Kawan-kawan kakcik

Rabu, 27 Mac 2019

WW : tak tahu nak masak apa dah...

ayam pedas tesco goreng garing
telur sambal
masak lemak putih kubis bersama suhun dan fucuk

Kadangkala masak beriya-iya pun tiada yang makan 😔 

Isnin, 25 Mac 2019

Tidak rasa malukah kita?...

di sana...
musibah itu menjadi pembuka mata
ramai yang turut berduka
ramai yang tiba-tiba menjadi 'saudara'
saling bertanya saling menyapa
sama-sama berkongsi rasa
sama-sama mengalirkan airmata

setiap kejadian ada hikmahnya
luka tetap luka
biar sembuh parutnya akan ada
duka tetap duka
bukan mudah hendak dipinggir begitu saja

namun Allah tetap ada perancanganNya
kita hanya manusia yang tidak berdaya
ambillah iktibar yang baik-baik sahaja
jangan diulang kesilapan yang sama

di sini...
sindir menyindir perkara biasa
diperkotak katik orang yang kita tak suka
hanya kerana fahaman berbeza
kita rasa kitalah yang betul segala

berlainan agama dipersenda-senda
bagai kita akan mati dalam keadaan 'bersedia'
Islam bukan hak Melayu semata-mata
malah turunnya di negara Arab sana
 siapa kita hendak menghakimi sesama manusia
hari ini dia kafir  dan jahil tiada tara
namun mungkin matinya lebih beriman dari kita!
 

Jumaat, 22 Mac 2019

Hujan di Cameron Highlands...

Selasa = 19/03/2014.  Ikut rancangan asal memang hendak ke Cameron Highlands bersama En Suami selepas sudah bertahun-tahun (berbelas tahun rasanya) tidak ke sana.  Tapi dek kerana kekangan-kekangan tertentu, rancangan itu asyik tertangguh-tangguh.  Bila Along anak-beranak hendak ke sana, mereka ajaklah maknya ini ikut sama.  Disebabkan En Suami bekerja, dia beri keizinan untuk isterinya ikut anak menantu dan cucu-cucu.

Pada mulanya cuaca panas.  Namun semakin ke atas, dapat dirasakan rintik-rintik hujan mula turun.  Sebaik tiba di Bee Farm yang juga terletaknya Strawberry Farm, hujan turun dengan selebat-lebatnya.  Menurut wanita Cina yang ada di situ, sudah lama hujan tidak turun hinggakan buah strawberry pun tidak begitu menjadi.  Takdirnya tengahari ini pula hujan turun.

Katanya 'bee farm'.  Tapi hanya ini lebah yang dapat kami lihat.

Pengasas jenama Darwish Rich Design.  Eh... kepada yang ada anak-anak lelaki tu, elok juga terjah laman web DRD.  Manalah tahu, ada pakaian yang berkenan di hati, bolehlah tempah siap-siap untuk hari raya nanti.  Bagi peminat drama Melayu, boleh juga tengok antara pakaian DRD digayakan oleh pelakon cilik dalam drama Encik Imam Ekspres yang ditayangkan di saluran Astro Ria dan kerana DRD antara penaja pakaian drama tersebut.

Eh... ada setangkai kembang melati anggur di situ 😄

Ladang teh...

Nenek yang gembira.  Percutian itu bukanlah dinilai dari jauh atau dekat mahu pun mahal atau murah, tapi bagaimana ia dinikmati dan adakah benar-benar menggembirakan hati.  Tak gitu?

Tidak banyak tempat yang kami singgah kerana kami memang pergi sekejap sahaja.  Singgah juga di surau untuk solat dan di pasar malam untuk beli sedikit makanan.  Tidak banyak gambar yang dirakam kerana bateri telefon makcik sangat cepat habis kuasanya.  Maklumlah telefon lama...

Dalam perjalanan balik, singgah seketika di sini.  Makcik tak turun pun dari kereta...

...sambil memerhati dan berfikir tentang surau yang ringkas ini.  Kalau hujan tak kena tempias ke?

Tiba-tiba teringat kat Kashmir.  Eh!

Isnin, 18 Mac 2019

Cerita hari Sabtu = 16/03/2019...

Waktu pagi ketika sedang menghadap komputer, tiba-tiba dada rasa kejang dan sukar bernafas. Sedut ventolin, sapu dada dengan vicks. Tak lega.

