Kawan-kawan kakcik

Khamis, 31 Januari 2019

Gambar 2009...

Sana sini para pelayar internet berkongsi gambar #tenyearschallenge, maka makcik pun  godek-godeklah album cari gambar tahun 2009.  Makcik jumpa gambar ini :
...kalau ikut bulan, belumlah lagi 10 tahun pun.  Tapi kenapa muka pakcik tu masam je macam marah kat makcik pulak? 😃😃

Yang ketara berbeza :

Chef Min dulu...

...dan Chef Min sekarang.

Budak Sepet dulu...


...dan Budak Sepet sekarang.

Isnin, 14 Januari 2019

Pes sambal tumis Kakcik Seroja...

Alhamdulillah.  Terdapat permintaan untuk sambal ini yang asalnya dibuat untuk dimakan dengan lontong.

Sebekas dengan berat lebih kurang  485 gram (mungkin lebih), makcik jual dengan harga RM15.00.  Sambal ini di masak lama dengan bahan-bahannya : cili kering, cili merah, cili api, bawang besar, bawang putih, garam, gula, jus asam jawa dan minyak masak.

Makcik hanya buat sambal ini bila ada permintaan.  Sekali masak, mungkin hanya untuk 3 atau 4 bekas sahaja.  Sekiranya ada yang ingin membuat tempahan, kenalah tempah dua atau tiga hari lebih awal dari tarikh dikehendaki supaya senang makcik menyediakannya...



Pes sambal ini boleh digunakan untuk masak ayam sambal atau apa-apa sahaja yang disukai.  Boleh juga digunakan sebagai rencah nasi goreng dan yang sewaktu dengannya...😀😀😀

Jumaat, 11 Januari 2019

Antara yang kami jual...

Alhamdulillah... untuk permulaan tahun 2019, agak banyak juga tempahan yang diterima.  Cuma, disebabkan #chefmin telah masuk kelas semula untuk pengajian peringkat ijazahnya, tempahan hanya boleh diterima pada hari-hari dia tiada kelas iaitu Selasa, Sabtu dan Ahad.

Ayam Korea

Antara tempahan - set nasi dengan ayam korea, set nasi dengan ayam buttermilk, bebola donut coklat dan karamel


Set nasi dengan ayam korea

Agak ramai juga yang menggemari bebola donut dengan karamel

Set lontong juga masih ada permintaan, tetapi untuk tahun 2019 harganya sudah naik ke RM7.00 sebekas

Tempahan pelanggan siap untuk dihantar

Set nasi dengan ayam buttermilk

Isnin, 7 Januari 2019

Harapan 2019...

...sekejapan sudah seminggu
apakah ada yang masih tertunggu-tunggu
tentang janji di tahun terdahulu
hingga kini tak nampak bayang apa lagi bau

bagi diriku...
cukuplah segala airmata yang tertumpah dahulu
semoga tiada lagi ujian yang tak terpikul dek bahuku
pedih dan perit hanya Allah yang tahu

ingin sekali keluar dari sarang
biarlah dekat kalau tak dapat ke seberang
melihat-lihat ke tempat orang
meredakan sedikit tekanan yang bersarang

kalaulah ada izin Ilahi
ingin sekali lagi ke Tanah Suci
mengerjakan Umrah kalau tak dapat Haji
semoga tertunai di usia yang berbaki

kedut yang ketara tanda diri dimamah usia

Khamis, 3 Januari 2019

Tips?... Sabar dan istighfar...

Terima kasih Wahida.  Mak nak jawab pun tak berapa pandai. 😀


Walaupun sudah 32 tahun berumahtangga, jujurnya makcik rasa tidak layak untuk memberikan sebarang tips atau petua alam rumahtangga.

Lain orang, lain cabaran dan ujian yang dihadapi.  Sama ada dari segi kesetiaan, kewangan, kesihatan atau lain-lain hal (termasuk campur tangan dari keluarga pasangan).

Sepanjang berumahtangga, tidak semuanya manis belaka.  Namun sikap saling jujur dan mempercayai sesama sendiri sangat penting diamalkan.  Berkata benar biar pun pahit.

Sabar memang penting.  Baik diri kita mahu pun pasangan pastinya tidak sempurna.  Kekurangan mesti ada di sebalik kelebihan yang mungkin kita bangga-banggakan.  Bila datang hasutan sama ada dari luar atau bisikan hati sendiri, istighfarlah.  Saat marah, jangan  berkata-kata.  Diam hingga suasana reda.  Bila suasana sudah tenteram, barulah perlahan-lahan curahkan perasaan. 

Bagi makcik dan suami, duit sama ada gaji atau pendapatan lain adalah untuk dikongsi.  Tiada istilah 'duit kau duit aku, duit aku duit aku'.   Bahkan pakcik sepenuhnya percaya kepada makcik menguruskan pendapatannya.  Jangan tanya dia tentang perbankan atas talian atau berapa baki yang tinggal dalam akaunnya.  Semuanya dia serahkan kepada makcik untuk uruskan.  Sementelah kami sama-sama pernah susah dengan gaji yang rendah, tiada pula makcik hendak mengambil kesempatan atas kepercayaannya.

Ujian juga kadangkala datang dari anak-anak.  Kalau seorang sudah marah kepada anak, jangan yang seorang lagi hendak menokok-tambah.  Jadilah air yang boleh memadamkan api.  Jangan jadi angin yang memarakkan kebakaran.  

Kalau hendak ditulis memang banyak.  Tapi cukuplah satu dua yang makcik kongsikan berdasarkan dari apa yang makcik lalui sendiri... 😏😏

Rabu, 2 Januari 2019

WW : Mee Rebus Terengganu dan Mee Rebus Utara...

Mulanya pesan nasi ayam, habis.  Pesan mee kari pun habis.  Pesanlah mee rebus.  Sekali datang begini, terperanjat makcik! Rupa-rupanya mee rebus Terengganu memang macam ini.  (Lokasi : Jerteh, Terengganu)

Makcik biasa makan mee rebus yang begini.  (Lokasi : Alor Setar)