Kawan-kawan kakcik

Jumaat, 31 Oktober 2014

Aku bukan Anwar Ibrahim, aku juga bukan Najib Razak...

...walau perjalanan hidupku tidak begitu berliku
   - ia juga tiada emas menjadi kelambu...

aku tidak sanggup dipenjara demi apa yang dikata satu perjuangan
   - aku juga tidak sanggup menempah neraka asal dapat hidup dengan kesenangan

aku tiada penyokong, aku juga tiada pendokong
   -  mencari sokongan anak dan suami - aku hanya merasakan ngilu di hati
   -  mencari dokongan kawan-kawan - aku dihumban bila dirasa membebankan

aku hanya ada Tuhan
   -  padaNya sendu hati aku luahkan

aku juga enggan menjadi penyokong yang membabi-buta 
   -  konon kerana dia idola, buruknya kutelan begitu sahaja
   -  disebabkan dia bukan yang kupuja, baiknya kuanggap tiada

Biarlah aku menjadi aku, kerana itu ketetapan Tuhan buatku.  Tapi Tuhan juga tidak akan mengubah nasibku andai aku tiada usaha ke arah itu...


                               

Khamis, 30 Oktober 2014

Syukurilah rezeki yang kita ada saat ini...

...kerana kita tak tahu apa yang akan kita dapati sebentar lagi.

Mungkin rezeki itu kekal begitu.  Mungkin juga akan bertambah sama ada dengan usaha atau secara tidak diduga.  Tidak mustahil juga rezeki itu akan hilang dalam sekelip mata.

Jangan bongkak berkata 'aku berusaha keras,  jadi rezeki pasti bertambah berlipat kali ganda'.  Rezeki kita datang dari Yang Maha Berkuasa.   Kita hanya boleh berusaha tanpa putus asa.  Rezeki tidak datang secara bergolek.   Bukan senang hendak senang,  kan?
Rezeki juga tidak turun dari langit kalau sekadar hanya duduk berdoa tanpa usaha.

Eh...sebenarnya saat menaip ini, aku duduk dalam kereta.   Menanti suami yang sedang bersarapan bersama kawannya.   Sebelum itu aku sudah bersarapan dahulu.   Aku tak mahu mengganggu perbualan suami dengan rakannya itu.

Tadi aku melihat suami menghampiri seseorang.   Dia menghulurkan sebungkus teh tarik dan sedikit wang yang disumbangkan oleh jiran kami.  Dari jauh aku melihat lelaki itu sangat teruja dengan rezeki yang didapatinya.   Pasti di luar dugaannya.

Ia tidak berkaitan dengan nilai, tapi mungkin sangat berkaitan dengan keperluan.   Keperluan perut yang perlu diisi seawal pagi...
Ada atau tidak antara kita pagi ini membazirkan rezeki?  Minum seteguk atau makan sesudu kemudian tinggalkan bakinya begitu sahaja atas alasan yang hanya kita tahu?

Terfikirkah kita tentang ada orang yang terpaksa mengais bagai ayam untuk mendapatkan sedikit rezeki?

Fikirkanlah...

Rabu, 29 Oktober 2014

Jemput-jemput kentang. ..

...air adalah tidak diperlukan dalam proses pembuatan jemput-jemput ini ya kawan-kawan (kecuali untuk membasuh bahan-bahannya)...

Bahan-bahan yang makcik gunakan :  3 biji kentang,
2 tangkai cili merah, 1 labu bawang besar, 1 biji telur.
Tiada dalam gambar :  secawan tepung gandum dan
satu sudu kecil garam.
Cili dan bawang dicincang halus dan kentang
disagat.  Kemudian gaul semua bahan bersama
telur, tepung dan garam.
Goreng di dalam minyak panas.
Sedia untuk dimakan.
Makcik sagat kentang dengan alat ini.

