Kawan-kawan kakcik

Khamis, 27 Disember 2018

27/12/1986 - 27/12/2018...

Alhamdulillah. 32 tahun bersama
susah senang suka duka 
yang tahu hanya kita dan DIA
gelak tawa siapa tahu apa yang kita rasa

Semoga Ilahi terus merahmati
dalam meniti sisa usia yang berbaki
andai salah seorang dipanggil pergi
yang tinggal kirimkan doa jangan berhenti



Khamis, 20 Disember 2018

Salam Terakhir...

Masih lagi hati dan perasaan ini sebak dan sedih bila terkenangkan Muhammad Adib.  Sayu dan pilu sukar digambarkan walaupun dia bukan siapa-siapa dalam hidup makcik.  Dan tak semena-mena juga, lagu dendangan Allahyarham Sudirman ini bagaikan terngiang-ngiang di minda...

Sampaikan salam buat semua
Salam terakhir salam teristimewa
Kepada kau yang tersayang
Pada teman yang ku kenang
Pemergian ku ini tak dirancang

Usah bertanya mengapa aku
Mengucap salam terakhir kepada mu
Kerna waktu berputaran
Bimbang tak berkesempatan
Melahirkan kerinduan terhadapmu

Demi sebuah kenyataan
Yang amat menyakitkan
Aku yang tidak berdaya
Hanya berserah padaNya

Salam akhir
Salam yang teristimewa
KepadaNya ku memohon keampunan
MelaluiNya ku beri kemaafan
Kepadamu

Demi sebuah kenyataan
Yang amat menyakitkan
Aku yang tidak berdaya
Hanya berserah padaNya


Salam akhir
Salam yang teristimewa
KepadaNya ku memohon keampunan
MelaluiNya ku beri kemaafan
Kepadamu

Andainya aku punya waktu
Masih ku ingin mengulangi semula
Saat indah bersama mu
Sayang tak berkesempatan
Abadikan saja salam ku di ingatan

Dari Allah kita datang, kepadaNya juga kita kembali.  Sesaat tidak cepat dan sesaat tidak lambat.  Cuma cara kembali tidak akan dapat kita duga...

Tenang dan damailah Muhammad Adib bin Mohd Kassim dan semua yang telah kembali ke pangkuan Ilahi.  Semoga roh kalian ditempatkan di kalangan roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh.  Kami yang masih hidup ini bila-bila masa sahaja akan dipanggil kembali juga...

Rabu, 19 Disember 2018

Peraduan si comel DRD...

Ini  adalah CATATAN MELEKAT (STICKY POST).  Untuk catatan terbaru sila lihat di bawah...




🌀PERADUAN SI COMEL DRD🌀

Ada anak suka bergambar? Suka bergaya selfie & comel? 😍

Atau kenal mana-mana kawan yang anaknya comel bergaya??

Jom jom jom sertai SI COMEL #darwishrichdesign aka DRD!

🔆Peraduan di buka untuk semua yang layak bermula hari ini 2 October 2018- 20 December 2018🔆

🔆Baca sehingga selesai untuk Syarat Penyertaan 🔆


Hadiah:

 🎁Pemenang pertama🎁
 • Wang Tunai RM200
 • Model & Wajah DRD Raya 2019
 • 1 Set Premium Koleksi DRD bernilai RM100
 • Voucher Shopping DRD bernilai RM50


      🎁Pemenang kedua🎁
 • Wang Tunai RM150
 • Model tambahan DRD Raya 2019
 • 1 Set Koleksi DRD bernilai RM100
 • Voucher Shopping DRD bernilai RM30

      🎁Pemenang ketiga🎁
 • Wang Tunai RM100
 • Voucher Shopping DRD bernilai RM30
 • 1 Set Koleksi DRD bernilai RM90


🛍🛍Saguhati x 10 : Voucher Shopping DRD bernilai RM30🛍🛍🛍

⁉Cara & Syarat Penyertaan⁉

🔺Peraduan ini terbuka kepada semua bayi & kanak-kanak lelaki dengan tarikh lahir dari tempoh 1 Jan 2012 hingga 1 July 2018.

