Kawan-kawan kakcik

Khamis, 9 Mac 2023

Budak Sepet Terkini...

Ada sesiapa masih ingat dengan BS yang tembam dan bermata sepet ini?


Sekarang budak ini sudah dewasa, kurus dan paling tinggi di dalam keluarga...

Maknya pun sudah
tenggelam!

Ahad, 2 Oktober 2022

Tetamu tak diundang...

 Nanti...

Bakal ada tetamu

Singgah tanpa kau tunggu

Tidak juga memberitahu dahulu


Dia akan datang

Menyapa dengan ramah

Bertanya apa kau perlu seisi rumah


Walau kau tidak minta

Dihulurkan hadiah semanis wajahnya

Walau kau endah tak endah

Dia tak akan berkeluh-kesah


Kau dengarkan sahaja

Akan pujuk rayunya

Berjanji itu ini

Konon apa kau pinta akan diberi


Terpulang kepada kamu

Hendak terpedaya berulang kali

Atau hendak menetapkan hati

Buat-buat tidak peduli


Entahlah... 

Yang baik bukan tiada

Yang merosakkan lebih berbahaya

Penuh tipu daya

Akhirnya terpedaya...


Rabu, 21 September 2022

Sekadar ingatan...

 Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua.


Rabu.


*jika di luar lebih selesa, duduklah dengan bersahaja.  Apa perlunya masuk ke rumah, jika dipandang endah tak endah*.


Ada kalanya, orang beriya-iya mengundang kita masuk kerana mereka nampak kita boleh membawa 'hadiah' buat mereka.  Tetapi bila tahu bahawa yang diberi bukan apa yang mereka mahu, akan disisihkan kita dengan apa pun cara.  Pedulikan sahaja, dari sudut mana pun, rezeki tetap dari Ilahi.


Jika ada yang berkata 'tanpa aku, kamu bukan sesiapa', bermakna secara tidak langsung dia telah cuba mengangkat dirinya menjadi Tuhan!


Isnin, 19 September 2022

Filem Tamil - Jai Bhim

 JAI BHIM...

(DISIARKAN DI SALURAN 203, ASTRO) 


Aku menonton filem Tamil ini bersendirian sebelum disertai En Suami di pertengahan cerita.


Tak silap aku, kisah ini berdasarkan kisah benar.


Kisahnya tentang perjuangan seorang isteri yang sarat hamil dan ada seorang anak kecil mencari keadilan bagi suaminya yang mati di dalam lokap polis.  Si suami dituduh mencuri barang kemas di rumah orang kaya, padahal beliau tidak melakukannya.


Di dalam lokap, polis menyiksa si suami dengan teruk hingga membawa maut.  Mayat beliau kemudian di buang ke negeri sebelah dalam jarak sempadan hanya beberapa kaki.


Si isteri dengan bantuan seorang peguam (yang benar-benar berkhidmat untuk marhaen tanpa mengenakan sebarang bayaran), berusaha keras untuk mendapatkan keadilan.


Mereka - isteri dan peguam tersebut - mendapat tekanan dari pelbagai pihak atasan (ahli politik, polis, pendakwaraya) agar menghentikan siasatan.  Malah si isteri ditawarkan ganjaran berjuta rupee.  Si isteri menjawab 'apakah nanti aku akan membesarkan anak-anak dan memberi tahu mereka bahawa segala perbelanjaan ini datangnya dari pembunuh ayah mereka?'


Kesudahan cerita, yang benar akhirnya menang juga.


Tiada seorang pelakon pun yang aku kenal dalam filem ini.  Tapi aku tetap terpaku menonton sehingga habis.  Tiada pelakon yang cantik atau kelihatan bersih kecuali seorang dua (guru wanita dan peguam lelaki).  Benar-benar menggambarkan kehidupan masyarakat orang asli yang dinafikan hak di tanah air sendiri.  Gigi pun berkarat...


(eh... yang aku tulis panjang-panjang ni kenapa?  Bukan orang kisah pun.  Tapi, terus terang aku lebih puas menonton filem ini dari menonton Mat Kilau)


Sudah lama tidak bersiaran...

 Bukan tiada cerita, cuma hendak berkongsi berat terasa.

Sudah tua begini, seboleh-bolehnya hendak tenang-tenang sahaja...


