Kawan-kawan kakcik

Isnin, 31 Julai 2017

Jom ke #bazaarpaknil di Kompleks PKNS Shah Alam...

Hai Paknil...

Darwish Rich Design ada membuka booth di sini...

...berkongsi dengan Sweetheart Style yang menjual pelbagai
koleksi fesyen kasut kanak-kanak lelaki dan perempuan...

Pelbagai pilihan kurta kana-kanak lelaki keluaran DRD dijual
di sini.  Datanglah buat pilihan.  Boleh dipakai dalam apa-apa
majlis.  Hari Raya Haji pun akan menjelang, bolehlah beli
untuk anak cucu yang tersayang...

InsyaAllah, booth ini akan berada di sini sehingga 30/08/2017

Jumaat, 28 Julai 2017

Dia sudah kian dewasa...

Sudah lebih tinggi dari ibunya
Beberapa tahun lalu dia 'bulat' dan montel

Tapi bagi seorang ibu,  sedewasa mana anaknya, mereka tak pernah lepas dari diperhatikan.  Anak-anak mungkin rimas dan lemas, namun isi hati ibu adakah mereka tahu?


Khamis, 27 Julai 2017

66 juta kanak-kanak ke sekolah dalam keadaan lapar...

...di seluruh dunia.  Sedangkan di Malaysia sahaja 3 juta kilogram makanan dibuang setiap hari.  Itulah iklan yang aku tonton di kaca tv.

Melihatkan sikap rakyat Malaysia yang sangat gemar betpesta makanan, angka pembaziran itu bukanlah sesuatu yang mustahil.

Cuba pergi ke majlis-majlis yang menghidangkan makanan secara buffet.  Mesti ada orang yang mengambil makanan seolah-olah sudah lama tak jumpa makanan. Atau dalam hati berbisik, ambil apa yang ada.  Pedulikan Mereka yang di belakang. Bawa ke meja, kais-kais makanan di pinggan sambil mencebik-cebik seolah tidak kena dengan selera dan tinggalkan begitu sahaja...

Tiada keinsafan.  Tiada sesalan. Tak terfikir pun ada orang lain sedang kelaparan...

Masih di wad.  Bersyukur masih boleh mengisi perut.

Selasa, 25 Julai 2017

Syawal telah berlalu...

Ramadan 29 hari
Syawal 30 hari
...dannnnn
...hari raya masihkah berlanjut-lanjut hari???

Bagaimana dengan diriku?
apakah Ramadan memberi keinsafan buatku?
adakah Syawal membawa pengertian buatku?

atau...

aku tetap aku yang dulu
tidak berubah melainkan usia kian bertambah
Ramadan pun aku bermewah-mewah
mana mungkin menyelami kehidupan mereka yang susah

Syawal pula bulan berpesta
lapar dahaga sudah tidak terasa
makan minum sepanjang masa
ketenangan Ramadan sudah dilupa

Hari demi hari kian singkat usiaku
daun berguguran satu persatu
khabar dari teman-teman pun begitu
seorang demi seorang pergi mendahuluiku

Kiranya aku masih juga berleka-leka
bagaikan saat buatku tak akan tiba
sedangkan malaikat maut tak pernah alpa
menjengukku saban ketika

Mudah-mudahan di waktu yang masih bersisa
sempat untukku berbuat jasa
menambah pahala mengurangkan dosa
kerana waktu untuk pergi tak dapat dijangka...

Jumaat, 21 Julai 2017

Bila sakit...

...terasa usia yang sedia tua ini
semakin bertambah tua dengan cepatnya

tidak boleh lagi berjalan laju
apatah lagi untuk berlari
aduhai lututku
tiada peluangkah untuk pulih kembali

sudah pelbagai prosedur dilalui
bukan sedikit 'duit syarikat' terbang pergi
kalaulah menggunakan duit sendiri
memang tak berubat sampai mati...

Maka benarlah pesan Baginda Rasulullah SAW :

rebutlah olehmu 5 perkara
sebelum datangnya 5 perkara :

MUDA SEBELUM TUA
SIHAT SEBELUM SAKIT
KAYA SEBELUM MISKIN
MASA LAPANG SEBELUM MASA SEMPIT
HIDUP SEBELUM MATI

Syukurlah kerana setakat hari ini, En Suami
'belum malu' untuk membawaku jalan bersama...

Khamis, 20 Julai 2017

Jalan-jalan naik MRT...

