Kawan-kawan kakcik

Rabu, 31 Disember 2014

Bapak, bukalah pintu hatimu...

...walaupun bapak kaya raya
bapak telah sisihkan aku
hanya semata-mata
banyak tindakmu yang aku tidak setuju

lantas bila kini
aku ditimpa bencana
bapak berkira-kira 
untuk menunjukkan muka

akhirnya bapak datang
tapi hanya bagai orang yang bertandang
menjengah-jengah dengan rasa bimbang
andai hadirnya bapak tak dilihat orang

bapak...
tidak mengapa aku dianaktirikan
tapi aku tak sanggup melihat cucumu kelaparan
dalam dingin dan serba kekurangan
aku tebalkan muka mohon bantuan

aku tak kisah andai bapak hanya berpura-pura
mungkin di hati bapak tersirat rasa murka
sepatutnya waktu ini bapak santai bercanda
kerana musibah bapak terpaksa pulang juga

bapak...
tanpa bapak pun ramai yang sudi membantu
tapi sumbangan banyak yang tersekat di pintu
apapun alasan hanya Allah juga Yang Maha Tahu
namun kudoakan agar bapak belajar sesuatu

bapak...
aturan kita mungkin sudah cantik
namun orang yang melihat tetap berasa pelik
kenapa hati bapak seolah-olah tidak terjentik
mungkinkah bapak merasakan bapak sudah cukup baik?

bapak...
kepada Allah kumohon doa
agar hati bapak akan terbuka juga
jangan bapak ingat bapak sudah cukup selesa
kerana apa yang ada bukanlah sebenarnya milik kita...

Akhirnya 2014 akan melabuhkan tirai...

bersama langkah yang telah diatur
bersulam suka duka
terjalin jutaan cerita
yang datang
yang pergi
bersilih ganti

satu yang masih kunanti
selain mati
adalah khabar biar bagaimanapun peri
MH370 - dimanakah kau bersembunyi?



Selasa, 30 Disember 2014

Makan malam sempena ulangtahun perkahwinan ...

...atas takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT, percutian 3 malam 3 hari kami di Kota Kinabalu tidak menjadi seperti yang direncana atau diharapkan. Akhirnya, kami hanya mampu berlegar-legar berdua di sekitar Pasar Besar Kota Kinabalu atau lebih dikenali sebagai Pasar Filipina.

27/12/2014, En Suami mengajak aku makan malam di gerai makan yang banyak terdapat bersebelahan pasar tersebut.  Pada mulanya aku enggan, tapi suami kata 'anggaplah ini makan malam sempena tarikh perkahwinan kita', lalu aku akur. Makan malam kami ini tidak sampai pun RM60.00. Hanya seekor ikan biru atau disebut oleh mereka di situ sebagai ikan bayan/ikan bayam (aku tak pasti) yang dibakar (RM28.00), secucuk (5 ekor) udang bakar (RM10.00), sepiring kangkung goreng belacan (RM10.00), sepinggan nasi putih dikongsi berdua, semangkuk ABC dan segelas sirap yang semuanya berjumlah RM58.00.

Catatan ini hanya untuk menjadi kenangan, bukan untuk membuat orang lain marah kononnya tiada rasa simpati terhadap musibah yang sedang melanda. Lagipun, hidangan ini bukanlah hidangan mewah. Gambar pun tidak aku rakamkan semuanya...




Ikan biru atau ikan bayam/ikan bayan(?)
Ikan dan udang yang sudah dibakar
Sambal tambahan.  Ambillah sebanyak mana pun
kalau anda pencinta kepedasan.
Udang ini berharga RM25.00/100gram.
Pastinya kami hanya mampu tengok dan pegang.
Udang kara/lobster ini juga hanya mampu
ditengok dan diambil gambarnya...
Pakcik ini adalah pencinta ABC, ke mana pergi
pun dia akan memesan ABC...

Kari telur dengan kentang - langkah demi langkah...

(dalam berfikir-fikir hendak mengarang, dan setelah ditimbang-timbang, dari nanti catatan diperkatakan orang, rehatlah dulu sambil masak kari telur dengan kentang...)

