Kawan-kawan kakcik

Jumaat, 29 April 2011

Masjid...


tersergam besar dan indah
namun tidak semua sudi  singgah
malah ada yang mengerling sambil berludah
tanpa sedikit rasa bersalah

entah di mana salah dan silap
pagar berkunci walau telah siap
persekitaran pula dibiarkan malap
bagai hanya sesuai untuk menumpang lelap

bagaimanakah agaknya hendak dibuat
agar ianya sentiasa dipandang hebat
menggamit datang setiap yang  melihat
bukan sekadar sebagai tempat melepas hajat


nota hati :  Jumaat hingga Ahad blog ini akan sunyi walaupun tidak berkunci.  Terima kasih kepada semua yang sudi singgah di sini walaupun dalam senyap dan sepi.


Rabu, 27 April 2011

Kursus Semangat Berpasukan - benar-benarkah berkesan?...

gambar dari : betadaily.com

masa kursus diterapkan yang baik-baik sahaja
diceramah dan diajar perkara yang membuka minda
diminta bermesra bagai bersaudara
digalakkan saling berkenal dan bertegur sapa

dihujung kursus bertangis-tangisan
mohon dimaafkan segala kesalahan
nampak ikhlas dan penuh penyesalan
walau isi hati hanya diketahui Tuhan

pulang ke pejabat bagai sediakala
yang muda tetap juga tidak menghormati yang tua
dengan alasan 'aku lebih berkuasa'
tak perlulah hendak bermuka-muka

yang tua pun sama naik juga
buat perangai bagai ada 'angin yang berlaga'
kadangkala dengan tak semena-mena
bila berselisih, dari jauh memaling muka

sebenarnya semua datang dari hati
tidak bermakna walau berkursus berkali-kali
yang penting diri kita sendiri
mahu berubah atau kekal begitu sehingga mati

Selasa, 26 April 2011

Kursus lagi...

Hari ini akan menghadirkan diri seharian di dewan kursus.  Oh! baru hari ke empat bila dikumpul.  Kena cari tiga hari lagi untuk mencukupkan jumlah kursus yang wajib dihadiri sebanyak tujuh hari setahun.

Harap-harap tidak jadi begini nanti.....

gambar diambil dari : abc.net.au


Isnin, 25 April 2011

Bila anak enggan ke sekolah...

yang susah hati adalah ibu
tertanya-tanya apakah sebenarnya yang berlaku
bila ditanya sianak hanya membisu
mungkin perlu bagiku berjumpa cikgu

hari-hari cuti begitu ceria
tiada pun nampak tanda sakit segala
buka sahaja sekolah mulalah sakit kepala
apakah sengaja mengada-ngada

duhai anak dengarlah sini
mak dan ayah tiada harta untuk diwarisi
jangan nanti menyesal di kemudian hari
waktu yang berlalu tak guna ditangisi

cuba ceritakan duduk perkara
tentang apakah cacat dan cela
membuatkan dirimu tidak selesa
sama-samalah kita cuba selesaikannya.....



Hampir pengsan di Pesta Buku...

Memenuhi kehendak BS yang merengek-rengek untuk ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra.  Kereta di letak di tempat letak kereta Hentian Putra.  Oh! begitu banyak kereta telah diletak di situ sewaktu kami tiba hampir jam 10.00 pagi.

Sungguh aku terpesona dengan bacaan ayat2 suci Al Quran yang disampaikan oleh pemuda yang cacat penglihatan ini.

Berjumpa dengan adik angkatku yang secara kebetulan bertugas di situ (aku sengaja menyembunyikan tubuhku di belakang BS!)

BS sedang memilih buku yang hendak dibeli

Aku sengaja mengajar BS untuk berurusan sendiri (tapi aku tetap memerhati)

Ada persembahan dari kumpulan Rabbani

Blogger Azieazah sedang bertugas sebagai promoter di gerai CESB.  Tak sempat hendak beramah mesra kerana beliau benar-benar sedang sibuk.

Setelah lebihkurang dua jam berlegar-legar dan membeli buku-buku yang sesuai dengan BS, kami bergerak menuju ke kereta.  Waktu itu aku rasa aku sangat sukar hendak bernafas!  Ubat sedut bagi penyakit lelahku tidakku bawa bersama.  Terlalu lambat rasanya hendak sampai ke kereta.  Aku sedar, aku perlu melakukan sesuatu terhadap tubuhku yang kian besar ini.  Aku juga tidak betah untuk bersesak-sesak dalam himpitan manusia yang begitu ramai.


Ahad, 24 April 2011

Mari kita sarapan...

"Nak sarapan apa, ya?"



"Sarapan nasi lemak?  Biasa sangatttt...."

"Sarapan kerabu mangga?  Ish... merepek ke?"