Ini adalah cara makcik.  Orang lain, mungkin lain caranya.  Janji sedap di tekak masing-masing, kan? :)

Pesawat tanpa tingkap?...

...maksudnya, bukan pesawat itu tertutup terus seperti duduk dalam kotak yang tertutup rapat.  Sebaliknya, tingkap akan diganti dengan sesuatu seperti skrin terbuka yang membolehkan penumpang melihat keluar dengan jelas.  Dapat melihat awan, lautan dan daratan 'secara terbuka'.

Belum naik pun, aku sudah membayangkan rasa gayat, bagaimana pula sekiranya ia jadi kenyataan?  Tak dapat hendak dibayangkan! Untuk membaca tentangnya, sila klik DI SINI dan bayangkan anda sedang berada di atas pesawat tersebut... :)

Pesawat ini akan dilengkapkan dengan kemudahan internet.
Sama ada ia akan jadi kenyataan atau tidak,
sama-sama kita nantikan (kalau sempat)...

Selasa, 28 Oktober 2014

Catatan ke 2727 - bukankah Allah SWT mengharamkan arak dan judi?...

...jadi bila masa pula ada judi halal dan judi haram ni?  Sudah terang lagi bersuluh serta jelas dan nyata, Allah SWT telah menurunkan ayat yang maksudnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. "  (Surah Al-Maidah Ayat 90)


FirmanNya lagi :


"Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah pada keduanya terdapat dosa besar dan 
beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya." (Surah Al Baqarah Ayat 219)




Tapi sudah namanya manusia, egonya sering membuat mereka lupa.  Aturan Allah sudah tersedia, tapi kita hendak memandai-mandai juga.  Kononnya bila diberi lesen, yang haram boleh menjadi halal.  Adakah diterangkan di situ bahawa ianya hanya halal untuk orang bukan Islam?  Bagaimana hendak didefinisikan perkataan HALAL itu?  Memadaikah hanya dengan meletakkan logo HALAL yang dikeluarkan pihak berkuasa?  Atau memadai dilekatkan sekeping SIJIL yang menunjukkan 'berjudi di sini adalah dihalalkan'?

Setelah dikeluarkan sijil dan bila ia didatangi oleh orang Islam, kemudian diserbu oleh pihak berkuasa Agama, bolehkah penjudi Islam itu menjawab 'saya berjudi di tempat yang dihalalkan'?


Mungkin sukar untuk membanteras kegiatan judi di negara yang masyarakatnya terdiri dari berbilang bangsa dan agama. Halal bagi mereka bukan bermakna halal bagi kita.  Tapi, untuk memberi kefahaman tentang halal dan haram bukan lagi satu tugas yang mudah bilamana pemikiran anak muda zaman ini melampaui apa yang sepatutnya mereka fahami.   

Jangan sampai mereka membuat tindakan yang tak pernah kita jangkakan semata-mata untuk menunjukkan apa yang mereka faham tentang hukum agama, dan kita pula terlatah-latah melihat telatah mereka.  Kemudian, bila mereka minta maaf, kita pun jadi lupa sedangkan kefahaman mereka tak terbetulkan juga.

Tolonglah wahai pihak berkuasa dalam bidang agama, jangan memikirkan kemudahan-kemudahan yang anda dapat dengan duduk di kerusi yang selesa.  Bertegaslah.  Katakanlah yang benar walaupun pahit.  Walau mungkin terpaksa hilang jawatan dan keselesaan, tegakkanlah yang hak dan perangilah yang batil. Kecelaruan kian berleluasa, tapi kita seolah-olah tidak peduli. Cukup dengan mewar-warkan satu dua kes sehari, yang lain-lainnya dipandang sepi.

Seperti biasa, catatan ini adalah lebih sebagai peringatan untuk diriku sendiri.  Aku - seorang ibu, yang masih gagal untuk mempastikan anak-anakku sendiri mendiri solat dengan betul dan sempurna - sedangkan didikan itu sebenarnya bermula dari rumah sendiri!  Apa yang hendak kuharapkan dari luar, bila yang di luar itu tarikannya lebih kuat dari peganganku kepada tangan anakku...

