Kawan-kawan kakcik

Jumaat, 29 Januari 2016

Jom ikut Qaid ke rumah anak-anak yatim...

...eh! Qaid bukan pergi sendiri
Qaid ikut Mummy dan Daddy
ada juga Uncles dan Aunties

jomlah tengok gambar-gambar kami
gambar yang nenek ambil dari fb Mummy 
bukan niat hendak beriak di hati
cuma mungkin sama-sama kita boleh menabur bakti...

Apa khabar Abang?
Qaid harap Abang gembira tinggal di sini.
Suatu hari nanti, InsyaAllah Abang juga akan jadi insan yang berbakti lagi dihormati.

Kenapa masam sangat ni?
Cuba cerita, manalah tahu kalau Qaid boleh membantu.

Daddy imamkan solat, tapi Qaid tengok je.
Nanti bila Qaid dah cukup syarat, Qaid pun nak jadi imam juga.



Mama Ija ni baik betul.
Ke mana-mana pun, dia tetap dengan sifat rendah dirinya,
walaupun dia seorang selebriti dan sangat dikenali.



Doakan perniagaan Mummy Qaid berjaya ya,
nanti sebagai CEO, Qaid boleh turut menderma...

Qaid tak pasti Daddy cakap apa,
tapi Qaid mahu Daddy jadi imam keluarga kami yang
sentiasa merendah diri dan berjaya di dunia serta bahagia di akhirat.

Semoga sedikit sumbangan dari kami dapat membahagiakan mereka.

Kalau ada yang ingin turut menabur bakti, butirannya ada di gambar ini...

Khamis, 28 Januari 2016

Di tabung mana lagi hendak kusimpan sekupang dua ini?...

...tabung ayamku dah lama pecah
tak mungkin dapat dibaiki walau guna gam gajah

aku beralih ke tabung buluh
rupa-rupanya ia sangat rapuh

kau tahu sahajalah
bila tabung sudah terbelah
wang yang ada mengacah-acah
suruh dibelanjakan tanpa berhemah
akhirnya mengeluh tak sudah-sudah

itu kisah dulu-dulu
bagaimana pula dengan kisah terbaru
wang yang ada tak sampai beribu
disimpan dalam tabung yang satu
dengan harapan bila sampai waktu
dapat menunaikan impian yang terbuku

tapi malangnya tabung itu juga hampir pecah
oleh tangan yang datang dari mana entah
adakah mereka sudah hilang amanah
biarkan sahaja mereka berhelah-helah
kelak nanti jawablah dengan Allah

tiada keuntungan tidak mengapa
asal jangan wang kami dilesapkan sama!

Rabu, 27 Januari 2016

Blogspot sedang membuat 'pembersihan' pengikut (follower) ke...

...dari 1167 (kalau tak silap ingatanku)
jadi 1148
turun jadi 1131
turun lagi jadi 1129
(setakat kemaskini jam 5.45 ptg, dah tinggal 1125)

alaaaa...

ada apapun  dengan bilangan itu, kan?

nak ikutkan
'terjahan' sehari tak sampai 1000 punnn
komen pun jarang sampai berbelas
(dah kau malas jawab komen,
nasib kaulah tak ada orang nak komen...)

apa-apa sahajalah labuuuuu...

Rabu Tanpa Kata : jom kemas rumah nenek...

Isnin, 25 Januari 2016

Kurus dan sihat cara Bangcik....

Baju yang sama pada waktu dulu dan kini...
Sudah nampak leher...

Ini Bangcik
Bangcik mula diet pada September 2015
Bangcik tak makan nasi sejak itu
Bangcik makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran
Setiap hari Bangcik akan bersenam sekurang-kurangnya untuk 7 minit
Dulu berat Bangcik 98kilogram
Sekarang berat Bangcik 84.3kg
Dulu seluar Bangcik saiz 42
Sekarang Bangcik sudah boleh pakai saiz 35 @ 36

Jadilah seperti Bangcik (*_^)

Ahad, 24 Januari 2016

Makan di Old Malaya Kopitiam, Shah Alam lagi...

