatnya. ..

Jom 'berkorban' di Kemboja...

... kata orang 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'.  Di zaman ini, tiada yang susah kecuali kalau kita sengaja mencari susah.  Begitu juga, dalam soal ibadah korban ini.  Sekiranya kita benar-benar ingin menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan, tidak perlu kita sendiri hadir di mana-mana lokasi yang kita niatkan untuk bersedekah.

Kata orang, ada padi semua jadi.  Itu cuma perumpamaan. Dulu-dulu orang yang ada padi (sawah) ini orang kaya, jadi hasil kekayaannya boleh digunakan untuk apa sahaja tujuan.  Zaman sekarang ini bidalannya ada duit dan internet, hanya jari yang perlu digerakkan...

Wah...dah panjang pula mukadimah kali ini.  

Adakah anda ingin melakukan ibadah korban untuk tahun ini dan anda belum jumpa caranya?  Melalui Program e-Qurban (sila klik pautan), anda tidak lagi perlu susah hati.   Hanya dengan serendah RM280.00 anda boleh menempah satu bahagian lembu.  Sekiranya anda berhajat untuk menempah seekor lembu pula, harganya cuma RM1,960.00 sahaja.






Anda juga boleh membuat korban kambing dengan harga RM550.00 seekor.  Sekiranya anda memilih untuk melakukan Qurban di Mekah, Indonesia atau Kemboja, anda juga boleh berbuat demikian.  Caranya?  Klik pautan yang kakcik beri tadi atau klik sahaja di SINI.   Tarikh akhir untuk pendaftaran korban melalui eQurban ini adalah pada 30 September 2014 jam 11.59 malam.


Penduduk kampung di Kemboja turut hadir sewaktu
penyembelihan 
korban pada tahun lepas.
Sumber gambar DI SINI

Allah SWT telah berfirman di dalam Al- Quran yang bermaksud :

*  'Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai tanda bersyukur'  (Surah Al-Kausar Ayat 2)

**   'Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu' (Surah Al-Haj Ayat 37)

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi, maksudnya : 'Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat bagi kamu'

Selain dari itu, dalam hadis lain yang juga diriwayatkan oleh At-Tarmizi, baginda bersabda lagi : ' Tiada dibuat oleh anak Adam  pada Idul Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah SWT daripada menumpahkan darah (menyembelih korban).  Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya.  Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah SWT sebelum darah itu tumpah ke bumi.  Maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih'.  


Para petugas eQurban bekerjasama dengan penduduk kampung
di Kemboja menyembelih lembu.  Sumber gambar DI SINI

Berkorbanlah semampu kita.  Dalam rezeki yang dikurniakan Ilahi kepada kita itu, ada hak orang lain yang perlu kita kembalikan.  Semoga sedikit yang kita beri semata-mata kerana Allah, akan digantikanNya dengan ganjaran yang berlipat ganda.  InsyaAllah.

Isnin, 29 September 2014

Bukankah surau dan masjid itu rumah Allah juga...

slik klik pautan berwarna biru untuk huraian yang lebih jelas...

...kita lihat di Mekah Al Mukarramah dan Madinah Al Munawarrah, berpusu-pusu umat Islam - sanggup bejalan kaki hingga beratus meter untuk solat dan berjamaah di Masjidil Haram mahupun Masjidil Nabawi.  Benarlah, bukan mudah untuk ke sana.  Bukan sedikit juga wang yang dikeluarkan bagi membolehkan kita ke sana (walaupun ada yang tak perlu mengeluarkan duit kerana mendapat tajaan dari mereka yang bermurah hati).

Tapi adakah Allah SWT begitu zalim hinggakan kita hanya boleh beribadah dengan mendapat pahala yang berlipat kali ganda di dua tempat itu sahaja (memanglah pahala di sana berkali-kali-kali-kali lebih banyak dari di tempat lain).  Bagaimana pula bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk ke sana?.  Tidak, Allah SWT tidak pernah zalim, melainkan kita sengaja menzalimi diri kita sendiri.

Bukankah Allah SWT telah menjanjikan pahala yang banyak juga untuk solat berjamaah?  Malah setiap langkah kita ke masjid untuk solat berjamaah itu juga dikira sebagai pahala.  Namun apa yang menyedihkan, walaupun surau/masjid itu bersebelahan sahaja dengan rumah kita, kita lebih senang solat bersendirian.

Sumber : DI SINI

Orang yang keluar dari rumahnya untuk menunaikan sembahyang berjamaah mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakan haji.

Sabda rasulullah s.a.w.

