Kawan-kawan kakcik

Selasa, 31 Mac 2015

Esok GST dikuatkuasa, hari ini sudah tidak mampu hendak tersenyum...

Kita tengok dan beli yang betul-betul kita perlukan sahaja, ya Qaid?
Agak-agak boleh tak Qaid tak payah guna lampin pakai buang?
Kita cari kain-kain buruk buat lampin Qaid.  Lepas tu boleh
dibasuh semula.  Boleh guna berkali-kali lagi,

Syukur juga setakat ini Qaid masih menyusu susu badan sepenuhnya.
Tadi nenek belek jenama lampin pakai buang yang Qaid biasa guna,
kenapa mahal sangat harganya?  Malam nanti nenek nak ajak atuk
pergi ke kedai serbaneka yang boleh dapat harga lebih murah.
Harap-harapnya masih ada lagi.  Dua hari lepas nenek tanya
jurujual kat situ kenapa harga lama telah dipadam (walaupun
masih dijual pada harga itu), jawabnya 'bersedia untuk GST'.

Tadi nenek tengok cecair pencuci pinggan yang nenek biasa beli.  Sebelum ini harganya paling mahal pun RM5.75 sebotol.  Alih-alih tadi nenek tengok harganya sudah jadi RM6.55.  Mungkin sabun ini tidak termasuk dalam senarai barang yang dikenakan GST, jadi harganya dinaikkan siap-siap agar tidak ketara.

Entahlah Qaid.  Tadi nenek beli beberapa barangan keperluan sahaja dah kena bayar RM120.00. Nenek tetap bersyukur kerana masih mampu seadanya.  Bagaimana dengan mereka yang memang tiada kemampuan, kan?  Cukupkah dengan bantuan BR1M yang mereka dapat tu agaknya, ya?

Memikirkan itu semua, macamanalah nenek mampu hendak tersenyum!

Ulau melingkau depan pagau (ular melingkar depan pagar)...

Tarikh kejadian  : hari ini (Selasa = 31/03/2015, antara 6.30 pagi hingga 7.20 pagi)

...ini baru betul-betul ular melingkar depan pagar...

Gambar dirakam oleh En Suami

Juga dirakam oleh En Suami (nampak tak?)

Seperti lazimnya setiap selepas Subuh, Angah akan keluar ke tempat kerjanya di Shah Alam sambil menumpangkan Bangcik yang belajar di sana.  Selepas bersalaman dan mencium pipi dan dahi mereka, aku meneruskan membaca Al Quran.  En Suami juga akan keluar ke pejabat lebihkurang pada masa yang sama.

Tapi pagi ini, aku mendengar bunyi enjin kereta suamiku yang 'agak pelik'.  Macam sekejap ke depan sekejap ke belakang kereta itu. Menamatkan bacaan, aku keluar mengintai.  Aku lihat En Suami keluar dari kereta sambil bercakap di telefon bimbitnya.  Aku fikir keretanya bermasalah.  Baru beberapa hari lepas kereta itu masuk ke woksyop dan hampir RM2K sudah terbang.  Masalah apakah lagi?

Melihat aku mengintai, suamiku melambai kepadaku dan menyebut 'ular sawa'.  Hahaha... ingat aku berani ke bila dengar perkataan 'ular' tu?  (Sampai ketika menaip ini dan ketika menyidai pakaian tadi aku terasa-rasa bagai sang ular itu masih ada di mana-mana!).  Tapi aku keluar juga.  Aku nampak ular yang melingkar di hadapan pagar rumah jiranku itu.  Suamiku menelefon jiran memberitahu tentang ular, tetapi tidak seorang pun yang keluar.  Hanya mengintai-intai dari balik langsir! Suamiku juga telah menefon pihak bomba untuk mendapatkan bantuan menangkap ular.  Alahai, menanti akan membuatkan masa terasa sangat lamat berjalan.  

Bila pasukan bomba tiba, ular itu sudah tidak kelihatan.