Baring kejap. Pun tak lega. Bila bangun rasa goyang dan pening sangat. Panggil suami. Dia bawa ke hospital. Masuk zon kuning. Buat ECG, ambil darah dan x ray. 4 jam di wad pemerhatian. Dimasukkan ubat. 

Alhamdulillah tak perlu masuk wad. Ambil ubat dan boleh balik. Balik ke rumah sekejap untuk solat Zohor. Kemudian keluar semula memenuhi jemputan seorang sahabat.

Sedikit gambar di rumah sahabat tersebut :
Ada hidangan kambing panggang...

...dan ada kuey teow goreng juga (serta banyak hidangan lain yang tidak diambil gambar...)

Sempat bertemu dengan beberapa orang blogger (atau bekas blogger) termasuk Aizamia)
Bila kita sakit, ianya bukanlah satu kebetulan atau sengaja terjadi.  Ada yang Allah SWT mahu sampaikan kepada kita.  Sama ada kita sedar atau tidak, sama ada kita mahu mengambil iktibar atau tidak... terpulang kepada kita sendiri.    Setiap detik, sesungguhnya kematian itu kian dekat, bukan kian menjauh...

Jumaat, 15 Mac 2019

Bakal 'Abang Bomba'...

Khamis = 14/3/2019 :  keputusan peperiksaan SPM bagi tahun 2018 diumumkan.  Anak bongsuku salah seorang dari calon peperiksaan tersebut.  Aku sedia maklum bahawa pencapaiannya dalam bidang akademik memang sangat sederhana.  Oleh itu aku dan suami tidak  meletakkan harapan yang tinggi bahawa dia akan mendapat keputusan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Apabila dia mengambil keputusan, Alhamdulillah.  Dari 8 mata pelajaran yang diambil, dia hanya gagal subjek perniagaan.  Yang lain semuanya lulus walaupun bukan dengan A yang berderet.

Ditanya apa yang dia ingin lakukan selepas ini, katanya dia ingin memohon untuk menjadi anggota bomba.  Itu memang minatnya.  Di sekolah pun dia menyertai pasukan kadet bomba.  Tapi, ayahnya punya perancangan yang lain.  Biarlah dia sambung belajar dahulu.  Setidak-tidaknya hingga ke peringkat Diploma.  Bukan lama pun, cuma tiga tahun sahaja lagi.

Selagi kami sebagai ibubapanya mampu, kami akan tanggung untuk dia terus belajar.  Selepas itu pandai-pandailah untuk dia mengatur hidup asalkan tidak tersasar dari jalan yang diredho Ilahi. Anak yang satu ini memang sangat berdikari.  Walaupun  sesekali dia masih meminta wang belanja bila hendak keluar, tapi dia juga pandai 'mencari' wang sendiri dengan bekerja sambilan di sana sini.  Duit yang dia dapat, dia gunakan untuk membeli keperluannya seperti pakaian atau digunakan untuk 'membega' motorsikal ayahnya sehingga siayah tak boleh nak kata apa.  Dilarang pun dia buat juga...

Teruskanlah Adik.  Mak dan ayah tetap doakan agar apa sahaja cita-cita yang baik akan Allah permudahkan untuk Adik mencapainya.

Sejak habis SPM dan dia bekerja sambilan, badannya sudah makin kurus sekarang...

Kepada calon-calon yang telah berjaya sama ada cemerlang atau sekadar lulus, diucapkan tahniah.  Kepada yang kurang berjaya, jangan berputus asa.  Masih banyak cabang dan ranting yang boleh dicapai untuk meneruskan kelangsungan hidup.  Berjaya atau gagal, jangan sesekali lupakan DIA yang memegang segala-galanya.  Terus berusaha, berdoa dan tawakkal. Buat apa yang disuruh, tinggalkan apa yang dilarang.  DIA tetap di atas bersama rahmat dan kasihNya.

Khamis, 14 Mac 2019

Gelagat si kucing putih...

Waktu makcik sedang mengangkat pakaian di ampaian dia 'merengek-rengek' dan tunggu di muka pintu untuk masuk ke rumah.  Makcik bagi dia masuk tapi makcik memang tak rajin hendak melayannya.  Mungkin dia tercari-cari anak bujang makcik yang rajin mengusap dan melayan dia 'bersembang'. (Boleh tengok tak video yang makcik letak di sini?)

Dah dapat masuk, bukan main dia bergolek-golek

Buat-buat manja dan berpura-pura tidur.

Cantik sangatlah buat gaya macam tu.  Siap mengiau seolah-oleh suruh makcik tengok dan rakam gelagatnya.

