Kawan-kawan kakcik

Selasa, 30 November 2010

Antara Helang dan Memerang...

seronok agaknya menjadi helang
di angkasa luas melayang terbang
menyambar mangsa bila terluang
janganlah terkulai di muncung senapang


 

sesalkah agaknya jadi memerang
kerana bau dihindar orang
terpaksa menyorok di dalam lubang
walaupun comel tiada yang memandang



Hulurkan tangan ringankan beban...


Terbaca tentang kisah Baby Afiq (gambar) di blog Acu Sayang yang akan menjalani pembedahan jantung di India.  Baby Afiq adalah anak bongsu kepada blogger DJ Epoi  (sekarang blog DJ Epoi tidak aktif mungkin disebabkan kesibukannya berhempas pulas mencari rezeki kerana DJ Epoi juga mengalami masalah kesihatan yang agak serius).

Sekiranya ada yang ingin menghulurkan sumbangan, bolehlah berbuat begitu dengan menyalurkan sumbangan anda ke akaun  DJ Epoi di:

Maybank : 162311772012
Nama      : Saiful Anuar bin Abdul Rani
Tel           : 013-2078787

Biarpun sumbangan itu kita anggap kecil, mungkin ianya sedikit sebanyak dapat meringankan beban saudara kita.  InsyaAllah.



Isnin, 29 November 2010

Apa yang anda ingin tahu tentang saya - menjawab tag gB...

“Once you have been tagged, you are supposed to write a note, with 25 random things, facts, habits or goals about you. At the end, choose 25 people to be tagged. You have to tag the person who tagged you. If I tag you, it’s because I want to know more about you. Your cooperation is highly appreciated. Haha!”

Sebenarnya, sepertimana yang pernah kunyatakan dulu, aku bukanlah 'penjawab tag' yang baik.  Bagaimanapun, kali ini aku cuba menjawab tag gadisBunga ini.  Bukan main banyak pula tu yang hendak disenaraikan!  Harap baca senarai merapu ini dengan hati dan minda yang terbuka, ya? :)

1)  Aku seorang perempuan tua yang menjangkau usia separuh abad tapi selalu lupa pada angka tersebut.

2)  Isteri kepada seorang suami yang punya satu isteri setakat ini.

3)  Ibu kepada 4 anak lelaki yang belum beristeri.

4)  Masih berkhidmat sebagai seorang pengira biji kopi sejak (eh! lupa pulak sejak bila...).  Tanda dah 'tak lama' la tuuu...

5) Alamak! baru masuk nombor 5.. banyak lagi nak kena senarai ni... huhuhu...

6)  Berwajah sombong (ala.. memang sombong punnn.. tak sedar diri menumpang bumi Allah).

7)  Walaupun berwajah sombong, tapi sangat sensitif.  Mudah kasihan pada semua situasi yang menyedihkan (ayat apa entahlah labuuuuuu).

8)  Sangat suka membaca.  Dulu, selalu juga kena tegur dengan mak sebab kertas pembungkus (tak kiralah bungkus apa) pun habis aku baca sampai melewatkan kerja lain!

9)  Ada koleksi novel yang agak banyak.  Tapi dah lama tak beli novel baru.  Ramlee Awang Murshid ada keluarkan album novel baru, tak?

10)  Suka juga makan angin (nasib baik tak suka makan tanah) sebab boleh tengok tempat orang.  Tapi, setakat ini belum pernah keluar Malaysia kecuali ke Singapura (itu pun dah berkurun yang lalu) dan ke Selatan Siam (ada lagi ke perkataan Siam tu kat Atlas?)

11)  Selalu terfikir nak pencen awal sebab rasanya tiada sumbangan yang baik dapat diberikan kepada organisasi (selain ngadap blog yang entah apa-apa ni - silap-silap kalau bos tahu, pc ni pun kena tarik!).

12)  Pernah sekali diberi Anugerah Perkhimatan Cemerlang (APC) - lepas tu tak dapat lagi sebab selepas dapat anugerah (oh! lihatlah doniyaaaa....) terus tak tahu buat kerja sebab terkejut.

13)  Tak pandai bergurau.  Kalau bergurau pun 'macam tak masuk' kata orang.