🔺Setiap borang penyertaan mesti disertakan dengan butir lengkap Nama Ibu/Bapa, Nama Anak, Tarikh Lahir Anak, Gambar Anak 2 keping (full body & full face), Alamat & No HP & email ke contestdrd@gmail.com

🔺 Foto penyertaan hendaklah bersaiz sekurang-kurangnya 5R.

🔺Penganjur berhak membatalkan penyertaan sekiranya peserta menipu tarikh lahir anak, menggunakan gambar palsu serta butiran tidak lengkap seperti yang telah dinyatakan.

🔺Pemilihan pemenang akan di buat oleh beberapa juri dilantik oleh kami & pemenang bertuah akan di umumkan selewatnya Januari 2019 & pastikan Follow, SEE First Page kami ni untuk info & kemaskini senarai semua pemenang nanti.

Layari www.darwishrichdesign.com untuk mengetahui lebih lanjut.

Boleh SHARE, LIKE & TAG rakan-rakan anda yang mungkin boleh menyertai Peraduan ni 😉😍😍

#PeraduanSiComelDRD
#drd
#Malaysia

Ini  adalah CATATAN MELEKAT (STICKY POST).  Untuk catatan terbaru sila lihat di bawah...


Selasa, 18 Disember 2018

Damai dan tenanglah di sana, Adib...

Muhammad Adib bin Mohd Kasim (1994 - 2018)

Masa untukmu kembali telah tiba
kami pun akan menyusul juga
pergimu pergi berjasa
pergi kami nanti entah macam mana

kau datang tanpa senjata
mereka bertindak ke atasmu dengan menggila
namun yakin bahawa Allah Maha Berkuasa
mereka pasti akan mendapat balasannya

 biarpun luka sukar disembuhkan
sakit juga takkan terlupakan
kau yang pergi tetap kami doakan
semoga damai dan tenang di sisi Tuhan

 

Jumaat, 14 Disember 2018

Wabak dari Malaysia?...

...agak-agaklah kan?  Sudah hampir 60 tahun makcik hidup di bumi Malaysia ini, rasa belum pernah makcik dengar atau lihat penyakit KAYAP menjadi satu wabak yang menular dengan cepat dan menyebabkan beberapa kematian dalam waktu yang singkat...

Gambar-gambar di bawah ini makcik rakam dari drama The Good Doctor Season 2 Episode 10.

Dalam drama ini para doktor juga terdedah kepada jangkitan hingga mereka tidak dapat bertahan.  Mungkin itu caranya mereka ingin mematikan beberapa watak utama.  Tapi kenapa pilih Malaysia sebagai punca datangnya wabak tersebut?  Atau ada tempat lain bernama Malaysia di bumi ini?

Sebagai warga Malaysia, makcik memang terasa hati bila orang luar sewenang-wenangnya mengaitkan sesuatu yang tidak baik dengan negara ini. 😒😒




Jumaat, 7 Disember 2018

Tarikh bayaran gaji kakitangan awam 2019...

...kebanyakannya jatuh pada 25hb...

...tapi jadual pembayaran pencen pesara untuk 2019 nampaknya belum ada.  Jangan bayaran pencen dimansuhkan, sudahlah...😜😜

Khamis, 6 Disember 2018

Bersimpuh dan berdoa...



...memohon bantuan Yang Maha Kuasa
setelah puas mencuba dan berusaha
ternyata kita sering tidak berupaya
melainkan semua dengan izin dariNya...

