Kawan-kawan kakcik
Sabtu, 30 Ogos 2014
Selamat tinggal dunia seorang penjawat awam...
Jumaat, 29 Ogos 2014
Hari ini hari terakhir aku di sini...
... bisikan di hati aku sendiri tidak mengerti...
- ada sayu
- ada lega
- ada rindu
- ada suka
Lebih tiga puluh dua tahun sebagai pekerja
akhirnya aku mengundur diri sebelum dipaksa bersara...
aku akan pergi
bukan meminta untuk ditangisi
kerana selama aku di sini
tiada sesuatu yang boleh dikatakan sebagai bakti
apa yang kubimbangi
andai ada hati yang tinggal pernah kusakiti
dan aku terus sombong dari meminta dimaafi
kawan
dari diri dan hatiku yang serba tidak sempurna ini
kumohon agar langkah terakhirku di sini
kalian iringi dengan doa murni
bersama kemaafan yang tulus dari hati
agar tiada dendam yang tersembunyi
sama-sama kita akhiri waktu yang bersisa ini
dalam rahmat dan kasih Ilahi...
Khamis, 28 Ogos 2014
Senarai blog akan dikemaskini...
InsyaAllah, minggu depan...
Ada sesiapa yang mahu blognya disenaraikan atau digugurkan?
Blog mestilah aktif ya...
Sekian, terima kasih. :)
Rabu, 27 Ogos 2014
Nombor akaun pencen tu nombor akaun pencen laaa...
Selasa, 26 Ogos 2014
Hanya 3 hari sahaja lagi...
Isnin, 25 Ogos 2014
Kursus di Hotel Impian Morib...
Ahad, 24 Ogos 2014
Selamat hari ulangtahun kelahiran, Juariah binti Mansor...
Kelapa di sebelahmu itu juga akan gugur - mungkin sebelum tuanya... |
Jumaat, 22 Ogos 2014
Kesedihan...
...ia tidak dirancang
Ia juga tidak bermusim
Ia adalah anugerah
untuk mengimbangi kegembiraan
yang kadangkala membuat kita hilang kawalan
Kesedihan...
tiada siapa pun sebenarnya menginginkan
namun ia adalah sebuah kemanisan
andai kita tahu hikmah di sebalik kejadian...
Khamis, 21 Ogos 2014
Bertudung kerana lelaki?...
Rabu, 20 Ogos 2014
Rahsiamu ceritakan padaku, rahsiaku jangan kau cuba-cuba hendak mengambil tahu...
...pernah tak anda berjumpa dengan kawan yang begitu?
Dia tidak akan senang duduk selagi tidak dapat mengorek rahsia atau cerita orang lain. Semua hal dia hendak tahu. Sampaikan anak kita dapat berapa A dalam peperiksaan pun mesti dia kena tahu dulu! Apatah lagi hal-hal lain seperti suami kita kerja apa, rumah kita harga berapa, kereta kita jenis apa...
Tapi sebaliknya, kisah dia sendiri ditutup rapat-rapat. Bukan orang hendak tahu sangat kisah peribadi dia, namun dek sikap kepoh dan suka ambil tahunya itu, menyebabkan orang akan tertanya-tanya juga.
Jangan, janganlah kita menjadi orang yang suka ambil tahu pada perkara yang tiada kena mengena dengan kerja mahupun kehidupan kita.
Jagalah keluarga dan rumahtangga kita sendiri. Banyak kekurangan yang boleh kita perbaiki. Hal peribadi dan rumahtangga kawan kita biarlah mereka uruskan sendiri. Kita pun bukan pakar dalam segala hal. Mungkin kita boleh menjadi angin yang meniupkan berita untuk orang lain tahu sama masalah kawan kita, tapi faedahnya apa?
Catatan ini adalah sebahagian daripada siri SEPANJANG JALAN KENANGAN...
Selasa, 19 Ogos 2014
Makin panjang waktu rehat, makin lewat mengerjakan solat...
...sudah lebih 30 tahun aku dalam perkhidmatan. Perkara ini aku lihat selama itu dan kadangkala aku terikut juga...
