Kawan-kawan kakcik

Isnin, 28 Ogos 2017

Jangan angkuh di saat berkuasa, Tuan/Puan...

...kelak di saat kamu kehilangan kuasa, mereka yang suatu ketika dahulu, walaupun tahu 'kejahatan' kamu tapi masih berlumba-lumba untuk :

-menyarungkan kasutmu
-membasuhkan tanganmu
-menarikkan kerusi tempat dudukmu
-membukakan pintu keretamu
-mengawal dirimu agar tidak didekati
-menyelit agar dapat bergambar denganmu...

tidak ragu-ragu untuk melupakan segala kebodohan yang pernah mereka buat untuk kelihatan sangat rapat denganmu itu.  Malah merekalah yang akan ke depan untuk membongkar segala salah lakumu.

Jadi saat kamu punya kuasa, bersederhanalah.  Jangan ingat kamu akan sentiasa berada di atas dan mereka yang di bawah kawalanmu itu akan selamanya sanggup menjadi abdimu...

Khamis, 24 Ogos 2017

56 tahun berlalu...

...kian singkat langkah kakiku...

yang bertambah adalah angka
yang kian singkat adalah usia



Rabu, 23 Ogos 2017

WW : Nasi Kak Wok...

...di Menara U, Seksyen 13, Shah Alam,


RM5.00

RM5.00 juga

Hendak ke mana tu makcik?...

Hendak ke mana tu makcik?

Ooooo... makcik nak naik MRT

Jom ke Sg Buloh.
Dari Taman Pertama Cheras, tambang
cuma RM1.10 sahaja untuk pesara.



Satu jam perjalanan sehala untuk menikmati pemandangan.
Tapi bila masuk terowong, tak nampak apa-apa.  15 minit
juga perjalanan dalam terowong tu.

Eh...pakcik dah bawa jalan-jalan pun masih masam muka juga?

Hanya hari cuti (atau bila pakcik bercuti), barulah kami dapat 'jalan-jalan'.  Bukanlah ke tempat yang jauh.  Hanya meluangkan masa berdua di luar rumah.  Pergi bersarapan (sudah beberapa minggu ini, kami bersarapan di Naan Corner kerana ada pelbagai pilihan dengan hanya membayar RM5.00 seorang) dan kemudian fikir hendak ke mana.  Lalu setelah sepakat, kami menaiki MRT hanya untuk melihat-lihat ke Sg Buloh dan berpatah balik.  Itu sahaja.  Kami gembira dengan cara kami dan InsyaAllah tidak menyusahkan sesiapa...

Selasa, 22 Ogos 2017

Sejak bila makcik minat sukan?...

Selamanya makcik memang tak pernah berminat untuk menyertai apa sahaja jenis sukan.  Janganlah ajak makcik bersukan.  Memang tak akan menjadi,  Jangankan bermain bola jaring, lari 100 meter pun makcik 'tak pandai'.  Begitu juga rentak tarian, jangan diajak makcik berpoco-poco apa lagi berzumba. Memang langkah sumbang sahaja yang akan tersumbang...

Tapi itu tidak bermakna makcik tidak boleh menjadi seorang penyokong.  Bila nama Malaysia dibawa ke persada antarabangsa atau dunia, makcik yang tak tahu apa-apa tentang 'bola', boleh duduk di hadapan televisyen menonton dari awal ke akhir perlawanan.  Makcik hanya tahu tentang 'gol'. Bila gol dijaringkan, makcik boleh bersorak riang atau mengeluh kecewa.  Sokongan makcik kepada peserta atau pasukan Malaysia tidak akan berbelah bahagi.

Walaubagaimanapun, bila peserta atau pasukan Malaysia kalah, tak adalah pula makcik nak memaki hamun  pasukan lawan.  Adat pertandingan, mesti ada yang kalah dan ada yang menang. Sebaliknya, kadangkala marah dengan pasukan Malaysia yang kalah.  Tapi, cuba makcik yang berada di tempat mereka.  Bila kalah pastinya kecewa. Mana ada orang bertanding hendakkan kekalahan.  Jadi, sebagai penyokong, makcik tidak mahu menjadi penyokong yang membawa rebah.  Sepatutnya terus berbangga dengan mereka.  Berikan mereka semangat agat bangkit semula walaupun mereka tidak sedar pun kehadiran kita...