Laluan MRT Sg Buloh - Kajang (infografik BERNAMA)

Rabu (19/07/2017), En Suami mengambil cuti kecemasan kerana ada beberapa urusan yang perlu diselesaikannya.  Bila urusannya selesai, dia mengajak aku menaiki MRT laluan Taman Pertama (Cheras) ke Kajang.  Lagipun sekarang ada tambang promosi (diskaun 50% sehingga 31/08/2017).

Kami berdua memang jarang sangat menaiki pengangkutan awam. Bila sesekali ingin menggunakannya, memaglah jadi macam rusa masuk kampung.  Dengan cuaca yang agak panas berbahang, aku mula tidak selesa dengan peluh yang mula menitik-nitik keluar dari tubuhku,  Belum lagi bau badan yang aku rasakan akan membuat mereka yang berdekatan denganku jadi tidak selesa.

Jomlah kita tengok macam mana caranya hendak menggunakan perkhidmatan MRT ini.  

Mula-mula makcik ambil gambar ini dulu.

Berderet mesin untuk membeli token disediakan.  Jika
menggunakan kad Touch n Go, tambangnya lebih murah
dari menggunakan wang tunai.
Petugas berbaju merah ini sedaya mungkin akan memberi
penerangan dan membantu kita.  Biasalah pakcik tu, selalu
banyak tanya.  Untuk warga emas yang tidak tahu menggunakan
mesin ini, ada disediakan kaunter untuk membeli token.
Makcik ini sedang menanti ketibaan MRT yang seterusnya.
Waktu menunggu memang tidak lama.  Lebihkurang 6 minit sahaja.
Suami isteri yang gembira.  Ramai juga penumpang dalam MRT
ini.  Suhu di dalamnya dingin dan menyamankan.  Serta merta
aku rasa selesa.  Benda baru, bersihnya memang tidak dapat
disangkal.  Mudah-mudahan akan terus bersih selamanya.
Wahai rakyat Malaysia, hargailah kemudahan yang disediakan. 
Keadaan dalam tren.  Lurus dari hujung ke hujung tanpa sekatan. Tren MRT tidak mempunyai pemandu.  Pergerakannya dikawal
sepenuhnya oleh sistem komputer yang berpusat di Sg. Buloh.
Bagi peluang pakcik bergaya...

...dan makcik pun pakcik suruh
berdiri di situ...
Sempatlah menikmati pemandangan sepanjang perjalanan
selama 20 minit sehala itu.


Terima kasih pakcik kerana sudi bawa makcik yang sakit lutut ini
berjalan-jalan seharian suntuk.  Dari pagi ke malam, makcik ikut
pakcik menyelsaikan urusannya dan jalan-jalan bersama-sama.


nota kaki :  tangga dan tangga elektrik (escalator) menuju ke stesyen MRT ini agak tinggi, tapi ada juga lif disediakan...

Isnin, 17 Julai 2017

Bila aku menulis...

...maknanya aku suka hendak menulis
aku akan menulis apa sahaja yang aku suka
walaupun kononnya aku seorang blogger
jarang sangat tulisanku adalah tulisan yang ada 'imbuhan'nya

bila aku pergi makan
mungkin aku akan tulis tentang apa yang aku makan
bila aku pergi berjalan
akan kurakamkan gambaran perjalanan

semuanya ikut apa yang aku rasa
semuanya aku buat secara suka-suka
bukan semua tulisanku ada yang membaca
kadangkala aku rasa berfaedah
tapi bagi orang lain ia mungkin semata-mata sampah

apa yang aku kongsikan
tidak minta dipuji
mungkin memberi keuntungan kepada peniaga
bila kukongsikan tentang jualan mereka
tapi banyaknya mereka pun tak tahu
bahawa sedikit sebanyak aku telah membantu
bila Allah beri mereka rezeki
secara tak langsung aku ikut suka hati

aku tak harapkan apa-apa
jauh sekali meminta makan percuma
namun bila ada yang seolah tidak berpuas hati
tentang iklan percuma yang aku beri
apa lagi hendak kukatakan
walaupun aku menulis bukan untuk mencari makan...


Khamis, 13 Julai 2017

Jangan kata anak kita 'kurang ajar'...

Walaupun mungkin maksud nya untuk menunjukkan betapa biadapnya anak kita, secara tak langsung (sebenarnya secara langsung) kita telah menghukum diri kita sendiri!  

Kepada siapa hendak kita tujukan maksud KURANG AJAR itu? Tidakkah sebenarnya kita yang KURANG MENGAJAR anak kita itu.  Disebabkan itulah ia disebut 'kurang ajar'.  Lain maksudnya bila kita kata TAK DENGAR AJAR.  Maksudnya kita sudah puas mengajar (bukan kurang ajar) anak kita. Malangnya mereka tidak mahu mengikut apa yang kita ajarkan.

