Kawan-kawan kakcik

Rabu, 26 Jun 2019

WW : Raja Berjiwa Rakyat...

Pertama kali rasanya sepanjang hidup ini, makcik membaca tentang seorang YDPA sanggup berhenti untuk membantu...

Selasa, 25 Jun 2019

Bila si bongsu sambung belajar...

...maknya tiba-tiba rasa sunyi 😐.  Sedangkan sewaktu belum sambung belajar pun, bukannya dia 'lekat' sangat di rumah.  Lepas SPM saja, dia sibuk bekerja sambilan sana-sini.  Dapat duit dia kumpul, lepas tu dia 'kerjakan' motorsikal ayahnya...

24/06/2019, dia sambung belajar di Institut Kemahiran Mara (IKM), Kuala Lumpur yang jaraknya tak sampai pun sepuluh minit berkereta dari rumah (kalau jalan tak sesak lah).  Dia masuk kursus Kejuruteraan Teknologi Mekanik Industri untuk tempoh dua tahun (peringkat Sijil).  Mudah-mudahan dia akan berjaya dengan cemerlang dalam pengajiannya.  InsyaAllah.

Tapi yang peliknya, bila dia ditinggalkan untuk belajar, tiba-tiba sahaja maknya ini rasa macam kehilangan sesuatu.  Rasa sunyi dan sebak tiba-tiba... Sebelum ini, abang-abangnya bukan tidak pernah tinggal di asrama (kecuali yang nombor tiga - berulang-alik dari rumah).  Tidak pula maknya terasa sunyi sangat.  Mungkin sebab dia yang bongsu, agaknya.  Seminggu ini, telefon bimbitnya (dan semua pelajar) dalam simpanan pihak IKM, jadi memang tak boleh nak bertanya khabar...


Belajarlah bersungguh-sungguh.

Sewaktu pendaftaran.  Di mana dia duduk, maknya tak akan berada jauh.  Sentiasa mengintai, apa lagi yang mungkin diperlukan...

...hahaha...alahai mak... macamlah orang lain tak ada anak!
Siapa ingat budak comel ini? 😄

Selasa, 18 Jun 2019

Mee segera ... sesekali membuka selera...

Tumiskan bawang dan cili, tambah sayur dan telur.  Makan ketika masih panas, memang menyelerakan.  Tapi hanya boleh makan sesekali sahaja dalam beberapa minggu atau bulan... 

Sabtu, 15 Jun 2019

Duit Raya...

Sudah 11 Syawal hari ini.  Pasti ramai yang sudah selesai mengerjakan Puasa 6 di bulan Syawal.

"Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal maka pahalanya adalah sama seperti puasa sepanjang tahun.

Dalam hadis riwayat daripada Abu Ayyub Al-Ansari itu juga menyebut, puasa enam pahalanya sama seperti puasa penuh setahun, namun dengan syarat kita telah melengkapkan puasa sebulan Ramadan terlebih dahulu.

Antara kelebihan lain buat kita yang mengamalkan puasa sunat enam ini ialah ia melengkapkan kekurangan yang terdapat dalam ibadah puasa wajib bulan Ramadan."

Atas sesuatu sebab yang Allah turunkan, makcik baru berkesempatan berpuasa sebanyak 3 hari.  InsyaAllah akan bersambung minggu depan sekiranya tiada aral mendatang.

Mudah-mudahan Allah SWT memberikan keizinan untuk kami bersama dalam tempoh yang lebih lama lagi.  Susah senang bersama dan saling melengkapkan kehidupan di dunia ini.  Sakit yang dialaminya beberapa hari lepas membuatkan aku rasa 'takut'.

Eh... tajuknya DUIT RAYA.  Tapi lain pula kisah yang dicoretkan.  Iya, tentang duit raya... Tahun ini makcik ada menerima pemberian duit raya dari menantu, adik ipar bongsu dan juga dari Tn Haji Amir Hassan pengasas Denaihati Network (makcik tak tahu bagaimana beliau memilih penerima duit raya tersebut).  Jumlah kesemuanya, walaupun tidak beribu, tidaklah juga hanya RM5.00😛.  Yang penting keikhlasan mereka yang memberi dan rasa syukur kita yang menerima.