Makcik sayang negara makcik.  Makcik sokong segala yang baik. Yang tidak baik, walaupun makcik nampak dan rasai, diam-diam makcik doakan agar segeralah yang tidak baik itu berubah.  Andai tidak mahu juga berubah, semoga ia dapat ditukar kepada yang lebih baik.  namun ia bukan perkara mudah. Sesuatu yang 'besar' tak akan terdaya dialih oleh seorang sahaja.  Maka semua orang perlu bersatu hati.  Sama ada menyokong yang baik atau mengubah yang tidak baik...

Akhir kata, MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA.

Sekian, sebuah catatan merapu yang mungkin tiada siapa yang berminat untuk membaca atau memahaminya...

Isnin, 21 Ogos 2017

Bila melatah sama, kita dapat apa?...

...tak dapat apa-apa kan?

mungkin akhirnya yang dapat hanya MALU dan DOSA

iyalah, turut menambah cerita sesedap rasa

seolah-olah kita tahu segala-galanya

akhirnya terbukti dan ternyata

kita turut menabur dusta

sedangkan mereka elok sahaja bahagia

jadi...

lebih elok kita :

pejamkan mata

pekakkan telinga

tutup mulut serapat-rapatnya

kunci jari agar jangan cepat menari

kerana :

masalah kita tak tertolak ke tepi

sakit kepala berhari-hari

tertekan dek itu dan ini

tak perlulah masalah orang kita hendak atasi

#takfahamtakapa
#makciktiadailhamhendakbercerita


Khamis, 17 Ogos 2017

Kisah rumahtangga bukan untruk dicanang-canang...

... baik atau buruk, simpanlah sendiri

kalau sudah 'tidak tertanggung'

jumpalah mereka yang 'sepatutnya'

bukan disebar serata alam tentang apa yang terjadi.

Orang luar memang suka masuk campur,

menokok tambah sesedap rasa

walaupun tidak kena mengena dengan mereka

walaupun mereka tidak tahu punca

walaupun mereka juga tidak bahagia.

Jagalah aib masing-masing...

Rabu, 16 Ogos 2017

Apakah nama hidangan dari Sarawak ini?...

Minggu lepas pakcik menghadiri mesyuarat di Kuching (minggu sebelumnya di Tawau dan Kota Kinabalu).  Tidak seperti tahun-tahun dahulu, selalunya makcik mengikut ke mana pakcik pergi. Tapi sejak zaman GST bermaharajalela ini, makcik redho sajalah ditinggalkan. 

Kalau perjalanan dalam Semenanjung dengan menaiki kereta, kadang-kadang pakcik bawa makcik bersama.  Tapi selalunya untuk menjimatkan masa, pakcik naik kapalterbang di waktu pagi untuk pergi dan balik waktu petang/malam hari yang sama kalau mesyuarat itu di Kedah atau Terengganu.

Eh...melalut pula.  Sebenarnya makcik nak tunjuk gambar hidangan yang pakcik makan sewaktu di Kuching (dia hantar gambar ini melalui whatsapp).  Selain dari sayur midin itu, yang lain-lain makcik tak pasti nama hidangannya.  Ada sesiapa boleh beritahu makcik apakah nama makanan itu?  Sajalah makcik nak tahu...





Eh...yang bersusun di belakang itu botol apa? 😡😡

Selasa, 15 Ogos 2017

Peliknya bapa ini...

Pelik bila seorang bapa sanggup hendak menyaman anak sendiri kerana kononnya anak itu 'menggunakan suaranya (suara bapa)' dan namanya (nama bapa) untuk mencipta populariti.

Tidakkah anak itu berbinkan bapanya?  Maka haruskah dia membuang nama bapa itu supaya bapanya tidak dikenali (sedangkan bapa itu memang sangat dikenali setidak-tidaknya di rantau ini)?  Bagaimana pula  anak itu hendak menukar suara yang telah Allah SWT kurniakan kepadanya?  Kata orang bapa borek anak rintik, jadi salahkan seorang anak mewarisi bakat ayahnya. Sudah bagus dia mewarisi perkara yang baik. Kalaulah dia mewarisi perkara yang buruk, tidakkah bapa itu akan menjadi malu?