 مَنْ خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ مُتَطَهِّرًا إِلَى صَلاَةٍ مَكْتُوبَةٍ فَأَجْرُهُ كَأَجْرِ الْحَاجِّ الْمُحْرِمِ وَمَنْ خَرَجَ إِلَى تَسْبِيحِ الضُّحَى لاَ يُنْصِبُهُ إِلاَّ إِيَّاهُ فَأَجْرُهُ كَأَجْرِ الْمُعْتَمِرِ وَصَلاَةٌ عَلَى أَثَرِ صَلاَةٍ لاَ لَغْوَ بَيْنَهُمَا كِتَابٌ فِى عِلِّيِّينَ. (سنن أبى داود، الصلاة)

Bermaksud: Siapa yang keluar dari rumahnya dengan keadaan bersuci menuju kepada sembahyang fardhu maka pahalanya seperti pahala orang haji yang berihram dan sesiapa yang keluar hanya semata-mata untuk tasbih al-Duha maka pahalanya seperti pahala orang yang mengerjakan umrah. Satu sembahyang selepas satu sembahyang, tiada melakukan perkara sia-sia di antara kedua-duanya ditulis pada kalangan orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi.


Dari itu, marilah sama-sama kita mengambil kesempatan untuk seberapa boleh mendirikan solat fardhu secara berjamaah di surau/masjid agar kita memperolehi ganjaran dan redha Allah SWT.



Kepada yang masih ingin untuk melakukan ibadah korban di Kemboja, jangan lupa untuk klik PAUTAN INI

Surat buat yang bernama anak...

Assalamu'alaikum anakku,
Semoga rahmat Ilahi sentiasa bersamamu dan kebahagiaan akan terus menjadi milikmu.

Apa khabar anakku?
Tenangkah hatimu?  Sangat berbahagiakah kamu?  Ingatkah kamu kepada ayah dan ibu?  Andainya ingat, ingatan yang bagaimanakah itu?   Syukurlah ingatan itu kerana kamu rindu - rindu segala-galanya tentang ibubapamu sehingga takkan kau biarkan walau sehari berlalu tanpa jeadaan mereka ada dalam pengetahuanmu.

Anakku,
Sayangilah ibubapamu.  Tanpa mereka siapalah kamu.  Walaupun kamu adalah amanah buat mereka, jangan sewenang-wenangnya hati mereka kau guris luka.  Bagimu apa yang kau mesti tersedia.  Susah payah mereka tak pernah kau ambil kira.  Apa kau mahu, kau tahu mesti ada.   Janganlah begitu anakku.  Bagi orangtuamu, apa yang kau mahu seboleh mungkin hendak disedia.  Namun kemampuan mereka ada batasnya.  Lainlah kalau mereka memang orang yang berharta, apa kau mahu pasti takkan kecewa.

Anakku,
Putaran dunia ini tiada hentinya kecuali bila kiamat tiba.  Selagi itu, putaran kisah hidup berulang-ulang adanya.  Hari ini kau enggan buat ibubapamu gembira, tiba masanya apa yang mereka rasa akan kau rasa juga.  Dari itu anakku, ingatlah pesan yang mungkin kau sendiri tahu 'jangan berkasar dengan orangtuamu walau sekadar berkata ah atau uh'...

Dari itu, renung-renungkanlah anakku.  Mungkin ibubapamu tidak sebijak kamu, namun dengan izin Allah Yang Satu, tanpa mereka siapalah kamu...

Sekian, sejahteralah atasmu anakku.

Jumaat, 26 September 2014

Majlis meraikan pesara dan bakal pesara JPWPKL...

...untuk tahun 2014 telah diadakan dengan jayanya di Pusat Konvensyen HGH Sentul...

(Oleh kerana hari ini makcik kurang sihat dan telah dikejarkan ke HUKM pada jam 1 pagi tadi, makcik rasa malas hendak bercerita panjang)

Walaubagaimanapun,  makcik ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak JPWPKL khususnya dan pihak KPM amnya atas majlis yang telah diadakan itu...

Di SINI berlangsungnya majlis tersebut
Di pentas yang luas ini telah diadakan
persembahan tarian dan nyanyian
Anak-anak kata makcik kelihatan seperti 'bibik'
bila memakai dan menggayakan tudung dengan cara ini
Cebderahati yang diterima bersama sekeping
Sijil Penghargaan.  Walaubagaimanapun,
makcik hanya menerima 'kulitnya' sahaja
yang kemudiannya makcik pulangkan kerana
sijilnya belum siap.  Makcik diingatkan untuk
menelefon Jabatan, tapi makcik tak kuasa la...

Mencari Jubah Atau Kurta Untuk Bayi Anda di Idul Adha ini?...

Ini bukan catatan berbayar.  Kerana catatan-catatan ikhlas yang beginilah, Nuffnang telah sekian lama menarik status glitterati dari blog ini.  Tapi tak mengapa, rezeki itu adalah dari Allah SWT adanya...