    Address: 6, Jalan Plumbum N7/N, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor, Malaysia

Catatanku yang terdahulu tentang kopitiam ini di SINI
Buku menunya ala-ala buku latihan sekolah
Fish n Chips
Nasi goreng kambing
Kuey teow goreng
Nasi dengan asam pedas norwegian mackerel
Anak bongsu dan cucu sulung

Makanan di sini memang menepati kehendak selera keluargaku.  Ditambah dengan suasana yang tenang dan persekitaran yang bersih ia memang tempat makan yang sesuai buat seisi keluarga. Harga yang ditawarkan juga amat-amat berpatutan dan 'mampu bayar', InsyaAllah.

Jumaat, 22 Januari 2016

Ayam KFC masak padprik ikut suka hati aku...

Sebelum cerita tentang ayam kfc masak padprik itu, mari kita tengok gambar awan dulu.  Beberapa hari kebelakangan ini, dalam cuaca panas membahang, awan di dada langit pula kelihatan sangat cantik untuk dipandang...


Baiklah... jom cerita tentang ayam KFC masak padprik ikut suka hati aku ini :

Kisahnya, semalam aku pesan set KFC atas talian kerana Adik (Budak Sepet) nak makan.  Ada 6 ketul ayam - 3 ketul hot and spicy dan 3 ketul original recipe. (Eh...setakat dua kali menempah KFC atas talian ini, aku puji kepantasan perkhidmatan mereka.  Tak sampai setengah jam selepas memesan, pesanan sampai ke depan pintu pagar).

Dari 6 ketul ayam itu, 2 ketul OR tidak habis dimakan.  Hendak dibuang pastinya sayang.  Ada orang sampai luka usus sebab tak makan, kita pula suka-suka hendak buang rezeki di hadapan mata...

Bila sel-sel otak berhubung, aku masak semula ayam itu ala-ala padprik kononnya...

Inilah rupanya masakanku itu.
Sedap?
Sedaplah di tekakku.  Tekak orang lain aku tak tahu.
Tapi...dah licin licau dah lauk ni tadi...

Bahan-bahannya :

2 ketul ayam goreng KFC (kebetulan yang ada tu bahagian dada)
- di potong kecil-kecil

Bahan tumis :

3 sudu minyak masak
beberapa biji cili padi - hiris
sebiji cili merah - hiris
5 ulas bawang putih - ketuk/hiris
5 biji bawang merah - hiris

Bahan sos :

1 sudu sos plum
1 sudu sos tiram
1 sudu sos tomato
1 sudu sos cili
1 sudu kicap masin
1 sudu kicap lemak manis
(semua bahan sebenarnya adalah anggaran sahaja sebab aku masak mana ada main sukat-sukat)

Sayur (aku guna apa yang ada, boleh tambah bunga kubis atau apa yang sesuai)

6 tangkai kacang panjang - potong anggaran seinci
sebatang lobak merah saiz sederhana - potong macam bentuk kacang panjang
sebiji bawang besar - dipotong bulat

Bahan lain :

3 helai daun limau purut
(boleh letak serai yang dititik juga)

Caranya :

Panaskan minyak di dalam kuali dan bila panas tumiskan bahan2 tumis. 
Setelah layu, masukkan bahan sos.  
Bila sudah menggelegak masukkan sayur.
Kacau-kacau sehingga sayur masak.
Masukkan ayam dan daun limau purut.
Jika terlalu pekat / kering, boleh masukkan secawan air.
Masak lagi sehingga air mendidih.
Siap.

Tak perlu tambah garam gula kerana rasa masin manis telah datang bersama kicap, sos dan ayam. Tapi kalau nak tambah juga, rasalah dulu...

Sekian, terima kasih.  (*_^)

Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, Ya Allah...





Aaminn Ya Rabbal Alamiin.

Khamis, 21 Januari 2016

Ikan seluang, ikan lampam...

Tiba-tiba teringat...

Sedapnya kalau dapat makan ikan seluang
masak asam rebus kuning je
letak kunyit serbuk, cili api + bawang tumbuk
serai, garam, asam keping dan air...