Sepatutnya seorang bapa yang waras (mungkin sesuatu mempengaruhi bapa itu hingga hilang kewarasannya) merasa bangga bila anaknya mengangkat balik namanya yang hampir tenggelam.  Mengangkat bukan di jalan yang salah.  Mahu juga anak itu menyebut nama bapanya, walau selama hidupnya hingga dia dikenali bapanya mungkin tidak pernah memperdulikannya.

Seandainya bapa itu bersikap baik dengan anaknya, mungkin anak itu juga tidak segan untuk 'bekerjasama' dengan bapanya yang kian tua.  Mungkin akan terbuka pula pintu rezeki yang baru buat bapanya.

Entahlah... pelik memang pelik!

RR catat sejarah...

Artikel dari : Harian Metro

SEBANYAK RM12.2 juta diraih Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis menerusi bidaan nombor pendaftaran kenderaan 'RR' sekali gus kutipan tertinggi dalam sejarah 42 tahun agensi itu.
Pegawai Perhubungan Awamnya, Mohd Tarmizi Ghazali berkata, nombor pendaftaran RR2 sehingga RR10 yang juga dikenali sebagai 'Nombor Emas' berjaya mengumpul RM2.6 juta.
Tarmizi berkata, sebanyak 7,969 tawaran diterima untuk RR sejak tender dibuka dari 5 hingga 19 Jun lalu, namun hanya 2,253 berjaya.


"Bagi 'nombor menarik' kita menjual 5,722 nombor dalam tempoh kurang daripada dua minggu dan hanya berbaki 2,024 nombor.
"Nombor pendaftaran kenderaan RR dijual dengan jumlah purata 440 dijual setiap hari melalui portal rasmi jabatan dan kaunter di seluruh negara.
"Nombor ini menjana hampir dua kali ganda nombor pendaftaran RM yang menerima jumlah kutipan tertinggi sebanyak RM7.1 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.
Nombor pendaftaran RR1 dikhaskan untuk Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Golongan diraja lain yang membida untuk nombor pendaftaran RR ialah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang memenangi dua nombor iaitu RR6 dan RR9 dengan jumlah tawaran berjumlah RM856,780.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut memenangi tawaran RR11 bernilai RM268,400.

Catatan makcik : beruntunglah mereka yang punya wang yang banyak dan boleh membeli apa sahaja mengikut kehendak.  Makcik juga yang setiap kali celik mata, terfikir bagaimana hendak berbelanja.  Mungkin agaknya sebab makcik hanya mampu berfikir tanpa berusaha, jadi serba serbi sukar jadinya...

Isnin, 14 Ogos 2017

2017 kian ke penghujung...

Sudah 14/08/2017. Jika diizinkan Allah, 10 hari lagi makcik akan berusia 56 tahun...

Muhammad Zayyan pun sudah makin cerdik...

...apatah lagi Muhammad Qaid...

Suka atau tidak, yang pastinya usia kita juga kian ke penghujung waktu.  Iya, kita semua sedar tentang itu.  Cuma kerana tidak bersedia, kita sedaya mungkin cuba menafikan bahawa waktu untuk kita kembali tak pernah jauh...

Jumaat, 11 Ogos 2017

Janganlah disiarkan wajah bapa durjana itu...

Malaysia (malah khabar telah tersebar ceritanya ke seluruh dunia) digemparkan dengan perlakuan seorang bapa yang merogol dan meliwat anak kandungnya setiap hari sehingga beratus kali.  Jika benar, memang bapa itu sewajarnya dihukum dengan seberat-berat hukuman.  Sebagai ibu, aku turut merasa luluh hati bagai dicincang lumat.

Namun aku rasa, tak perlulah gambar bapa berhati syaitan itu disiarkan.  Bukan untuk menutup aibnya.  Tapi untuk melindungi anaknya yang menjadi mangsa.  Sudahlah hidupnya dijahanamkan bapa sendiri.  Bila wajah bapa yang tak layak dipanggil bapa itu disiarkan, pasti orang akan mengetahui dan mengenali siapa anaknya.  Malangnya nasib gadis itu.  Selain pandangan penuh simpati, manusia yang suka menjatuhkan hukuman sendiri akan mengambil peluang pula untuk mencaci, memaki dan memerli.

Kasihanilah anak itu...

Kasihilah anakmu kerana ia adalah amanah buatmu
*gambar dari arkib google*

Rabu, 9 Ogos 2017

'Budak Sepet' sudah 16 tahun hari ini...