Makcik juga tidak menyediakan langsung pemberian duit raya walaupun untuk cucu makcik yang hanya dua orang itu.  Sebab itu juga, makcik 'takut' hendak menerima tetamu dari kalangan kanak-kanak.  Tetapi dengan anak-anak saudara, makcik berterus terang bahawa makcik tidak menyediakan sebarang duit raya.  Bagaimanapun, menantu dan anak-anak yang bekerja ada menyediakan sedikit duit raya buat sepupu-sepupu mereka 'yang di bawah umur'.  Alhamdulillah.

Sepatutnya di hari raya, anak-anak diajar untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan bukan datang berziarah untuk mengumpul duit raya, kan?  Sudahlah begitu, nanti nilai duit raya juga dijadikan bahan gurau senda dan perbandingan yang tidak sihat.  Eloklah kita mula mengajar anak cucu tentang nilai saudara dari nilai kebendaan semata-mata...

Isnin, 10 Jun 2019

Salam Syawal...

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua yang masih sudi singgah di sini.

Sekejap sahaja hari ini sudah Isnin 10/6/2019 bersamaan 6 Syawal 1440.  Kepada yang bekerja, selamat bekerja.  Kepada yang masih bercuti, selamat bercuti.  Kepada yang berpuasa, selamat berpuasa.  Kepada semua, selamat sejahtera.  Semoga kita sentiasa dalam rahmat dan kasih Ilahi.  

Hari Raya bagi keluargaku, biasa-biasa sahaja.  Sejak kedua orangtuaku tiada lagi, bermakna tiadalah istilah 'balik kampung' bagi kami.  Sebagai kakak sulung, rumahku tempat kami adik-beradik berkumpul.  Kedua-dua adik perempuanku juga sudah tiada mertua.  Tapi adik-adik lelaki balik ke rumah mertua mereka.  Seorang (bersama keluarga) balik ke Kuching, Sarawak.  Seorang lagi (juga bersama keluarganya) balik ke Sabak Bernam.

Asalnya untuk tahun ini, aku telah memberitahu En Suami 'kita pakai sahaja baju yang ada'.  Bagi duit untuk dua anak bujang untuk mereka membeli pakaian mengikut apa yang mereka suka (tapi duit itu akhirnya mereka gunakan untuk tujuan lain 😒).  Bila menantuku bagi sejumlah wang, aku ubah fikiran.  Aku gunakan wang itu untuk membeli baju Melayu sepasang seorang buat suami dan tiga anak bujang (sepasang cuma RM99.00).  Alhamdulillah.  Cukup-cukup duit yang menantuku bagi (termasuk bayaran letak kereta 😆).  Kami memilih warna biru.  Bukan biru yang sama untuk setiap orang, tetapi biru gelap yang seakan-akan sama...

 Serba biru... Qaid dan Zayyan pakai baju koleksi

 Tiga generasi


  2 Syawal 1440 di Sabak Bernam

Tahun depan, entah akan bertemu Ramadan dan Syawal lagi, hanya Allah Yang Maha Mengetahui...

Selasa, 4 Jun 2019

Doa di Bulan Ramadan...

(Siaran Ulangan - dan ini adalah catatan melekat untuk sebulan.  Sila lihat di bawah catatan ini untuk catatan terbaru)

Hari Pertama

"Ya Allah, jadikanlah puasaku, puasa orang benar-benar berpuasa. Dan ibadah malamku, ibadah orang benar-benar mengerjakan ibadah. Dan jagalah aku dari tidurnya orang yang lalai. Hapuskanlah dosaku wahai Tuhan sekalian alam. Dan Ampunilah aku wahai Tuhan maha pengampun daripada segala dosa."

Hari Kedua

"Ya Allah, dekatkan aku kepada keredaan Mu dan jauhkan aku daripada kemurkaan serta balasan Mu. Berilah aku kemampuan membaca ayat-ayat Mu dengan rahmat Mu, wahai Tuhan Maha Pengasih"

Hari Ketiga

"Ya Allah limpahkan aku dengan kecerdikan fikiran dan kewaspadaan serta jauhkan aku daripada kebodohan dan kesesatan. Sediakan bahagian ku daripada kebaikan yang kau turunkan., demi kemurahan Mu, wahai Tuhan Maha Pemurah daripada segala dermawan."