Waktu Zohor masuknya dalam waktu rehat. Kalau kita boleh bersegera dalam mengejar waktu makan - yang sering juga kita keluar setengah jam lebih awal dengan alasan takut makanan habis atau orang ramai berebut-rebut, mengapa pula kita jadi 'segan' (kalau di kampungku, segan juga bermakna malas) untuk solat di awal waktu?
Bila sudah mula masuk waktu kerja semula, barulah kita hendak menunaikan solat. Bila hari Jumaat, yang waktu rehatnya lebih panjang, sering juga kita solat di hujung waktu.
Cuba kalau tiba-tiba dikatakan ada mesyuarat sebaik waktu kerja bermula dan tidak boleh dilewatkan walau seminit pun, tahu pula kita bergegas untuk menunaikan solat kerana takut nanti dimarah oleh pegawai atasan.
Maknanya? Kita lebih takutkan hukuman dunia daripada takutkan pemilik dunia.
Marilah kita sama-sama berubah menjadi lebih takutkan Allah agar kehidupan kita lebih diberkatiNya...
Catatan ini adalah sebahagian daripada siri SEPANJANG JALAN KENANGAN...
Isnin, 18 Ogos 2014
Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya...
Jangan suka sangat menjadi penyampai berita...
...apatah lagi kalau ternyata berita yang kita sampaikan itu bersifat berat sebelah.
Kadangkala kita langsung tidak tahu sama ada berita itu benar atau tidak. Tetapi bila kita merasakan ianya (berita atau cerita itu) sangat bersesuaian dengan selera kita dan sangat kena dengan kehendak kita lalu kita pun menjadi angin. Kita tiup dan sebarkan berita itu ke mana sahaja ia boleh tiba.
Tiba-tiba kita menjadi lebih pakar dari mereka yang pakar. Kita menjadi lebih arif dan tahu dari mereka yang menjadi topik dan tajuk cerita kita.
Jangan, jangan begitu. Ingatlah bahawa Allah tidak akan mengampunkan dosa kita sesama manusia selagi kita tidak mendapat pengampunan dari manusia yang kita buka aib dan cela mereka.
Catatan ini adalah sebahagian daripada siri SEPANJANG JALAN KENANGAN...
Jumaat, 15 Ogos 2014
Jangan jalin hubungan cinta di pejabat...
Khamis, 14 Ogos 2014
Apa pun keadaannya, semoga Mazidul kembali pulih...
Baru jadi Ketua Kerani saja pun...
Ketua Kerani lebih popular dengan sebutan CC (Chief Clerk) di pejabat-pejabat Kerajaan Malaysia.
Lebih 30 tahun dulu, sewaktu aku baru masuk kerja, CC adalah individu yang dilihat sebagai 'sangat berkuasa' di dalam pejabat selepas pegawai-pegawai atasan yang lain.
Kebanyakan kakitangan sangat 'takut' dengan CC. Perlu diingatkan bahawa takut dan hormat adalah dua perkara yang berbeza. Ketakutan akan membawa kepada kata-kata yang kurang enak dan umpatan-umpatan di belakang.
Siapa yang 'dapat rapat' seperti boleh bergurau senda atau makan bersama dengan CC, akan ada satu riak bangga 'yang entah apa-apa'!
Zaman kian berubah. Namun di zaman ini, masih ada juga CC yang 'berjalan masuk ke pejabat' dengan rasa bongkak yang mungkin tidak disedarinya. Masih suka dipanggil dengan gelaran CC atau lebih bangga dipanggil Puan!
Bagiku sendiri, kalau setakat CC, bila-bila masa sahaja kerani di bawah kita boleh melangkah gelaran/jawatan kita itu. Apatah lagi sekarang ini kebanyakan kerani mempunyai kelulusan sekurang-kurangnya Diploma kalau tidak pun Ijazah. Mereka sentiasa mengejar peluang untuk berada di jawatan yang lebih tinggi. Mana tahu, esok-esok dalam pejabat yang sama mereka menjadi ketua kita.