09/08/2001 - 09/08/2017

Sudah tenggelam mak dan ayahnya

Walaupun dia anak bongsu, dia sangat sayang
kepada anak-anak saudaranya...

...dan mereka pun rapat dengannya.

Gambar pada malam 5/8/2017
Terlebih makan kacang panjang agaknya!

Masih terasa pedih kesan pembedahan di perutku sewaktu melahirkannnya.  Sesekali hujung kesan pembedahan itu bagai terbuka sedikit dan perit berair.  Tahu-tahu sekarang dia sudah besar panjang.  Tiada lain doa mak untuk semua anak-anak mak melainkan mengharapkan agar Allah SWT memberi kejayaan hidup di dunia dan kesejahteraan di sana nanti.  Aamiin.


Imbas kembali - Mac 2012.  Ramai yang 'geram' dengan pipi
montelnya itu.  Abangnya yang di tengah itu pun sudah jauh
berbeza penampilannya.  Yang pasti, ayah semakin tua.


Selasa, 8 Ogos 2017

Resepi mee goreng pucat yang mudah....

Tiba-tiba pula teringin nak makan mee goreng pucat macam ini.
Iyalah...balik-balik mee goreng ala-ala mee mamak saja,
sesekali kita ubah selera. Bukan susah pun nak masak,
guna sahaja apa bahan yang ada.

Bahan-bahannya :

1 bungkus mee kuning (makcik rendam untuk lembutkan dan buang warna kuningnya)
Beberapa keping kek ikan (fish cake) - dihiris nipis
Beberapa biji bebola ikan (fish ball) - dipotong dua atau tiga
15 biji cili api (dihiris kasar)
5 ulas bawang putih diketuk/dicincang
isi ayam atau daging di potong kecil
setengah cawan sayur campur (mixed vege)
2 biji telur ayam
minyak untuk menumis
garam secukup rasa
seketul kiub serbuk pati ayam
2 biji tomato (potong baji)

Cara-caranya :

Panaskan minyak dalam kuali.
Bila minyak panas, tumiskan cili api dan bawang putih hingga naik bau.
Masukkan kek ikan, bebola ikan dan ayam/daging.
Masukkan sedikit air.
Bila sudah menggelegak, masukkan sayur campur.
Masukkan juga sedikit garam dan kiub pati ayam.
Kacau sebati.
Masukkan mee kuning.
Gaul sekata dan pecahkan telur ke dalamnya.
Kaupbalikkan dan sesuaikan rasanya.
Masukkan tomato dan tutup api.

Siap untuk dihidang dan dimakan.

nota : bila makcik tiada ilham untuk menulis, apa yang makcik masak pun bolehlah dijadikan 'bahan' untuk hidupkan blog ini...

Isnin, 7 Ogos 2017

Bersarapan semahunya dengan RM5 di Naan Corner...


Ahad = 6/8/2017, pakcik ajak makcik bersarapan di
Naan Corner, Jalan Kerja Air Lama, Ampang.  Katanya
dengan bayaran RM5 seorang, kita boleh makan apa sahaja.
Ala-ala buffet di hotel.

Bila sampai (Alhamdulillah, mudah pula dapat tempat letak
kereta), suasana dalam restoran ini memang penuh dengan
pelanggan.  Sekali lagi syukur kerana kami masih dapat
tempat duduk untuk berdua.


Sarapan dengan harga RM5.00 ini hanya ada
pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum ( 7 hingga 11.30 pagi).
Untuk makan tengahari dengan harga hanya RM9.00
pula adalah pada hari Isnin hingga Jumaat (11 pagi
hingga 3 petang).  Sebanyak 25 jenis hidangan disediakan.
Minuman percuma juga disediakan.  Walaubagaimanapun,
kita boleh juga pesan minuman lain dengan bayaran dikenakan
.  

Terletak berhadapan dengan Me'nate Steak House.

Antara pilihan sarapan yang disediakan...

...pilihlah ikut selera sendiri...

...tapi ambillah untuk dimakan bukan untuk dibazirkan.

Untuk makcik, makan sebanyak ini pun sudah cukup
mengenyangkan.  Alhamdulillah.  Ada nasi lemak juga tau.
Rendang ayam pun ada.  Tapi makcik tak ambil semua itu.

Suami isteri yang suka keluar berdua...

Hehehe...tinggal tulang ayam saja ya?