Rabu, 5 Disember 2018

2018...

dua ribu lapan belas
datang dan berlalu tanpa belas
banyaknya beban terpaksa kugalas
hingga bahuku melecet dan melelas

lekaslah dikau berlalu
bawa bersama segala perit dan lukaku
hampir sahaja aku tak mampu
menyusuri jalanmu yang penuh berliku

bukan sedikit airmata
mengalir dalam senyap mahupun nyata
namun aku masih mampu berpura-pura
bagai insan yang gagah perkasa

luka hatiku bukan sedikit
menjadi gunung yang asalnya hanya bukit
ada ketika bagaikan ingin menjerit
walau tekakku parah terluka dan perit

bukan banyak yang aku mahu
hanya kehidupan yang sekadar mampu
tapi bila semuanya tersepit di pintu
jalan manakah yang harus kutuju

dalam resah dan serba buntu
bukan tiada yang datang membantu
tapi bila mengemis sepanjang waktu
mengaku saudara pun orang naik malu

dua ribu sembilan belas
datanglah dengan corak yang jelas
dukaku tolonglah bilas
agar jalanku tidak terbabas...

Selasa, 4 Disember 2018

Bertemu blogger Norhidanah Miswan...


Cerita versi Dana di SINI

Hikmah dari perniagaan kecil-kecilan yang kulakukan, makcik berpeluang bertemu dengan rakan-rakan blogger sama ada bertemu semula atau bertemu pertama kali dan bertemu dengan kawan-kawan baru yang sudi membaca blog ini.

Jumaat lepas (30/11/2018), makcik berpeluang bertemu  dengan blogger Norhidanah Miswan, mama kepada Rayyan Izzan (Aiyan). Dana menempah bebola donut yang dia teringin sangat hendak makan dengan sambal yang biasanya makcik sertakan bersama lontong...hahaha...
 
Cantik orangnya Dana ini bila bertemu muka 😀😀.  Alhamdulillah, Dana berpuas hati dapat makan bebola donut dengan sambal yang diidam-idamkannya...

Isnin, 3 Disember 2018

Jualan Buku 'Big Bad Wolf' kembali lagi...

...bermula dari 7/12/2018 (Jumaat) hingga 17/12/2018 di MIECC, Seri kembangan...

...dibuka 24 jam setiap hari jualan berlangsung dengan diskaun antara 75% hingga 95%...






Maka, kepada peminat buku sekelian, jangan lepaskan peluang untuk membeli pelbagai jenis buku (khabarnya berjuta buku disediakan untuk dipilih) kegemaran anda...

Jumaat, 30 November 2018

Bangunlah Adib...

Muhammad Adib bin Mohd Kassim

bangunlah Adib
lawanlah kesakitan itu
kau masih muda dan bertenaga
saat ini tidurmu diiringi doa
dari keluarga dan entah siapa-siapa
kami tak pernah mengenalimu
kau juga tidak mengenali kami
namun kau telah peruntukkan hidup dan nyawamu
untuk berbakti

bangunlah Adib
bangun bukan untuk melawan
bangun bukan untuk mencari kesalahan
tapi bangun untuk terus menabur bakti
bangun untuk menjadi insan berjiwa murni

bangunlah Adib
dengan izin Ilahi
kau pasti kuat untuk terus berlari
ajarkan kami akan hikmah atas apa yang terjadi...

Rabu, 28 November 2018

WW : Terima kasih Anis Azalea...

Gambar-gambar di bawah diambil dari blog Anis Azalea berkaitan catatannya yang INI




Terima kasih Anis.  Kalau ada kawan-kawan yang teringin hendak merasai lontong yang makcik dan anak usahakan ini, jangan segan-segan untuk whatsapp 012-2830569, ya.  

Setakat ini harga masih RM5.00 satu bekas.  Untuk tahun 2019, harga mungkin akan dinaikkan berikutan dengan peningkatan harga bahan-bahan dan bekas yang digunakan...😟😟😟😟

Rabu, 21 November 2018

WW : Gelagat Qaid dan Zayyan di Masjid Nabawi, Madinah...







Dua beradik ini sekarang berada di Madinah bersama kedua ibubapa mereka dalam perjalanan ke Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan ibadah umrah (19 - 30/11/2018).  Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan dan mengurniakan kesihatan yang baik buat mereka.  Aamiin.


Rabu, 14 November 2018

Jantung bengkak dan paru-paru masuk air...

...asalnya pergi ke bahagian kecemasan hospital kerana semput dan kesukaran bernafas...