Jadi, kebanggaan apakah yang hendak kita bawa bila sebenarnya tiada yang lebih berkuasa dari Dia Yang Maha Berkuasa?
Catatan ini adalah sebahagian daripada siri SEPANJANG JALAN KENANGAN...
Rabu, 13 Ogos 2014
Jangan begitu, Tuan!...
...saya tahu, tuan masuk sebagai KETUA kerana tuan ada kelayakan dan tuan memang layak.
Bagaimanapun, tuan kena ingat bahawa ilmu dalam pejabat banyak yang tidak akan tuan dapat sewaktu tuan belajar di institusi pengajian tinggi. Sewaktu belajar, mungkin tuan tidak pernah pun mendengar atau mengetahui tentang Arahan Perbendaharaan, Perintah Am atau Pekeliling Perkhidmatan. Oleh itu janganlah tuan memandang rendah kepada pegawai atau kakitangan bawahan tuan. Tunggu sehingga tuan sendiri khatam tentang segala ilmu pejabat mungkin baharulah tuan boleh rasa yang tuan tidak perlu lagi bantuan sesiapa (kalau bolehlahhhh).
Tuan kena ambilkira bahawa ada di antara pegawai bawahan tuan mungkin sebaya dengan ibu atau ayah tuan. Adakah tuan suka sekiranya ibu atau ayah tuan ditengking atau dimalukan oleh orang lain di hadapan khalayak?
Bila tuan meminta pendapat dari pegawai bawahan untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi dan ternyata pendapat itu 'boleh dipakai', janganlah 'curi' pendapat itu sebagai pendapat tuan sendiri. Apalah salahnya bagi sedikit 'sebutan nama' setidak-tidaknya katakan ianya hasil perbincangan bersama.
Suatu hari nanti tuan pun akan tua. Sekiranya tuan 'punya hati' akan dapat tuan rasakan apa yang dirasakan oleh mereka yang sudah berusia tetapi diperlekehkan oleh orang yang lebih muda.
Catatan ini adalah sebahagian daripada siri SEPANJANG JALAN KENANGAN...
Selasa, 12 Ogos 2014
Jangan buat begitu, kawan...
...bila diajak ke kantin, kau kata kau dah kenyang...
Bila kawan bawa balik makanan, kau terjenguk-jenguk dan kata 'nampak sedap, nak rasa sikit'. Sebab 'malas nak cari gaduh' sudahnya kau yang makan, kawan kau terkulat-kulat melihat. Sekali dua kali mungkin boleh bertahan lagi, tapi kalau dalam seminggu tiga kali kau ulang perilaku begitu, taukeh balak pun jual lori!
Benarlah dalam rezeki kita ada rezeki orang lain juga. Tapi dalam rezeki orang lain itu ada rezeki siapa pula?
Seperkara lagi, kalau mengirim bila kawan ke kantin, pandai-pandailah kirimkan duit sekali. Berkali-kali juga kau lupa atau buat-buat lupa untuk membayar harga makananmu.
Kita sama-sama bekerjalah kawan. Gaji kita ada bahagian masing-masing untuk dibelanjakan. Takkan kawan kita terpaksa masukkan dalam senarai bulanan gaji yang diterimanya 'belanja kantin kawan - RM50.00'.
Jangan buat kepada orang lain apa yang kita tak suka orang lain buat pada kita.
Ada faham?
Catatan di atas adalah sebahagian daripada siri SEPANJANG JALAN KENANGAN.
Isnin, 11 Ogos 2014
Pahit manis di sepanjang jalan kenangan...
...mari kita cerita yang agak pahit dulu kerana mungkin boleh dijadikan pengajaran agar ianya tidak kita lakukan...
- bila kawan kita tak mahu menyertai kita makan-makan secara berkumpul di meja kerja di luar waktu makan, janganlah disindir-sindir. Mungkin kita bahagia bergelak ketawa tapi kawan kita lebih senang untuk menyiapkan kerjanya
- bila kawan kita membaca pelbagai jenis suratkhabar/majalah sebaik tiba di pejabat dan belum masuk waktu kerja, jangan pula kita pandai-pandai ambil bahan bacaan itu tanpa bertanya apa-apa hanya kerana kita beranggapan ianya milik pejabat yang boleh dikongsi sesuka hati sedangkan kawan itu mengeluarkan duit sendiri untuk membeli...