Kerana jiranku enggan membuka mangga pagar mereka (mungkin sebab takut), anggota bomba terpaksa memanjat dari rumahku untuk mencari ular tersebut. Cari bawah kereta.  Cari di sini.  Cari di sana. Tidak berjumpa.  Rupa-rupanya ular itu sudah masuk ke dalam pagar besi sebelah luar pintu gelangsar kaca dan duduk di bawah meja. Alhamdulillah.  Berjaya ditemui dan berjaya ditangkap. Sebelum itu, beberapa minit sebelum ular dijumpai, barulah anak jiranku membuka pagar rumah mereka dengan takut-takut...


Aku bangga dengan sikap prihatin suamiku.  Nampak tu,
ala-ala 'abam sado' bak kata budak-budak sekarang.  Sampai
buka baju untuk ke pejabat sebab sudah kepanasan.
Terima kasih Encik Encik Bomba semua.
Besar juga ular itu, kan? Itu dia tengah melingkar-lingkarkan
badannya, jadi nampak agak pendek.

Salahkah ular itu datang melingkar di hadapan pagar?  

Tidak, bukan salah dia.  Dia tak tahu apa-apa.  Yang salah tetap manusia.  Bila setiap pelusuk muka bumi hendak diteroka, maka di mana lagi makhluk lain hendak menumpang?  Mereka juga perlukan habitat yang sesuai dengan kehendak hidup mereka.  Bila sudah tiada tempat lagi, mereka akan menjalar ke mana-mana hingga akhirnya menjadi mangsa juga kepada kemanusiaan yang hilang...



Isnin, 30 Mac 2015

Bantalku dipeluk orang...

Wah! tajuk bukan main kan?

Ceritanya  begini :

En. Suami mengajakku ke sebuah kedai yang membuat 'jualan murah' di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), Kuala Lumpur.

Bila aku terpandang kepada bantal (gambar di bawah), aku terus jatuh suka.

Aku ambil dua 'biji'.

Lelaki Bangla yang menjaga di situ dengan baik hatinya menawar diri untuk membawa bantal tersebut.  Aku berikan kepadanya sebiji.  Terus sahaja dikepitnya di bawah ketiaknya.

'Ah...sudah', kata hatiku...

Boleh sahaja aku menukar bantal itu dengan bantal yang lain, tapi apa pula katanya nanti.

Tidak mahu menjatuhkan airmukanya, aku pasrah sahaja.

Sampai ke rumah, tanpa bertangguh aku membuka sarung bantal itu 
dan memasukkannya ke dalam mesin basuh.

Cerewet sangatkah aku?

Sedangkan sebelum bantal itu menjadi milikku, pasti sudah banyak tangan yang memegangnya
atau sudah beberapa kali ia jatuh ke hujung kaki, ke atas lantai kan?

Tapi yang itu aku tak nampak!

Begitulah juga anak-anakku.
Jangan sewenang-wenangnya membiarkan dirimu disentuh
lalu kemudian kamu ditinggalkan.
Kesannya tetap ada pada mata yang memandang.

Setidak-tidaknya bantal itu hanyalah benda yang tidak bernyawa.
Tapi kamu, Allah jadikan serba sempurna,
ada akal, ada citarasa, ada segalanya.

Jadi, jagalah dirimu anakku
Jangan nanti kerana kesilapanmu,
walau sekadar membiarkan dirimu dipegang 'sebelum waktu'
kau hilang harga buat selamanya
di mata mereka yang sepatutnya menjadi pelindungmu...



Sebenarnya apa yang kalian mahukan?...

...setiap kali aku (mahupun adik-adikku) pulang ke kampung, satu soalan yang 'sangat suka ditanya' oleh 'saudara-mara' yang ada di sana : 'apa khabar dia?', 'di mana dia?', 'sihatkah dia?' (untuk pembaca, jangan tanya siapa 'dia' dalam kisah ini) dan lain-lain soalan yang kedengaran begitu ingin mengambil berat dan sangat prihatin.

Aku tidak bodoh untuk membaca rentak suara antara sikap ambil berat dan sikap penyibuk! Tolonglah, sementara rasa 'persaudaraan' itu masih ada di naluriku, jangan kalian cuba rosakkannya.