Gambar dari :
http://teropongmasa.blogspot.my/2010/05/ikan-ikan-sungai-bil-2.html

Kalau dapat makan lampam goreng garing pun sedap juga
makan dengan nasi panas
letak kicap
ada sambal garam lada
(cili kering tumbuk dengan garam saja)
sedapnya Alhamdulillah

Gambar dari :
http://renjersungai.blogspot.my/2010/04/edisi-ikan-lampam.html


Youtube :
(rindunya aku pada waktu yang tak akan kembali)


Apakah bapa sudah mengampunkan dosaku sebelum dia pergi?...

Pagi ini entah mengapa tiba-tiba aku terasa hendak membuka dan membaca semula catatan di blog lamaku INILAH AKU.  Aku baca dan aku rasa terluka...  

Banyak rupa-rupanya aku catat tentang bapa di sana.  Catatan ketika bapa sedang kesakitan dan tinggal di rumahku...




Tiba-tiba aku sebak...sangat-sangat sebak...

Ya Allah, Kau ampunkanlah dosa kedua orangtuaku.  Tempatkanlah roh mereka di kalangan roh orang-orang yang beriman dan roh para solehin.  Kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku.

Aamiin Ya Rabbal Alamiin...

Rabu, 20 Januari 2016

Rashid tak suka berlucah-lucah...

...jadilah seperti Rashid.
Bukan setakat dalam kumpulan, kalau whatsapp peribadi pun tiada faedahnya
hendak berlucah-lucah.  Saling mengirim gambar yang bukan-bukan konon
untuk keseronokan bersama kawan-kawan.  Apakah faedahnya?
Tidakkah malu kepada Allah Yang Maha Melihat?
Bagaimana jika sedang seronok 'hantar-menghantar' mesej begitu,
tiba-tiba terpampang wajah saudara-mara sendiri?

Entah kenapa dengan aku...

...hari ini baru hari Rabu
aku sangkakan sudah hari Khamis

dari hari Isnin lagi jadi begini
Isnin kusangka Selasa
Selasa pula kuingatkan Rabu

mungkin banyak yang menghimpit fikiranku
tentang ini tentang itu
entahlah...

satu ketika
semalam atau kelmarin
tiba-tiba dada sebelah kiriku rasa perit
panas mencucuk

aku malas fikir yang bukan-bukan
aku bangun dan terus ke dapur sediakan hidangan
dan sakit itu hilang bila aku lupakan

tapi
mampukah aku melupakan segala kesakitan
bila ia tetap mencucuk benak dan fikiran??

Berapa lama lagi masa yang aku ada,
hanya Allah yang tahu rahsianya...

Selasa, 19 Januari 2016

Makan di Restoran Hadramawt Kitchen, Shah Alam...

Gambar dari : SINI 

Dari minggu lepas (termasuk Sabtu dan Ahad), aku dan suami berulangalik ke Shah Alam (pejabat suami memang terletak di Shah Alam, tapi selepas kerja pun di sebelah petang / malam, berulang lagi ke sana demi seorang anak).  Bila tidak melibatkan waktu kerja, sudah semestinyalah aku akan ikut sama.  

Beberapa malam kami melepak berjam-jam dalam kereta kerana aktiviti 'wajib' yang anak kami sertai sering berubah masa.  Semalam (18/01/2015), latihan Zumba yang Bangcik sertai berakhir hampir jam 1.00 pagi.  Sebagai mak dan ayah, tanggungjawab kami menjaga kebajikan dan keselamatan anak-anak selagi terdaya.  Sama ada mereka menghargainya atau tidak, pandai-pandailah mereka mempertimbangkannya.

Eh...macam lari dari tajuk sahaja isi catatan ini, kan?  

Sebenarnya, selepas menghantar Bangcik ke MSU dan selepas menunaikan solat Maghrib semalam, suamiku mengajak makan di Restoran Hadramawt Kitchen. Mendengar namanya sahaja, aku rasa macam menempah maut di tengah-tengah bulan ini.  Pasti makanannya mahal seperti kebanyakan restoran Arab yang aku tahu.  Biasanya aku akan mencongak duit yang aku ada (duit suami pun aku yang uruskan atas kemahuannya).  Aku hanya akan memesan makanan yang aku rasa paling murah dan sesuai dengan selera serta air minuman (kesukaanku teh O ais limau).