- bila kawan kita suka menyendiri, kita pula jadi sakit hati dan diumpat begitu begini. Jangan buat begitu. Kita tak untung apa-apa dan kawan kita itu pun tak rugi apa-apa...
Selepas berumahtangga, pesan suami kepadaku 'jangan bergaduh di pejabat. Masa kita di pejabat lebih lama. Sanggup ke tengok muka orang yang kita bergaduh itu setiap hari? Tapi, kalau nak bergaduh juga, pergilah sendiri ke pejabat. Saya tak akan hantar. Saya malu kalau orang nanti akan kata - isteri dia tu kaki gaduh'
...opssssss... nanti kita sambung bercerita lagi...
Sabtu, 9 Ogos 2014
9/8/2014 = ulangtahun kelahiran ke 13 Budak Sepet (BS)...
Khamis, 7 Ogos 2014
Bukan tiada keinginan untuk menghadiahkan diri sendiri...
...ada teman-teman yang bertanya 'setelah puluhan tahun bekerja tidakkah teringin menghadiahkan diri sendiri seperti pergi bercuti ke mana-mana'
Siapalah yang tidak punya keinginan begitu. Pastinya aku sangat-sangat teringin.
Tapi banyak perkara yang perlu ku timbangtara. Keperluan anak-anak lebih mendesak untuk diberi keutamaan. Berapa pun usia mereka, sama ada sudah berumahtangga, sudah bekerjaya mahu pun yang masih di alam persekolahan, banyak kehendak mereka yang wajib kusediakan.
Seorang ibu seperti aku, tak mungkin tega membiarkan anak-anak kesusahan sedang aku sendiri ingin bersenang-senangan. Biarlah hasrat dan keinginan kupendam dalam-dalam. Semoga Allah SWT mengurniakanku rasa bahagia yang tidak dibuat-buat bila melihat ahli keluargaku sejahtera dalam kehidupan mereka.
Semoga juga Allah SWT merahmati keluargaku dengan kasih dan sayangNya sentiasa. Aamin.
Rabu, 6 Ogos 2014
Hari-hari terakhir...
...tiba-tiba rasa sunyi dan terpinggir
gelak tawa hambar
sapaan dibawa angin
pandangan hanya kerlingan di hujung mata
Ah... perasaan!
sering mengelirukan
terbawa-bawa hasutan
tiada arah tiada tujuan
duduk diam-diam dalam waktu yang tak lalai menghanyutkan...
Selasa, 5 Ogos 2014
Wanita dan perhiasan berpisah tiada? ...
Mungkin betul untuk wanita lain, tapi bukan wanita yang bernama aku...
Siapa yang pernah datang ke rumahku, akan tahu betapa rumahku dihiasi dengan kotak-kotak dan sususan yang entah apa-apa.
Begitu juga siapa yang mengenaliku akan dapat melihat tiada satu pun perhiasan sama ada yang palsu apatah lagi yang asli (emas permata) 'melekat' di tubuhku...
Pernah satu ketika dulu seorang teman sepejabat menyelak tudung yang kupakai secara tiba-tiba semata-mata untuk melihat sama ada di leherku ada tergantung rantai emas atau tidak! Tak mengapalah, aku maafkan dia walaupun hatiku berkata-kata.
Walaupun tanpa hiasan rumah atau intan berlian, aku bahagia dengan caraku sendiri...
Isnin, 4 Ogos 2014
Aku lebih rela anakku memerap di rumah...
...bukan kerana aku sombong, tapi kerana aku tak mahu dia pergi ke rumah siapa-siapa yang tidak dikenali untuk 'berhari-raya' kononnya.
Kesian melihat anak-anak di pagar rumah orang melaungkan 'Assalamualaikum. Kami datang nak beraya'.