Sudah lama juga si putih ini (suami makcik panggil dia PUTIH.  Chef Min panggil SNOWY.  Cucu makcik panggil GEBU.  Panggil apa pun dia tahu bahawa yang dipanggil itu adalah dia) tinggal di kawasan rumah makcik.  Beberapa kali tuannya cuba ambil tapi dia tak mahu balik.  Mungkin sebab dia ingin bebas dan tak mahu tinggal dalam sangkar.  Kami sediakan makanan kucing dan air untuknya.  Selalu ada kucing-kucing lain datang tumpang makan dan minum.

Mudah-mudahan mereka doakan kami murah rezeki dan dapat dikongsikan sedikit rezeki itu dengan mereka.  InsyaAllah.

Selasa, 12 Mac 2019

Makanan dan harganya - berbaloi ke tidak?...

Ini adalah catatan untuk 'memberi sedikit nyawa' kepada blog yang kian suram ini.  Sementelah ada gambar-gambar (makanan) yang belum disiarkan di sini, makcik letak  sahajalah sambil bagi peluang kepada sesiapa yang ingin meninggalkan komen (jangan segan-segan, ya...) 😃😃

Jus mangga susu dengan hirisan mangga di dalamnya.  RM4.00 sahaja, memang puas minum (berkongsi dengan suami, tak terhabis minum seorang).  Berbaloi, kan?

Set ini dengan nasi putih, RM6.00.  En Suami punya.  Rasanya berbaloi juga...
 
Set nasi putih, ayam celup tepung, sup kosong, sos cili thai dan sirap (tiada dalam gambar).  Harganya RM5.00.  Bagi makcik, tiada rungutan.  Sekarang pun ada set nasi dengan ayam goreng kunyit dan sirap dengan harga yang sama.  Tapi makcik belum pernah cuba.  Sekurang-kurangnya jika kita hanya ada RM5.00 dan perut sedang kelaparan, kita masih boleh membeli makanan.

Set nasi dagang ini berharga RM8.50.  Sedikit mengecewakan kerana hidangan ini 'sejuk' walaupun masih awal pagi.  Namun bagi makcik, bila makcik sudah beli atau ambil makanan, makcik akan sedaya mungkin menghabiskannya.  Tidak elok membazir.  Bayangkan mereka yang sedang kelaparan dan tiada apa langsung hendak dimakan.  Masihkah kita sombong dengan rezeki di depan mata...  Ingat! Membazir itu amalan syaitan!


Tak silap makcik, set ini berharga RM6.00.  Berbaloi ke tidak?
Semua makanan di atas adalah yang makcik dan suami makan 'di luar'.  Di samping itu, makcik dan anak bujang masih tetap memasak dan menerima tempahan sekiranya ada yang berminat...

Antara tempahan yang kami terima dari seorang wanita berbangsa Cina.  Set lengkap nasi lemak dengan rendang ayam untuk dihidangkan kepada 40 orang tetamunya...
 
Masak lemak udang dengan timun.  Sedap juga.  Sendiri masak, sendiri puji!
Anak minta makcik masakkan sambal hijau kentang.  Yang jadi, sambal kuning!
Puding Raja versi Chef Min
Sekarang makcik sangat 'mengidam' (jangan kata makcik mengandung pulak!) makan pulut kuning dengan rendang daging.

Sabtu, 9 Mac 2019

Bila catatan blog dikongsi oleh Denaihati Network...

Petang semalam selepas makcik buat satu catatan, terperanjat juga bila lihat jumlah pengunjung yang luar biasa ramainya. Memang tidak pernah terjadi begitu.  Maklumlah blog bukan stakat suam-suam kuku, dah masuk tahap sejuk beku pun...

Nampak tak 'users online' tu.  90!  Sebelum itu sebenarnya lebih dari 90, tapi bila makcik 'print screen' jumlahnya 90...
Terfikir juga kalau ada yang sudi kongsikan catatan makcik ini, tapi 'butang' Google + atau untuk dikongsikan ke facebook sudah tiada.  Makcik sendiri ada kongsikan catatan di facebook, tapi yang 'like' tak ramai pun...

Rupa-rupanya, catatan itu telah dikongsikan oleh Denaihati Network di halaman mereka.  