14)  Masa sekolah dulu, pernah lempang budak lelaki sampai budak tu menangis dan siap cakap, 'nanti aku kabo kat opah aku'.  Aku jawab balik 'pergilah kabo sekarang, ingat aku takut?'.

15)  Sekali lagi aku pernah 'hempas' selonggok(?) buku latihan sekolah atas kepala budak lelaki sampai dia pening (jahat juga aku, ya?)

16)  Pernah juga sekali aku lawan tarik rambut dengan seorang budak perempuan sebab aku memang 'pantang' kalau orang babitkan nama ahli keluarga aku dalam ejek-mengejek.

17)  Di sekolah, aku memang tidak berminat dengan sukan. 

18) Aku cuma minat menulis dan hasil karyaku pernah terbit di makalah (bukan majalah) sekolah, Utusan Pelajar dan juga di Radio Singapura.

19)  Pernah mendapat berpuluh pucuk surat dalam sehari (masa tu mana ada telefon bimbit) termasuk dari Indonesia dan Singapura bila karyaku tersiar di radio (mengamuk bapaku).

20)  Eh! apa pasal tak habis-habis lagi ni????

21)  Sekali waktu menjelang Hari Raya, aku balik kampung naik keretapi.  Disebabkan tiada tempat duduk (keretapi masa tu, main sumbat je - kelas 3), aku berdiri di tepi pintu.  Sekumpulan pemuda (biasalah tu kannnnn), menawarkanku tempat duduk.  Pada Hari Raya, satu rombongan bermotorsikal datang ke rumahku (nasib baik aku tiada di rumah waktu tu).  Sekali lagi bapaku mengamuk padaku!

22)  Impianku hanya ingin melihat anak-anakku menjadi insan yang berguna.  Yang tidak melupakan Agama dan Tuhan Yang Menjadikan.  Juga tidak lupa kepada asal usul dan keluarga.

23)  Aku juga sangat ingin menjadi isteri yang solehah buat suamiku, anak yang solehah buat kedua ibubapaku dan ibu yang menjadi contoh yang baik buat anak-anakku.

24)  Aku tidak minta untuk disanjung, tapi aku sangat terharu sekiranya ada yang sudi menyayangi diriku dan menerima aku seadanya.

25)  Ya... sampai juga ke angka ini.  Assalamu'alaikum warrahmatullah hiwabarakatuh.

Tak payahlah aku tag siapa-siapa.  Dah ramai yang buat tugasan ini.






Anak-anak sekarang...

Gadis Melayu kena pandai duduk bersimpuh, ya anak-anak...

Belum hilang penat menguruskan majlis Tahlil yang ditaja oleh Along pada Sabtu malam, semalam (Ahad) Bangcik membawa kawan-kawannya seramai lebihkurang 15 orang untuk makan-makan di rumahku.  Teringat masa aku masih bersekolah dulu, bertandang ke rumah rakan-rakan hanya di waktu Hari Raya.  Rupa-rupanya, budak-budak sekarang tidak menunggu Hari Raya untuk bertandang.   Tapi, ada bagusnya mereka datang ke rumah, tahu juga dengan siapa anak-anak berkawan dan keluar.  Selepas makan dan solat Zuhur, mereka keluar beramai-ramai untuk menonton wayang cerita Nangkung.  Di mana-mana pun, nampaknya perempuan lebih ramai dari lelaki!

Mujur juga Miss Top Up  tak ikut sekali.  Kalau tidak, harus dia kena tazkirah dengan mak Bangcik!



Dia bapaku...


Dia bapaku - tanpanya siapalah aku
tapi lihatlah tubuhnya yang kian lesu
menanggung rindu pilu di hatinya yang sendu
anaknya yang 'hilang' tetap juga ditunggu-tunggu

kepada 'kamu' di luar sana
andainya catatan ini 'kamu' terbaca
aku merayu dengan sesungguhnya
pulanglah sebelum bapa 'menutup mata'

kau tahu rumahku di mana
kau tahu nomborku tak pernah bertukar selamanya
biarlah orang kiri kanan sibuk mengata
kau dan aku tetap bersaudara

aku tak tahu nak kata apa lagi
aku tak pandai nak bermadah begitu begini
namun aku tahu apa yang tersirat di hati
dan aku tahu kau juga mengerti

v

v

v

v

v

v

v

K.E.M.B.A.L.I.L.A.H!