Isnin, 27 Oktober 2014

Kasihan sangat blogku ini...

...walaupun tuannya dah pencen tapi tetaplah ia bagai terabai juga...

Konon hendak 'berblog bersungguh-sungguh' (berblog bersungguh-sungguh tu, macamana gayanya pun tak tahulah...).  Hendak tarik perhatian pembaca dengan catatan-catatan yang berfaedah.  Hendak perkenalkan melalui facebook.  Tapi sudahnya, macam pungguk rindukan bulan.  Tak ada faedah langsung!

Lainlah kalau aku ini blogger 'fofuler' atau sangat dikenali, tulis tentang kucing berak depan rumah pun akan berduyun-duyun orang baca dan tinggalkan komen, kan?  

Berkali-kalilah terfikir sama ada hendak peribadikan (private) sahaja blog ini, tapi buat apa pula kan?  Tak diperibadikan pun orang tak singgah, kenapa susah-susah nak diperibadikan... hehehe... dasar perasan!

Tapi sebenarnya tujuan menulis blog ini dahulu untuk apa?  Untuk jadi popular ke?  Untuk menjana pendapatan ke?  Tidaklah.  Masa itu hanya terfikir untuk meluahkan sahaja apa yang terbuku di jiwa. Hendak bercerita dengan orang, bukan orang sentiasa suka hendak mendengar cerita kita.  Ceritakan sahaja di ruang terbuka.  Kalau ada yang hendak membaca, bacalah...

Tapi bila sudah ada yang membaca, kena berhati-hatilah pula.  Jangan sampai membuka pekung di dada.  Jangan sampai terselak segala kudis buta...

Eh... dah mengarut apa ni?

Jom solat Zuhur.  Sudah masuk waktu bagi kawasan Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya...

Pantun berkait...

jalan bersama dengan Cik Zaiton
tengahmalam belumlah pulang
sudah lama tidak berpantun
rupanya ilham sukar nak datang

tengahmalam belumlah pulang
makan laksa bercili padi
rupanya ilham sukar nak datang
dipaksa-paksa tidak menjadi

makan laksa bercili padi
pedasnya sukar hendak digambar
dipaksa-paksa tidak menjadi
apa terlakar kelihatan hambar

pedasnya sukar hendak digambar
hinggakan perut turut meragam
apa terlakar kelihatan hambar
berkerut wajah masih tak faham

hinggakan perut turut meragam
ke bilik air melepas hajat
berkerut wajah masih tak faham
tinggalkan gelanggang marilah berehat...

sedapnya kalau dapat makan laksa...


Sabtu, 25 Oktober 2014

Jom tinggalkan keburukan dan dekati kebaikan...

...syukur kepada Allah kerana masih mengizinkan kita melangkah ke tahun 1436H.

Semoga segala keburukan yang telah berlalu, kita terus tinggalkan dan segala kebaikan kita bawa bersama untuk ditambah kebaikannya...

Allah memberi kita nyawa dan Dia juga berhak mengambil balik pada bila-bila masa.  Mudah-mudahan kita diambil kembali bukan dalam keadaan yang mengaibkan dan bukan juga dalam keadaan berdosa.

'Bukan dalam keadaan berdosa' - bukan pula maknanya boleh dipinta-pinta melalui doa sahaja sekiranya kita sendiri tidak berusaha untuk menjauhkan diri kita dari melakukan dosa.  Yang haram itu memangnya selalu enak untuk dibuat, sedang yang halal selalu kita rasa sangat berat untuk dilakukan.

Jangan bangga melanggar batas larangan apabila tiada kesan semasa yang dirasa.  Jangan mencabar undang-undang Ilahi kerana ia tidak semudah menjual beli undang-undang manusia.  Bala tidak datang menimpa kepada pendosa semata-mata, bila orang sekeliling berlagak seolah-olah tiada apa-apa...

