Kawan-kawan kakcik

Selasa, 25 Oktober 2016

Menaiki kenderaan awam...

Tiada gambar dalam catatan ini kerana tiba-tiba aku jadi 'pemalu' hendak merakam sebarang gambar.


Pagi tadi (25/10/2016) aku menghadiri mesyuarat di Tingkat 42, Bangunan Menara Maybank Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur.  

Mesyuarat apa?  Hmmmm... yang itu, nanti kita bercerita kemudian, ya...

Aku keluar dari rumah dengan diambil oleh adikku untuk ke Stesyen LRT Pandan Indah. Lebihkurang jam 8.00 pagi.  Sudah lama betul rasanya aku tidak menaiki kenderaan awam.  Sampai dah lupa!  Wahhhh...ramainya orang di stesyen LRT.  Maklumlah waktu ramai pekerja hendak ke pejabat.  Terpinga-pingan sekejap hendak beli tiket/token LRT.  Ada mesin dan ada kaunter.  Bagus juga aku tergerak hati untuk ke kaunter kerana di situ aku dapat membeli token dengan potongan harga kerana aku memiliki kad pesara Kerajaan Malaysia.  Dapat tambang cuma RM1.30 sahaja.

Kemudian 'beratur' di celahan orang ramai untuk menaiki tren yang akan tiba.  Tren pertama tiba, tak mampu hendakku loloskan diri masuk ke perutnya.  Hanya bila tren kedua datang, aku selitkan juga diri tersepit masuk.  Wah, rasa macam sudah tidak boleh bernafas!  Kalau dulu, tren yang dinaiki dari arah Ampang akan terus meluncur ke Sentul dan aku boleh turun di Plaza Rakyat, kini rupanya kena tukar tren di Chan Sow Lin.  

Naik tren di Chan Sow Lin juga sesak.  Tapi tak mengapalah, sudah tak jauh.  Aku turun di Plaza Rakyat (Pudu Sentral / Puduraya).  Kemudian berjalan kaki bertongkatkan payung ke Menara Maybank.  Semputlah juga dibuatnya.

Mesyuarat berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 11.30 pagi.  Selesai mesyuarat, aku berjalan semula ke Plaza Rakyat.  Membeli token dengan potongan harga (kali ini RM1.40 kerana aku akan turun di stesyen Cempaka - satu stesyen ke hadapan stesyen Pandan Indah).  Tren datang sebaik aku sampai ke landasan, tapi aku biarkan berlalu kerana keliru.  Tren kedua juga aku biarkan berlalu kerana masih tak pasti.  Dulu, biasanya aku naik tren yang tertulis AMPANG. Tapi rupa-rupanya aku kena naik juga mana-mana tren dan kemudian turun di stesyen Chan Sow Lin semula.  Bila tren ketiga datang, aku terus naik.  Tren balik ini tidak sesak tapi aku memilih untuk berdiri sahaja.

Selepas bertukar tren di Chan Sow Lin (tren ke Ampang ini macam ada masalah pula.  Berkali-kali buka tutup pintu tapi tidak bergerak lebihkurang 10 ke 15 minit).  Melihatkan semua penumpang bersikap biasa, maka tiadalah kebimbangan di hatiku.  

Turun di stesyen Cempaka, aku singgah membeli roti dan air semata-mata untuk menukar duit supaya senang membayar tambang nanti.  Aku sudah menetapkan untuk menaiki teksi balik ke rumah. Jika aku memilih untuk menaiki bas, aku kena berjalan kaki lagi,  Jauh jugalah untuk tubuhku yang berat dan kakiku yang sakit ini.  Menaiki teksi, aku mengagak tambangnya dalam RM4.00 seperti yang pernah kubayar dulu (lebihkurang dua tahun lalu).  Betul-betul tiba di hadapan rumah, meter teksi menunjukkan jumlah tambang genap RM7.00.  Amboi, hampir sekali ganda naiknya!

Tambang naik, tapi teksi tidaklah naik taraf nampaknya.  Agak daif dengan 'bunyi skru longgar' dan pendingin hawa yang tidak begitu terasa dinginnya.  Aku tak merungut pun kepada pemandu teksi kerana sedar dia juga 'mencari makan' walaupun dia (lelaki Cina) sangat ramah bercerita...

Waduh...dah macam karangan budak darjah tiga catatanku ini.  Hahaha, padah sudah lama tidak menaiki kenderaan awam, macam inilah jadinya...

10 ulasan:

  1. saya selalu naik bus bila balik dari kerja, terpaksa menunggu bus seawal 5pm ataupun selepas 8pm...waktu antaranya pulak lebih kepada tak larat nak berdiri dan berlama dalam bas

    BalasPadam
  2. sekali sekala melayan karenah perkhidmatan awam, apa salahnya kan... hehe

    BalasPadam
  3. Terer jugaklah kiranya KC naik train ye walaupun terpinga pinga melepaskan train 2 kali.

    Ramai sungguh warga kota ni ye KC, sesak dimana mana. Atas train, atas jalan raya tak payah cakaplah

    BalasPadam
  4. Camtu kakcik boleh jer kembara korea..kerana di stationnya lengkap info..he.he

    BalasPadam
  5. iye mak..kalau boleh tak nak naik kenderaan awam sebab tak mesra pengguna

    BalasPadam
  6. dah lama juga tak naik kenderaan awam. sebab tak tertarik dari segi ketepatan masa, mesra pengguna, tertib memandu.. haish

    BalasPadam
  7. sy tak pernah naik pengangkutan awam di KL kecuali diputrajaya 10 thn yg lps ....
    sy pernah naik erl sbb nk pi klia .... tu je ...klu sy taktau mcmana

    BalasPadam
  8. Saya pun dah lama tak naik pengangkutan awam, Kakcik. Oh, sekarang kena juga turun ya di Chan Sow Lin. Nampak benarlah saya dah lama tak naik train juga!

    Kakcik, Menara Maybank kat Jalan Tun Razak? Puas duh saya dok fikir belah mana. Kalau dah nama Jalan Tun Razak tu, kawasan 'jagaan' sayalah, Kakcik. Sayakan kerja kat area sini!

    Ni Menara Maybank dekat dengan Jalan Silang tu yerk?

    BalasPadam

Catatlah apa sahaja asalkan tidak menyinggung sesiapa.

Komen-komen yang tiada kena mengena atau sengaja dilontarkan untuk menyindir, akan kakcik buang. DIMAKLUMKAN JUGA, ADALAH HAK TUAN PUNYA BLOG INI SEPENUHNYA UNTUK MEMBUANG MANA-MANA KOMEN YANG DIRASAKAN TIDAK PERLU ADA ATAU DIBERI RUANG BERLEGAR DI SINI.

Ada pertanyaan dan segan nak letak komen? Sila emel ke : kakcikseroja@gmail.com