Selasa, 31 Mei 2011

Bahagiakah ...



bila diri dijadikan tontonan
walau makan dan tempat disediakan
persekitaran dihias dan diindahkan
tapi tiada kebebasan
dan tidak diberi sebarang pilihan
apatah lagi untuk membuat keputusan



Isnin, 30 Mei 2011

Jalan-jalan di Low Yat Plaza...

Ini adalah catatan berjadual. Sebenarnya ini kisah minggu lepas.




Selepas 'menempah' satu set komputer meja, singgah pula membeli sebuah telefon bimbit untuk Bangcik.  Tak tahulah berapa lama boleh tahan hayat telefon bimbit itu kerana Bangcik ini agak tidak serasi dengan telefon bimbit.  Sudah beberapa buah telefon yang 'maut' ditangannya.  Harap-harap telefon  kali ini akan lama usianya.

nota hati : Lupa nak ambil gambar komputer meja yang baru itu (sewaktu catatan ini dibuat) gara-gara geram dengan modem sreamyx yang tiba-tiba sahaja nazak sehingga tidak dapat melayari internet di rumah.  Telefon ke talian 100 Telekom Malaysia, lama pula terpaksa menadah telinga pada 'suara mesin'.  Masalah belum selesai juga!



Jumaat, 27 Mei 2011

Makan-makan di Restoran Ayahanda...









Tomyam putih yang sangat sedap

Kuey teow ladna yang juga sedap

Ikan kembung tiga rasa yang diratah begitu sahaja
 
Hehehe ... penat menunggu agaknya si BS ni!

Alamat ???  Sila rujuk DI SINI


Khamis, 26 Mei 2011

Kau kata kita bersaudara...

tapi di belakang mengapa beriya-iya kau mengata
kau bercerita dengan wajah yang ceria
seolah semua itu bukan suatu dosa

tidak mengapa kalau kepadaku kau tidak suka
tonjollah kebaikanmu kepada sesiapa sahaja
tapi di hadapanku tidak perlulah kau berpura-pura
seolah-olah deritaku kau turut merasa

sanggup kau makan daging saudaramu
dan darahnya kau hirup semahu-mahu
kau tersenyum di sebalik wajah yang konon sendu
dan suaramu pun  sengaja mendayu-dayu

aku bukan manusia suci
yang di hatiku tak pernah ada benci
namun kucuba untuk mengerti
bahawa hidup ini ujian yang hakiki

lantaran masa tak mungkin kembali
segala yang perit tetap juga aku hadapi
mengharap setitis kemanisan sebelum pergi
dan semoga kesumat tidak kekal di dalam hati



Rabu, 25 Mei 2011

Maaf ... (dan perhatian kepada Telekom Malaysia) ...

... kerana tidak sempat membalas komen-komen.  Talian internet di rumah masih bermasalah.  Mungkin kena tukar dari Streamyx ke Unifi seperti yang disarankan oleh Dr Singa.  Setiap hari telefon ke talian 100, jawapan yang diberi membuatkan kesabaran yang semakin menipis ini menjadi lebih nipis dari segala yang nipis!  Jangan hanya berbangga dengan bilangan pengguna  yang ramai tapi layanan kepada pengguna yang merupakan pelanggan tidak diambil berat (marah ni tau!!!!).  Kena tunggu 72 jam jugakah baru tindakan akan diambil??  Huh!

Harapnya hari ini lebih baik dari semalam!


"Mak saya tu, kalau dah marah - hantu pun cabut lari tau!"




Selasa, 24 Mei 2011

Benarkah?? ...



Bukan kakcik mempertikaikan komen Ayu, tapi benarkah apa yang ditulis dalam Harian Metro itu? Berapa ramai agaknya ibubapa yang enjoy sewaktu muda berbanding dengan ibubapa yang berkorban segala-galanya untuk anak-anak dan keluarga tercinta? 


nota hati : hari ini dan esok, kakcik akan menghadiri 'Kursus Kemahiran Rundingan'.  Mulai Khamis, kakcik akan bercuti selama seminggu.

