Kawan-kawan kakcik

Rabu, 31 Oktober 2018

Jom ke Klinik Kesihatan Kerajaan...

Sebelum ini makcik lebih banyak mendapatkan rawatan / pemeriksaan kesihatan di klinik / hospital swasta.  Bukanlah kerana makcik banyak duit tetapi sekadar menggunakan kemudahan yang disediakan oleh syarikat tempat pakcik bekerja.  Tak lama lagi pakcik pun dah nak bersara, jadi eloklah makcik jinak-jinakkan diri menggunakan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan pula...

Pagi tadi (Rabu - 31/10/2018), makcik ada temujanji untuk ambil darah di Klinik Kesihatan (KK).  Temujanji jam 8.00 pagi (waktu klinik dibuka), tapi makcik minta pakcik hantar pada jam 7.30 pagi...

Haaa... tu dia... jam 7.30 pagi dah berderet orang beratur.  Apa yang makcik perhatikan, ramai warga emas bangsa Cina di sini. Mungkin agaknya orang Melayu ramai yang masih sihat atau tidak mengambil berat tentang kesihatan... Entahlah...




Ini nombor yang makcik dapat.  Nombor ini khas bagi mereka yang ada temujanji untuk ambil darah.  Untuk yang hendak bertemu pegawai perubatan dan lain-lain masalah kesihatan, lain pula nombor gilirannya.
Walaupun nombor yang makcik dapat nampak agak 'besar', tapi tidaklah lama sangat waktu menunggunya.  Lebihkurang satu jam sahaja.  Terasa tidak lama sebab boleh memerhatikan pelbagai gelagat yang ada.  Tambahan pula layanan dari kakitangan klinik agak mesra dan tidak menjengkelkan.

Sebelum ini, pada hari Isnin (29/10/2018), makcik sudah datang ke klinik yang sama berikutan keadaan kesihatan yang tidak begitu baik.  Tekanan darah pada masa itu 168/95.  Makcik juga mengadu kepada pegawai perubatan bahawa makcik rasa simptom-simptom 'hyperthyroid' yang pernah makcik alami beberapa tahun lalu, sudah mula terasa kembali.

Berikutan itu, pegawai perubatan (doktor) berkenaan bagi temujanji untuk ambil darah pada hari ini sebab hari Isnin tu makcik dah minum teh tarik sebelum ke klinik.  Malam tadi kenalah puasa dari jam 12.00 tengahmalam.  Tapi, kalau makcik ke klinik swasta, mereka ambil sahaja darah tanpa perlu berpuasa pun...

Ini bukan catatan berbayar ya... tapi makcik memang puas hati dengan layanan di Klinik Kerajaan sekarang.  Cepat dan mesra walaupun pesakitnya sampai tak cukup tempat duduk / ruang.  Biasalah kalau ada seorang dua dalam ramai-ramai kakitangan tu bersikap 'macam dia orang penting sangat-sangat dan sibuk sangat-sangat'.  Tetapi lebih 90% darinya memang perkhidmatan dan sikap mereka boleh dipuji dan diberi penghargaan.  TAHNIAH.

Selasa, 30 Oktober 2018

Keresahan seorang peniaga makanan secara kecil-kecilan...

...adalah untuk memastikan makanan yang dijual itu :

**  menepati selera pelanggan
**  tetap terjamin kualitinya, kebersihannya dan tidak basi bila tiba ke tangan pelanggan
** tidak menjadi sebab pelanggan sakit perut atau mmendapat alahan selepas makan makanan yang dipesan
**  pelanggan berpuas hati dengan nilai dibayar (walaupun bila makan di restoran harganya mungkin lebih mahal)



Bebola donut sebelum diletak sos (karamel atau coklat) mengikut kemahuan pelanggan.  Satu bekas berisi antara 15 ke 17 biji bebola mengikut saiz. Dulu makcik letak 20 biji tetapi saiznya kecil dan tidak penuh bekas pun (saiz bekas sama macam bekas lontong = saiz 1000).  Harganya RM7.00 sebekas untuk sos karamel dan coklat.  RM5.00 untuk yang bersalut gula halus.