Zaman ini walaupun ibubapa semakin moden dan mengikut arus berfesyen untuk anak-anak mereka, namun semakin ramai ibu bapa Muslim lebih suka anak-anak mereka berpakaian dengan selesa dan diterapkan dengan pakaian yang mengikut syariat di awal usia mereka.

Anda bagaimana pula?  Suka anak-anak kecil atau bayi lelaki anda kelihatan comel dalam kurta atau jubah yang dibuat dari kain yang berkualiti? Jika begitu, kunjungilah facebook Darwish Rich Design di : https://www.facebook.com/darwishrichdesign  atau instagram mereka di : http://instagram.com/darwishrichdesign 

Jangan tanya makcik tentang harga kerana makcik tak pernah mengambil tahu tentang harganya.  Apa yang makcik tahu kurta dan jubah ini memang sangat cantik untuk bayi dan kanak-kanak lelaki dari seawal usia hingga berusia 3 atau 4 tahun.





Sekiranya ada yang berminat, jangan segan-segan untuk mencuci mata dan seterusnya membuat tempahan DI SINI dan DI SINI.  Semoga anda dan bayi anda dapat bergaya dengan selesa dan ceria di Idul Adha ini...


Kepada yang masih tercari-cari tempat untuk membuat tempahan korban, jangan lupa klik PAUTAN INI, ya...




Selasa, 23 September 2014

Tahniah YAB Mohamed Azmin Ali...

...semoga perjalanan yang sudah diketahui penuh ranjau dan liku itu dapat dilalui dengan semangat yang kental dan tidak sesekali tunduk kepada segala dugaan dan ugutan alam melainkan seperti sumpah yang telah dibaca -  KEPADA ALLAH SAYA BERSERAH...

Biodata beliau DI SINI

Entah apa yang tak kena dengan dia...

... dulu memang kami sangat akrab.  Namun akrab itu bukan bermakna aku tahu segala-galanya tentang dia walaupun mungkin dia rasa dia tahu segala-galanya tentang aku ...

Kes 1  :

Kami bertemu selepas sekian lama tidak berjumpa.  Terus dia menyoalku dengan wajah tidak bersalah 'eh...kau sakit ye?  nampak macam tak sihat je',  walaupun wajahnya sendiri tidaklah seceria mana...

Kes 2 :

Aku menelefonnya atas satu urusan.  Dia boleh kata tidak kenal suaraku dengan alasannya 'suara kau macam orang tua, aku tak cam, lah'.  Alamak...aku dan dia hanya berbeza dua bulan sahaja jarak usia...

Kes 3 :

Kebetulan aku ke tempatnya untuk menyelesaikan satu perkara. Masuk sahaja, aku sudah nampak dirinya.  Aku senyum sambil menyebut namanya.  Eh... mungkin dia ada masalah penglihatan.  Dia memandangku dengan selamba seolah-olah melihat seseorang yang tidak pernah dikenali.  Lebihkurang 10 minit aku di situ hingga aku keluar sambil memandangnya, dia langsung tidak menunjukkan reaksi bahawa dia mengenaliku...


Begitulah kitaran kehidupan ini.  Hari ini kita saling menyayangi, esok-esok mungkin tanpa sebab kita berpura-pura tidak pernah saling mengenali.  

Andainya pula hari ini kita saling membenci dan menyimpan rasa sakit hati, di hari mendatang tidak mustahil kita tidak boleh berenggang walau untuk sehari.


Hari ini kita bertanya-tanya 'apa yang tidak kena dengan dia' , sedangkan sebenarnya di pihak dia ada dosa yang belum kita mohonkan kemaafan darinya.  Kita hanya nampak yang tidak kena dengan orang lain, tapi kita lupa menilai sebenarnya apa yang tidak kena dengan diri kita...


Kecil tubuhnya, namun besar baktinya
Mungkin kini dia tidak dipeduli, tapi akan dikenang
bila pohonnya rebah menyembah bumi...



Jangan menilai hanya melalui pandangan mata.
Melihat gambar ini, kita mungkin terfikir betapa 'pelahap'nya
dia, namun tahukah kita berapa ramai lagi yang turut bersama
tapi melarikan diri dari panahan kamera?



Isnin, 22 September 2014

Sabun Seri Emas - untuk masalah resdung...

...aku telah menerima seketul sabun Seri Emas setelah mengisi borang di SINI 

Alhamdulillah, selepas beberapa kali memakai sabun ini di muka, ada perubahan yang dapat kurasakan.

Sabun berwarna merah jambu

Aku dapat rasakan kulit mukaku lebih lembut, licin (walaupun
parut-parut belum hilang).  Yang lebih penting, jika sebelum ini
aku sering bersin (akibat resdung) tanpa mengira waktu dan
mengalami kegatalan hidung (sehingga kalau boleh, rasa macam
aku hendak cabut hidung dan rendam dalam air panas), kini
masalah itu kian berkurangan dan sudah hampir tiada lagi.
Gambar ini sama sekali tidak diedit ya kawan-kawan.