Baik-baik di hati ini penuh ikhlas menyambung tali persaudaraan, tak mustahil suatu hari nanti ianya lebur bagai api memakan sekam.  Aku sudah terlalu penat.  Setiap jawapan yang aku (mahupun adik-adikku) beri, seolah-olah tak pernah memuaskan hati kalian.  Jawapan yang macamana yang sebenarnya kalian mahu?  Atau kalian ingin mendengar maki hamun keluar dari mulutku?

Aku sebagai anak sulung (yang ada) dari ibuku menelan segala pahit manis demi hubungan yang dicincang tak akan putus. Bahagiaku adalah melihat kebahagiaan darah dagingku. 'Orang luar' tak perlulah hendak tolong sama mencorakkan apa yang sudah cantik tercorak. Tak perlu menambah lukisan kepada lukisan yang sudah siap dibingkaikan.  Hidup kita semua bukannya selama mana pun. Dari sibuk-sibuk hendak menambah warna pada lukisan orang, baiklah belek lukisan sendiri.  Sudah cukup cantikkah coraknya?  Sudah sangat sempurnakah segala warna yang tertera?

Kalau lukisan sendiri pun terpalit warna yang tak perlu atau tersalah letak warna, jangan sibuk hendak tolong mewarnakan lukisan orang. Tolonglah!  Aku juga boleh melemparkan warna yang kalian tidak suka ke atas kanvas lukisan kalian, tapi aku tak mahu mengotorkan tanganku dengan benda yang tidak perlu.

Tolonglah kalian fahami.  Sekiranya ada di antara kalian yang terjumpa catatan ini - tolong fahamkan.  Mungkin saat ini kalian boleh berbangga dengan keluarga kalian yang nampak serba sempurna, tapi hakikatnya kita pernah bermain di 'tangga' yang sama walau dalam 'baju' yang berbeza.  Mungkin aku nampak daif, tapi mataku tidak buta, telingaku tidak pekak dan deriaku tidak kaku untuk merakam apa yang aku lihat, dengar dan rasa...

Jangan jadikan diri ini bagai boomerang, walau kau lempar jauh, dia akan kembali kepadamu dan mungkin akan menghentam tepat ke  mukamu!

Boomerang (imej dari arkib Google)

Ahad, 29 Mac 2015

Biasakan menyebut 'tolong' dan 'terima kasih'...

tak kiralah setinggi mana pun pangkat atau jawatan kita
tak kisahlah setua mana pun usia kita

bila kita meminta seseorang lain membuat sesuatu untuk kita
tak kiralah serendah mana pun jawatannya
tak kisahlah setakat mana tahap pendidikannya
tak mengapalah dia hanya budak hingusan

mulakanlah permintaan itu 
dengan ucapan 'tolong'
walau hanya untuk menghulurkan sehelai kertas

jangan letakkan ego dan sombong di atas kepala
kerana ia akan memberatkan mulut untuk berkata mesra
tak jatuh pun martabat kita
malah kita akan lebih dipandang mulia

kemudian ucapkanlah 'terima kasih'
pasti orang yang mendengarnya rasa dihargai
kalau kita mencari 'hormat orang'
dengan sendirinya hormat itu akan datang
tapi kalau mulut kita berat bagai ada emas sedulang
hormat itu akan pergi terbang melayang

Gambar hiasan
Kalau dari sekarang Atuk biasakan telinga
Qaid mendengar perkataan 'tolong' dan
'terima kasih', pasti Qaid juga akan
sentiasa ingat untuk menyebutnya
di masa hadapan kepada sesiapa
sahaja, kan Qaid?

Jumaat, 27 Mac 2015

Kalau hendak tutup, tutuplah dengan sempurna...

...agar orang tahu dan faham bahawa ianya benar-benar kawasan larangan.  Apa gunanya dipagar, dirantai dan dikunci andai kiri kanan terbuka dan mudah dicerobohi...



