Kawan-kawan kakcik

Jumaat, 15 April 2011

Kata Usman Awang (marilah kita renungkan)...

Kakcik menyalinnya dari Blog Cikgu Humairi

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
jangan mati anak

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka!




19 ulasan:

  1. yana memang suka segala sajak Usman Awang nih... harap2 anak muda zaman sekarang pun suka dgn warisan melayu dan kenal dgn sasterawan negara ni...

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum kakcik...

    Dia sudah pergi meninggalkan khazanahnya buat renungan kita semua..

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum,

    Saya pun poskan yang sama setelah melawat Kak Helli Moh Kembara.

    BalasPadam
  4. bukan jiwa sajak ati ni..

    lately ni baru suka skit :)

    BalasPadam
  5. kalu kata melayu mudah lupa..bukan main marah lagi tak terhingga..tapi hakikatnye??

    marilah kita jadi melayu islam yg hebat..

    sajak yg hebat

    BalasPadam
  6. Saya suka yang ini :

    Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
    Selaga yang ada sanggup diberikan


    Sajak ni perlu difahami dan disematkan di dada SEMUA politician MELAYU tak mengira parti.

    BalasPadam
  7. apa yg ttulis mmg benar..
    yg baik jd kn iktibar..

    BalasPadam
  8. ini adalah puisi kegemaran saya sejak bertahun2 dulu. :)

    BalasPadam
  9. Salam Kakcik, he he...semalam akak pos sikit jer sajak ni sbb panjang sangat, elok Cikgu Humairi upload yg versi panjang utk kita renungkan!

    BalasPadam
  10. sangatlah tepat dan indahnya sajak usman awang ini. say anak share dgn kawan2 yang lain ya

    BalasPadam
  11. Sallam Kak Cik,

    Indah dan puitisnya sajak Usman Awang ini. Tak jemu membacanya. Khas untuk orang melayu.

    BalasPadam
  12. Sasterawan Usman Awang, punya bahasa tersendiri, lembut dan menyenangkan, namun tersirat seribu sindiran...

    BalasPadam
  13. serius saya amat menyukai dan tak puas2 baca nih. sungguh mendalam sekali kata2nya

    BalasPadam
  14. saya pernah buat performance sajak ni

    BalasPadam
  15. melayu 21,
    jangan takut keluar dari kebiasaan,
    PRU 13 kita buat perubahan ....

    BalasPadam
  16. Asalamualaikum Kakcik

    Bila tengok nama 'Osman Awang', teringat zaman sekolah-sekolah dulu.

    BalasPadam
  17. mudah2an melayu dapat bersatu atas nama Islam...

    BalasPadam
  18. saya juga peminat allahyarham Usman awang, sajak2nya memang sarat dengan nasihat dan ingatan untuk kaumnya yang mudah lupa

    BalasPadam
  19. india = pariah

    afrika = negro

    nusantara = meLAYU

    BalasPadam

Catatlah apa sahaja asalkan tidak menyinggung sesiapa.

Komen-komen yang tiada kena mengena atau sengaja dilontarkan untuk menyindir, akan kakcik buang. DIMAKLUMKAN JUGA, ADALAH HAK TUAN PUNYA BLOG INI SEPENUHNYA UNTUK MEMBUANG MANA-MANA KOMEN YANG DIRASAKAN TIDAK PERLU ADA ATAU DIBERI RUANG BERLEGAR DI SINI.

Ada pertanyaan dan segan nak letak komen? Sila emel ke : kakcikseroja@gmail.com