Jom tengok apa yang kami pesan dan makan...

En Suami sengaja meletakkan gelas itu
di hadapannya untuk menunjukkan
ketinggian gelas.

Chicken Kebab (RM16.00), aku punya.  Sedappppp

Hummus.  Datang dengan set 2 keping roti pita yang nipis,
tapi aku tersilap ambil gambar dengan kuah pula...

Sambal dan kuah untuk nasi...

...Lamb Mandy kesukaan En Suami.
Jumlah keseluruhan untuk hidangan di atas bersama air kosong dan teh O ais limau ialah RM53.00 (resit tak ambil pula sebagai bukti). Berbaloilah juga sebab kenyangnya sampai ke siang.

Selepas makan dan menunaikan solat Isyak, duduklah kami suami-isteri berjam-jam lagi dalam kereta kerana waktu latihan Bangcik bertambah dari jam ke jam sehingga ke jam 1.00 pagi (ikut jadual asal 7.30 petang hingga 10.30 malam).  Malam ini tak tahulah latihannya akan berakhir pukul berapa kerana pertandingan (antara fakulti) akan berlangsung esok - Rabu 20/01/2015...

Pemandangan di waktu menjelang Maghrib di Shah Alam :





Bajrangi Bhaijaan...



Dari Wikipedia : 

Bajrangi Bhaijaan (English translation: Brother Bajrangi) is a 2015 Indian comedy-drama film directed by Kabir Khan. Scripted by K. V. Vijayendra Prasad, the film was produced by Salman Khan and Rockline Venkatesh. It stars Khan and Harshaali Malhotra in the lead roles, and Nawazuddin Siddiqui and Kareena Kapoor Khan feature in supporting roles. Khan stars as Bajrangi, an ardent devotee of a Hindu deity, Hanuman, who embarks on taking a six-year old Pakistani girl (Malhotra) separated in India from her parents, back to her hometown.
Made on a budget of 90 crore, the principal photography commenced in November 2014. The cinematography was done by Aseem Mishra and was edited by Rameshwar S. Bhagat. The soundtrack was composed by Pritam, who collaborated with Julius Packiam to score the background music. The film was released worldwide on 17 July 2015 to positive reviews from critics[3], who acclaimed the screenplay, and the acting performances of Khan and Malhotra. It emerged as a commercial success grossing over 626 crore worldwide and in the process became the second highest grossing Indian film after PK.
In October 2015, the film was broadcast on Star Gold and became the most watched Bollywood movie in the history of television. It had 15.5 TRP in its world television premier beating the previous record held by the film 3 Idiots.[4] The film was nominated for Best Film in the 61st Britainia Filmfare Awards, as well as other categories, and bagged theFilmfare Award for Best Story.

Dua kali aku menonton filem ini di youtube (tanpa sarikata), tapi aku boleh memahami jalan ceritanya dan hanya faham sepatah dua kata. Bagi aku walaupun  ada unsur komedi, tapi unsur kemanusiaannya lebih lagi hingga mampu membuatkan aku mengalirkan airmata.  
Aku mengetahui tentang filem ini melalui perkongsian rakan-rakan di facebook.  Dari apa yang aku baca, filem ini dikatakan 'lebih baik' dari filem Dilwale (aku belum ada minat hendak menonton Dilwale). Cuma aku kurang berkenan dengan Salman Khan yang memegang watak seorang pemuda beragama Hindu hingga monyet pun disembahnya. Iyalah, dah filem dia tentulah dia yang memegang watak utama walaupun bagai mempersenda agama Islam yang dianutinya (tapi kebanyakan pelakon Hindi yang beragama Islam - yang nama mereka ada Khan - nampaknya hanya Islam pada nama. Sedangkan di Malaysia pun sudah ada yang begitu).
Tidak mustahil aku akan menonton lagi filem ini dan akan 'mencari' yang ada sarikata...
Gambar-gambar dari babak terakhir filem ini di mana akhirnya Munni mengeluarkan suara memanggil Pawan...






Pemandangan dalam filem ini mengingatkan aku kepada Kashmir...