Terima kasih kepada pihak Seri Emas yang telah memberikan sabun ini kepadaku.  InsyaAllah, sekiranya sabun yang ada ini habis, aku akan membelinya pula.


Kepada yang ingin mendapatkan sabun ini, bolehlah pergi ke PAUTAN INI atau SMS BB60 ke nombor  0132298329.  

Terima kasih JPA Pencen, terima kasih En Rafie...

Alhamdulillah, diam tak diam, sudah 3 minggu makcik bergelar YB (Yang Bersara).  Setakat ini, kehidupan berjalan seperti biasa dan sudah mula rasa selesa dengan setiap hari yang dilalui.

Di kesempatan ini, melalui blog 'syok sendiri' ini, makcik mengambil peluang untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak JPA Pencen  dan kakitangannya yang telah mempermudahkan urusan kelulusan dan bayaran ganjaran serta pencen bulanan makcik.


Makcik bersara secara pilihan sendiri di usia 53 tahun 7 hari berkuatkuasa pada 1/9/2014.  Ganjaran perkhidmatan masuk ke akaun bank makcik pada 4/9/2014 dan bayaran pencen pertama untuk bulan September masuk tepat pada tarikh yang dijadualkan.  Walaupun sebelum ini makcik difahamkan bahawa bayaran ganjaran perkhidmatan dan pencen pertama hanya akan masuk secepat-cepatnya dalam tempoh sebulan atau sebulan setengah dari tarikh persaraan, ianya tidak berlaku begitu.

Jangan tanya tentang ganjaran yang makcik dapat.  Ianya habis digunakan untuk melangsaikan hutang piutang yang sekiranya makcik terus bekerja sehingga usia 60 tahun pun, hutang itu akan terus mengekori.  Setidak-tidaknya sekarang, walaupun tidak menerima gaji bulanan seperti sebelum ini, makcik tak pening dengan jumlah terkumpul yang perlu dibayar setiap bulan.  Masih ada juga hutang-hutang duniawi yang belum dapat makcik selesaikan, tapi ia mungkin tidaklah sangat membebankan seperti sebelum ini.

Makcik juga ingin mengucapkan terima kasih kepada En. Rafie - seorang kakitangan di JPA Pencen yang sangat ramah dan bermuka manis melayan makcik sewaktu makcik berjumpa dengannya.  Walaupun pada  mulanya nama yang diberi untuk makcik berjumpa adalah orang lain, tapi makcik tidak tersilap orang bila berjumpa dengan En Rafie.  Kalau makcik berjumpa dengan orang yang diberi namanya itu, mungkin lain ceritanya kerana itulah nama yang menjawab panggilan telefon makcik dulu.  Hanya sekali, makcik dapat bercakap di telefon dengan En Rafie kemudiannya dan beliau tetap ramah di telefon sepertimana sewaktu makcik berjumpa dengan beliau.  Terima kasih sekali lagi, En Rafie.

Mungkin ada pesara yang tidak menerima bayaran ganjaran atau pencen mereka seawal yang makcik terima.  Sebenarnya, kita juga kena berusaha sendiri.  Makcik beruntung (walaupun kadangkala makcik rimas didesak) kerana suami makcik sanggup menjadi budak penghantar surat, yang menguruskan penghantaran surat dan borang-borang yang telah disediakan oleh jabatan tempat makcik bekerja ke JPA.  Kemudian dia desak pula makcik menelefon pihak JPA.  Kalau makcik lambat telefon, dia sendiri akan telefon.  Kemudian dia desak makcik pergi sendiri ke JPA (dengan dia menemani, kerana makcik tidak memandu).  Mujur juga makcik pergi ke JPA di Putrajaya itu kerana rupa-rupanya ada dokumen yang tidak lengkap.  Syukur juga kerana dokumen-dokumen yang diperlukan itu boleh dihantar hanya melalui faksimili.

Kini, makcik boleh menaip dengan selesa sebagai seorang pesara tanpa perlu risau mencuri waktu kerja.  Alhamdulillah.

Sekali lagi, terima kasih JPA dan kakitangan yang terlibat mengurus dan mempermudahkan urusan persaraan makcik dan khususnya buat En Rafie - terima kasih Tuan...

Ahad, 21 September 2014

Alangkah bagusnya kalau kedai makan sebersih woksyop ini...

...ini adalah woksyop kesukaan suamiku.  Pemiliknya sangat ramah dan pandai mengambil hati pelanggan.   Iya, kena diakui bahawa kebanyakan orang Cina sangat menitikberatkan hubungan baik dengan pelanggan sebagai satu strategi perniagaan.