Hari ini, masuk hari ketiga sreamyx buat hal (mungkin masalah modem), jadi kakcik langsung tidak dapat melayari internet dari rumah. :(



Isnin, 23 Mei 2011

Miskin...



Ada yang gaji beribu-ribu
tapi tanggungan 'bersusun paku'
harga barang naik bagai berhantu
bagaimanakah pula ukurannya itu???



Kematian ...

tak pernah ia jauh dari kita
mungkin ia menyapa
waktu kita sedang ketawa
waktu kita sedang leka
waktu kita sedang suka
waktu kita sedang alpa
waktu kita sama sekali tidak bersedia

kita tidak akan tahu
bila saat akan berlaku
bila ketika akan bertemu
walau kita sedang sendu
walau kita terbaring kaku
walau kita tertunggu-tunggu
dia tidak akan memberitahu

dia tetap akan datang
dalam susah atau dalam senang
bukan pilihan kita sewenang-wenang
tidak juga masanya boleh dibilang-bilang

Al Fatihah kepada anak-anak dan semua mangsa runtuhan di Hulu Langat serta salam takziah buat seluruh ahli keluarga mereka.  Semoga roh kesemua mereka (salah seorangnya adalah rakan sekelas Budak Sepet) ditempatkan di Jannah.



Jumaat, 20 Mei 2011

Google pun pandai guna bahasa sms? ...



   Agaknya sudah tak muat ruang nak tulis dengan sepenuhnya!!




Restoran Ayahanda, Pandan Indah...

Malam tadi aku bersama suami dan anak-anak (bangcik dan BS) keluar untuk memasukkan sedikit wang ke dalam akaun Angah.  Kemudian, aku minta pada suami untuk singgah di Restoran Ayahanda, Pandan Indah.  Aku pun tidak tahu lokasi yang tepat di mana terletaknya restoran ini.  Selepas membaca di Blog Ikut Suka Aku (ISA) berkenaan restoran ini pada 6/5/2011 (Jumaat dua minggu lepas), dari sehari ke sehari aku memikirkan untuk singgah tapi tidak berkesempatan.

gambar dari : restoranayahanda.blogspot.com

Setelah berpusing sekali dua, akhirnya kami tiba juga di restoran ini.  Kebetulan pula malam tadi aku tidak membawa kameraku bersama, jadi tiadalah gambar yang dapat kurakam (kamera telefon bimbit ada, tapi aku tidak pandai memanfaatkannya).

Mungkin kerana hujan atau mungkin juga kerana malam Jumaat, hanya kami anak beranak yang masuk untuk makan di situ (aku kemudiannya menelefon Along yang baru balik dari Masjid untuk menyertai kami).  Kami memesan makanan yang biasa-biasa sahaja - dua pinggan nasi goreng kampung, sepinggan kuey teow goreng, dua pinggan nasi putih bersama dua mangkuk tomyam, paprik ayam, udang sambal, telur dadar dan kailan goreng ikan masin.  Minuman pula - dua gelas milo ais, tiga gelas air buah dan empat gelas air kosong bersama ais.  Kos keseluruhan hanya RM54.00

Pemilik restoran ini, Pn Wati adalah seorang wanita yang sangat ramah.  Beliau juga seorang blogger (aku lupa nama blognya).  Setelah bercerita begitu begini, dia mengenali blog picisanku ini!  Katanya, sewaktu aku melangkah masuk, dia seperti pernah melihat aku.  Tapi bila suamiku mula bertanya itu ini, dia dapat merasakan bahawa kami baru pertama kali menjejakkan kaki ke restorannya.  Jadi, di mana pula dia mengenaliku?  Oh! rupa-rupanya melalui blogku..hehehe...