Anak-anak ini tidak tahu akan 'kesediaan' tuan rumah untuk menerima tetamu. Kadangkala waktunya langsung tidak bersesuaian. Pun begitu, tuan rumah pastinya amat arif akan kehendak tetamu-tetamu kecil ini.
Teringat akan kata-kata Imam Muda Asyraf di satu rancangan televisyen yang kutonton. Katanya 'jangan ajar anak-anak kita untuk mengutip duit raya. Sebaliknya ajarlah mereka untuk berkunjung ke rumah orang miskin yang tak punya apa-apa. Boleh jadi orang miskin itu adalah saudara mara kita sendiri yang sekian lama kita tak jumpa'.
Anak-anak yang berhari-raya bersama ibubapa ke rumah saudara dan kenalan adalah amalan yang bagus. 'Duit raya' yang diterima mereka pun pasti telah disediakan oleh tuan rumah mengikut kemampuan.
Tapi anak-anak yang sanggup berjalan berbatu-batu jauhnya untuk 'mengutip duit raya', bukan sahaja belum tentu pulangannya. Keselamatan mereka juga dibimbangi tidak terjamin. Zaman ini segala yang tidak terfikirkan oleh kita, mungkin sahaja boleh terjadi...
Jumaat, 1 Ogos 2014
Surat terbuka untuk Y.Bhg. Tan Sri ...
Saya tahu, tiada masa pun untuk Tan Sri menjeling surat ini apatah lagi untuk membacanya. Tak mungkin juga ada sesiapa yang ingin atau berani menyampaikan apa yang saya tulis ini ke pengetahuan Tan Sri.
Bagaimanapun, sesuka hati saya, saya ingin menulis apa yang saya lihat dan rasa tentang apa yang terjadi. Tempiasnya terkena juga kepada saya dan anak-anak saya.
Saya tahu, TanSri terlalu sibuk. Syarikat yang Tan Sri miliki bukannya satu, dua mahupun tiga. Saya rasa, kalau berjalan di Kuala Lumpur ini, mesti ada terseradung dengan 'harta' yang Tan Sri miliki. Penguasaan Tan Sri juga mencakupi pelbagai bidang. Kerana itu, tidak hairanlah Tan Sri tersenarai sebagai antara individu terkaya di negara ini.
Walaubagaimanapun, mungkin Tan Sri kena membuat 'pemeriksaan tergempar' terhadap orang-orang kepercayaan Tan Sri. Jangan sampai mereka membuat syarikat kepunyaan Tan Sri seperti syarikat kepunyaan mereka sendiri. Tidak mengapa kalau ia boleh membawa kebaikan dan keuntungan. Tapi kalau sekadar mereka bertindak untuk kepentingan hawa nafsu sendiri dan tidak peduli kepada 'semut-semut kecil yang bertungkus lumus membina sarang untuk kemudahan ratunya', tidak mustahil sarang itu akan runtuh dengan sendirinya.
Dikerah ke sana, diarah ke sini dan kemudian dilempar ke hulu lalu ditarik pula ke hilir, keberkesanan apakah yang mungkin akan terjana? Tidakkah tindakan ke sana sini itu melibatkan kos? Tidakkah ia juga akan menjadikan urusan-urusan yang sepatutnya boleh dilakukan dengan efisyen akan menjadi terbantut gara-gara tindakan seorang dua 'yang lebih sudu dari kuah' bila disuruh bertindak dan membuat keputusan?
Jangan pandang kepada seorang dua yang tidak merasa kesan apa-apa. Tapi pandanglah kepada berapa ramai yang menjadi akar di bawah sana terpaksa menelan segala kepahitan demi hidup yang perlu diteruskan dan suara mereka tiada siapa sudi mendengarkan. Bila akar mereput, pohon yang besar pun akan perlahan-lahan mati dan tumbang berbanding kalau pucuk yang patah, pucuk lain akan tumbuh dan mungkin lebih subur perkembangannya...
Mungkin tiada siapa yang faham apa yang saya cuba sampaikan. Namun setidak-tidaknya saya rasa lega dapat meluahkan sedikit dari gumpalan keresahan di hati dan dada saya.
Wassalam.