Kadangkala tanpa sedar, bila kita marah kita akan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya kepada anak (darah daging) kita sendiri.  Mulalah kita cuba membandingkan anak kita dengan anak orang lain yang kononnya jauh lebih baik dari anak kita.  Pernahkah kita bertanya kepada ibu bapa yang anaknya kita puji puja itu bagaimana sebenarnya perangai atau tingkah laku anak mereka?  Benarkah anak-anak mereka begitu baik?  

Mendengar keluhan ibu bapa lain tentang perangai sebenar anak mereka, sebenarnya tidak jauh pun berbeza dengan apa yang kita hadapi dengan anak-anak kita.  Kadangkala ada anak-anak yang tidak berselindung tentang perangai perengus, baran dan tunjuk pandai mereka.  Ada pula anak-anak yang nampak begitu baik di hadapan ibu bapa dan keluarga, sebaliknya di luar merekalah 'Sarip Dol si samseng Kampung Dusun'!

Ada juga ibu bapa yang hanya mahu bercerita yang baik-baik sahaja tentang anak mereka (siapalah yang mahu membuka pekung di dada, kan?) walaupun sebenarnya mereka tahu warna sebenar anak mereka.  Tidak mengapa.  Kata-kata ibu bapa adalah doa. Lebih-lebih lagi kata-kata seorang ibu. Berkatalah yang baik-baik tentang anak-anak kita.  Jangan sesekali sebut 'kurang ajar'. 

Mudah-mudahan kata-kata baik yang berterusan diiring doa senyap-senyap kepada Ilahi, anak-anak kita akan lembut juga hatinya.  Ia tidak akan memakan masa yang sekejap.  Kita bukan Wali jauh sekali Nabi yang sentiasa suci.  Kita manusia biasa yang tak lekang dengan dosa.  Berdoa dan terus berdoa.  Kata juga yang baik-baik sahaja.  Allah tidak akan terlepas dari memandang dan mendengar. Doakanlah agar anak-anak menjadi anak-anak yang MENDENGAR AJAR dan kita tidak menjadi ibu bapa yang KURANG AJAR...

#takfahamtakapa
#sekadarluahanhati

Rabu, 12 Julai 2017

Suara hati yang tidak tersuarakan...

...di hati seseorang itu, apatah lagi hati seorang ibu tua seperti aku, sebenarnya banyak (malahan kadangkala terlalu banyak) benda atau perkara yang ingin disuarakan...

Namun, segalanya tidak mudah.  Hendak membuka mulut dan melontarkan suara pun terpaksa berfikir beribu kali, ditimbangkan baik buruk akibat kata-kata yang bakal keluar, akhirnya DIAM bersama rasa yang terpendam.

Menjaga perasaan orang lain hingga mengenepikan perasaan sendiri sudah seperti menjadi makanan ruji.  Akibatnya tidak juga selalu baik.  Kerana terlalu 'memikirkan', akhirnya memakan diri sendiri. Menanggung rasa marah, kesal dan sebal yang tidak terluah membuahkan rasa sakit yang akhirnya terzahir menjadi penyakit yang berulang-ulang.  Tekanan darah naik.  Serangan lelah dan semput tiba tanpa diundang.

Siapa yang peduli?  Sakit tanggunglah sendiri.

Ada yang cuba membaca isi hati?  Tiada.  Malahan tidak pun cuba untuk mengerti.

Meniti hari-hari yang masih berbaki, alangkah bagusnya jika membawa diri mencari redha Ilahi.  Oh...waktu datang dan pergi. Di celah-celah saat yang berlari, kita perlu menangkap waktu sendiri kerana ia tidak menanti.  Kesibukan datang walau tidak dicari hingga kita alpa dan lalai sendiri.  Lalu waktu berlalu dan tak pernah menanti.  Terkapai-kapai akhirnya sia-sia hanyut menuju mati...

Khamis, 6 Julai 2017

Siapakah yang sebenarnya melacurkan Bahasa Melayu?...

... tidak lain melainkan bangsa Melayu sendiri!

Bangsa lain, sudah tentulah bukan bahasa mereka, jadi terpulang kepada mereka bagaimana menuturkan Bahasa Melayu. Begitupun, sebahagian bangsa 'lain' itu, begitu bersungguh-sungguh untuk membetulkan sebutan dan susunan ayat mereka ketika bertutur mahupun menulis Bahasa Melayu.