Berbalik tentang makanan yang kami pesan.  Suami dan anak-anakku (termasuk aku sekali) mengakui bahawa makanan yang dihidangkan memang sedap dan cukup rasa.  Tidak rugi mencuba dan besar kemungkinan kami akan datang lagi dan lagi.  Kerana restoran ini ditutup pada hari Ahad, aku akan cuba datang pada hari Sabtu untuk menikmati masakan ala-ala kampungnya. 

Pada waktu malam, hanya ada makanan bergoreng, nasi ayam dan makanan ala Thai.  Masakan ala kampung di sediakan untuk makanan tengahari (siang) sahaja.

Mendengar rintihan Pn Wati, rupa-rupanya bangsaku tidak pernah lepas dari penyakit hasad dan dengki.  Restoran ini yang pada satu waktu pernah mendapat perolehan yang sangat memberangsangkan, kini seolah-olah tertutup dari pandangan mata kasar orang yang lalu lalang.  Apa-apapun, aku mendoakan agar Pn Wati terus diberi kekuatan dalam menghadapi cubaan dan dugaan. 

Kepada rakan-rakan yang membaca catatan ini dan ingin mencuba masakan yang disediakan di sana, silalah singgah di alamat ini (bayar sendiri tau - hehehe...) :


nota selingan :

Terima kasih kepada Pn. Cyanamoose yang menghadiahkan beg comel ini sebagai tanda ingatan sempena lawatannya ke Beijing baru-baru ini.  Terima kasih daun keladi, ya Cyana...





Khamis, 19 Mei 2011

Bertimpa-timpa...

peti sejuk menjadi panas tiba-tiba
yang didingin beku rosak semua

kipas dinding tertanggal penyangkutnya
mujur juga tak menimpa kepala

komputer meja skrinnya gelap gelita
tidak dapatlah hendak mengadap seperti biasa

aduhai

v

v

v

v

v

mungkin ada hikmah di sebaliknya

.

.

.

.

.

ada sesiapa sudi menderma?

 hah!

sepatah kata adikku

'selagi mampu membeli ayam goreng segera,

jangan mengada-ngada meminta derma!'



Aku bukan sibijak pandai...

... namun itu bukan bermakna aku bodoh!

kau boleh memalukan aku
kau boleh mempertikaikan kemampuanku
kau boleh berkata apa saja tentang diriku

tapi ...
jangan cuba-cuba kau sentuh keluarga yang kujaga
jangan sewenang-wenangnya kau perlekehkan maruah mereka
bukan aku membela membabi buta
bukan aku menentang secara suka-suka

kalau salah ...
tegurlah secara berhemah
bukan menghamburkan sumpah seranah
sehingga tidak dapatku faham mana biji mana buah
lalu aku akan ikut melatah

jangan agama dijadikan permainan
menegur konon untuk kebaikan
di sebaliknya ada agenda yang kau sembunyikan
mungkin ingin menunjuk diri yang terasa dilupakan


Segagah mana pun sebuah gunung, tidak tertepisnya awan yang datang melindung...

nota hati :  dalam riangku, ada hati yang kadangkala beku - yang tidak akan terbuka walau diketuk bertalu-talu. Dalam diamku, ada jiwa yang tiba-tiba menjadi sayu - cair sendiri meski tiada yang memujuk rayu.



Rabu, 18 Mei 2011

Kujejaki semula...


seminggu selepas bapa pergi buat selamanya
bersama adik-adik, adik-adik ipar, anak-anak dan anak-anak saudara
pulang bersama di dalam empat buah kereta
menjengah rumah yang telah ditinggalkan beberapa purnama

sayu hati tidak kutunjuk di wajah
melihat orang lain yang menguasai rumah
dari ianya dibiarkan rebah
baiklah terjaga walau hatiku rasa berdarah


sempat juga ke pusara bonda
kerana itulah tujuan utama
akan datang lagi walau entah bila
yang penting adalah ingatan dan doa


Adik jangan lupa mendoakan yang baik-baik untuk mak dan ayah nanti, ya?