Begitu juga diri kita, bagaimana orang hendak faham bahawa diri kita tidak boleh 'dicerobohi' andai kita dengan rela menayang apa yang kita ada walaupun kita bertudung kepala, kan?

Sekadar ingatan buat diriku yang selalu lupa walaupun sudah di hujung usia...

Khamis, 26 Mac 2015

Restoran Subway sudah mula kenakan GST?...

...atau aku yang tak faham catatan pada resit itu?



En. Abu Bakar Omar, tolong jelaskan kepada saya sebab penjelasan Encik kepada En. Sofi Jikan itu masih belum saya fahami...

Gambar dari blog JR's

Rabu, 25 Mac 2015

Hari ini hari Rabu, kan?...

...di hujung-hujung usia ini, aku selalu lupa tentang 'hari ini hari apa'
kadangkala aku terlewat sehari
kadangkala aku tercepat sehari

namun yang aku pasti
bila tiba saat dijemput kembali
sesaat pun tidak akan lewat
sesaat pun tidak akan cepat

cuma
aku berharap bila tiba saatnya
aku dijemput kembali dalam keadaan
'baik serta sempurna'
juga dalam keadaan
'beriman teguh kepadaNya'

Aamiinn.

Gambar sekadar hiasan...

...sebelum ini ada beberapa komen mengatakan gambar di blog
ini tidak dapat dilihat.  Rasanya gambar yang tidak dapat dilihat
itu bila aku membuat catatan dan memuatnaik gambar melalui
Samsung Note3ku... agaknyalah... Dua tiga catatan terbaruku
aku buat melalui komputer meja setelah gambar dari telefon
kualihkan ke komputer...

Selasa, 24 Mac 2015

Percutian singkat ke Kuala Terengganu...

Sebenarnya nak katakan percutian pun tak berapa nak kena.  Aku kan memang dah cuti dari dunia pekerjaan buat selamanya (InsyaAllah) dan En Sepet pun dalam cuti sekolah.  En Suami ke sana atas urusan kerja, jadi anak isterinya hanya menumpang (seperti biasa)...

Pergi pada pagi Isnin (16/03/2015) dan balik pada petang Selasa (17/3/2015 - tiba di rumah lebihkurang jam 12.00 tengah malam) sebaik suami selesai dengan tugasnya.  Sepatutnya balik pada Rabu (18/3/2015) tetapi memandangkan En Sepet tidak begitu sihat dan ada tugas menanti, kami balik juga pada petang Selasa itu.

Jom tengok gambar dengan sedikit catatan (mohon maaf kepada yang tak boleh nampak gambar di blog ini kerana aku sendiri tidak tahu apa puncanya)...

Selepas lebihkurang enam jam perjalanan dari Kuala Lumpur
melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT)  dan LPT2, kami tiba
di Kuala Terengganu.  Bas Bandar ini merupakan salah satu
'mercu tanda' Kuala Terengganu.

Kami menginap di Primula Beach Hotel









Selepas mendaftar masuk dan meletakkan beg,
kami keluar ke Pantai Batu Buruk...

Hampir kesemua gerai di Pantai Batu Buruk ini menjual
makanan bergoreng ini (colek?).  Tapi kami tak beli pun.

En Sepet punya

Air Batu Campur tetap menjadi POJAAN
hati dan tekak En Suami


Sempat juga singgah di Pasar Besar Kedai Payang (Pasar Payang)
tapi di sini juga kami tidak membeli apa-apa

Tumpang lalu, ya...

Cuaca adalah sangat panas pada masa ini.
Ada sepasang pengantin (tak pasti sama ada
pengantin betul atau hanya model majalah)
membuat penggambaran di sini.

Jalan-jalan lagi dan singgah makan di gerai mana entah,
pesan dan makan kuey teow goreng basah ini.

Sarapan pada pagi 17/3/2015.
En Sepet yang tidak begitu sihat juga tidak
begitu berselera untuk makan.