LONTONG.  Masih RM5.00 sebekas yang mengandungi kuah, nasi impit, sambal garing dan telur rebus (sebiji jika kecil dan separuh jika telur bersaiz lebih besar).  Kuahnya ada sayur kubis, kacang panjang, lobak merah, tahu, tempe, fucuk dan suhun.

Antara tempahan pelanggan.  Setakat ini makcik, pakcik dan Chef Min (anak bujang makcik) pernah membuat penghantaran hingga ke Seremban.  Caj penghantaran memang dikenakan tetapi taklah mahal mana.  Kalau dikira balik, tak lepas pun duit minyak dan tol.  Tak mengapalah, rezeki Allah yang bagi.  Tak ikut sana, ikut sini...  Setakat ini, selain dari jiran-jiran dan kawan-kawan anak, makcik juga banyak menerima tempahan dari kawan-kawan blogger.  Makcik sangat terharu dengan sokongan yang mereka berikan.


Makcik juga sangat berharap untuk menerima komen-komen yang jujur.  Tak sedap, kata tak sedap.  Jadi makcik dan anak boleh buat penambahbaikan.  Makcik tak mahu 'syok sendiri'.  Konon sedap, tapi sebaliknya 'sekali pesan, orang dah tak mahu lagi' disebabkan rasa yang entah apa-apa...

Kalau ada yang ingin membuat tempahan (makcik dan pakcik akan hantar andainya jauh pun kalau tempahan itu agak banyak), boleh hubungi makcik di 012-2830569 (whatsapp sebab makcik jarang angkat panggilan dari nombor yang tiada dalam simpanan).

Rabu, 24 Oktober 2018

Si Putih dan Si Hitam...

Putih memang cantik, tapi bila terpalit kotoran akan jelas kelihatan.

Hitam juga kelihatan menawan.  Terpalit kotoran mungkin orang tidak perasan...

Begitulah kehidupan.  Bila kita biasa berbuat baik, tersilap sedikit akan menjadi sebutan.  Tapi bila kita bergelumang kejahatan dan mula hendak menjadi baik, yang jahat juga diingat-ingatkan.  

Berusahalah agar kita tetap di landasan yang betul dan benar...

Selasa, 23 Oktober 2018

Memenuhi undangan Restoran Pedas Rasa...





Antara tetamu yang hadir


Meriah


Bersama pemilik Restoran Pedas Rasa, blogger (entah di mana dia simpan blognya...hahaha) dan usahanita yang berjaya - Akma Omar. Makcik memang 'seram' kalau bergambar dengan Akma ni.  Nampak sangat 'keraksasaan' makcik...huhuhu

Bersama blogger Hanny Abdullah (diarymama.com)

Antara blogger yang awal tiba... Ada Eizil, Yeop Khairil Mazri, isteri beliau Mia Namia dan Ellie Toh bersama keluarga kecilnya.


Masa ambil makanan ini, makcik fikir cukuplah sekadar alas perut.  Tapi bila dah makan, memang ada rasa menyesal sebab ambil hanya sebanyak ini.  Ya ampunnnn...memang sedap sangat-sangat.  Cukup serba serbi rasanya.  InsyaAllah, makcik akan datang lagi nanti untuk menikmati keenakan makanan di Restoran Pedas Rasa ini. 

Majlis yang makcik hadiri  ini (Sabtu = 20/10/2018 @ 8.00 malam), bukanlah majlis food review. Sebaliknya ia adalah majlis pembukaan semula Restoran Pedas Rasa di lokasi baru serta majlis kesyukuran dan doa selamat.

Ribuan terima kasih makcik ucapkan kepada Akma, Shieda dan keluarga yang sudi menjemput kami ke majlis ini.  Seperti biasa, makcik memang tak dapat hendak berlama-lama.  Dapat jumpa kawan-kawan blogger yang semua 'pangkat' adik-adik dan anak-anak kepada makcik pun makcik sudah cukup seronok.  Terima kasih juga kepada suami yang sentiasa 'bersedia' membawa makcik berjumpa kawan-kawan.  Kali ini anak bujang makcik pun mahu ikut serta...