Ahad, 28 November 2010

Tarik nafas dulu...

Lepas majlis semalam, ke Banting hantar makanan untuk Angah yang tak balik waktu kenduri.  Sampai rumah dah pukul 2.00 pagi.  Syukurlah ada adik-adik dan adik ipar yang tolong segala-galanya.  Bangun pagi ini sambung kemas apa yang patut.  Nanti-nantilah cerita lagi, ya?


tanda mata dari orang yang 'terlampau pandai' buat kerja dapur...
sakit tauuu.. kena periuk panas ni... huhuhu....




Jumaat, 26 November 2010

26/11/2010 - cuti


cuti bukan bererti rehat
banyak benda nak kena buat
silap silap kena telan ubat
dek kerana badan yang penat


tadi singgah di Pasar Chow Kit
beli barang serba sedikit
terlanjur Along dah bagi duit
jangan sampai dia mengungkit


dengan suami masuk bersama
selalunya beliau masuk sendirian sahaja
mungkin sebab beliau tak terdaya
mengangkat ayam 20 ekor SAHAJA


hendak buat kenduri kecil-kecilan
hasrat Along yang tertangguh sejak berbulan
harap segalanya lancar berjalan
menggigil juga aku nak sedia hidangan


hasrat hati nak jemput kawan-kawan
tapi tak berani pula nak beri jaminan
jangan ada yang rasa terkilan
bukan bererti aku melupakan...


curi-curi ambil gambar - takut disalah sangka, tak pasal-pasal pulak kena belasah!






Khamis, 25 November 2010

Tersesat...

Seekor burung tersesat masuk ke pejabatku pagi ini.  Susah pulak nak dapatkan gambarnya.  Terbang ke sana ke sini mencari jalan keluar.  Kasihan, kan?





Baik ambil gambar BS ni... macam-macam gaya dia boleh buat!



Rabu, 24 November 2010

Jom kira biji kopi....

Seharian tadi mengira biji kopi sampai juling biji mata!  Jangan tanya mana biji kopinya kalau tak nampak....  Cuma nampak angka-angka sahaja menunjukkan berapa banyak biji kopi yang dikira tapi tak cukup-cukup.  Fail-fail tu untuk apa?  Untuk simpan maklumat mengenai biji kopi tu lah...





Esok - tugas ini akan bersambung lagi.... 




Jam 6.00 pagi...




Ayam pun masih malas nak berkokok - aku sudah di dalam kereta menuju ke tempat kerja.  (Tangki air itu terletak di hadapan rumahku).

Nota hati :  hari ini kira biji kopi di luar kawasan, sekiranya ada 'pandangan dan pendapat', akan lewat dibalas... :)


Selasa, 23 November 2010

Hampir terlupa...

Seorang teman menegurku tadi, 'lajunya berjalan'

MasyaAllah.  Aku hampir terlupa bahawa beberapa bulan yang lalu, aku hampir sahaja tidak berdaya untuk mengatur langkah walau untuk jarak yang dekat.  Menunaikan solat pun seringkali dalam keadaan duduk disebabkan kaki yang tidak mampu untuk berdiri!

Alhamdulillah, selepas menjalani pembedahan - dengan izin Allah, aku kini telah mampu berjalan dengan laju dan dapat mendirikan solat dengan sempurna (hanya Allah dapat menilai sesempurna manakah solatku).

Teringat saat getir selepas pembedahan (aku langsung tidak sedar sewaktu pembedahan dijalankan - yang memakan masa lebihkurang 7 jam itu), serik untuk aku melaluinya lagi.  Syukurku kepada Ilahi, walaupun kini masih terasa agak sengal di belakangku, aku bebas untuk bergerak.  Kakiku telah mampu untuk menampung badanku yang seberat guni beras 10kg darab 10 ini.




Bangcik akan mengungkit betapa dia sanggup tidur atas lantai sewaktu menemaniku di hospital bila aku marah-marah kepadanya. Amboiiii....  Mak tak lupalah sebagaimana mak tak lupa apabila terpaksa merelakan perut mak dibedah untuk mengeluarkan bangcik yang dah lemas dalam kandungan tau!




Panas hati...