Isnin, 16 Mei 2011

Aku bercerita...

... bukan untuk menjaring umpat dan nista
bukan untuk orang lain menambah dosa
kalau suka - baca
kalau sebaliknya - janganlah menyuakan muka
kalau enggan mendengar - tutuplah telinga

aku bercerita
sekadar meluah apa yang terbuku di dada
bukan simpati yang cuba dipinta
hanya melepaskan sesak yang meronta

aku bercerita
seolah-olah berkata tanpa suara
dalam diam mengesat mata
hanya aku yang mengerti diriku jua ...


Yang pergi tetap pergi...

pergi yang tak mungkin kembali lagi
yang tinggal semoga mengingati
bahawa jejak itu akan tetap dituruti
jangan pula bersenang-senang hati
bagai hidup tidak akan mati

biar apapun rasa yang tersirat
walau bagaimana jua nota tersurat
segerun mana orang melihat kelibat
segalanya hilang bersama gelapnya lahat


nota hati : Terasa sangat letih. Tiga hari mengukur jalan atas urusan yang perlu diselesaikan. Kuala Lumpur - Kuala Lipis - Kuala Lumpur.  Kemudian Kuala Lumpur - Teluk Intan - Sg. Manik - Kuala Lumpur.  Kemudiannya lagi,  Kuala Lumpur - Banting - Kuala Lumpur.  Masih juga sempat singgah di Hospital Kuala Lumpur menziarah anak kenalan yang terlantar di ICU akibat kemalangan jalanraya.  InsyaAllah esok akan mengukur jalan antara Kuala Lumpur - Kuala Kangsar (mungkin terus ke Gerik) - Kuala Lumpur.

Syukur Alhamdulillah, urusan selepas 'pemergian' bapa berjalan dengan sangat lancar.  Tiada yang perlu dilengah-lengahkan.  Syukur juga kerana anakku dapat diharap bagi membawa majlis bacaan Yassin dan Tahlil.  Pada malam kedua, jiran terdekat membawa majlis tersebut kerana Along sedikit lewat.  Damai dan tenanglah roh bapaku di sisi Allah Yang Maha Pengasih.



Segalanya telah tersurat...

Pagi itu - Selasa = 10/05/2011

Aku bersiap seperti biasa untuk ke pejabat.  Sebelumnya, kira-kira jam 1.00 pagi bapa saudaraku (abang kepada Allahyarham bapaku) bersama anak dan cucunya tiba di rumahku.  Subuh itu, dua kali aku mendengar suara bapa memanggil kakakku dengan agak kuat.  Aku tidak turun ke bawah pada waktu itu.

Selepas bersiap, aku mendekati bapa.  Aku membasahkan kain yang melekap di dahinya.  Kemudian aku bertanya sama ada bapa mahu makan telur separuh masak.  Bapa mengangguk.  Lalu aku ke dapur merebus telur.  Aku suapkan putih telur ke mulut bapa - hanya dua sudu.  Bapa menolak tanganku pada suapan ketiga.  Aku cakap, bapa perlu makan sedikit kerana nanti mahu makan ubat.  Aku menyuakan air kosong untuk diminumnya. 


Ketika hendak melangkah keluar, aku memberitahu bapa dan bapa hanya mengangguk.  

Di pejabat, aku agak resah.  Aku mula merangka surat untuk memohon cuti separuh gaji bagi menjaga bapa.  Aku juga bertemu dengan pegawai atasanku bagi menyatakan hasrat tersebut.  Pegawai atasanku sangat prihatin dengan masalahku dan beliau tidak menghalang hasratku untuk bercuti.


Lebihkurang jam 2.00 petang, aku menerima panggilan dari adikku.  Sambil menangis dia berkata 'kakcik, boleh balik tak?'.  Aku terus menelefon suami.  Rupa-rupanya, suamiku berada tidak jauh dari rumah kerana beliau baru sahaja balik bersama kawan-kawannya untuk menjenguk bapa.  Suami minta aku balik sendiri kerana beliau terus berpatah balik ke rumah.