Bangsa Melayu?  Ah...mungkin terasa tidak cerdik kalau bertutur tanpa mencampuradukkan Bahasa  Melayu dengan sepatah dua bahasa lain terutamanya Bahasa Inggeris.  Setidak-tidaknya, hendak juga sebut perkataan I see, at least, you know, by the way walaupun tak kena gaya dan tempat.

Tonton sahaja siaran di televisyen.  Tak kisahlah siaran berita yang ada temubual ke, (siaran drama merapu tak payah sebutlah), siaran dokumentari ke, pasti bahasa rojak sangat selesa dituturkan.  Dari marhaen ke menteri, semuanya sama.  Siaran berbahasa Melayu, diacarakan oleh pengacara Melayu, ditonton oleh penonton Melayu, tapi selesa menggunakan Bahasa Inggeris atau bahasa rojak.  Apakah matlamatnya?

Marahkan anak-anak menggunakan bahasa 'entah apa-apa' dengan ejaan 'menyakitkan jiwa', sebenarnya hendak salahkan siapa?.  Bila yang sudah tidak remaja pun 'seronok' mengikut rentak anak-anak, adakah patut cikgu di sekolah disalahkan bila keputusan peperiksaan Bahasa Melayu anak-anak jatuh merudum?

Sekarang sibuk dilaungkan tentang MENDAULATKAN BAHASA MELAYU.  Satu ketika dulu, Bahasa Melayu disebut dengan sebutan BAKU - bagaimana dieja, begitu disebut.  Contohnya : BAGAIMANA tidak disebut BAGAIMANE.  Tapi kerana pertelingkahan politik, semuanya ditidakkan dan dikembalikanlah kepada sebutan lama.  Itu masih tidak mengapa, kerana kita sudah faham dan sudah selesa. Masih lagi menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.

Tapi, bila Bahasa Melayu sedikit demi sedikit dilacurkan di Tanah Melayu, bayangkan hasil yang lahir dari pelacuran itu.  Sudah tidak asing lagi susunan ayat : 'you knowww, I bukan tak nak pergi. Tapi kan, my mother tu kolotlah.  Semua yang I buat tak betul. At least, bagilah I keluar dengan kawan-kawan. But I tak kisah, tahulah macam mana I nak go out nanti...' 

Bila anak-anak yang masih belajar sudah biasa menggunakan ayat begini, maka terbawa-bawalah mereka sewaktu mengarang di sekolah.  Agaknya, bagaimanakah Guru Bahasa akan memberikan markah?

Tepuk dada tanya jiwa!

Artikel berkaitan : DI SINI

Rabu, 5 Julai 2017

Apalah guna berwajah cantik...

Ilham untuk catatan (pantun) kali ini di dapati dari : HARIAN METRO ONLINE


Apalah guna berkain batik
Jika tidak diikat kemas
Apalah guna berwajah cantik
Jika tidak pandai mengemas

Apalah guna tanaman berjajar
Jika tidak menghasilkan buah
Apalah guna pandai belajar
Jika rumah bersepah-sepah

Apalah guna berbaju kelawar
Jika tidak berjahit di rusuk
Apalah guna cantik di luar
Jika di dalam kotor dan busuk

Apalah guna mengutip cendawan
Jika hanya letak di pinggir
Apalah guna bersikap tuan
Jika sendiri malas berfikir.



Selasa, 4 Julai 2017

Ibarat rumah lama dicat baru...

'Ibarat rumah lama dicat baru, nampak cantiklah walaupun sebenarnya dah reput',  itulah kata-kata En Suami (yang disambut dengan gelak ketawa kerana tahu dan faham sikapnya yang suka bergurau) bila ada yang mengatakan wajahku nampak muda dan berbeza selepas disolek oleh anak saudaraku (perempuan berusia 19 tahun).

Wajahku yang hanya beroleskan
sedikit gincu bibir

Wajahku di 1 Syawal selepas
disolek oleh anak saudaraku

8 Syawal - juga selepas disolek.  Nampaklah muda sedikit, kan?
Tidaklah seperti selalunya orang cakap aku nampak lebih tua
dari En Suami walaupun dia lebih tua dariku (setahun setengah
saja pun bezanya...hahaha)

Setiap yang baru pastinya akan menjadi lama seiring anjakan masa. Disolek bagaimanapun, kematian tetap akan mendekati kita. Jangan terpedaya dengan hati dan nafsu yang sentiasa ingin muda, sedangkan masa untuk kita setiap detik kian singkat langkah ke sana...

Isnin, 3 Julai 2017

Cerita Hari Raya...

Seperti beberapa tahun kebelakangan ini, hari raya tahun ini juga tiada apa yang menarik hendak diceritakan...