Bahan tumis - bawang putih, bawang merah,
halia, kayu manis dan bunga lawang

Telur rebus dan kentang

Santan dan serbuk kari daging

Panaskan minyak dan tumiskan bahan tumis
hingga wangi dan kekuningan

Masukkan serbuk kari dan sedikit air

Masukkan santan dan kacau hingga pecah minyak

Masukkan kentang...

...dan tambah santan. Kecilkan api dan biarkan
kentang menjadi empuk.

Akhir sekali masukkan telur rebus dan tambah
garam secukup rasa.  Biarkan mendidih sebentar.
Tutup api kalau dah puas hati dengan rasanya... :)

Isnin, 29 Disember 2014

Sebuah ketakutan di suatu malam yang panjang...

...kebetulan penerbangan balik kami (baca - aku dan suami) dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur adalah dengan penerbangan AirAsia AK5121 yang dijadualkan berlepas pada jam 8.15 malam. Pagi hari yang sama, pesawat AirAsia QZ8501 dilaporkan hilang.

Ada empat penerbangan Air Asia (termasuk penerbangan yang akan kami naiki) akan berlepas pada petang itu (dalam tempoh jam 6.00 petang hingga 8.30 malam).  Walaubagaimanapun, semua penerbangan lewat berlepas lebihkurang 30 minit setiap satu berikutan cuaca di KLIA dilaporkan 'tidak menentu'.

Gambar hiasan...

Pesawat yang kami naiki akhirnya berlepas lebihkurang jam 8.45 malam.  Aku berharap sangat agar aku boleh tidur sepanjang penerbangan.  Hanya Allah yang tahu isi hatiku walaupun tidak putus-putus kupanjatkan doa sepanjang perjalanan.  Sewaktu penerangan keselamatan diberikan, aku terfikir bahawa penumpang pesawat QZ8501 juga telah diberikan penerangan yang sama sedangkan waktu ini entah bagaimana nasib mereka.

Turun di KLIA2 pada jam 11.00 malam, aku mengheret kaki yang hampir tidak berdaya untuk satu perjalanan yang sangat jauh rupanya.  Suami ke tempat tuntutan bagasi manakala aku dimintanya untuk membuat tempahan teksi.  Mendapat kupon pada jam 11.43 malam, aku diberitahu bahawa kadar teksi akan berlainan harga apabila melepasi jam 12.00 malam.  Mujur juga rupa-rupanya walau mendapat teksi pada jam 12.15 malam, harga yang telah kubayar tidak berubah (RM84.30).

Setelah menaiki teksi, ketakutanku tidak berkurangan.  Aku takut sekiranya pemandu teksi 'membuat onar' kerana beliau tidak mendapat kadar tambang tengahmalam!  Kurasakan teksi dipandu agak laju dan pemandu teksi tidak ramah walaupun suamiku cuba mengajakanya berbual.  Akhirnya kami diam sepanjang perjalanan.

Tiba di rumah lebih jam 1.00 pagi.  Menguruskan itu ini, akhirnya aku terlelap menjelang jam 4.00 pagi.

Sebenarnya, kenapa perlu takut?

Kita tidak akan takut sekiranya kita tahu bahawa apa yang terjadi atau akan terjadi semuanya adalah kehendak Ilahi.  Kita juga tidak akan takut, kalau kita sentiasa 'bersedia untuk mati'.  Tapi itulah masalahnya, kita lebih mencintai kehidupan dan kita sangat takut dengan ketidakbersediaan kita menghadapi sebuah kematian... (Kita itu merujuk kepada diriku sendiri).  Sekiranya ditakdirkan aku dijemput kembali ke alam yang abadi, aku berdoa agar biarlah mayatku nanti dalam keadaan yang sempurna dan dapat diuruskan dengan baik...

Seandainya tiba-tiba laut itu ditakdirkan bergelora,
apakah daya upaya kita hendak menahannya?

Allah juga Yang Maha Mengetahui entah untuk berapa lama lagi kami dapat bersama...


Ahad, 28 Disember 2014

'Kita antara yang terbaik dalam dunia'...