Rahmat Allah itu sangat luas, begitu juga dengan kemurkaanNya. Pelbagai amaran telah diturunkan, tapi kita masih menganggap ia hanyalah 'aturan alam dengan musimnya - musim banjir, musim kemarau' dan sebagainya...

Aku bukanlah orang yang sangat berilmu atau arif dengan segala hukum.  Segala catatanku, adalah lebih untuk mengingatkan diri sendiri kerana sedari kecil aku diajar tentang halal dan haram. Dari ajaran itulah, sehingga kini aku tetap berpegang pada hukum yang mengatakan anjing dan babi itu adalah najis mughallazah  - walaupun masih boleh disamak, apa jadahnya pula hendak dipegang saja-saja...

Jumaat, 24 Oktober 2014

Apa perasaan anda berhadapan dengan orang yang kononnya serba tahu?...

...kita berceritalah tentang apa sahaja pun, dia mesti hendak bercakap juga.  Dia akan tunjukkan kononnya dia pun tahu tentang apa sahaja topik yang kita suarakan...

Kita bercerita tentang London, dia pun akan bercerita seolah-olah London itu adalah kampung halamannya...

Kita bercerita tentang kereta, dia akan bercerita seolah-olah dialah jurutera yang merekacipta kereta itu...

Kita bercerita bab agama, dia akan mengeluarkan hukum-hakam seolah-olah dia adalah lulusan Syariah dari Universiti Al-Azhar...

Kita bercerita tentang seseorang, dia akan bercerita seolah-olah dia mengenali orang itu 'luar dalam'...

Kesimpulannya :  dia adalah Professor Serba Tahu!

Rimas tak?  Rimas tak?

Khamis, 23 Oktober 2014

Penerbangan 5 jam dari Kuching ke Kuala Lumpur...


Asalnya kami suami isteri serta seorang rakan
telah menempah penerbangan balik ke Kuala
Lumpur melalui penerbangan pada jam 4.05 ptg.
Disebabkan kami sampai awal di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuching, petugas MAS telah
menawarkan sekiranya kami ingin pulang
dengan penerbangan yang lebih awal. Memikirkan
tiada apa hendak dibuat berlama-lama di KIA,
kami bersetuju menukar waktu penerbangan.
Cuaca kelihatan mendung sewaktu kapalterbang
hendak berlepas...

Hanya ada sedikit cahaya...

Awan sangat tebal...

Meninggalkan daratan menuju ke awan...

...tapi tiba-tiba dapat dirasakan daratan itu makin jauh...

...berada di celahan awan semula

Sandwich telur ini akhirnya hanya dimakan 5 jam kemudian
setelah berada di dalam kereta menuju rumah...

Awan kelihatan sangat 'berat'...

Dalam hati sempat bercanda 'dekat saja Kuching
dengan Kuala Lumpur, hanya jarak muncung dan
ekor kapalterbang'...

Sangat kelabu di luar...

...akhirnya daratan sudah kelihatan...

eh...tapi kenapa kapalterbang ini tak turun lagi?
Nampak tak garisan hijau itu?  Pesawat ini
seperti sedang berlegar-legar...

Ya, ada cahaya.  InsyaAllah kita akan
mendarat sebentar lagi...

Nampaknya makin jauh pesawat ini berpusing...

Tanpa pengumuman, aku melihat satu garis lurus
menuju Utara.  Nampaknya pesawat ini akan ke
Pulau Pinang.  Hujan lebat di luar dan pesawat
beberapa kali bergegar melanggar awan.  Saat ini
semua penumpang dan anak kapal disuruh duduk
di tempat masing-masing.  Beberapa orang penumpang
termasuk aku sudah tidak tahan untuk ke bilik
air.  Atas risiko sendiri, kami tetap masuk
melepaskan hajat...