Patutlah ramai sekali yang berkunjung.  Nampak tu, ada 542 'shares'.  Makcik baca juga antara komen-komen yang dilontarkan terhadap catatan makcik tu.  Ada yang suka, ramai juga yang tidak.  Hahaha...'menantu hantu' memang ramai, kan??? 😅😅

 
Dalam tempoh 24 jam, catatan yang satu itu dibuka lebih 4800 kali.  Terima kasih Denaihati Network.  Mudah-mudahan ada manfaatnya catatan yang makcik kongsikan itu...

Jumaat, 8 Mac 2019

'Jangan sampai mertua bangun tidur dulu dari menantu'...

Selepas menjalani pembedahan kecil membuang kulit kematu baru-baru ini, aku sempat bersembang dengan seorang wanita berusia 60 tahun yang sedang menanti giliran untuk masuk ke dewan bedah.

Lama juga kami bersembang dari satu hal ke hal yang lain.  Wanita tersebut mempunyai 8 orang anak (yang sulung sudah 35 tahun dan yang bongsu masih menuntut di peringkat diploma).  Beliau juga mempunyai 6 orang menantu (3 lelaki dan 3 perempuan) serta 10 orang cucu.

Ceritanya, beliau seorang yang sangat 'berterus-terang' dan bercakap secara terbuka dengan anak menantu.  Perkara yang beliau tidak suka, beliau akan nyatakan secara terang-terangan.  Malah menantu beliau juga tahu sekiranya mertua tidak sukakan mereka.

Satu hal yang beliau pesan pada anak-anaknya, setelah berumahtangga, binalah kehidupan masing-masing 'di luar'.  Maksudnya, tidak tinggal lagi di rumah beliau dan suami.  Katanya dia sudah menghabiskan masa menjaga 8 orang anak dan tidak mahu lagi terbeban dengan menjaga cucu.

Sekiranya anak menantu pulang ke rumahnya sekali sekala, pastikan mereka bangun subuh sebelum beliau bangun.  'Tapi itulah', katanya... pesan macam mana pun, selalunya beliau yang akan bangun dahulu.  Solat dan siapkan sarapan sedangkan anak menantu masih di dalam bilik hingga 7 pagi.  'Hendak kata penat, saya dulu uruskan sendiri 8 orang anak', tambahnya lagi.

Sepatutnya bila isteri tidak bangun, suami (anak lelaki) mesti kejutkan isteri.  Minta isteri bantu mak.  Tapi anak pun sama sahaja.  Mungkin sayangkan isteri lebih dari mak sendiri.  Mak merajuk macam mana pun tetap maafkan anak, tapi bila isteri merajuk susah pula hendak dipujuk.

Hmmmm...susah juga hendak cakap.  Bila mertua tegur mana yang tidak kena, orang kata mertua cerewet.  Nanti suatu masa, bila menantu itu jadi mertua, biarlah dia rasa pula apa yang mertuanya rasa sekarang.  Bukan mendoakan, tapi sejarah tetap akan berulang-ulang (siapa kata sejarah tak mungkin berulang?)

Rabu, 6 Mac 2019

Pembedahan membuang kulit mati (kematu) di kaki...

Sebenarnya, kematu itu tak lah besar mana.  Tapi ada 1 di kaki kiri dan dua di kaki kanan (termasuk tapak kaki).  Sesekali rasa sangait sangat mencucuk-cucuk hingga boleh keluar airmata.

Tiada pun bercadang hendak ke klinik atau hospital untuk buat rawatan.  Cuma ditakdirkan Ilahi sewaktu temujanji dengan Doktor di Klinik Pakar Ortopedik Hospital Ampang, Doktor yang macik jumpa terperasan dengan kematu di kaki makcik itu.  Dia bagi cadangan agar makcik buat pembedahan kecil untuk membuang kematu tersebut.  Terus diberikan tarikh untuk buat pembedahan.

Pada Selasa (5/3/2019), makcik hadir ke wad harian, Hospital Ampang.  Setelah menunggu lebihkurang 2 jam, makcik disorong ke bilik bedah.  Tak lama pun prosedurnya.  Tapi perit jugalah bila disuntik ubat bius.  Menjerit juga makcik dibuatnya...

Dah masuk wad, 'wajib'lah sarung seragam hospital.

Selepas keluar dari bilik bedah yang sangat dingin itu, perut pun mula menyanyi kelaparan.  Maklumlah makcik tidak mengambil sarapan dan hari sudah menjelang tengahari.  Alhamdulillah.  Allah Maha Mengetahui.  Sekejapan kemudian, makanan pun tiba...  Makanlah makcik dengan berselera dan tidak bersisa 😏