Hari Keempat

"Ya Allah berilah kekuatan kepada ku untuk melaksanakan perintah Mu dan berilah aku kemanisan berzikir. Berilah aku kekuatan melahirkan kesyukuran dengan kemuliaan Mu. Dan jagalah aku dengan jagaan dan perlindungan Mu, wahai Tuhan Maha Melihat."

Hari Kelima

"Ya Allah, tempatkan aku di kalangan orang yang sentiasa memohon keampunan. Jadikanlah aku hamba Mu yang saleh serta jadikanlah aku di kalangan auliya (orang yang mendapat keutamaan Mu) yang hampir di sisi
Mu dengan kelembutan Mu, wahai Tuhan yang Maha pengasih daripada segala pengasih"

Hari Keenam

"Ya Allah, janganlah aku dihina kerana perbuatan maksiat ku kepada Mu dan janganlah menyeksa ku dengan balasan Mu. Jauhkan aku daripada sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Mu, dengan anugerah dan bantuan Mu, wahai kemuncak keinginan orang yang berkeinginan."


Hari Ketujuh

"Ya Allah bantulah aku untuk mengerjakan puasa dan ibadah malamnya. Jauhkanlah aku daripada dosa-dosanya. Dan berilah aku zikir untuk mengingati Mu secara berterusan, dengan taufik (petunjuk) Mu wahai pemberi petunjuk kepada orang yang sesat."


Hari Kelapan

"Ya Allah, berilah aku rezeki berupa kasih sayang kepada anak-anak yatim, pemberi makanan, penyebar salam dan bergaul dengan mulia, dengan kemuliaan Mu tempat berlindung orang yang berharap."

Hari Kesembilan

"Ya Allah, sediakan bagi ku sebahagian daripada keluasan rahmat Mu. Berilah aku petunjuk dengan ajaran-ajaran Mu. Bimbinglah aku menuju keredaan Mu yang penuh dengan kecintaan Mu, wahai harapan orang yang merindu."

Hari Kesepuluh

"Ya Allah, jadikan aku di antara orang bertawakal kepada Mu dan jadikan aku di kalangan orang yang menang di sisi Mu. Ya Allah, jadikan aku di kalangan orang yang dekat di sisi Mu. Dengan ihsan Mu wahai tempat tuju orang yang memohon."

Hari Kesebelas

"Ya Allah, tanamkan dalam diri ku kecintaan melakukan kebaikan dan kebencian melakukan perbuatan maksiat serta fasik. Ya Allah jauhkan ku daripada kemurkaan Mu dan seksaan api neraka, dengan pertolongan Mu wahai Tuhan yang menolong orang memerlukan pertolongan."

Hari Kedua Belas

"Ya Allah, hiasilah diri ku dengan penutup dan kesucian. Tutuplah diri ku dengan pakaian kesederhanaan dan kerelaan. Tempatkan aku di jalan keadilan dan keikhlasan. Amankan diri ku daripada setiap perkara yang aku takut, dengan penjagaan Mu, wahai penjaga orang yang takut."

Hari Ketiga Belas

"Ya Allah, bersihkan diri ku daripada kekotoran dan kehinaan. Berilah kesabaran kepada ku untuk menerima segala ketentuan. Berilah kemampuan kepada ku untuk bertakwa dan bergaul dengan orang baik, dengan bantuan Mu wahai pengharap orang yang miskin."

Hari Keempat Belas

"Ya Allah, jangan aku dihukum disebabkan kekeliruan yang ku lakukan. Ampunkan aku daripada kesalahan dan kebodohan. Janganlah kau jadikan diri ku sasaran bala dan malapetaka, dengan kemuliaan Mu wahai kemuliaan kaum Muslimin."

Hari Kelima Belas

"Ya Allah limpahkan rezeki kepada ku berupa ketaatan orang yang khusyuk. Lapangkan dada ku dengan taubat orang yang menyesal, dengan keamanan Mu wahai keamanan orang yang takut."