Tanam lada di tempat redup, 

  Dingin terasa di pinggir kali;

Aku masih meneruskan hidup,

  Menanti masa dipanggil kembali. 

 

Sabtu, 8 Januari 2022

Muffin sudah tiada...

Muffin adalah kucing pertama yang diambil untuk dipelihara oleh anak bujangku.  Sewaktu diambil, usianya sudah beberapa bulan dan masih kecil pada tahun 2019.

Diringkaskan cerita, pada petang 4/1/2022 (sekitar jam 3.00 petang), sewaktu aku dan suami balik ke rumah, aku melihat Muffin berada di dalam sangkar.  Lalu aku berkata kepada suami, 'pandainya Muffin masuk ke sangkar.  Awal lagi ni.  Selalu sudah senja baru dia balik'.   Sebenarnya, sejak beberapa hari lepas, Muffin dibiarkan bebas di luar rumah setelah dia menunjuk sikap 'memberontak' bila berada di dalam rumah.  Dia akan mencakar, memanjat pintu (yang tak pernah dibuatnya sebelum itu), muntah dan kencing merata-mata.  Akhirnya kami mengambil keputusan untuk membiarkan dia bebas di luar.  Sesekali dia akan masuk ke rumah sekejap dan bising hendak ke luar semula.  Macam mana pun, bila malam dia tetap kami masukkan untuk tidur di dalam sangkar bersama Mehit dan Mekhi.

Berbalik kepada kisah pada petang 4/1/2022,  rupa-rupanya Muffin balik kerana dia sedang kesakitan.  Dia menangis (mengiau) dengan suara yang kuat secara berterusan.  Kelihatan dia seperti tercekik dan mulutnya mengeluarkan buih yang banyak.  Suamiku segera membuat keputusan untuk membawa Muffin ke klinik haiwan berdekatan.  adik dan adik iparku yang kebetulan singgah untuk solat juga menyokong agar Muffin segera di bawa ke klinik.  Mereka turut menghulurkan sejumlah RM100 untuk rawatan Muffin.

Sampai di klinik, doktor haiwan mengatakan Muffin hampir sangat pasti termakan/terminum racun.  Muffin terpaksa ditinggalkan untuk diberikan rawatan.  Tapi hanya beberapa jam selepas itu, aku menerima panggilan dari klinik yang memberitahu bahawa Muffin tidak dapat diselamatkan. 

Kini yang tinggal hanyalah kenangan tentang keletah Muffin...



September 2019 - Pantun pada gambar adalah nukilan sahabatku
di Batu Pahat, Johor.  Terima kasih, Lin.

Di klinik.  Doktor haiwan yang melihat Muffin awal-awal sudah
mengingatkan untuk menhadapai sebarang kemungkinan.

Muffin sedang 'menangis kesakitan.

Muffin sewaktu sihat

Hilanglah segala kesakitannya 😿

Beberapa jam di klinik, Muffin pergi buat selama-lamanya.


Ahad, 21 November 2021

Aku...

Aku sering lupa

Bahawa aku sudah kian tua

Dan anak-anakku sudah dewasa

Lalu aku masih ingin menjaga mereka...


Berbicara tentang anak-anak 

Selalu aku menjadi sebak

Memikirkan yang tidak-tidak

Jiwaku sendiri menjadi rabak... 


Sudah tidak bernilaikah aku

Menjadi beban kepada anak-anakku 

Dan kepada rakan-rakan mereka merasa malu

Untuk mengaku aku sebagai ibu... 





Ahad, 30 Mei 2021

Koleksi Pantun Bergambar...

Bila menerima kiriman gambar-gambar menarik dari sahabat maya, ilham untuk berpantun pun tiba-tiba datang.

Berikut adalah antara pantun-pantun yang telah dicipta :


Sumber gambar :  Cikgu Hirman Apong, Bario, Sarawak.

Sumber gambar : Cikgu Hirman Apong, Bario, Sarawak.

Sumber gambar :  Cikgu Hirman Apong, Bario, Sarawak.

Sumber gambar :  Cikgu Zalina Amat Rosman, Batu Pahat, Johor.

Sumber gambar :  Cikgu Zalina Amat Rosman, Batu Pahat, Johor.

Sumber gambar :  Puan Marsila Sulaiman, Pretoria, Afrika Selatan.