Bila kita ditanya,
kita tuturkan kata-kata dengan riak dan nada bangga -
'kita sentiasa bersedia, malah kita adalah antara yang terbaik dalam dunia'

Sinisnya kata-kata kita
sehingga seolah-olah mengatasi Yang Maha Berkuasa 
dan dalam berbangga itu kita menjadi alpa dan leka
sedangkan DIA tak pernah lupa memerhatikan kita

Lalu didatangkan ujian buat kita
dan kita pun terpinga-pinga
melatah terkinja-kinja
bagaikan kita tak pernah ada dosa

Kerana sikap takbur segelintir kita
mereka yang tidak tahu apa-apa turut terlibat sama
anak-anak kecil yang tidak berdosa
turut menjadi mangsa 
warga tua dan wanita yang tidak berdaya 
hanya mampu berdoa dan terus berdoa 
dan kita masih banyak cakap dari bekerja
apa yang kita buat konon betul semua

Tak mengapalah kerana Allah itu hakim yang Maha Bijaksana
biarlah DIA mengaturkan mengikut ketentuanNya
semoga kita mendapat pengajaran yang sangat berharga 
bersatulah kita atas nama manusia 
bukan berpecah-belah atas alasan fahaman tak sama...

Innalillahhiwainnailaihirojiun

Sabtu, 27 Disember 2014

Jumaat, 26 Disember 2014

Nasi lemak RM15.00

Satu berharga  RM15.00  bersih dan satu lagi berharga  RM15..90 sebelum ditambah cukai  perkhidmatan.

Rasa? 

Lain orang lain tekaknya, kan?


Khamis, 25 Disember 2014

Banjir dan bencana... sama-samalah kita muhasabah diri...

...tak payah cari populariti dengan mengaitkan fahaman politik dan sebagainya, kerana bila bencana datang ianya tidak menuju terus kepada orang yang melakukakan kesalahan semata-mata...

Mari sama-sama kita berdoa agar keadaan pulih seperti sediakala.

Rabu, 24 Disember 2014

Kasih ke hujung nyawa...



Allahyarham ayahandaku Mansor bin Hj Mohd
(kembali ke rahmatullah pada 10/05/2011)
Allahyarhamah bondaku Zaliha binti Alang Amat
(kembali ke rahmatullah pada 16/12/2007)

Suka duka kehidupan mereka harungi bersama
menempuh onak duri ranjau berbisa
mengecap manis berdua 

berpimpin tangan
walau kadangkala pandangan berbeza
namun bila seorang tiada di hadapan mata
pasti yang seorang lagi akan terasa
dan akhirnya maut juga yang memisahkan mereka

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
limpahkan segala rahmat dan kasihMu
kepada roh kedua ibubapaku
tempatkanlah mereka disyurgaMu
bersama para solehin
serta kekasih-kekasihMu...


Bila harga minyak naik...

...harga gas pun turut naik.  Tapi bila harga minyak menitis turun (menitis menunjukkan turunnya sedikit sangat), tidak pula harga gas ikut turun.  Bagaimanakah agaknya perkiraan kenaikan harga gas ini, ya?  Minyak naik 20sen seliter, gas pula naik RM2.00 setong 14kg.  2.00 bahagi 14 = 0.143sen/kg. Eh...masih murahlah... Tak sampai 15sen pun kenaikannya, kan? Jadi, sila jangan merungut...

Hendak - beli, tak hendak - pergi cari kayu api...

Sebulan lalu, harganya RM28.00...

...dan ini buktinya harga sudah jadi RM30.00

Selasa, 23 Disember 2014

Jalan-jalan, makan-makan...

Ini sarapan yang disediakan dalam penerbangan MAS KUL-KCH
Taklah 'telanjang' sangat nasi lemak sambal udang ini.  Cuma tiada
timun sahaja.  Tapi kena ingat, timun mungkin akan membuatkan
nasi ini cepat basi sekiranya dicampur sekali dan lambat dimakan.


Ini namanya buah terap @ tarap.  Kecil-kecil
isi dan bijinya, tapi sangat manis rasanya...

Siapa yang tak kenal buah ini kan?
Antara durian dan terap, durian juga yang habis
dulu dimakan...