Pulau Pinang kian dihampiri, tapi masih juga
 belum dapat mendarat.  Allah sahaja yang tahu
betapa bergetarnya perasaanku dan begitu juga
rasanya dengan penumpang lain walaupun kami
cuba bersikap selamba.  Wanita muda di sebelahku
juga kelihatan sangat takut dan tidak selesa.
Aku cuba menenangkannya walaupun hatiku
kuat bergelora.  Sempat aku memikirkan nasib
yang menimpa pesawat MH370.
Tiba-tiba aku rasa, alangkah bagusnya pesawat
ini membawaku terus ke Tanah Suci...


Alhamdulillah.  Daratan sudah kelihatan.
Walaubagaimanapun, sebenarnya kami masih
belum dapat 'dibawa turun'...

Jarak ke destinasi itu sentiasa berubah-ubah.
Sekejap sudah dekat, sekejap lagi sudah
menjauh semula...

Alhamdulillah.  Akhirnya pendaratan berjaya
dilakukan.  Takut juga melihat deretan kereta
bomba dan ambulan yang menanti di landasan.
Kami diberi pelepasan untuk masuk ke terminal
untuk lebihkurang setengah jam sementara pesawat
diisi minyak...

Penerbangan semula ke Kuala Lumpur.  Alhamdulillah,
penerbangan berjalan dengan lancar...

Hanya gelap pekat yang kelihatan...



Gambar ini dirakam oleh suamiku.  Aku tahu
dia juga sedang menggelabah.  Walaubagaimanapun,
dia berusaha menyembunyikan 'kegelabahannya'
dengan berdiri, duduk dan berdiri kemudian
duduk lagi.  Dalam menggelabah itu, dia
merakam gambar ini...


Alhamdulillah, syukur padaMu Ya Allah yang menyelamatkan perjalanan kami.  Walaupun sepatutnya penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur akan memakan masa hanya untuk 1 jam 45 minit atau 1 jam 30 minit, penerbangan selama 5 jam kali ini membuatkan aku merasa diberi nyawa untuk kali kedua.

Terima kasih kepada Kapten serta anak kapal pesawat MH2521 dari Kuching ke Kuala Lumpur pada 21/10/2014 jam 2.35 petang yang dapat mengawal pesawat/keadaan dengan cemerlang sekali...

Selasa, 21 Oktober 2014

Anjing, anjing dan anjing...

...anjing tu tak salah apa-apa pun.  Malahan anjing adalah binatang yang setia jika kena cara 'asuhannya'...

Yang salahnya adalah manusia yang terlampau mengada-ngada.   Yang dilarang, yang itulah yang hendak dibuatnya.

Lihat sekeliling kita.  Lihat keluarga kita.  Sudah sempurnakah kehidupan kita berlandaskan aturan agama?  Bila agama hanya digunakan secara terpilih-pilih demi membenarkan tindakan dan bukan kerana ianya perintah Allah,  kita sebenarnya kian hampir ke saat punah-ranah. 

Saat bila kita ikut aturan agama?  Waktu nikah? Waktu mati? (Itupun orang lain yang uruskan sebab kita dah mati).

Apa hukumnya berhijab bagi wanita Muslim?  Wajib kan?  Tapi ada sesiapa berani buat tunjuk perasaan suruh wanita Muslim berhijab?  Anak sendiri pun kadangkala kita tak berani hendak menegur!

Memang anjing itu najis mughallazah.   Bagaimana pula anak kita yang berdating dan bersentuhan dengan temannya yang berlainan jantina?  Apa hukumnya pula?

Kita yang dewasa ini pun ada masanya tidak segan silu bertepuk-tampar dengan mereka yang bukan mahram.  Malah ada yang sanggup pergi lebih jauh dari itu.  Memancing dosa hari demi hari demi memuaskan nafsu sendiri.