Tiba di bahagian saringan, pembantu perubatan bertugas mendapati pernafasanku 'ketat sangat'.  Terus di bawa ke ruang athma untuk diberi sedutan hydrocort (betul ke ejaan tu?).  Sambil itu sibuklah pembantu perubatan dan pegawai perubatan mengambil bacaan tekanan darah (180/103) dan memasang jarum di tanganku (ini satu lagi masalah, selepas 5 ke 6 kali cucuk, baru dapat urat yang betul - lebam sana sini tapi aku dah biasa).

Selepas ambil sedutan gas, masih belum reda kesakitan dada.  Lalu aku diberi katil untuk berbaring (masa itu hari Sabtu 10/11/2018 jam 10.30 malam).  Kemudian dilakukan ujian ECG dan disorong ke bilik x-ray.  Darah juga diambil.

Suami yang menghantar, aku suruh balik dulu kerana aku terdengar yang aku mungkin akan dimasukkan ke wad.  Ujian ECG agak cantik tetapi ujian x-ray, agak mengejutkan.  Jantungku sedikit bengkak dan paru-paruku ada banyak air.  Sejenis ubat dimasukkan dan aku dipasang tiub untuk mengalirkan air kencing. 

Jam 4.30 pagi (Ahad 11/11/2018) aku disorong ke wad.  Sepanjang malam langsung tak boleh melelapkan mata hingga ke siang.  Isnin (12/11/2018), aku minta keluar wad.  Sebeban ubat dibekalkan.  Dan dari tarikh ini, nampaknya aku sudah mempunyai jadual temujanji yang berulang-ulang di hospital...

Sesungguhnya hargailah waktu SIHAT sebelum tiba waktu SAKIT walaupun bagi yang mengikuti blog ini, pasti tahu bahawa tahap kesihatanku sentiasa turun naik.  Tak mengapa, Allah mahu aku sentiasa ingat padaNya kerana aku ini manusia yang sering lupa...

Selasa, 13 November 2018

Tolonglah jaga adab bila melawat orang sakit...

Baru-baru ini makcik masuk wad di Hospital Ampang (kenapa makcik masuk wad, nanti makcik cerita kemudian).
 
Hari itu, hari Ahad.  Jadi waktu melawat di hospital Kerajaan memang panjang.  Dari 12.30 hingga 7.00 petang.  Kanak-kanak pun boleh masuk. 
 
Makcik ditempatkan di wad 6 katil (sebenarnya wad 4 katil, tetapi mungkin sebab bilangan pesakit makin ramai, jadi dua katil tambahan dimasukkan).  Sewaktu makcik masuk, hanya ada 4 pesakit termasuk makcik.
 
Apa yang terjadi pada waktu melawat?  Dua katil dihujung, didatangi pelawat 'macam satu kampung'.  Seorang pesakit Melayu dan seorang pesakit bukan Melayu.  Riuh jangan ceritalah...  Selain itu :
 
## dua katil kosong di tengah, dijadikan tempat duduk oleh 4 ke 5 orang (walaupun ada pagar, mereka turunkan pagar itu) setiap katil.
 
## siap makan satu bungkus besar kerepek sambil bersembang sakan (pelawat pesakit Melayu).  Di satu katil lagi ada gadis-gadis (bukan Melayu) bermain telefon bimbit dengan riang gembira sambil TERbaring-baring atas katil.
 
## wad ini wad wanita, tetapi pelawat lelaki (dah berusia pun, takkan tak boleh berfikir) duduk atas katil yang menghadap ke katil makcik.  Bukan boleh nak tarik langsir macam di hospital swasta.  Serba salah makcik yang sedang berbaring. 
 
Tolonglah... kata orang Melayu kaya budi bahasa.  Atau sebab hendak tunjuk sangat Ketuanan Melayu, jadi boleh buat apa sahaja?
 
Bila terjadi macam ini, makcik rasa hendak sahaja biar ada jururawat macam dulu-dulu yang garang dan 'tak peduli orang'.  Sembur je semuanya.  Tapi sekarang jururawat hanya mampu pandang.  Iyalah, silap-silap tegur nanti terkenal satu dunia pula ditularkan... 