Ini siapa yang sebenarnya suka berblog ni? ;-)

Pertama kali kujumpa kerepek ubi yang cantik
'berjalin' seperti ini.  Rasanya?  Rasa kerepek
ubilah.  Dihidangkan di rumah kenalan di Kuching.

Nasi udang lalapan di King Lalapan Batu 7,
Kuching.  Terbaik!

Nasi ayam lalapan juga di King Lalapan.  Agak
berbaloi makan di sini.  3 orang makan, dengan
minuman lagi - tak sampai pun RM50.00

Perkenalan singkatku dengan Cikgu Aliyah - wanita kecil molek dalam kisah penerbangan INI, berlarutan hingga kini.  Hari kedua aku di Kuching, Cikgu Aliyah membawa aku dan En Sepet 'berjalan-jalan' hampir sehari suntuk.  Aku terlupa meminta izin darinya untuk meletakkan gambarnya di sini, jadi lain kali sahajalah aku letakkan setelah aku meminta izin ya...

22/12/2014 - Makan masak tempoyak ikan patin
bersama suami di Seksyen 15, Shah Alam.
Patin sangkar itu berharga RM10.00 seketul.
Sedap dan paling penting tiada langsung bau hanyir.

Isnin, 22 Disember 2014

Hendak makan pizza murah? Kunjungilah Domino's Pizza...

Opssssss!  Ini bukan iklan berbayar ya.  Hanya ingin berkongsi sahaja.  Tak salahkan?   Manalah tahu ada yang ingin makan pizza tapi ragu-ragu hendak membeli kerana bimbang harganya mahal...


Sekeping pizza bersaiz besar (berharga RM20.00)
boleh mengenyangkan perut empat orang dewasa
yang sedang lapar.
Sebenarnya tidak perlu apa-apa kupon untuk
mendapatkan diskaun itu.  Sekiranya malas
hendak keluar, boleh juga membuat pesanan
melalui telefon dengan mendail nombor
1-300-888-333 itu.

Ahad, 21 Disember 2014

Makan malam di Top Spot, Kuching, Sarawak...

Ini adalah catatan tertunda.  Sepatutnya telah dibuat dua atau tiga hari lalu.  Tapi disebabkan membuat catatan melalui telefon bimbit, apatah lagi untuk memasukkan jumlah gambar yang agak banyak, ia menjadi tidak mudah.  Lalu catatan itu tersangkut begitu sahaja sehingga terpaksa mengulangi buat catatan melalui komputer meja...

Aku dan En Sepet hanya 'menumpang makan' bersama sepuluh orang yang lain.  Jadinya, jangan tanya tentang harga makanan di sini.  Gerai di sini dikelolakan oleh bangsa Cina tapi sijil HALAL ada terpampang di hadapan gerai.  Jadi, terpulanglah - hendak makan atau tinggalkan sahaja.  Mujur juga ada bersama kami adalah blogger MamaTisya.  Jadi tidaklah aku malu-malu kucing untuk mengambil gambar setiap hidangan kerana setiap kali sajian tiba, laju sahaja kami 'berlumba' mengambil gambar sebelum disenduk oleh orang lain!

Jom layan gambar...

Umai Obor-obor (En. Sepet suka pulak makan)

Aku langsung 'tak sentuh' nasi ini.  Asyik makan
lauk dan sayur sahaja...

Sup Sirip Yu

Ambal (Pepahat) masakapaentah...

Midin - wah... aku suka sangat

Udang Kara (Lobster) masak lada hitam

Sayur Campur

Ketam Masam Manis

Kari Ikan

Hahaha...tidak bersisa!

Berdiri di sebelah Amy, terasa sangat aku
macam guni beras saiz jumbo...huhuhu...


Khamis, 18 Disember 2014

Tertunailah hasrat hati En Sepet...

...dia sudah remaja.  Sudah tidak sesuai dipanggil Budak Sepet lagi...:)

Dia sudah kurus tinggi tapi tetap kekal sepet...

Dia kata sudah lama dia tak naik kapalterbang.  Kali ini dia dapat ikut mak dan ayahnya.   Dia jadi kawan mak bila ayah sibuk.  Dan yang penting mak kena 'kawankan' dia masa dia berendam di kolam...