Hari Keenam Belas

"Ya Allah, berilah kemampuan kepada ku untuk menjalani kehidupan seperti mana kehidupan orang baik. Jauhkan bagi ku kehidupan orang yang melakukan kejahatan. Lindungilah aku dengan rahmat Mu hingga ke alam akhirat, demi ketuhanan Mu wahai Tuhan sekalian alam."

Hari Ketujuh Belas

"Ya Allah, tunjukkan bagi ku amal kebajikan dan penuhilah hajat serta cita-cita ku, wahai Tuhan yang Maha Mengetahui segala keperluan tanpa ungkapan permohonan. Wahai yang Maha Mengetahui segala yang ada dalam hati sekalian makhluk. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarga baginda yang suci."

Hari Kelapan Belas

"Ya Allah, sedarkan aku untuk mencari keberkatan. Terangkan hati ku secerah cahaya dan bimbinglah aku serta anggota ku untuk mengikuti segala ajaran Mu, dengan cahaya Mu wahai penerang hati orang yang bijak."

Hari Kesembilan Belas

"Ya Allah, penuhkan bahagian ku dengan keberkatan dan mudahkan bagi ku menuju ke arah kebaikan. Jangan kau jauhkan aku daripada ketenteraman kebaikan, wahai pemberi petunjuk kepada kebenaran."

Hari Kedua Puluh

"Ya Allah, bukakan bagi ku pintu-pintu syurga dan tutupkan bagiku pintu-pintu neraka. Berilah kemampuan kepada ku untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran, wahai pemberi ketenangan dalam hati orang beriman."

Hari Kedua Puluh Satu

"Ya Allah, berilah aku petunjuk untuk mendapat keredaan Mu. Janganlah engkau biarkan syaitan menguasai diri ku. Jadikan syurga tempat tinggal dan berehat bagi ku, wahai pelaksana keperluan orang meminta."

Hari Kedua Puluh Dua

"Ya Allah, bukakan bagi ku pintu kelebihan dan turunkan bagi ku keberkatan mu. Berilah kepada ku untuk melakukan sesuatu yang mendatangkan keredaan Mu dan tempatkan aku dalam syurga Mu yang luas, wahai penjawab doa orang dalam kesempitan."

Hari Kedua Puluh Tiga

"Ya Allah bersihkan aku daripada segala dosa dan jauhkan diri ku daripada keaiban serta tanamkan ketakwaan dalam hati ku, wahai pengampun kesalahan orang yang berdosa."

Hari Kedua Puluh Empat

"Ya Allah, aku bermohon kepada Mu perkara yang mendatangkan keredaan Mu. Aku berlindung dengan Mu daripada perkara yang mendatangkan kemarahan Mu dan aku bermohon kepada Mu kemampuan untuk mentaati Mu serta menghindari kemaksiatan terhadap Mu, wahai pemberi kepada yang meminta."

Hari Kedua Puluh Lima

"Ya Allah, jadikan aku orang yang menyintai auliya Mu dan memusuhi musuh Mu. Jadikan aku pengikut sunnah nabi Mu, wahai penjaga hati para Nabi."

Hari Kedua Puluh Enam

:"Ya Allah, jadikan usaha ku sebagai usaha yang sentiasa disyukuri, dosa-dosa ku sebagai dosa yang diampuni, kebaikan ku sebagai kebaikan yang diterima dan keaiban ku sebagai keaiban yang ditutupi, wahai Tuhan Maha Mendengar daripada semua pendengar."

Hari Kedua Puluh Tujuh

"Ya Allah, berilah rezeki berbentuk ganjaran Lailatul Qadar kepada ku, ubahkan perkara sulit menjadi mudah, makbulkan permintaan maaf ku dan hapuskan dosa serta kesalahan ku, wahai Tuhan Maha Penyayang kepada hamba soleh."

Hari Kedua Puluh Lapan

"Ya Allah, penuhkan hidup ku dengan amalan sunnah dan muliakan aku dengan diterimanya semua permintaan, wahai Tuhan yang tidak disibukkan oleh permintaan orang meminta.

Hari Kedua Puluh Sembilan

Ya Allah, hiasilah aku dengan rahmat Mu dan berikanlah aku petunjuk serta penjagaan Mu. Bersihkan hati ku dengan fitnah, wahai pengasih kepada hamba yang beriman.