Sumber gambar :  Puan Marsila Sulaiman, Pretoria, Afrika Selatan.

Sumber gambar :  Puan Marsila Sulaiman, Pretoria, Afrika Selatan.

Sumber gambar :  Puan Marsila Sulaiman, Cape Town, Afrika.

Sumber gambar :  Puan Marsila Sulaiman, Pretoria, Afrika Selatan.


Sabtu, 15 Mei 2021

Salam Aidil Fitri 1442H...

Sekejap sahaja hari ini sudah 3 Syawal 1442H.  Kepada yang sudah mula berpuasa 6 hari di bulan Syawal, diucapka selamat berpuasa.  Iyalah kan, hari raya pun tidak macam hari raya.  Terkurung tidak ke mana-mana...


Dalam hutan ada gua,
Galah sebatang ada disorokkan,
Salam lebaran dari kami berdua,
Salah dan silap mohon ampunkan.


Pada malam menjelang hari raya, makcik menerima undangan dari pihak Dewan Bahasa dan Pustaka untuk bersiaran di laman sosial mereka sebagai pengikut tegar!.  Entah apa yang makcik repekkan pada malam tersebut ikut sedap mulut sahaja.  Sempat jugalah makcik berpantun seperti berikut :
 
Pohon kuini pohon berangan,
Ke hujung kampung buahnya dicari,
Raya ini menandakan kemenangan,
Walau terkurung tetap dirai.



Dah tua-tua ini, sebenarnya raya tak raya, sama sahaja.
Cuma kasihan kepada anak cucu yang belum mengerti.  
Bagi mereka, hari raya pakai pakaian cantik-cantik dan jalan-jalan.
Bila terkurung, nampaklah mereka tidak gembira.  Menjadi 
tanggungjawab ibubapa memberikan penerangan sewajarnya kenapa
Hari Raya tahun ini sangat berbeza...


Ahad, 25 April 2021

Salam Ramadan 1442H...

Sekejap sahaja sudah hampir pertengahan Ramadan.  Hari ini sudah 13 Ramadan 1442H.  Mudah-mudahan Allah SWT takdirkan kita bertemu Lailatul Qadar.  Aamiin Ya Rabbal Alamin...

 




Sabtu, 10 April 2021

Si Omot...

Makcik panggil dia Omot sebab masa baru-baru sibujang makcik ambil, makcik nampak dia sangat comot.  Sibujang bagi nama Maha (Maha apa makcik tak ingat.  Kucing sebelum ini dia bagi nama Muffin Mufasa - makcik panggil Katak sebab suka duduk macam katak.  Satu lagi Mehit Muezza, makcik panggil Mok atau Omok sebab dia gemuk).

Si Omot ini masa baru diambil, diletak dalam sangkar, dia tunjuk perasaan.  Bekas makanan, minuman dan pasir semua dia terbalikkan.  Lepas itu dia baring terlentang dalam sangkar dengan kaki terjulur keluar.  Tenaganya kuat.  Dia boleh renggangkan pintu sangkar dan lari keluar.  Bila dalam sangkar, dia akan terangguk-angguk menggigil dengan air liur meleleh dari mulutnya (takkanlah air liur keluar dari mata, kan?) sehinggakan suami makcik menyangka dia berpenyakit.

Satu hari, dia terlepas.  Puas dicari, tak jumpa.  Sampai macik masukkan dalam grup whatsapp jiran setaman.  Bila jumpa, dia lari dari bawah satu kereta ke kereta yang lain.  Beberapa jam juga hendak mendapatkannya semula.

Sejak itu, Sibujang tidak lagi meletakkannya ke dalam sangkar.  Dia pandai balik untuk makan minum dan berehat di hadapan rumah.  Tapi dia sangat garang.  Kucing lain tak akan dia bagi muka.  Semua dia hambat.  Kaki kami anak beranak juga dicakarnya   Anak-anak cucu semua tak berani mendekatinya.


Tengoklah betapa besarnya dia.



Kebelakangan ini dia sudah mula mahu bermanja.  Pantang pintu terbuka, dia akan masuk ke rumah.  Tapi kena pastikan tiada kucing lain di dalam.  Nanti akan jadi perang saudara. Dia seronok bila diusap dan diurut, tapi lepas itu dia akan cuba cakar atau gigit tangan kita! 
 
