Kawan-kawan kakcik

Jumaat, 30 November 2018

Bangunlah Adib...

Muhammad Adib bin Mohd Kassim

bangunlah Adib
lawanlah kesakitan itu
kau masih muda dan bertenaga
saat ini tidurmu diiringi doa
dari keluarga dan entah siapa-siapa
kami tak pernah mengenalimu
kau juga tidak mengenali kami
namun kau telah peruntukkan hidup dan nyawamu
untuk berbakti

bangunlah Adib
bangun bukan untuk melawan
bangun bukan untuk mencari kesalahan
tapi bangun untuk terus menabur bakti
bangun untuk menjadi insan berjiwa murni

bangunlah Adib
dengan izin Ilahi
kau pasti kuat untuk terus berlari
ajarkan kami akan hikmah atas apa yang terjadi...

Rabu, 28 November 2018

WW : Terima kasih Anis Azalea...

Gambar-gambar di bawah diambil dari blog Anis Azalea berkaitan catatannya yang INI




Terima kasih Anis.  Kalau ada kawan-kawan yang teringin hendak merasai lontong yang makcik dan anak usahakan ini, jangan segan-segan untuk whatsapp 012-2830569, ya.  

Setakat ini harga masih RM5.00 satu bekas.  Untuk tahun 2019, harga mungkin akan dinaikkan berikutan dengan peningkatan harga bahan-bahan dan bekas yang digunakan...😟😟😟😟

Rabu, 21 November 2018

WW : Gelagat Qaid dan Zayyan di Masjid Nabawi, Madinah...







Dua beradik ini sekarang berada di Madinah bersama kedua ibubapa mereka dalam perjalanan ke Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan ibadah umrah (19 - 30/11/2018).  Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan dan mengurniakan kesihatan yang baik buat mereka.  Aamiin.


Rabu, 14 November 2018

Jantung bengkak dan paru-paru masuk air...

...asalnya pergi ke bahagian kecemasan hospital kerana semput dan kesukaran bernafas...

Tiba di bahagian saringan, pembantu perubatan bertugas mendapati pernafasanku 'ketat sangat'.  Terus di bawa ke ruang athma untuk diberi sedutan hydrocort (betul ke ejaan tu?).  Sambil itu sibuklah pembantu perubatan dan pegawai perubatan mengambil bacaan tekanan darah (180/103) dan memasang jarum di tanganku (ini satu lagi masalah, selepas 5 ke 6 kali cucuk, baru dapat urat yang betul - lebam sana sini tapi aku dah biasa).

Selepas ambil sedutan gas, masih belum reda kesakitan dada.  Lalu aku diberi katil untuk berbaring (masa itu hari Sabtu 10/11/2018 jam 10.30 malam).  Kemudian dilakukan ujian ECG dan disorong ke bilik x-ray.  Darah juga diambil.

Suami yang menghantar, aku suruh balik dulu kerana aku terdengar yang aku mungkin akan dimasukkan ke wad.  Ujian ECG agak cantik tetapi ujian x-ray, agak mengejutkan.  Jantungku sedikit bengkak dan paru-paruku ada banyak air.  Sejenis ubat dimasukkan dan aku dipasang tiub untuk mengalirkan air kencing. 

Jam 4.30 pagi (Ahad 11/11/2018) aku disorong ke wad.  Sepanjang malam langsung tak boleh melelapkan mata hingga ke siang.  Isnin (12/11/2018), aku minta keluar wad.  Sebeban ubat dibekalkan.  Dan dari tarikh ini, nampaknya aku sudah mempunyai jadual temujanji yang berulang-ulang di hospital...

Sesungguhnya hargailah waktu SIHAT sebelum tiba waktu SAKIT walaupun bagi yang mengikuti blog ini, pasti tahu bahawa tahap kesihatanku sentiasa turun naik.  Tak mengapa, Allah mahu aku sentiasa ingat padaNya kerana aku ini manusia yang sering lupa...

Selasa, 13 November 2018

Tolonglah jaga adab bila melawat orang sakit...

Baru-baru ini makcik masuk wad di Hospital Ampang (kenapa makcik masuk wad, nanti makcik cerita kemudian).
 
Hari itu, hari Ahad.  Jadi waktu melawat di hospital Kerajaan memang panjang.  Dari 12.30 hingga 7.00 petang.  Kanak-kanak pun boleh masuk. 
 
Makcik ditempatkan di wad 6 katil (sebenarnya wad 4 katil, tetapi mungkin sebab bilangan pesakit makin ramai, jadi dua katil tambahan dimasukkan).  Sewaktu makcik masuk, hanya ada 4 pesakit termasuk makcik.
 
Apa yang terjadi pada waktu melawat?  Dua katil dihujung, didatangi pelawat 'macam satu kampung'.  Seorang pesakit Melayu dan seorang pesakit bukan Melayu.  Riuh jangan ceritalah...  Selain itu :
 
## dua katil kosong di tengah, dijadikan tempat duduk oleh 4 ke 5 orang (walaupun ada pagar, mereka turunkan pagar itu) setiap katil.
 