Marilah sama-sama kita betulkan diri kita dan keluarga kita sebelum kita melatah untuk turut serta dalam perkara yang kita tak tahu punca...

Isnin, 20 Oktober 2014

Salam dari Bumi Kenyalang...

...seperti biasa, peluang untuk 'berjalan' begini datang bila makcik mengikut suami.  Ini peluang pertama selepas bergelar seorang pesara.

Kalau menaiki kapalterbang, makcik suka duduk di tepi tingkap sebab boleh tengok awan dan mengambil gambar.  Peluang telah datang tetapi terpaksa dilepaskan kerana satu sebab yang menjengkelkan (siapa yang baca status fb makcik, tahulah sebabnya)...

Tak mengapalah.   Setiap kejadian pasti ada hikmahnya.





Ahad, 19 Oktober 2014

Masa tidak pernah menanti walau sesaat jua...

kita melihat bayi...
kita suka
kita peluk 
kita cium
masamnya kita kata wangi
tangisannya kita kata comel

kita melihat anak kecil...
telatahnya buat kita terhibur
jalan terkedek-kedeknya indah di mata kita
petah bicaranya menggeletek hati

kita melihat anak remaja...
kita sudah mula tidak selesa
kata-kata kita ada sahaja bantahannya
pemikiran sudah jadi tidak sama

kita melihat orang muda...
teringat pula zaman kita masih belia
kita cemburu pada mereka
kenapa kini kita sudah tidak seranggi mereka

kita melihat orang dewasa...
haruslah kita hormati mereka
tapi yang jadi sudah sebaliknya
kita kata mereka ditinggal masa

kita melihat orang tua...
wajiblah kita santuni mereka
kerana masa kita akan tiba
andai ada izin Yang Esa
akan kita rasa
apa yang mereka rasa

dengan kedut-kedut di muka
dengan mata yang kabur pandangannya
dengan telinga yang kurang pendengarannya
dengan tubuh yang terketar-ketar waktu berdirinya

maka kenapa kita masih sombong
dengan segala milik yang kita pinjam ini
kerana waktu yang kita titi saat ini
tak mungkin ada lagi sesaat nanti!




Dikapan sebelum mati...

...itulah yang kurasa bila aku diselimutkan.  Kemudian perlahan-lahan aku 'hilang'.

Allah, sesungguhnya aku sangat takut...

Apatah lagi kebelakangan ini kerap aku terasa ngilu bila menarik nafas.  Seolah-olah itulah tarikan nafas terakhirku.

Bukan sekali, bahkan sudah berkali-kali aku disorong ke bilik pembedahan.   Dua kali kerana melahirkan anak,  sekali kerana pembedahan memasukkan skru ke tulang belakang dan beberapa pembedahan kecil yang aku pun tak ingat lagi...

Namun kali ini, hanya untuk satu prosedur angiogram (mungkin kerana ianya berkaitan dengan jantung, iaitu organ terpenting dalam tubuh.  Terhenti denyutannya, maka akan terhenti jugalah fungsi seluruh tubuh),  perasaanku sangat berbeza.  Walau pada mulanya aku menjangkakan akan dibius dan menjalani prosedur dalam keadaan sedar, rupanya ia tidak begitu.  Aku 'dimatikan' seketika.  Saat tersedar semula, aku memaksa ingatan untuk mengetahui di mana aku berada.   Dengan rasa sakit kepala yang bukan sedikit, akhirnya aku menyedari bahawa Allah SWT masih mengizinkan aku bernyawa lagi.

Allahuakbar!   Walaupun aku masih diberi peluang,  tapi aku mengabaikan perintahNya.  Beberapa waktu aku langkaui kerana langsung tidak berdaya untuk bangun.

Aku juga hilang upaya untuk seketika walau untuk menggaru hidung sendiri.

Bagaimanakah agaknya jika benar sewaktu aku diselimutkan tadi ianya akan menjadi mukadimah kepada kain kapanku?