Muffin dan Mehit terpaksa mengalah bila Omot masuk.  Kenalah diletak ke dalam sangkar mereka.  Permaidani juga tidak boleh dihamparkan takut jadi tandas mereka.  Lagipun susah hendak membersihkan bulu yang melekat...

Jumaat, 9 April 2021

Sebulan instagramku bermasalah...

Tak tahu apa puncanya.  Tiba-tiba tak boleh hendak letak huraian gambar. Tak boleh hendak komen gambar orang lain.  Tak boleh hendak bals komen di gambar sendiri.  Tak boleh hendak like. 

Sudah sebulan begitu, akhirnya ambil keputusan untuk tutup shaja akaun instagram itu.  Sebelum tutup, terbaca komen dari @lyanaishak yang meminta buang link blog di bio. 

Setelah mencuba, Alhamdulillah segalanya pulih semula.  Terima kasih Lyana. 💕💕


Rabu, 3 Februari 2021

Mahal tak semestinya sedap...

Mi Kari RM10.00 (Pemilaian 5/10)

Mi Kari RM5.00 (Penilaian 8/10)

 
Namun selera orang bukannya sama, kan?  Tak sedap di lidah dan tekak kita, mungkin sedap bagi orang lain.  Begitulah juga sebaliknya...

Rabu, 20 Januari 2021

Lauk paling sedap...

 


Merah pipi disapu bedak
Hati bergetar dup dap dup dap
Sama ada PKP atau pun tidak
Inilah lauk yang paling sedap

 

Ahad, 17 Januari 2021

17/01/2020 - 17/01/2021 - Genap setahun...

Alhamdulillah, genap setahun Angah dan Hannah mendirikan rumahtangga.  Majlis pernikahan yang ringkas namun sempurna hanya di Pejabat Agama Islam. (Dua bulan kemudian, PKP - Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan dan lebih ramai pasangan yang hanya boleh bernikah di pejabat agama sahaja)
 

 
Sebagai ibu, doaku untuk anak-anak dan menantu-menantuku adalah agar mereka hidup rukun damai (pergeseran dalam rumahtangga adalah lumrah, namun jangan dibiarkan luka menjadi barah), sentiasa berada dalam jalan yang diredho Ilahi dan saling melengkapi kekurangan masing-masing.  Aku juga tidak berminat untuk campur tangan dalam urusan mereka.  Jika diminta pandangan mungkin boleh aku beri, tapi untuk menyibuk rasanya tidak sama sekali.

Satu lagi, urusan cahayamata adalah Allah yang punya kuasa.  Jangan sibuk hendak bertanya sehingga anak menantu tidak selesa. Rezeki itu Allah yang tetapkan.  Kita sebagai hamba hanya boleh berusaha, berdoa dan tawakkal kepadaNya.

Kesian Hannah, usai menikah masing-masing kelaparan.  Restoran yang hendak dituju, tutup pula.  Akhirnya dengan pakaian pengantin pasrah sahaja makan di kedai mamak!

Selamat menyambut ulangtahun perkahwinan yang pertama Angah dan Hannah.  Doa mak dan ayah sentiasa mengiringi kehidupan kalian selagi nyawa dikandung badan.  Aamiin.

Jumaat, 15 Januari 2021

Ada ni... belum hilang lagi...

 Tahun pun sudah berganti

namun virus Covid19 jangankan beransur pergi

malah mengganas hari ke hari

...dan PKP pun berulang kembali...

Bawang pun sudah berakar dan bertunas, namun hutang tetap juga tidak tuntas!


Jumaat, 18 Disember 2020

Muffin dan Mehit...

Muffin dan Mehit adalah dua ekor kucing berwarna oren.

Muffin diberi oleh seseorang kepada anak bujangku.

Mehit pula dibawa balik oleh anak yang sama dari padang permainan.

Waktu mula-mula Mehit dibawa balik, dia tidak disukai oleh Muffin.  Tapi sekarang mereka sudah boleh berkawan.  Kadang-kadang bercakar, kadang-kadang bergurau.

Mehit muda sedikit dari Muffin.




Saya Mehit


Sayalah Muffin

Masa jualan 12.12, yang dibeli adalah makanan mereka!