Kampung masih ada , namun bila kedua orang tua sudah kembali kepada Pencipta dan saudara-mara yang rapat juga hampir semuanya sudah mengikut jejak mereka, apalah lagi kegembiraan yang ada untuk kembali ke sana.

Duit raya - buat pertama kalinya untuk tahun ini aku tidak menyediakan walau seringgit pun 'duit raya'.  Tiada untuk anak-anak saudara mahu pun untuk cucu yang dua orang cuma.  

Pakaian raya - untuk dua orang anak bujangku yang masih belajar, aku dan suami sepakat memperuntukkan sejumlah wang untuk mereka masing-masing membeli pakaian mengikut citarasa mereka. Untuk kami sendiri, memang tiada sehelai pun yang kami beli. Syukurlah Along dan Kaklong sudi membelikan kami pakaian baharu.  Alhamdulillah.

Hari raya - 1 Syawal, seperti biasa, adik-adikku dan keluarga mereka berkumpul di rumahku.  Kami tiada rancangan apa-apa. Aku masak mee kari.  Anak ketigaku buat kuah lodeh untuk dimakan dengan nasi impit.  Adikku dan adik iparku buat daging masak hitam.  Ada juga lemang yang dibeli.  Sedikit biskut yang tetap dalam bekas sebagaimana waktu dibeli (tidak disalin ke dalam bekas-bekas comel).  Kami gembira dengan cara kami sendiri.

2 Syawal - aku dan suami menghantar adik lelakiku dan keluarganya ke KLIA2 pada jam 4.00 pagi.  Mereka sekeluarga akan balik untuk berhariraya dengan keluarga adik iparku di Kuching.  Jam 8.00 pagi, dengan  menggunakan kereta adik iparku yang telah pulang ke Kuching itu kami sekeluarga memulakan perjalanan ke Utara.  Along bersama isteri dan dua anaknya menaiki kereta mereka sendiri.  Adik perempuanku sekeluarga menanti kami di pertengahan perjalanan.

Bergerak dengan tiga kereta, persinggahan pertama kami di Sekinchan.  Singgah di rumah kawan Kaklong (Huda), kami dihidangkan dengan set nasi lemak yang sedap.  Anak-anak remaja sibuk ingin bergambar di tengah sawah dengan pemandangan yang indah.

Seterusnya kami ke Sabak Bernam.  Berhariraya di rumah ibu mertua adik bongsuku. Makan dan minum lagi.  Selepas menunaikan kewajipan, kami bergerak pula ke Teluk Intan.  Kali ini disertai adik bongsuku dan keluarganya. Singgah menyantui ibu mertuaku. Kami tidak berlama-lama di rumah ibu mertua kerana rumahnya yang tidak begitu luas sudah penuh dengan anak menantu dan cucu-cucu yang lain.  Yang penting, membawa kegembiraan di hatinya.

Dari Teluk Intan, kami ke Ipoh pula.  Jalan sedikit sesak dan perut yang sudah di isi kembali lapar.  Sampai sahaja di rumah bekas adik iparku di Ipoh, kami makan bagaikan orang yang sudah berbulan kelaparan.  Hidangan (walau hanya nasi impin dan lemang berserta rendang dan kuah kacang) ditambah berulang kali. Seronoknya berhariraya...hahaha...

Bergerak balik dari Ipoh ke Kuala Lumpur pada jam 11.00 malam. Lebuhraya agak sesak dan di satu dua tempat kenderaan bergerak selaju 10 ke  30km/jam sahaja.  Tiba di rumah pada jam 3.00 pagi bersama badan yang lesu tapi hati gembira.

Hari-hari Syawal yang berikutnya, tiada apa-apa aktiviti pun walaupun anak-anak dan suami masih bercuti.  Cuma pada 3 Syawal, aku dan suami bersama dua anak bujang dan seorang anak saudara ke Kuala Selangor.  memberi peluang kepada bujang-bujang itu bergambar di Bukit Malawati dan terus ke Sg. Besar, singgah di rumah blogger CikPuanLawa.

Pada Ahad (8 Syawal = 2 Julai), kami sekeluarga ke Putrajaya. memenuhi keinginan anak-anak untuk bergambar di sana. Sayangnya, aku agak terkilan kerana anak keduaku tidak sempat menyertai sessi bergambar kami pada kali ini...






Mak dan ayah dah 'tenggelam'




Keluarga adik perempuanku turut menyertai kami

Itulah sahaja ceritanya.  Pasti tidak semeriah cerita hari raya orang lain tapi gembira itu datang dengan cara bukan direkacipta.  Hanya hati sendiri yang mengiya atau menidakkannya...