"Sarapan pulut mangga, sedap juga - tapi banyak kolestrol laaaaa"

"Tak mahulah lepas makan nanti, masuk hospital lagi"

"Sarapan kat kepsi laaaa.... itu pun dah pukul sebelas pagi!  Kira makan tengahari sekali..."





Jumaat, 22 April 2011

Hidangan pagi Jumaat....

(bersiaran dari Sunway Hotel, Seberang Jaya)

Buka siaran televisyen...

ada sambutan ulangtahun
ada persembahan

ada tarian - bagiku menjolok mata - tutup yang perlu sahaja
ada nyanyian - artis wanita berpakaian 'moden' - artis lelaki lebih bersopan
ada tetamu - anak-anak dari sekolah agama, anak-anak dari rumah anak yatim dan dari wad pediatrik

aku agak kecewa - pengisian jiwanya di mana? 

nota hati :  bila menggunakan komputer riba, catatanku ringkas sahaja kerana ketidakpandaianku memanfaatkan kemudahan yang ada.


 

Khamis, 21 April 2011

Kata Menteri II...

Itu hari menteri berkata
menonton video X tidak mengapa
asal berniat suci di dada
untuk mencari bukti yang nyata

hari ini pula aku terbaca
seorang menteri yang lain menutur kata
berkhalwat itu masalah peribadi sahaja
tidak melanggar undang-undang jawatan yang ada

apa lagi yang akan terjadi
seolah-olah tiada langsung sensitiviti
sama juga macam kes KD
kisahnya dipapar hari ke hari

renungkanlah dari sudut agama
kes dipapar bukan kecil adanya
mungkin di dunia kita rasa selesa
tidak terfikirkah balasan di sana?


nota hati : aku manusia kerdil yang hanya mampu memerhati sedang kata-kataku tiada siapa yang peduli...



Rabu, 20 April 2011

Mengantuk...


Jam satu setengah pagi
kejarkan budak sepet ini ke hospital bersama suami
sejak Ahad malam lagi
muntah dan cirit birit berkali-kali

sudah lebih seminggu tidurku tidak teratur
apalah sangat dibandingkan dengan lena yang panjang bertahun-tahun
ingatan dari DIA agar jangan selalu takbur
bagai pokok - tidak semestinya sentiasa berdaun

kasihan pula dengan sibongsu
tidur di hospital dengan wajah lesu
mujur ada abang-abangnya yang dapat membantu
jika tidak terpaksalah dikorbankan lagi cutiku



Isnin, 18 April 2011

Along dan Anas di Tanah Suci...

Pertamanya kakcik ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada kawan-kawan semua yang turut mendoakan keselamatan Along.  Terima kasih juga kepada yang sudi bertanya tanda ambil berat.  Pesawat Saudi Air SV0828 yang sepatutnya mendarat di KLIA pada 15/4/2011 jam 1.00 petang, hanya tiba pada 16/4/2011 jam 8.00 pagi.

Kakcik bersama suami dan BS keluar dari rumah menuju KLIA selepas solat Subuh.  Along dan Anas serta lain-lain ahli rombongan dari Andalusia dan lain-lain penumpang pesawat SV0828 hanya muncul di balai ketibaan pada jam 9.50 pagi. 

Sedikit gambar-gambar sewaktu Along dan Anas di Mekah dan Madinah (Along bukan macam maknya yang suka merakam macam-macam gambar)....








Semalam, selepas mengambil Along dan menerima kunjungan Haji Salam bersama keluarganya, kakcik dan suami serta Bangcik dan BS bertolak ke Teluk Batik, Perak.  Hasrat untuk menghadiri majlis perkahwinan Wanita Bertudung Hijau di Kelana Jaya terpaksa dibatalkan.

Khamis hingga Sabtu depan, kakcik dan suami akan ke Seberang Perai, Pulau Pinang.  Jumaat hingga Ahad minggu berikutnya, kami sekeluarga kecuali Angah akan ke Kuching pula.


Jumaat, 15 April 2011

Kata Usman Awang (marilah kita renungkan)...

Kakcik menyalinnya dari Blog Cikgu Humairi

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
jangan mati anak

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka!




Tolong doakan semoga semuanya selamat...

Semoga Allah SWT sentiasa memelihara mereka walau di mana berada

Berkali-kali aku cuba menghubungi Along, namun tertera mesej di skrin telefon bimbitku 'number barred'.  Panggilan dari Along juga hanya masuk seketika dan senyap!

Akhirnya pada jam 11:22:59 tadi aku menerima pesanan ringkas dari Along : 'flight ditunda. airport ditutup sebab jerebu yang melampau, angin taufan dari negara Kuwait'Mungkin kisah tentang cuaca ini ada keluar dalam berita di televisyen tapi aku ketinggalan untuk mengetahuinya.  Aku bosan menatap berita yang sebenarnya merupakan kempen pilihanraya sehingga mengenepikan hal ehwal dalam dan luar negara yang lain! :(


Walaubagaimanapun, sama-samalah kita doakan agar Along dan semua para jemaah yang sedang menanti penerbangan untuk pulang ke tanahair berada dalam keadaan selamat.  Semoga juga cuaca di sana segera pulih seperti sediakala.  InsyaAllah.