Yang lagi bagusnya, kebersihan adalah sangat dititikberatkan.   Setiap pagi, sebelum memulakan perniagaan,  para pekerja akan membersihkan lantai dengan sabun.  Segala peralatan juga akan dilap dan dibersihkan termasuk bekas mengisi air yang besar itu.

Walaubagaimanapun,  dari pengalaman sendiri, pekerja tetap melayan sekiranya kita datang sekadar untuk menampal tayar kereta yang bocor sebaik pintu woksyop dibuka.

Woksyop ini terletak berhampiran Masjid Al Azim Pandan.  Kalaulah kedai makan/restoran di sekitar Pandan Indah itu atau di mana sahaja menitikberatkan kebersihan sebagaimana yang dibuat oleh pemilik woksyop ini, bukankah bagus?  

Kebanyakan restoran hanya mahukan pelanggan tanpa menjaga kebersihan.   Tengok sahajalah lantai yang bersepah kadangkala dengan puntung rokok dan kertas juga pinggan mangkuk serta sudu garfu yang dibiarkan basah serta melekit...




Sabtu, 20 September 2014

Bila hujan...

...perniagaan tetap berjalan
namun mungkin agak kurang sambutan
masih ramai yang lebih senang bermalas-malasan
apatah lagi di hari kelepasan

Hanya sedikit ujian dari Tuhan
jangan kita keluh-kesahkan
telah banyak diberi keuntungan
hingga kadangkala lupa untuk menyatakan kesyukuran

Setiap kejadian pasti ada hikmahnya
cuma kita tak sedar bila tidak terbentang di hadapan mata
yang kita suka hanya yang indah sahaja
kita lupa rezeki tersembunyi yang perlu kita berusaha...

Jumaat, 19 September 2014

Apa perasaan anda sewaktu melangkah ke tempat kerja?...

Adakah anda :

Suka - sebab :

* dapat bertemu kawan-kawan

* dapat lari dari masalah di rumah

* dapat meneruskan kerja yang anda suka

* dapat menunjukkan kebolehan anda kepada ketua dan rakan-rakan sekerja

atau... dapat apa lagi agaknya?...

Benci - sebab :

* menyampah tengok muka teman sepejabat yang tak sehaluan

* tak suka kena hadir mesyuarat dan jadi pencatat minit

* balik-balik buat kerja yang sama - langsung tidak memberi perkembangan minda

* asyik-asyik kena arah sedangkan orang yang mengarah tak tahu apa-apa

atau... sebab apa lagi agaknya?...

Tiada perasaan - sebab :

* Hendak tak hendak kena pergi kerja juga, kalau tidak nanti tiada gaji.  Bila tak ada gaji, nak makan apa dan macamana nak bergaya...

Niatkanlah kerja kita sebagai ibadah, mudah-mudahan kita beroleh keberkatan...

Mari sambung baca DI SINI.   

Sedikit petikan  :  Surah at-Taubah ayat 105 bermaksud;

“Katakanlah wahai Muhammad: Beramallah kamu (akan segala yang di perintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.

Khamis, 18 September 2014

Hidup kita perlukan warna, maka barulah serinya ada...

...tapi ada juga kelompok manusia yang tidak boleh menerima manusia lain yang berbeza warna kulit seolah-olah dunia ini diciptakan untuk kelompoknya sahaja...

Allah SWT menjadikan kita berbilang bangsa untuk kita saling kenal mengenal dan berkongsi pengetahuan serta kehidupan mengikut landasan dan hukum yang telah ditetapkan.  Tapi kerana sikap sombong dan bangga diri kita jadi lupa bahawa dunia ini pinjaman semata...

En. Suami bersama dua orang kawannya sejak dari
bangku sekolah. Kedua-dua lelaki di kiri kanannya
adalah dua beradik yang merupakan saudara baru.
Tanpa slogan 1Malaysia atau sebagainya,
persahabatan mereka tetap kukuh sehingga kini.

Kedua-dua sahabat En Suami ini telahpun menjejakkan
kaki ke Tanah Suci - seorang mengerjakan Haji dan
seorang lagi menunaikan Umrah.  Alhamdulillah.

Andainya tanpa warna, mungkin kita tidak
akan perasan minuman itu masih ada atau
tidak di dalam cawan yang menampungnya.

Warna dan bentuk juga memberikan perbezaan kepada
pandangan mata dan menarik selera...

Baca dulu sebelum komen, jangan dedahkan sikap malas kita...

...tak kisahlah nak komen di blog atau di facebook atau di mana-mana, hatta kalau orang bercakap, dengar dulu betul-betul sebelum menjawab atau mencelah...

Kita mungkin bukan sahaja akan mendedahkan sikap malas, sebaliknya mungkin juga akan kelihatan tidak cerdik!