Nasi Dagang i ni memang betul-betul 'dagang'. Lauknya hanya
satu - gulai ikan tongkol.  Tapi rasanya teramatlah sedap.  Kalau
tak percaya boleh tanya Amy.  Kan Amy, kan? :)

Untuk makan tengahari merangkap makan
petang, kami cuma pesan makanan dihantar
ke bilik kerana En Sepet sudah 'melepek'.
Andai dia sihat, jangan haraplah hendak duduk
di dalam bilik.  Pasti emaknya jadi peneman
di tepi kolam mandi.  Chicken Chop ini
berharga RM30.00 (termasuk cukai)

Makan-makan di Restoran China Muslim Hj Shahrin Low Grand...

Tarikh : 15/03/2015

Catatan ini hanya untuk ingatan dan kenangan kerana ia mungkin hanya datang sekali dalam hidup kami sekeluarga.  Bukan catatan bersifat riak atau menunjuk-nunjuk. Untuk marhaen seperti kami, makan-makan sebegini sudah begitu mewah dirasakan walaupun bagi orang lain ia hanyalah sesuatu yang sangat biasa.  Sebenarnya sudah lama suami ingin membawa kami sekeluarga makan-makan di hotel, tapi bagiku makan di hotel bukanlah sesuatu 'yang selalu menggembirakan'.  

Akhirnya, kami memilih Restoran Chinese Muslim Hj Shahrin Low Grand di Wisma Chinese Chamber, Jalan Ampang untuk bersama menjamu selera.  Tiada pelanggan lain pun sewaktu kami makan-makan di situ.  Hidangan yang disediakan rasanya berbaloi dengan jumlah yang dibayar. Walaubagaimanapun, suasana di dalam restoran ini agak 'suram' tetapi selesa bagi kami kerana hanya kami pelanggan yang ada di situ... :)

Jom layan gambar... 


Sukanya Qaid, padahal dia bukan boleh makan pun...

Sementara menanti hidangan, Mummy Qaid masih sempat 'berbisnes'...


Tauhu Telur Masin = RM15.00.  Udang Susu Mentega = RM50.00
Telur Dadar Berisi = RM15.00

Ayam Limau = RM15.00

Ketam Mentega dan Labu = RM75.00 / RM76.00


Sayur campur = RM30.00.  Telur dadar 'berisi' (ada makanan
laut seperti udang di dalamnya) =RM15.00 setiap satu.

Kerapu stim = RM97.00



Eh... gambar orang yang membelanja tak ada la...
Macam mana nak ada, dah dia (En Suami) yang
merakamkan gambar ini, kan? :)

Mahal kan?  Hmmmm... memang rasanya inilah kali pertama dan terakhir
kami berpeluang menjamu selera di sini.  Ini belum kena GST lagi!

Isnin, 23 Mac 2015

Mari berkenalan dengan Hj Shahrir Ali...

Blog beliau di sini : UNCLE815

Aku memang rajin meninggalkan komen di ruang komen catatan
beliau.  Biasanya beliau akan membalas semua komen-komen yang
ditinggalkan oleh pembaca.  Walaupun blogku tidak tersenarai di
bloglist beliau, tapi blog beliau ada di senarai kanan blog ini. :)

Hj Shahrir Ali adalah seorang lelaki berusia 47 tahun yang sangat kaya dengan pengalaman hidup. Beliau membina kerjaya bermula dari bawah sehinggalah beliau berada di kedudukannya sekarang. Baginya, kejayaan tidak datang dengan jalan pintas.  Untuk menjadi seorang chef yang berjaya, memerlukan pengalaman bukan setahun dua.  Bukan hanya menyertai rancangan realiti dan hanya bersandar kepada paras rupa... 

Untuk anak-anak dan adik-adik, beliau ada berkongsi pengalaman demi pengalaman di blog beliau. Yang terbaharu, boleh baca DI SINI dan DI SANA.  Jadikanlah pengalaman yang diceritakannya sebagai suntikan semangat untuk melangkah ke puncak jaya...

Rajin-rajinlah juga untuk 'menyelongkar' catatan-catatan lama beliau yang penuh dengan panduan untuk mereka yang inginkan kejayaan.