ADAB MANA ADAB?

ADAB KAT MANA?

Khamis, 8 November 2018

Gambar ini bertarikh 06/06/06...

...dirakam dalam bilik kuliah UiTM Samarahan, Sarawak.  Oh... makcik tak pernah melanjutkan pelajaran ke peringkat IPT.  Gambar dirakam ketika mengikut suami yang ada tugas di sana.  Kalau tidak silap ingatan makcik, ia berkaitan dengan program integrasi anak-anak kakitangan BERNAS...

Tidak banyak yang berubah melainkan kedut yang kian bertambah.

Kita bukan tidak pernah sedar bahawa sinar kian pudar, waktu kian laju beredar dan bila-bila masa kita akan kembali kepada dunia abadi.  Tapi kita menafikannya seolah-olah kita sentiasa muda dan tak akan dipanggil dalam waktu terdekat.  Kita lupa bahawa putik juga mungkin gugur tanpa sempat merasa tua...

Rabu, 7 November 2018

Kashmir - rindu datang lagi...

... namun 'kemampuan' kini amat terbatas...

Gambar-gambar di bawah sudah genap 3 tahun usianya :
 
Di kawasan University Of Kashmir

Di Pahalgam

Di Mughal Garden

Isnin, 5 November 2018

Bertemu blogger Akak Too...

Alhamdulillah. Selepas beberapa tahun dapat bertemu semula dengan Dikmah @ Datin Rahmah  (blogger Akak Too).  Sayangnya blog yang banyak bercerita tentang kehidupan keluarga terutama anak-anak gadis Datin Rahmah ini sudah hampir setahun tidak dikemaskini...
Kami bertemu pada pagi Sabtu (3/11/2018) di kediaman Dikmah...

...bila makcik menghantar tempahan 6 bekas lontong dan 3 bekas bebola donut.  Makcik dan Dikmah kenal melalui blog lebihkurang 10 tahun yang lalu.  Bagaimanapun, kami jarang bertemu.  Kali terakhir makcik bertemu beliau lebihkurang 4 tahun lalu.  Sejak itu kami hanya bersapa melalui laman instagram atau whatsapp sahaja.  Mudah-mudahan persahabatan kami akan berpanjangan hingga ke akhir hayat.  Aamiin.


Alhamdulillah, melalui perniagaan kecil-kecilan yang makcik dan anak usahakan, makcik dapat bertemu dengan kawan baru dan bertemu semula dengan kawan lama.  Apa yang penting, selain menjalin ukhwah mudah-mudahan masakan makcik memuaskan hati semua yang sudi membeli.

Sedap di tekak kita, belum tentu sedap di tekak orang lain.  Semoga Allah SWT permudahkan segalanya buat kita semua...

Jumaat, 2 November 2018

Bertemu pembaca blog Kakcik Seroja...

Alhamdulillah.   Masih ada yang sudi membaca blog ini...😊

Bila tahu masih ada yang membaca blog 'hidup segan mati tak mahu' ini, sayang pula rasanya hendak dikuburkan terus walaupun tidak banyak perkara dapat dikongsikan...

Terima kasih Pn. Asfa.  Bukan setakat rajin baca blog kakcik, tapi juga sudi buat tempahan lontong dan bebola donut yang kakcik dan anak usahakan (jual).  Kepada yang mengikuti blog ini, janganlah hairan dengan tudung dan baju yang sering kakcik pakai tu ya... dah macam seragam rasmi ke mana-mana...hahaha...
Bebola donut dengan sos karamel yang dipesan Pn. Asfa

Lontong yang dimakan sewaktu rehat...

Alhamdulillah...licin licau 😀

Khamis, 1 November 2018

Komen tidak keluar...

Tak tahu di mana silapnya, sudah beberapa hari makcik tak boleh hendak tinggalkan komen di blog kawan-kawan.  Berkali-kali 'sign-in' pun, tetap tidak keluar juga...😖😖

Rabu, 31 Oktober 2018

Jom ke Klinik Kesihatan Kerajaan...