Katakanlah, ada orang letak letak gambar makanan, kita pun terus tinggalkan komen 'sedapnya...boleh bagi resepi tak?  Rajin betul awak memasak'.  Apa yang tak kena?  Yang tak kenanya, tajuk catatan itu terang-terang telah menyatakan 'MAKAN-MAKAN DI WARUNG KAK GAYAH'.  Takkanlah pula penulis itu sangat rajin memasak di warung Kak Gayah, melainkan dia memang tukang masak di situ...

Begitu juga, katakan penulis meletakkan gambar katil hospital dengan catatan di bawahnya 'semoga cepat sembuh ANAKKU'.  Ada juga catatan tentang anak itu sakit apa dan dimasukkan ke hospital bila dan sebagainya.  Lalu kerana kita malas hendak membaca (sedangkan catatannya bukan panjang berjela pun), kita pun konon dengan penuh simpati menulis komen 'semoga kakcik (contohnya) cepat sembuh, sakit apa ya?'

Jadi, kalau malas sangat hendak membaca, tak payahlah tinggalkan komen apa-apa semata-mata untuk menunjukkan 'kehadiran' kita...

#ingatanuntukdirisendiri

Rabu, 17 September 2014

'Siaplah kalau aku dapat siapa yang bomohkan kedai ini'...

...itulah kata-kata yang kebetulan terdengar oleh suamiku sewaktu melalui sebuah kedai makan.

Walaupun hidangannya nampak menyelerakan, peliknya tiada seorang pelanggan pun singgah di kedai itu, sedangkan kedai yang bersebelahan penuh dengan pelanggan.

Setelah aku bersembang dengan seseorang yang ada pengalaman makan di kedai yang lengang itu, aku dikhabarkan bahawa hidangannya hanya indah khabar dari rupa.  'Langsung tak sedap', kata seseorang itu.

Mungkin inilah silapnya 'orang kita'.  Cepat sangat hendak menuding jari kepada orang lain dan enggan mengkaji kelemahan diri sendiri.  Cuba kita lihat kedai makanan yang diusahakan oleh bangsa lain.  Mereka boleh berniaga sebelah-menyebelah dan kadangkala bantu-membantu.  Yang tiada di kedai aku, aku pinjam dulu dari engkau.  Yang tiada di kedaimu, kau ambil sahaja dari kedaiku dahulu. 

Peliknya, orang kita sengaja meletakkan kerusi atau alas meja berlainan warna untuk menandakan 'wilayah jajahan' mereka.  Opsss... pesan di sini, makan di sini ya.  Air pun tak boleh pesan dari kedai sebelah.  Itulah sikap kebanyakan peniaga kita.

Akhirnya, bila hidangan tidak mendapat sambutan, orang sebelah mula dipandang serong.  Mulalah 'bomoh-membomoh' walaupun orang sebelah itu langsung tidak tahu apa-apa.

Bilakah agaknya kita hendak mencari kesalahan dan memperbaiki diri sendiri?  Bila dendam dibiarkan menguasai hati dan fikiran, maka bagai api dalam sekam, perlahan-lahan diri sendiri yang menjadi mangsa kemusnahan.


'Air kosong belum siap bancuh'...

Baru-baru ini, aku pergi makan di suatu tempat.  Ramai juga orang lain makan di tempat yang sama.  Walaubagaimanapun, aku dan keluarga adalah di antara pelanggan yang paling awal tiba.

Kami pesan makanan dan minuman.  Bila makanan tiba setengah jam kemudian, ada antaranya sangat pedas bagiku. Minuman pun sudah habis diminum.  Aku pesan lagi satu jag air kosong.  10 hingga 15 minit berlalu, air yang dipesan tidak juga tiba.  Akhirnya aku bangun bertanya kepada dua tiga orang remaja lelaki yang sedang berdiri berhampiran dengan bekas-bekas air di situ 'dik, air kosong belum siap bancuh ke?'.   Dengan muka terpinga-pinga dia menjerit kepada kawannya di tempat membancuh air 'oiii! Air kosong belum siap bancuh ke?'.  Kemudian dia memandang kepadaku dengan wajah yang masih terpinga-pinga 'nanti dia bancuh dan hantar, ya'

Huh!  Mungkin betul agaknya mereka kena bancuh air kosong kerana selepas 10 minit barulah air itu sampai ke meja!

Isnin, 15 September 2014

Kerana laksa dan cendol Sungkai...

...aku dan suami sanggup menempuh kesesakan lalulintas di lebuhraya utara selatan...
Bagiku dan suami,  laksa dan cendol di sini lebih sedap dari yang biasa kami makan di Kuala Kangsar.

