Kawan-kawan kakcik

Khamis, 13 Julai 2017

Jangan kata anak kita 'kurang ajar'...

Walaupun mungkin maksud nya untuk menunjukkan betapa biadapnya anak kita, secara tak langsung (sebenarnya secara langsung) kita telah menghukum diri kita sendiri!  

Kepada siapa hendak kita tujukan maksud KURANG AJAR itu? Tidakkah sebenarnya kita yang KURANG MENGAJAR anak kita itu.  Disebabkan itulah ia disebut 'kurang ajar'.  Lain maksudnya bila kita kata TAK DENGAR AJAR.  Maksudnya kita sudah puas mengajar (bukan kurang ajar) anak kita. Malangnya mereka tidak mahu mengikut apa yang kita ajarkan.

Kadangkala tanpa sedar, bila kita marah kita akan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya kepada anak (darah daging) kita sendiri.  Mulalah kita cuba membandingkan anak kita dengan anak orang lain yang kononnya jauh lebih baik dari anak kita.  Pernahkah kita bertanya kepada ibu bapa yang anaknya kita puji puja itu bagaimana sebenarnya perangai atau tingkah laku anak mereka?  Benarkah anak-anak mereka begitu baik?  

Mendengar keluhan ibu bapa lain tentang perangai sebenar anak mereka, sebenarnya tidak jauh pun berbeza dengan apa yang kita hadapi dengan anak-anak kita.  Kadangkala ada anak-anak yang tidak berselindung tentang perangai perengus, baran dan tunjuk pandai mereka.  Ada pula anak-anak yang nampak begitu baik di hadapan ibu bapa dan keluarga, sebaliknya di luar merekalah 'Sarip Dol si samseng Kampung Dusun'!

Ada juga ibu bapa yang hanya mahu bercerita yang baik-baik sahaja tentang anak mereka (siapalah yang mahu membuka pekung di dada, kan?) walaupun sebenarnya mereka tahu warna sebenar anak mereka.  Tidak mengapa.  Kata-kata ibu bapa adalah doa. Lebih-lebih lagi kata-kata seorang ibu. Berkatalah yang baik-baik tentang anak-anak kita.  Jangan sesekali sebut 'kurang ajar'. 

Mudah-mudahan kata-kata baik yang berterusan diiring doa senyap-senyap kepada Ilahi, anak-anak kita akan lembut juga hatinya.  Ia tidak akan memakan masa yang sekejap.  Kita bukan Wali jauh sekali Nabi yang sentiasa suci.  Kita manusia biasa yang tak lekang dengan dosa.  Berdoa dan terus berdoa.  Kata juga yang baik-baik sahaja.  Allah tidak akan terlepas dari memandang dan mendengar. Doakanlah agar anak-anak menjadi anak-anak yang MENDENGAR AJAR dan kita tidak menjadi ibu bapa yang KURANG AJAR...

#takfahamtakapa
#sekadarluahanhati

8 ulasan:

  1. betul tu mak..kata2 itu satu doa...sebab tu ibu2 kena perlu berhati2 bila marah anak2...
    anyway, tq untuk peringatan berguna ni mak...

    BalasPadam
  2. Betul kak..setuju...anak kita kita asuh..anak mereka cara mereka asuh..kalau kita melihat berakhlaknya mereka jangan sampai membandingkan dengan anak sendiri...dan kalau dirasakan anak kita sudah cukup cermat terasuh...jangan pandang serong pada anak mereka yang liar...sama-sama berdoa dan saling bersangka yang molek molek...

    BalasPadam
  3. btul tu kakcik, sbb tu sblm ckp apa2 fkr dulu... kalau marah pun dana selalu ckp... anak bertuahhhh...

    ckp la dulu dana pnh bandingkan aiyan ngn anak2 lain, tp skrg dana redho, dia takan sama ngn anak2 lain sbb dia spesel

    BalasPadam
  4. Anak kurang ajar sebab ibubapanya kot

    BalasPadam
  5. betul, kata2 kita adalah doa. nauzubillah

    BalasPadam
  6. arwah emak saya akan sebut anak bertuah walau macam mana marah pun dia kat anak anak atau cucu..dan saya rasa saya selaulu bertuah..alhamdulilah...sebab itu saya jugak turut marahkan anak anak dengan perkataan yang sama..sebab bila kita marah..ditakuti masa itulah Allah terima doa kita kita..lagi lagi mulut ibu..so berhati hati dan beringatlah untuk renungan kita bersama..insyaallah

    BalasPadam
  7. Kan KC..... kadang kadang rasa kagum dengan anak orang lain. Semuanya baik baik belaka.... tp yelah, perkataan mak bapak kan doa, maka sebaiknya mak bapak keluarkan kata kata yg baik. Mana ada manusia yg sempurna.....

    Hanya mak bapak sendiri yg tahu warna sebenar anak anaknya . Kita sebagai mak bapak mampu berdoa ajelah

    BalasPadam

Catatlah apa sahaja asalkan tidak menyinggung sesiapa.

Komen-komen yang tiada kena mengena atau sengaja dilontarkan untuk menyindir, akan kakcik buang. DIMAKLUMKAN JUGA, ADALAH HAK TUAN PUNYA BLOG INI SEPENUHNYA UNTUK MEMBUANG MANA-MANA KOMEN YANG DIRASAKAN TIDAK PERLU ADA ATAU DIBERI RUANG BERLEGAR DI SINI.

Ada pertanyaan dan segan nak letak komen? Sila emel ke : kakcikseroja@gmail.com