Semak bil telefon di talian - huh! ada perkhidmatan TAMBAH NILAI dari anakanda ke satu nombor berjumlah RM86.50.  Serta merta darah menyirap ke kepala.  Terus telefon ke nombor 012694****.  Tak mahu pula dia angkat telefon.  Dia hantar mesej 'ni sape?'. 

Angin lagi.  Telefon sekali lagi.  Suara perempuan.  Bila angin dah naik, tak tahu dah aku nak cakap elok-elok.  Darah tengah menggelegak.  Tapi aku cakap juga 'saya nak marah kat awak pun tak boleh - balik nanti, saya akan marah anak saya'.  Berkali-kali dia cakap 'maaf makcik.. maaf makcik'.  Aku cakap 'lain kali jangan minta lagi'.  Dia jawab 'hari itu saya ada emergency'.  Lagi aku angin. 'Emergency apa tiap-tiap hari?'.

Perhatian untuk 'anakanda' - mak tahu awak baca catatan ini.  Kalau terjadi lagi, mak tak akan teragak-agak untuk tamatkan talian berbayar awak!  INI AMARAN PERTAMA DAN TERAKHIR.



Isnin, 22 November 2010

Pentingkah jawatan dalam menjalin persahabatan?

Beberapa kali aku terkena
dengan penuh hemah aku disapa
setelah bercerita konon penuh mesra
perlahan-lahan jawatanku ditanya

tanpa syak tanpa curiga
keberitahu kerjaku seadanya
pengira biji kopi yang tak punya apa-apa
hanya suka berkawan dengan siapa sahaja

setelah aku berterus terang
perbualan pun cuba ditamatkan
tanpa salam tanpa pamitan
begitu sahaja aku ditinggalkan

kalaulah berkawan mengira kesamaan
risiklah dulu sebelum memulakan
atau di hadapan pintu sila gantungkan
'saya mencari yang sama kedudukan'

aku tetap begini juga
walau tiada yang ingin menyapa
telah biasa aku sendirian sahaja
kutelan segala suka dan duka.....


Pastikah?...

awan memutih bak kapas tak tercela
langit membiru menawan kalbu
panas mentari memancar terik

.....  pastikah semua itu menjamin tidak akan turunnya hujan?











Nasib kuli...

(masih belum ada mood untuk mengarang dalam bentuk essei)


sekumpulan orang diberi tugasan
pantas ketua meluruskan tangan
arahan diberi kepada orang bawahan
segala kerja perlu disiapkan


sudah nasib orang bawahan
arahan diterima tanpa bantahan
ke sana ke sini mencari bahan
walaupun isi hati hanya diketahui Tuhan

hampir tiba waktu ditetapkan
kepada ketua hasil ditunjukkan
tapi ketua buat tak hairan
rupanya ada agenda yang disembunyikan


tibalah waktu membuat persembahan
ketua bangga ke belakang ke depan
menunjuk hebat ke pihak atasan
konon berjaya menyiapkan tugasan


'rumah siap pahat berbunyi'
terdengar bisik-bisik kanan dan kiri
persembahan diberi tak memuaskan hati
yang terlibat rasa nak melarikan diri


ketua buat muka selamba
bagai tiada terjadi apa-apa
buat apa hendak berduka
kepada orang bawahan tunjukkan saja


begitulah nasib menjadi kuli
untuk ketua puja dan puji
andai ada umpat dan keji
kepada kuli ditudingkan jari.....



Ahad, 21 November 2010

Air...

Aku kembara ke sebuah negeri
bila menginap tentulah ingin mandi
tapi aku terkedu menggaru pipi
melihat air yang keluar di pili


fikirku mungkin pertama kali
setelah dibiarkan berhari-hari
kubiarkan air itu mengalir sendiri
kiranya tiada perubahan selepas dua hari


dulu pernah juga kudengari
konon cerita di sebuah negeri
buka paip mendapat kopi
yang kualami ini bukan di negeri tadi


janganlah buat-buat terlepas pandang
yang berwajib turunlah memandang
selidiklah dari depan ke belakang
jangan hanya nampak belalang di tengah padang


tempat itu menjadi tumpuan
namanya gah menjadi sebutan
konon untungnya juta-jutaan
tapi berdendang lagu yang tak sepadan


nota hati : agak-agaknya air dari sungai ini dialirkan terus ke batang paip ke?