Banyak dosaku sesama manusia yang belum aku pohonkan kemaafan.

Kawan, anda yang membaca catatanku ini, andai ada salah silapku terhadap kalian, ampun dan maafkanlah diri ini...

Langkah kita kian hampir untuk terus terhenti.  Sengketa apa yang perlu kita teruskan lagi...

Jumaat, 17 Oktober 2014

Sudah sarapan, kawan2ku? ...

Alhamdulillah.   Masih ada rezeki buat kita.  Jangan merungut kalau tak sedap kerana kadangkala yang tak sedap itu menjadi ubat buat kita...Setidak-tidaknya ubat untuk mendidik jiwa tentang sejauh mana kita mensyukuri nikmat yang ada...

Khamis, 16 Oktober 2014

Sementara masih bernyawa, ...

...rawatlah penyakit yang ada.  Dan kalau belum ada penyakit,  janganlah cari penyakit...

Sampai awal, dapat nombor awal, belum tentu cepat
dapat berjumpa Pakar Perubatan
Bersama Pn. Nora, kawan yang saling bertegur sapa di Instagram
tapi baru pertama kali bertemu pada hari ini.  Allah yang
menentukan 'jodoh' kami bertemu di sini.

Rabu, 15 Oktober 2014

Sebenarnya, ia berkaitan dengan pembaziran...

...merujuk kepada catatan ini, kakcik menantikan kalau ada yang akan meninggalkan komen begini 'kita di sini bermewah-mewah dan mungkin membawa kepada pembaziran.  Sedangkan ada saudara kita yang mengais tanah, pasir atau rumput untuk mengalas perut yang lapar...

Ingatkah kita sewaktu enak menjamu selera?  Mungkin kita akan berkata 'ingat pun, boleh buat apa? takkan sampai kita perlu menyekat selera?'

Tidaklah sampai begitu.  Sekurang-kurangnya kita berpada-pada dan sentiasa ingat bahawa membazir itu amalan syaitan   (sila klik pautan - jangan malas!).  Makanlah dari rezeki yang telah Allah beri tapi jangan sampai melampaui batas.
terus terang - sebenarnya hidangan ini tidak habis
dimakan oleh empat orang dewasa yang menghadapnya...


#ingatanuntukdiri sendiri

Wah... parah ni... ilham dah tak mahu datang...

... eh! tapi hari ini hari Rabu kan?  

Mari kita buat catatan 'Rabu tanpa kata' lah...

jom tengok gambar dan cuba buat tafsiran sendiri :

Apa yang boleh anda katakan tentang gambar ini?

Selasa, 14 Oktober 2014

Apapun warnanya, asasnya air juga...



cuma bila berwarna, ia lebih menyerlah dari yang kosong sahaja
dan bila sudah banyak warna
yang lebih terang akan lebih mudah dilihat

bagitu juga manusia
asasnya sama
dari Adam dan Hawa
tapi jadi berbeza
kerana ego dan harta
kerana tahap pemikiran yang tak sama
kerana manusia lupa pada Pencipta
kerana manusia melebihkan syurga di dunia
kerana ada yang merasa mereka sangat berkuasa


Jom baca sedutan teks khutbah Juma'at ini :

Di dalam Al-Quran ada menjelaskan beberapa perkara untuk panduan orang-orang mukmin, antaranya firman Allah : Maksudnya : 

" Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu puak mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, kerana harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan yang lain, kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk, amatlah buruknya sebutan nama fasiq sesudah ia beriman. Dan ingatlah, sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiqnya maka merekalah orang-orang yang zalim "

Daripada ayat yang dibaca tadi terdapat tiga perkara pokok yang Allah Ta'ala menjelaskan kepada orang mukmin.