## siap makan satu bungkus besar kerepek sambil bersembang sakan (pelawat pesakit Melayu).  Di satu katil lagi ada gadis-gadis (bukan Melayu) bermain telefon bimbit dengan riang gembira sambil TERbaring-baring atas katil.
 
## wad ini wad wanita, tetapi pelawat lelaki (dah berusia pun, takkan tak boleh berfikir) duduk atas katil yang menghadap ke katil makcik.  Bukan boleh nak tarik langsir macam di hospital swasta.  Serba salah makcik yang sedang berbaring. 
 
Tolonglah... kata orang Melayu kaya budi bahasa.  Atau sebab hendak tunjuk sangat Ketuanan Melayu, jadi boleh buat apa sahaja?
 
Bila terjadi macam ini, makcik rasa hendak sahaja biar ada jururawat macam dulu-dulu yang garang dan 'tak peduli orang'.  Sembur je semuanya.  Tapi sekarang jururawat hanya mampu pandang.  Iyalah, silap-silap tegur nanti terkenal satu dunia pula ditularkan... 

ADAB MANA ADAB?

ADAB KAT MANA?

Khamis, 8 November 2018

Gambar ini bertarikh 06/06/06...

...dirakam dalam bilik kuliah UiTM Samarahan, Sarawak.  Oh... makcik tak pernah melanjutkan pelajaran ke peringkat IPT.  Gambar dirakam ketika mengikut suami yang ada tugas di sana.  Kalau tidak silap ingatan makcik, ia berkaitan dengan program integrasi anak-anak kakitangan BERNAS...

Tidak banyak yang berubah melainkan kedut yang kian bertambah.

Kita bukan tidak pernah sedar bahawa sinar kian pudar, waktu kian laju beredar dan bila-bila masa kita akan kembali kepada dunia abadi.  Tapi kita menafikannya seolah-olah kita sentiasa muda dan tak akan dipanggil dalam waktu terdekat.  Kita lupa bahawa putik juga mungkin gugur tanpa sempat merasa tua...

Rabu, 7 November 2018

Kashmir - rindu datang lagi...

... namun 'kemampuan' kini amat terbatas...

Gambar-gambar di bawah sudah genap 3 tahun usianya :
 
Di kawasan University Of Kashmir

Di Pahalgam

Di Mughal Garden

Isnin, 5 November 2018

Bertemu blogger Akak Too...

Alhamdulillah. Selepas beberapa tahun dapat bertemu semula dengan Dikmah @ Datin Rahmah  (blogger Akak Too).  Sayangnya blog yang banyak bercerita tentang kehidupan keluarga terutama anak-anak gadis Datin Rahmah ini sudah hampir setahun tidak dikemaskini...
Kami bertemu pada pagi Sabtu (3/11/2018) di kediaman Dikmah...

...bila makcik menghantar tempahan 6 bekas lontong dan 3 bekas bebola donut.  Makcik dan Dikmah kenal melalui blog lebihkurang 10 tahun yang lalu.  Bagaimanapun, kami jarang bertemu.  Kali terakhir makcik bertemu beliau lebihkurang 4 tahun lalu.  Sejak itu kami hanya bersapa melalui laman instagram atau whatsapp sahaja.  Mudah-mudahan persahabatan kami akan berpanjangan hingga ke akhir hayat.  Aamiin.


Alhamdulillah, melalui perniagaan kecil-kecilan yang makcik dan anak usahakan, makcik dapat bertemu dengan kawan baru dan bertemu semula dengan kawan lama.  Apa yang penting, selain menjalin ukhwah mudah-mudahan masakan makcik memuaskan hati semua yang sudi membeli.

Sedap di tekak kita, belum tentu sedap di tekak orang lain.  Semoga Allah SWT permudahkan segalanya buat kita semua...

Jumaat, 2 November 2018

Bertemu pembaca blog Kakcik Seroja...

Alhamdulillah.   Masih ada yang sudi membaca blog ini...😊

Bila tahu masih ada yang membaca blog 'hidup segan mati tak mahu' ini, sayang pula rasanya hendak dikuburkan terus walaupun tidak banyak perkara dapat dikongsikan...

Terima kasih Pn. Asfa.  Bukan setakat rajin baca blog kakcik, tapi juga sudi buat tempahan lontong dan bebola donut yang kakcik dan anak usahakan (jual).  Kepada yang mengikuti blog ini, janganlah hairan dengan tudung dan baju yang sering kakcik pakai tu ya... dah macam seragam rasmi ke mana-mana...hahaha...
Bebola donut dengan sos karamel yang dipesan Pn. Asfa

Lontong yang dimakan sewaktu rehat...

Alhamdulillah...licin licau 😀

Khamis, 1 November 2018

Komen tidak keluar...

Tak tahu di mana silapnya, sudah beberapa hari makcik tak boleh hendak tinggalkan komen di blog kawan-kawan.  Berkali-kali 'sign-in' pun, tetap tidak keluar juga...😖😖