Gerai ini terletak di hadapan rumah kediaman berhampiran simpang empat di Pekan Sungkai.  Tidak jauh dari Masjid Sungkai tapi bukan di bawah khemah sebelah masjid itu.  Kedudukannya di seberang Masjid.   Kalau dari arah selatan,  sebelah kiri jalan sebelum lampu isyarat.   Ke hadapan sedikit baru kita nampak masjid di sebelah kanan.

Tak faham?  Alaaa...nak pergi ke?  Jom ajak makcik sebagai penunjuk jalan.  :)

Kalau melalui Lebuhraya PLUS ke Utara, keluar di susur Sungkai/Trolak. Selepas tol, susur kanan ke pekan Sungkai...

RM3.50
Cendol istimewa - tambah jagung, kacang merah dan pulut.
RM3.50 juga

Supermokh - sebuah teater muzikal...

...aku tidak ditaja untuk menonton teater ini, jadi ikut suka akulah nak tulis apa...boleh macam itu?  Hahaha...

Dari pementasan yang pertama dulu, aku memang sangat berkeinginan untuk menonton teater yang diadakan di Istana Budaya ini. 

Jujurnya,  aku meminati lakonan Awie.  Pedulikanlah segala masalah peribadi yang melingkari kehidupan sehariannya.  Kita tidak berada di tempatnya,  maka siapa kita memandai-mandai hendak menokok tambah cerita...

Atas keinginan yang tinggi,  aku fikir aku hendak pergi juga ke persembahan kali ke dua yang diadakan pada 8 hingga 21 September 2014.  Aku war-warkan di facebook tentang keinginanku dan tentang tiada teman yang sudi pergi bersama.   Suamiku hanya sanggup menghantar dan mengambil tapi tak sanggup menonton bersama.

Akhirnya, aku mendapat 3 orang kawan yang sanggup pergi bersama. Kak Zah, CikGadisBunga dan CikPuanLawa...



Aku cuba beli tiket atas talian, tapi tidak berjaya.  99.5%
tempat sudah ditempah.  Akhirnya En Suami hantar ke
kaunter Istana Budaya untuk aku membeli 4 tiket yang 
paling murah (RM46.00 setiap satu)
Bersama Kak Zah.  Hahaha...mukaku selebar dulang!  ;-)
Bersama anak-anakku - gB dan CPL
Nampak tak betapa jauhnya kedudukan kami dari pentas?
Secara keseluruhannya, pementasan selama lebihkurang 3 jam ini sama sekali tidak menghampakan. Antara yang aku suka  :

*  Lakonan (jenaka) dari Douglas Lim - sangat menghiburkan.  Bersahaja tapi ada mesejnya.

**  Babak bila pentas dan seluruh panggung digelapkan.  Hanya kelihatan jalur-jalur cahaya dari baju yang dipakai oleh para pelakon


Yang aku tak suka :

*  Babak di mana Maya Karin duduk di atas paha Awie (dua kali) dan Awie dengan selamba berkata 'dah lama tak romen'... Jika tiada babak itu, ia tidak akan mencacatkan pun jalan cerita dan pementasan yang diadakan

**  Pancaran cahaya laser yang dihalakan kepada para penonton.  Khabarnya, pancaran itu akan dibuat sekiranya ada penonton yang menggunakan telefon bimbit sewaktu menonton.  Pening tau!

Aku teringin hendak pergi menonton sekali lagi dan berangan-angan hendak beli tiket di hadapan sekali.  Bila duduk di hadapan, barulah boleh buat ulasan dengan lebih baik, kan?  Atau Hans Isaac boleh beri tiket percuma untuk makcik?  Hahaha...beranganlah kau...




Rabu, 10 September 2014

Suatu pagi di Jalan Masjid India...

aku duduk memerhati
ramai orang ke sana ke sini
tapi peliknya bagai bukan di tanahair sendiri
wajah yang mundar mandir lain sekali

bukan Melayu, Cina atau Benggali
wajah India ramai kutemui
tapi rasanya mereka bukan warganegara sini
lagak gaya mereka boleh dikenali

ramai juga berwajah Pakistan
bergaya dengan kemeja dan celana berjalan-jalan
sekali tengok macam hero Hindustan
dua kali tengok -eh! rupanya bukan

Kuala Lumpur oh Kuala Lumpur
di kedai makan mahupun di gedung-gedung
kurang sekali bangsaku yang mencari rezeki
sebaliknya mereka yang entah dari mana datang ke sini

jangan merintih wahai bangsaku
konon bermaharajalela mereka yang dipanggil pendatang
renungkan dan fikirkan apa kehendakmu
makan disuap tidur ditatang!

'Saya tak mahu kerana sebutir nasi, tubuh saya tak diterima bumi'...