Pertama : Allah Subhanahua Ta'ala memerintahkan supaya orang mukmin tidak menghina atau mencapai antara satu dengan yang lain sesama Islam, lelaki atau perempuan. Larangan Allah ini adalah disebabkan boleh jadi orang yang dihina itu, lebih baik daripada orang yang menghina. Islam mengharamkan seseorang itu menghina orang lain yang seagama dengannya disebabkan oleh kefakiran atau kerana dosa yang dilakukan dimasa lampau atau sebagainya. Satu kisah dizaman Rasulullah s.a.w., pada suatu hari semasa Umar Al-Khattab sedang merejam seorang perempuan yang berzina dengan batu, tiba-tiba darah perempuan tersebut terkena baju Saidina Umar Ibnu Al-Khattab lalu Umar pun mencaci dan menghina perempuan tersebut, lalu Rasulullah s.a.w. menegur Saidina Umar dengan bersabda," Wahai Umar, jangan kamu menghina dan mencacinya, sesungguhnya dia adalah dikalangan ahli syurga kerana taubatnya"      
  
Kedua : Allah melarang umat Islam daripada mencaci dan mengeji antara satu sama lain kerana itu adalah sifat yang buruk dan tidak sepatutnya bagi seorang yang menggelarkan dirinya mukmin. Firman Allah ta"ala yang bermaksud jangan kamu menyatakan keaiban setengah yang lain. Dalam ayat yang lain Allah telah berfirman :
Maksudnya : " Kecelakaan besar bagi orang yang mencaci dan pengkeji "

Larangan ini kerana umat Islam antara satu sama lain adalah seperti satu jasad apabila sakit satu anggota maka seluruh anggota akan terasa sakit seperti dalam sebuah hadis yang bermaksud : " Orang mukmin itu seperti satu jasad apabila salah satu anggota terasa sakit maka seluruh anggota akan terasa sakit dengan demam atau berjaga malam "

Ketiga : Allah ta"ala melarang umat Islam daripada memanggil atau menggelar seseorang dengan gelaran yang buruk seperti dizaman jahiliah. Firman Allah dalam surah Al-Hujrat ayat 11 yang bermaksud : " Dan jangan kamu memanggil dengan panggilan yang buruk antara sesama kamu yang seagama seIslamnya,seperti panggilan ya fasiq, ya kafir, Firaun, Haman atau sebagainya ". Firman Allah lagi yang bermaksud : " Amat buruk panggilan nama fasiq kepada seseorang setelah dia beriman kepada Allah "

Kaum muslimin yang dimuliakan,

Allah Ta'ala melarang umat Islam daripada melakukan semua perkara yang dijelaskan tadi kerana ia adalah antara dosa-dosa besar. Oleh yang demikian umat Islam harus menjauhi sifat suka menghina, mencaci, tuduh-menuduh sesama manusia umumnya dan Islam khasnya, serta memanggil dengan panggilan yang buruk. Jika kita masih meneruskannya nescaya mereka tergolong dalam orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka jahannam seperti mana maksud Al-Quran disurah Al-Hujrat ""Dan sesiapa yang tidak bertaubat yakni berhenti daripada melakukan perkara tersebut mereka itulah tergolong dikalangan orang yang menzalimi diri mereka sendiri " iaitu membenarkan diri mereka dibakar oleh api neraka jahannam kerana dosa yang mereka telah lakukan."

Isnin, 13 Oktober 2014

Apakah khabar anda semua?...

Semoga semuanya sihat sejahtera ya...

...hari ini makcik agak 'mabuk' gara-gara sebiji ubat!

Tak mengapalah, lepas ni makcik tak akan makan lagi ubat tu...

Ubat tu namanya TRAMADOL.  Ha... ambik!  separuh hari makcik jadi 'melayang-layang' padahal makannya malam tadi sebelum tidur...

Ok lah... makcik nak pergi masuk kelas sekejap lagi.  Nak belajar merangkak semula selepas puas berlari tapi dengan larian yang tak tentu rentak kaki...