Kawan-kawan kakcik

Sabtu, 31 Ogos 2019

Ibu Mertuaku sudah tiada...

31/08/2018 - bertepatan dengan sambutan hari kemerdekaan Malaysia yang ke 62, ibu mertuaku kembali kepada Penciptanya.

Allahhumaghfirlaha warhamha wa'afihi wa'fu'anha.


Selasa, 27 Ogos 2019

Ibu Mertuaku...

Usianya kini (mengikut kad pengenalan) sudah 91 tahun.  Tapi mak kata, usianya sudah 100 tahun.  Mungkin juga, sebab dulu-dulu memang ada masalah lewat mendaftar kelahiran dan sebagainya, kan?

Badan mak sekarang memang sangat lemah.  Hanya tinggal kulit dan tulang.  Sedih sangat melihat keadaannya yang bagai tiba-tiba (dalam beberapa bulan kebelakangan ini) hilang upaya.  Bercakap juga sudah antara dengar dan tidak...

Dalam seminggu, sudah dua kali mak dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Ampang kerana mengadu sesak dada dan sukar bernafas.

22/08/2019 - 11.00 malam.  Selepas beberapa jam di wad kecemasan ini, mak di benarkan balik.

22/08/2019 - 11.00 malam.  Kali ini bila adik ipar menelefon sambil menangis memberitahu keadaan mak, aku dan suami bersama bangcik bergegas ke rumah adik ipar.  Sampai di sana, aku buat keputusan menelefon ambulans.  Anggota paramedik datang dan membuat rawatan ringkas sebelum membawa mak ke hospital dengan menaiki ambulans.

En Suami bersama mak
Mak ada 12 orang anak yang masih hidup semuanya - 6 lelaki dan 6 perempuan.  Buat masa ini, mak bergilir-gilir tinggal bersama keluarga dua orang anaknya - seorang anak lelaki dan anak perempuan bongsunya.  Aku tabik dengan keluarga kedua adik iparku itu.  Mereka menjaga mak dengan sangat baik dan penuh kasih.  Anak menantu yang lain akan menziarahi mak di dua buah rumah tersebut mengikut di mana mak berada.

Aku sendiri tidak mampu hendak menjaga mak kerana kesihatanku juga tidak begitu stabil.  Suami pula masih bekerja.  Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kedua keluarga adik iparku itu.  Semoga juga Allah mempermudahkan segalanya buat mak.  Aamiin...

Isnin, 26 Ogos 2019

Hadir ke majlis sambut menantu di rumah Makchaq...

Alhamdulillah, di hari ulangtahun kelahiranku yang ke 58 pada 24/8/2019, dapat memenuhi undangan blogger Datin Azilah (Makchaq) ke majlis menyambut menantu beliau yang ke 3.

Jam 12.00, aku dan suami ke Bandar Baru Bangi dengan niat untuk menunaikan solat Zohor di kediaman Dato' Dr Prof Abdullah Al Hadi dan Datin Aishah.  Kami sudah berjanji dengan Dato' dan Datin untuk membawa mereka bersama ke majlis Makchaq memandangkan Dato' dan Datin tidak boleh memandu dalam jarak yang agak jauh.

Kerana jalan yang sesak, kami tiba di kediaman Dato' sudah jampir waktu Zohor.   Ida Mahmud (dulu blognya Nyanyi Sunyi) juga ingin menumpang kami kerana beliau 'tak berani' memandu jauh.  Jadinya, kami pergi berlima.  

Sewaktu tiba, memang jemputan sudah ramai.  Ada orang-orang terkenal juga memandangkan Pakchaq adalah seseorang yang berkedudukan penting dalam sebuah jabatan kerajaan...

Kami tidaklah lama di sana dan aku juga tidak seperti biasa suka mengambil gambar sana sini.  Tidak banyak gambar yang ada.  Gambar di bawah ada yang aku ambil (dengan izin) dari facebook Hajjah Azwa Kamar...

Gambar dari Hjh Azwa

Gambar dari Hjh Azwa juga.  Bersama Makchaq.  Lihatlah betapa 'sihatnya' tubuh badanku yang menjadi-jadi naiknya selepas Hari Raya tempohari walaupun makan tak banyak mana...


Dalam perjalanan balik, Dato' beriya-iya juga hendak belanja makan sempena hari ulangtahun kelahiranku.  Kami singgah di Satay Hj Samuri dan akhirnya hanya air yang habis.  Satay dibungkus bawa balik.  Terima kasih Dato' dan Datin...