...lebihkurang begitulah maksud kata-kata lelaki yang duduk di hadapan mejaku di sebuah restoran.  Dia berkata begitu bila ditanya oleh pelayan kenapa dia belum makan.  Dia mahu makanan yang diambilnya dikira terlebih dahulu sebelum beliau mula makan.

Allah hu Akbar!  Begitu sekali beliau menjaga makanan yang akan menjadi darah dagingnya agar tidak menjadi haram hanya kerana beliau membayar kurang dari apa yang sepatutnya dibayar.

Lantas aku merenung kepada diriku sendiri.  Bukan setakat makan hingga habis baru dikira, kadangkala siap minta dikurangkan harga.
Kalau hal sekecil itu tidak dapat kita didik hati untuk menjaganya, bagaimana pula dengan hal-hal yang lebih besar?

Tidak termasuk mensia-siakan waktu kerja yang gajinya tidak pernah kurang diterima.  Mungkin dari situ kita boleh menilai sejauh mana berkatnya rezeki kita...

Selasa, 9 September 2014

Waspadalah dengan keramahan mulut kita...

... kerana pepatah juga ada mengatakan 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana'...

Baru-baru ini aku mengikut suami menghadiri satu majlis.  Tiba-tiba, seorang lelaki di meja kami bertanya kepada suamiku 'awak driver, kan?'.  Aku pun tidak tahu apa tujuannya tiba-tiba bertanya begitu.  Mungkin sebab dia terlalu bangga dengan isterinya yang berjawatan tinggi walaupun dia sendiri 'tiada jawatan'.  

Tidak.  Aku tidak memandang rendah kepada jawatan pemandu. Aku sendiri pun sering memberitahu kepada kawan-kawan bahawa suamiku adalah seorang pemandu.  Sebenarnya maksudku suamiku itu adalah pemanduku kerana dia tak pernah membenarkan aku memandu, sebaliknya sanggup menghantar dan mengambilku di mana sahaja.   Cuma persoalannya, kenapa lelaki itu bertanya dengan selamba di hadapan orang lain yang berada di meja yang sama?  Mungkin dia tiada apa hendak disembangkan sedangkan dia mahu menunjukkan keramahannya?

Begitulah juga dengan kita yang sering bersembang tanpa suara ini. Kadangkala kemesraan kita sehingga kita boleh berkata apa sahaja (sebab kita tidak nampak riak wajah antara kita).  Ditakdirkan suatu hari nanti kita bersua, kita terbawa-bawa keramahan tanpa batasan kita itu.  Contohnya, oleh kerana kawan kita itu kita rasakan boleh 'dibawa bergurau', tanpa memikirkan perasaan atau sensitivitinya, selamba kita mungkin menyentuh sesuatu yang bersifat sangat peribadi.   

Katakanlah, kawan kita itu seorang gadis yang belum bertemu jodoh dan dia memang seorang yang kelihatan agak kasar berkata-kata, kita pun kononnya dengan niat bergurau mengatakan kepadanya 'patutlah kamu ni belum bertemu jodoh.  Kasar sangat, pakwe pun takut nak dekat'.  Bagi aku, orang yang kasar perwatakannya itu belum tentu 'kasar hatinya'.  Kadangkala hati mereka lebih lembut dari agar-agar.  Mudah tersentuh dan mudah rapuh!

Berhati-hatilah.  Dan pesanan ini lebih untuk diriku sendiri yang selalu lupa.  Bila kehilangan kawan, aku tertanya-tanya.  Rupa-rupanya tanpa sedar, mulutku ini yang punya angkara...

Makan malam di Restoran Beriani Asif, Bukit Bintang...

(Sementara menantikan En. Ilham datang, makcik letak gambar-gambar ini dulu, ya... Singgah di restoran ini malam tadi = 8/9/2014 tanpa dirancang.  Sepinggan nasi beriani kosong berharga RM5.00, gambarnya terdelete pulak)


Sebenarnya makcik lupa nama sebenar hidangan ini...

...yang ini pun makcik lupa nama sebenarnya!

Sedap - kejunya memang terasa dan rotinya  pun sangat lembut di makan panas-panas


Susunatur dalam restoran ini kemas dan selesa. Pernah masuk dalam
rancangan JJCM TV3 dan mendapat pengiktirafan A dari segi
kebersihan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Gambar lampu pun makcik nak rakam.  Tapi sebab guna kamera iPad
yang makcik tak pandai nak 'bega', yang cantik pun nampak tak cantik jadinya.

Jangan tanya makcik lokasi restoran ini.  Terletak di celah-celah bangunan dan
di hadapannya ada tempat macam Medan Selera. En. Suami yang bawa ke sini,
jadi siapa nak tahu, kena tanya dia...hehehe

Isnin, 8 September 2014

Arah mana hendak dituju?...

...dan bagaimanakah caranya hendak membanteras tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab ini? ...