...sudah kenapa? tiba-tiba pula hendak berbalas pantun? Tidak ada apa-apa sebenarnya, cuma rindu sewaktu naik pentas dahulu... :)
Pantun-pantun di bawah ini aku reka sendiri untuk aku paparkan di blog ini. Andai ada yang berkenan, mintalah izin untuk digunakan...barulah ada keberkatan, kan? Jangan curi ya. Pantun-pantun ini juga tiada tema tertentu. Cuma bagi setiap soalan, ada jawapannya...
ceri merah di Gunung Daik
disira gula bersama cuka
hari cerah cuaca pun baik
mengapa pula tuan berduka?
berbaju kebaya menghadap paduka
sambil bersimpuh dulang ditatang
bagaimana saya tidak berduka
orang ditunggu tak kunjung datang
jangan dipetik melati yang tumbuh
biarkan dia gugur ke bumi
luka di hati bolehkah sembuh
andai dicalar setiap hari?
berlari-lari si anak sekolah
riang bermain sesama sendiri
serahkan hatimu kepada Allah
pasti ia sembuh sendiri
Hang Tuah pahlawan terbilang
Hang Jebat dikata derhaka
sudahku tanya berulang-ulang
inovasi itu maknanya apa?
jangan ditebang pohon kuini
di bawahnya tumbuh ubi dan lada
inovasi itu teknologi terkini
berbeza dengan yang sedia ada
ramai orang ke sana sini
tidaklah tentu arah tujuan
tertanya-tanya di hati ini
erti integriti tahukah tuan?
isi ayam dicarik-carik
agar senang hendak dimakan
integriti itu sikap yang baik
jadikan ia asas perkhidmatan
bunga teratai indah berkembang
di muka tasik berganding megah
seiring teknologi pesat berkembang
bagaimana rasuah hendak dicegah?
serindit menyanyi di hujung dahan
sakit pula sitelinga lintah
tetapkan iman takutkan Tuhan
pasti tak tergamak menerima rasuah
Eh... apalah kau merepek tu labuuuuu...
Jom ke dapur, tengok apa yang boleh dimasak jommmm...