Selasa, 13 Ogos 2019

Apa itu SAKA?...

Allah SWT berfirman dalam Surah Al Jin Ayat 6 yang bermaksud...

“Dan bahawasanya ada beberapa lelaki dari kalangan manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dari kalangan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan…”

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang tanda-tanda seseorang yang mempunyai SAKA, boleh klik pautan ini :  https://mediamaklumat.com/tanda-tanda-seseorang-itu-mempunyai-saka-sila-ambil-tahu-untuk-pengetahuan/

Generasi sekarang mungkin kurang pengetahuan atau tidak tahu langsung tentang kewujudan SAKA ini.  Ia lebih diketahui sebagai 'sesuatu yang mendampingi seseorang' (seseorang ini biasanya orang paling tua dalam sesebuah keluarga) sehingga orang itu mungkin dilihat sangat kuat dan bertenaga walaupun sudah lanjut usia.  Satu hal lagi, SAKA biasanya dikaitkan bila seseorang itu sangat sukar hendak meninggal dunia walaupun sudah sekian lama terlantar (nak kata sakit, memang nampak sakit tapi kadangkala masih 'banyak kehendak' dan masih kuat makan).  
Bagi penjelasan lebih lanjut tentang SAKA - gejala, pewaris dan sebagainya klik PAUTAN INI.   Mungkin ia dapat memberikan gambaran tentang apa yang bermain di fikiran kita tentang SAKA.

Apa yang wujud di dunia ini semuanya dengan izin Allah.  Tiada yang lebih berkuasa dari DIA.  Dari DIA kita datang, kepadaNYA kita kembali.  Yang penting kena ada usaha dan yakin kepadaNYA.  Setiap yang bermula pasti akan berakhir.  Sekuat mana pun SAKA, pasti akan pergi kerana tiada yang kekal di dunia ini selain dari Maha Pencipta...

Gambar dari :  SINI



Sabtu, 10 Ogos 2019

Antara adab bila bersin...

Tapi ada juga orang yang bila bersin dia tak peduli tentang adab atau maruah.  Lepaskan sesuka hati walaupun di hadapan makanan yang sedang terhidang.

Kita mungkin tak boleh menahan bersin, tapi kita boleh mengawalnya.  Cepat tutup mulut dengan tangan sekiranya kita tidak bersedia membawa sesuatu seperti sapu tangan.

Jangan lepaskan bersin seolah-olah satu kebanggaan lebih-lebih lagi bila tiada yang menegur bahawa perbuatan itu adalah sesuatu yang kelihatan 'sangat kurang ajar'!

Entah berjangkit dari mana, makcik juga mula bersin dan membawa kepada sesak nafas sehingga ditahan di wad selama 3 hari 3 malam...

Khamis, 1 Ogos 2019

Entah apalah nasib mereka nanti...

Membaca tentang KES BUNUH ZULFARHAN,  tanpa sedar airmataku meleleh keluar.  Sedih membayangkan betapa siksanya keadaan Allahyarham sebelum nyawanya berpisah dari jasad 😢😢.

Walaubagaimanapun, ketika ini dengan izin Allah Yang Maha Penyayang, mudah-mudahan roh Allahyarham sedang berbahagia di syurgaNya. Salam takziah untuk ibu ayah dan adik-adik Allahyarham.  Hati siapa yang tidak sedih dan sakit bila kejadian begini menimpa.  Namun, waktu tidak akan berpatah kembali...

Kepada 'rakan-rakan' yang telah menganiaya Allahyarham, bagaimana pula masa depan kalian?  Hanya Allah juga Yang Maha Mengetahui.  Bagaimana pula perasaan ibu ayah dan keluarga kalian?  Agama dan negara kita ada undang-undang yang jelas.  Setiap kesalahan pasti ada hukumannya.  Tapi dek kerana kadangkala kita lebih suka menggunakan 'undang-undang sendiri', maka padahnya kenalah juga ditanggung sendiri.

Nasi yang menjadi bubur, InsyaAllah masih boleh dimakan.  Tapi nasi yang hangit dan rentung, dicampak ke tanah, ayam pun tak sudi hendak menjamah...

Damai dan tenanglah di sana, anakanda Zulfarhan Osman Zulkarnain.

...masih tertanya-tanya juga, apakah khabar dan nasib Acap (Mohammad Ashraf Hassan)...