Petikan dari Kosmo Online :   Dubai dilanda hujan lebat. 
Dari Utusan Malaysia : Kuwait gantung ekspot minyak akibat ribut pasir



15/4 = 12:20pagi

Khamis, 14 April 2011

Tiada apa hendak dicerita...

Esok aku akan bercuti untuk menyambut kepulangan Along di KLIA. Sudahlah perginya dulu aku tidak berekesampatan menghantar.  Sekejap sahaja dua minggu berlalu.

Sebenarnya hati ini agak gusar.  SMS terakhir diterima dari Along pada hari Isnin jam 8.49 malam waktu Malaysia.  Dia menyatakan dalam perjalanan menuju Madinah Al Munawarrah.  Selepas itu, tiada lagi sebarang khabar berita.  Biasanya  paling tidak selang sehari Along akan menelefonku.  Bagaimanapun  aku tidak pernah putus mendoakan segala yang baik buat Along dan rakan-rakannya.



Rabu, 13 April 2011

Tidak semudah diucap...

bukan senang hendak menjadi anak yang soleh
andai hati tidak pernah bersih
berwajah manis tapi jiwa menjerit pedih
disuruh sedikit, berdalih-dalih

tidak juga mudah menjadi ibu yang baik
jika anak sering ditengking herdik
silap sedikit dipekik-pekik
bukan teguran dengan tujuan mendidik

perlu ada iman dan juga ilmu
bukan bertindak mengikut nafsu
hanya beramal tanpa hala tuju
jadilah kita bagai debu dibawa bayu....


   

Tangisan di dinihari...

merayau-rayau seorang diri
saat mata enggan terlena dibuai mimpi
singgah membaca di Blog Azie
tak semena-mena airmata bercucuran di pipi


syukurlah Azie kerana akhirnya dia ditemui
tapi nasib kami belum tahu lagi
entah apa yang bakal terjadi
mungkin agaknya tiada peluang bersua kembali


melihat bapa terbaring sepi
pelbagai rasa tersirat di nurani
meski diri ini bukan anak mithali
rasa kesal tetap bersarang di hati


takku tahu apa kehendak bapa
nafsu makannya bagai disekat dengan sengaja
tubuhnya hanya tinggal tulang dan kulit sahaja
tidak dapat kufahami apa idaman sebenarnya


mulutnya kini tidak lagi menyebut
kerana yakin panggilannya tak mungkin bersahut
namun jiwaku kacau dan berserabut
hendakku seru mungkin DIRIMU di seberang laut...


nota hati : kepada yang mengikuti catatan blogku ini sedari awal, mungkin memahami akan maksud yang tersirat...





13/4 = 1.22pagi

Selasa, 12 April 2011

Yang sebenarnya... dua tahun telah berlalu...

Chik Na bertanya...
v
v
v


ini blog lama kakcik (telah di privatekan)


sempat mempunyai kawan-kawan yang 'sudi mengikuti' seramai 113 orang - ada yang mengikut ke rumah baru dan ada yang menghilang entah ke mana...

blog tersebut sempat berusia 1 tahun 3 hari sebelum kakcik menutupnya dari pandangan umum kerana memikirkan ianya akan 'ditendang oleh pakcik google' berikutan amaran yang kakcik terima.  Ada salah faham kakcik di situ kerana tidak memahami mesej yang sebenarnya...

begitulah ceritanya...


Hari ini, blog ini berusia setahun...

... dan ini adalah catatan yang ke 640! Bagaikan setiap hari lebih dari satu catatan yang telah kubuat.  Sebenarnya, ada juga hari-hari tanpa catatan terutama apabila aku berada di luar kawasan. 

Terima kasih kepada kalian yang terus memberi sokongan terhadap blog ini walaupun pengisiannya adalah lebih kepada kata hati seorang aku yang tiada apa-apa kelebihan.

Semoga ikatan persahabatan yang tiada talinya ini akan terus sama-sama kita kukuhkan walaupun hakikatnya kita juga ada kehidupan lain yang perlu lebih diutamakan.  Yang datang tetap akan pergi dan yang hilang belum tentu ada pengganti.



Isnin, 11 April 2011

Akhirnya...




Serba tidak kena...


sedari pagi mengadap angka
selalunya tidaklah susah mana
tambah sini tolak sana
pasti dapat jawapan yang sama

hari ini entah kenapa
rasa hendak pecah kepala
berkali-kali disemak semula
masih juga berbeza berjuta-juta

sebelum muntah di atas meja
elok rasanya berehat seketika
dari otak ini dipaksa-paksa
baiklah aku melelapkan mata...