Sebelum ini makcik lebih banyak mendapatkan rawatan / pemeriksaan kesihatan di klinik / hospital swasta.  Bukanlah kerana makcik banyak duit tetapi sekadar menggunakan kemudahan yang disediakan oleh syarikat tempat pakcik bekerja.  Tak lama lagi pakcik pun dah nak bersara, jadi eloklah makcik jinak-jinakkan diri menggunakan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan pula...

Pagi tadi (Rabu - 31/10/2018), makcik ada temujanji untuk ambil darah di Klinik Kesihatan (KK).  Temujanji jam 8.00 pagi (waktu klinik dibuka), tapi makcik minta pakcik hantar pada jam 7.30 pagi...

Haaa... tu dia... jam 7.30 pagi dah berderet orang beratur.  Apa yang makcik perhatikan, ramai warga emas bangsa Cina di sini. Mungkin agaknya orang Melayu ramai yang masih sihat atau tidak mengambil berat tentang kesihatan... Entahlah...




Ini nombor yang makcik dapat.  Nombor ini khas bagi mereka yang ada temujanji untuk ambil darah.  Untuk yang hendak bertemu pegawai perubatan dan lain-lain masalah kesihatan, lain pula nombor gilirannya.
Walaupun nombor yang makcik dapat nampak agak 'besar', tapi tidaklah lama sangat waktu menunggunya.  Lebihkurang satu jam sahaja.  Terasa tidak lama sebab boleh memerhatikan pelbagai gelagat yang ada.  Tambahan pula layanan dari kakitangan klinik agak mesra dan tidak menjengkelkan.

Sebelum ini, pada hari Isnin (29/10/2018), makcik sudah datang ke klinik yang sama berikutan keadaan kesihatan yang tidak begitu baik.  Tekanan darah pada masa itu 168/95.  Makcik juga mengadu kepada pegawai perubatan bahawa makcik rasa simptom-simptom 'hyperthyroid' yang pernah makcik alami beberapa tahun lalu, sudah mula terasa kembali.

Berikutan itu, pegawai perubatan (doktor) berkenaan bagi temujanji untuk ambil darah pada hari ini sebab hari Isnin tu makcik dah minum teh tarik sebelum ke klinik.  Malam tadi kenalah puasa dari jam 12.00 tengahmalam.  Tapi, kalau makcik ke klinik swasta, mereka ambil sahaja darah tanpa perlu berpuasa pun...

Ini bukan catatan berbayar ya... tapi makcik memang puas hati dengan layanan di Klinik Kerajaan sekarang.  Cepat dan mesra walaupun pesakitnya sampai tak cukup tempat duduk / ruang.  Biasalah kalau ada seorang dua dalam ramai-ramai kakitangan tu bersikap 'macam dia orang penting sangat-sangat dan sibuk sangat-sangat'.  Tetapi lebih 90% darinya memang perkhidmatan dan sikap mereka boleh dipuji dan diberi penghargaan.  TAHNIAH.

Selasa, 30 Oktober 2018

Keresahan seorang peniaga makanan secara kecil-kecilan...

...adalah untuk memastikan makanan yang dijual itu :

**  menepati selera pelanggan
**  tetap terjamin kualitinya, kebersihannya dan tidak basi bila tiba ke tangan pelanggan
** tidak menjadi sebab pelanggan sakit perut atau mmendapat alahan selepas makan makanan yang dipesan
**  pelanggan berpuas hati dengan nilai dibayar (walaupun bila makan di restoran harganya mungkin lebih mahal)



Bebola donut sebelum diletak sos (karamel atau coklat) mengikut kemahuan pelanggan.  Satu bekas berisi antara 15 ke 17 biji bebola mengikut saiz. Dulu makcik letak 20 biji tetapi saiznya kecil dan tidak penuh bekas pun (saiz bekas sama macam bekas lontong = saiz 1000).  Harganya RM7.00 sebekas untuk sos karamel dan coklat.  RM5.00 untuk yang bersalut gula halus.