Kawan-kawan yang mendengar esak tangisku, terus menawarkan diri untuk menghantar aku pulang.  Sampai ke rumah, jasad bapa sudah terbujur kaku di atas katil berselimutkan kain batik.  Luluhnya hatiku hanya Allah yang tahu.

Solat Asar berjemaah sebelum jenazah bapa dibawa ke Masjid untuk disempurnakan 

Usai solat Asar berjemaah yang diimamkan oleh Along, jenazah bapa dibawa ke Masjid Al Azim Pandan Indah dengan van jenazah.  Di sana bapa dimandi, dikapan dan disolatkan (solat jenazah juga diimamkan oleh Along)Jenazah bapa kemudian disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Baharu. 

Berakhirlah perjalanan dan penantian bapa di dunia yang fana ini. Semoga  Allah SWT sentiasa merahmati roh bapaku Mansor bin Hj Mohd dan menempatkannya di kalangan roh para solehin. Al Fatihah.

Terima kasih kepada semua saudara mara, rakan dan jiran serta jemaah masjid dan surau yang  datang, mendoakan, menguruskan dan mengutuskan ucapan takziah.  Mohon maaf kerana kakcik memang tidak berkesempatan menjawab pesanan ringkas yang dihantar.


nota hati : telah ditakdirkan begitu.  Bapa tidak pun sempat menaiki kereta yang dibeli oleh adikku.  Katil hospital yang ditempah juga tiba hanya beberapa ketika setelah bapa pergi buat selamanya...



Sabtu, 14 Mei 2011

Hanya sedetik yang memisahkan...


... antara kemewahan dan kemiskinan

antara kesihatan dan kesakitan

antara kehidupan dan kematian

.
.
.
.
.


lalu...

yang mana satukah 'keindahan' yang hendak kamu bangga-bangga

sedangkan tiada satu pun yang bakal kamu bawa bersama

saat kamu kembali ke sana

.
.
.
.
.

puaskah hatimu

dapat melambakkan egomu yang begitu tepu

bagaikan dengan hari 'itu' 

kamu tidak akan 'bertemu'

nota hati : sebenarnya hatiku tetap 'berbuku' walau ayahanda telah pergi buat selama-lamanya , kerana aku telah gagal sekali lagi ...



Rabu, 11 Mei 2011

Al Fatihah...

Ayahanda Mansor bin Hj Mohd
Gambar sehari sebelum ayahanda pergi buat selamanya...

12/06/1929 - 10/05/2011

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solehin.  Amin.

Nota hati : terima kasih kepada rakan-rakan yang hadir mahupun yang mengutuskan ucapan takziah.



Selasa, 10 Mei 2011

Kemungkinan....

aku akan mengambil cuti separuh gaji (peruntukannya ada)

atau

ambil sahaja cuti tanpa gaji

dan

batalkan percutian 7 hari 6 malamku walaupun tiket sudah dibeli

sesungguhnya

Allah Maha Mengetahui

v

v

v

v

v

kita hanya merancang - DIA Yang Menentukan



Isnin, 9 Mei 2011

Terima kasih Sham ... terima kasih semua ...



Terima kasih kepada Sdr. Sham Ondscene atas catatannya yang ini.  Terima kasih juga kepada rakan-rakan maya kakcik seperti Kanda AL, Azmnor, Cik Shinju, Melur Jelita, Acu Sayang, Ayu Citarasa Rinduan, Cik Mat GebuWanita Mutalib dan CT Delima.  Mungkin ada nama yang kakcik tertinggal.  Bagaimanapun, kepada semua yang sudi memanjangkan berita dengan tujuan untuk memanggil balik adik kakcik juga kepada semua yang mendoakan, kakcik ucapkan ribuan terima kasih.  Semoga doa kita semua terjawab juga.