Macam mana pakcik ambil gambar makcik
sampai muka nampak lonjong semacam ni? 😃

Bersusun kereta di luar.

RM16.00 itu sebab pakcik minum teh tarik
dan makcik minum milo panas.  Masa pada resit
ini tak betul.  Makcik dan pakcik bayar sebelum
jam 9.00 pagi.  Nama restoran pun dah jadi 'Noon'.

Kalau tak tahu hendak pergi, waze
sahaja seperti di atas...

Jumaat, 4 Ogos 2017

Baru Tingkatan 1 sudah berani whatsapp 'bakal ibu mertua'...

Zaman makcik dulu, umur 13 tahun tu pandai jugalah main tulis-tulis surat sesama kawan (perempuan sahaja).  Jangan sebut pasal kawan lelaki, nanti memang dapat jelingan maut atau cubitan semut api dari mak!





Sumber :  OH BULAN

Khamis, 3 Ogos 2017

Harga minyak naik lagi...


...tapi aku apa peduli
masih lagi aku boleh makan nasi
walaupun terpaksa beli beras ditimbang kati
janji perut terus berisi

esok-esok ia akan turun kembali
jadi untuk apa bersusah hati
ikut sahaja apa kata menteri
'ukur baju di badan sendiri'

kalau tak mampu jangan berlagak
berbelanja biar beragak-agak
pipit tidak akan jadi gagak
makan sedikit biar senang berak

susah kita orang tak tahu
menangislah kita walau tidak berlagu
bukan tidak terasa diri tertipu
namun merungut sahajalah yang kita mampu!


Rabu, 2 Ogos 2017

Orang kata wajah kami sama...

Sama ke?

Sama sepet, sama hidung kembang, sama beruban...

Hujung tahun ini, InsyaAllah kami akan menyambut ulangtahun pernikahan yang ke 31.  Sudah lebih dari separuh usia kami hidup bersama.

Laut yang mana tidak berombak.  Bumi yang mana tak ditimpa hujan.  Begitulah kehidupan alam berumahtangga.  Bahagia macam mana pun yang dipamerkan, pasti ada rasa tersinggung dan tidak 'sama angin'.  Sedangkan lidah lagi tergigit.  Walaubagaimanapun, sebaik-baiknya yang tidak elok itu lebih baik kita simpan rapat-rapat.  Diheboh-hebohkan mungkin lebih banyak buruk dari baiknya.  Orang luar akan sedap bercerita dan mentafsir mahu pun menaksir.  Yang menanggungnya akan berbalik kepada diri kita sendiri.  Ibarat luka yang besar, biarpun sudah kering, parutnya akan tetap ada.

Entah apa pula yang makcik merepek ini!  Tidak ada apa-apa pun. Cuma kebelakangan ini, isu-isu rumahtangga seakan-akan seronok dibuka untuk dibicara.  Bagaikan sangat penting kisah peribadi dijaja hingga menenggelamkan masalah negara.

Kalau zaman makcik muda dulu, ibubapa akan bagi panduan agar 'kisah dalam kain' hendaklah disimpan. Selagi aib boleh dijaga, janganlah ianya dibuka.  Biar orang berbicara, kita diamkan sahaja. Tak perlu sehingga membuat sidang media seolah-olah bangga dengan apa yang terjadi.  Maaf mudah diucap, tapi kesannya bukan bagai menghilangkan sisa kicap!

Oh ya... pakcik di atas itu ke Sabah hari ini.  InsyaAllah, Jumaat nanti baru dia balik.  Ada urusan mesyuarat di sana.  Harapnya, mesyuarat berlangsung dengan lancar dan tidak pula diadakan di bilik karaoke!

Selasa, 1 Ogos 2017

Selamat datang bulan kelahiran...

Ogos 

bulan aku dilahirkan

mungkinkah akan menjadi bulan aku dikapankan?

Tiada siapa yang tahu

kecuali DIA

hanya aku berdoa kepadaNya :

kurniakan segala kebaikan buatku
juga buat keluargaku 
apa jua yang membelenggu
biarlah terlerai punca satu persatu

hatiku kadangkala sedingin salju
membeku
sampai aku jadi keliru
hendak melangkah tak jumpa pintu
buntu

Allah

tolonglah aku
permudahkanlah sisa-sisa hidupku.

Bagai buih ditiup angin, megahnya hanya seketika