LONTONG.  Masih RM5.00 sebekas yang mengandungi kuah, nasi impit, sambal garing dan telur rebus (sebiji jika kecil dan separuh jika telur bersaiz lebih besar).  Kuahnya ada sayur kubis, kacang panjang, lobak merah, tahu, tempe, fucuk dan suhun.

Antara tempahan pelanggan.  Setakat ini makcik, pakcik dan Chef Min (anak bujang makcik) pernah membuat penghantaran hingga ke Seremban.  Caj penghantaran memang dikenakan tetapi taklah mahal mana.  Kalau dikira balik, tak lepas pun duit minyak dan tol.  Tak mengapalah, rezeki Allah yang bagi.  Tak ikut sana, ikut sini...  Setakat ini, selain dari jiran-jiran dan kawan-kawan anak, makcik juga banyak menerima tempahan dari kawan-kawan blogger.  Makcik sangat terharu dengan sokongan yang mereka berikan.


Makcik juga sangat berharap untuk menerima komen-komen yang jujur.  Tak sedap, kata tak sedap.  Jadi makcik dan anak boleh buat penambahbaikan.  Makcik tak mahu 'syok sendiri'.  Konon sedap, tapi sebaliknya 'sekali pesan, orang dah tak mahu lagi' disebabkan rasa yang entah apa-apa...

Kalau ada yang ingin membuat tempahan (makcik dan pakcik akan hantar andainya jauh pun kalau tempahan itu agak banyak), boleh hubungi makcik di 012-2830569 (whatsapp sebab makcik jarang angkat panggilan dari nombor yang tiada dalam simpanan).

Rabu, 24 Oktober 2018

Si Putih dan Si Hitam...

Putih memang cantik, tapi bila terpalit kotoran akan jelas kelihatan.

Hitam juga kelihatan menawan.  Terpalit kotoran mungkin orang tidak perasan...

Begitulah kehidupan.  Bila kita biasa berbuat baik, tersilap sedikit akan menjadi sebutan.  Tapi bila kita bergelumang kejahatan dan mula hendak menjadi baik, yang jahat juga diingat-ingatkan.  

Berusahalah agar kita tetap di landasan yang betul dan benar...

Selasa, 23 Oktober 2018

Memenuhi undangan Restoran Pedas Rasa...





Antara tetamu yang hadir


Meriah


Bersama pemilik Restoran Pedas Rasa, blogger (entah di mana dia simpan blognya...hahaha) dan usahanita yang berjaya - Akma Omar. Makcik memang 'seram' kalau bergambar dengan Akma ni.  Nampak sangat 'keraksasaan' makcik...huhuhu

Bersama blogger Hanny Abdullah (diarymama.com)

Antara blogger yang awal tiba... Ada Eizil, Yeop Khairil Mazri, isteri beliau Mia Namia dan Ellie Toh bersama keluarga kecilnya.


Masa ambil makanan ini, makcik fikir cukuplah sekadar alas perut.  Tapi bila dah makan, memang ada rasa menyesal sebab ambil hanya sebanyak ini.  Ya ampunnnn...memang sedap sangat-sangat.  Cukup serba serbi rasanya.  InsyaAllah, makcik akan datang lagi nanti untuk menikmati keenakan makanan di Restoran Pedas Rasa ini. 

Majlis yang makcik hadiri  ini (Sabtu = 20/10/2018 @ 8.00 malam), bukanlah majlis food review. Sebaliknya ia adalah majlis pembukaan semula Restoran Pedas Rasa di lokasi baru serta majlis kesyukuran dan doa selamat.

Ribuan terima kasih makcik ucapkan kepada Akma, Shieda dan keluarga yang sudi menjemput kami ke majlis ini.  Seperti biasa, makcik memang tak dapat hendak berlama-lama.  Dapat jumpa kawan-kawan blogger yang semua 'pangkat' adik-adik dan anak-anak kepada makcik pun makcik sudah cukup seronok.  Terima kasih juga kepada suami yang sentiasa 'bersedia' membawa makcik berjumpa kawan-kawan.  Kali ini anak bujang makcik pun mahu ikut serta...