Khamis, 18 Oktober 2018

Jom Umrah bersama Abah Zino...

Klik di SINI untuk maklumat lanjut tentang Labbaik Travel & Tours Sdn. Bhd.
Abah Zino adalah seorang blogger yang kian dikenali selepas beliau melancarkan buku pertamanya  Abah dan Mak Poi ke Iceland dan UK. 

Beliau kini telah dilantik sebagai Duta Kembara Labbaik oleh syarikat Labbaik Travel & Tours Sdn. Bhd.  yang merupakan anak syarikat Andalusia Travel & Tours yang memang sudah terkenal dan diyakini ramai.  Syarikat ini diterajui oleh Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki (seorang penceramah yang sering muncul di kaca tv) dan suami beliau Ustaz Muhidin Mohter.
Oleh kerana Labbaik merupakan anak syarikat Andalusia, maka segala kemudahan yang disediakan sewaktu mengerjakan ibadah umrah adalah kemudahan-kemudahan sama yang disediakan oleh Andalusia.
 
Eh... kenapa pula kena pergi dengan Abah Zino?  Perjalanan adalah pada 27 Januari 2019 hingga 7@8 Februari  2019 dengan pakej bermula RM5,990.00.   InsyaAllah, perjalanan ini akan dirakam dan dibukukan dalam buku kembara Abah Zino yang seterusnya ' Abah dan Mak Poi Umrah'.  Buku ini nanti akan dimuatkan dengan gambar-gambar jemaah yang turut serta.  Walaubagaimanapun, janganlah berniat hendak pergi kerana mahu gambar keluar dalam buku pula, ya?  Niat biar kerana Allah dan mencari keredhaanNya.

Sebarang pertanyaan, bolehlah hubungi Haji Zulkifli (019-2383588) atau Hajjah Fuziah (019-2243558).  

Rabu, 17 Oktober 2018

Pemandangan waktu mana lebih cantik?...

Waktu siang...


...atau menjelang malam?
Bagi makcik, kedua-duanya ada keindahan tersendiri.  Pandang dengan mata, nilai dengan hati.  Sesungguhnya tiada cacat cela alam ciptaan Ilahi...

Jumaat, 12 Oktober 2018

Cheap 2 Shop, Setapak

Anak yang ajak ke sini.  Nak tengok apa yang murah dan boleh dibeli.

RM2.00 setiap satu

Ini pun RM2.00 setiap satu

Ini pun sama juga

Paling mahal pun RM10.00 setiap satu


Ada juga yang berharga RM5.00

Masa ini makcik duduk sekejap sebab pening.  Waktu naik ke bahagian atas, lantainya terasa bergegar dan bergoyang.  Mujur makcik boleh bertahan.

Alhamdulillah.  Makcik tak rambang mata pun.  Setakat beli sebab murah, baik tak payah.  Kena fikir apakah akan digunakan atau tidak.  Ada juga kelihatan barang-barang yang 'nampak sama tapi bukan dia', jadi pandai-pandailah membuat pilihan.

Rabu, 10 Oktober 2018

Cahaya...






🌞🌞🌞
 Biar dari sudut mana munculnya ia
tetap memukau pandangan mata
walau hati tercarik luka
ingin juga menikmatinya...  

Selasa, 9 Oktober 2018

Hidup ini makin sepi...

...hingga tak tahu apa yang dicari

menangis?
oh...tolonglah sembunyi
kerana ia akan menyakitkan hati
mereka yang tak pernah cuba mengerti

luahan rasa?
oh...lupakan sahaja
selain Allah yang kau ada
jangan kau harap simpati manusia

menulis?
oh...tidak semua boleh kau luahkan
ada yang memang menanti peluang
untuk kisahmu dicanang-canang

apa lagi?
serahkan sahaja jiwa ragamu pada Ilahi
kerana akhirnya kepada Dia juga kamu kembali.