Kawan-kawan kakcik

Selasa, 17 Oktober 2017

Pantun (sempena bulan Bahasa)...

Anak dara menghidang laksa
kuah diambil dari kuali
bulan Oktober bulan Bahasa
berapa ramai yang ambil peduli?

Jual pelita di Pekan Selasa
penat menjual sedari pagi
jika bukan kita memartabatkan Bahasa
hendak diharap siapa lagi?

Pergi ke sungai menjala ikan
dapat seekor di tengahari
sedihnya hati bahasaku dirojakkan
dari kuli hinggalah ke menteri

Bergelang emas disalut suasa
cincin permata tersarung di jari
kononnya cerdik merojakkan bahasa
ke mana dibuang jati diri?

Menangkap puyu di tengah bendang
luka kaki tertusuk duri
tulisan aku siapa nak pandang
duduklah mengeluh seorang diri...

Isnin, 16 Oktober 2017

Kehidupan berumahtangga...

(Gambar hiasan)
Sepanjang hampir 31 tahun dalam dunia rumahtangga,
bukan tidak pernah tiada sengketa.  Tapi, biarlah orang
melihat yang baik-baik dan boleh dicontohi sahaja.

ada pahit manisnya
ada masam masinnya
dalam derita terselit bahagia
dalam bahagia terselit cacat-cela

itu semua warna-warni
yang perlu dilalui
bukan kerana pilihan sendiri
tapi ujian yang datang tanpa disedari

bagaimanapun ia
bagaimanapun corak yang tertera
kita yang melakarnya
sama ada rela atau terpaksa

kadangkala tidak tertanggung
sehingga kita menjadi bingung
kepala rasa berdengung
tubuh rasa terapung-apung

tutuplah aib rapat-rapat
walau dengan orang terdekat
kepada Allah sahaja kita bermunajat
agar orang lain tak ikut terlibat

banyak buruk dari baiknya
bila cerita rumahtangga dijaja-jaja
orang yang tak tahu apa-apa
mula ingin sama membuka mulut dan mata

cerita sejengkal jadi sedepa
meleret-leret tiada kesudahannya
tokok tambah sesedap rasa
tak sedar ikut menambah dosa

sudah-sudahlah
cukup-cukuplah
tak perlu kamu kata dia
kemudian dia kata kamu

fikirkanlah
bukan hanya kamu berdua
malah turut melibatkan keluarga
sudah tak tahu nak sorokkan muka
sudah kehabisan kata-kata

...tapi kamu boleh tak rasa apa-apa!

Khamis, 12 Oktober 2017

Tiada yang memahami...

...betapa sepinya sekeping hati
walau gelak ketawa di kanan dan kiri
masih juga tidak mengubati
calar yang dipendam hari demi hari

calar yang mula merekah
mengeluarkan darah dan nanah
terkesan hingga ke wajah
yang pucat tidak berdarah

hanya Ilahi juga tempat mengadu
bila semua yang ada hanya membisu
seolah-olah tidak wujud seorang aku
bagaikan sebatang tiang yang kaku dan bisu

puas cuba meraih perhatian
apa dikehendaki cuba diadakan
namun tetap tidak dipedulikan
dipandang dengan riak tidak berkenan

mungkin ini adalah balasan
terhadap apa yang pernah kulakukan
bila hati tidak terpuaskan
diam-diamlah dalam kepasrahan


..andai mata boleh berbicara...
(gambar imbas kembali - 2 tahun lalu di Kashmir)

Rabu, 11 Oktober 2017

'Butter Chicken' permintaan Si Bongsu...


Anakanda bongsu minta maknya masakkan 'butter chicken'.  Siap dia carikan resepi bila maknya kata 'tak reti nak buat'.  Tapi, seperti biasa, maknya akan masak ikut suka hati sahaja...

Bila makcik letak gambar ini di facebook, ada yang bertanyakan
resepi walaupun makcik dah beri amaran 'jangan tanya resepi'.
Hahaha... jadi, makcik letak jugalah resepi ikut suka itu. :)

Isi ayam dipotong kecil2. Diperap lebihkurang 30 minit dengan bahan perapan (tepung + serbuk kari + sebiji telur dan sedikit garam yg digaul shg menjadi seperti serbuk roti). Jangan letak air sebab ayam dah sedia lembab.


Goreng ayam yg telah diperap dalam kuali non stick menggunakan hanya sedikit minyak.

Ketepikan ayam yang telah digoreng.

Bahan kuah :

Tumiskan 5 ulas bawang putih (yang telah dicincang), 2 biji cili merah dan 6 biji cili api (kedua-dua jenis cili dihiris) serta dua sudu daun kari ke dalam 2 sudu butter yg telah dipanaskan.

Masukkan 1 tin susu cair dan 3 keping keju. Kacau hingga kuah menggelegak dan sebati. Masukkan ayam goreng tadi. Rasa masin manisnya. (Makcik tak letak gula).

Siap.

Selasa, 10 Oktober 2017

Jangan pentingkan diri sendiri...

Mungkin pemandu kereta merah itu 'terpaksa' meletakkan
kenderaan begitu selepas kereta kuning di sebelahnya juga
tidak diletakkan dengan betul di dalam petak yang disediakan,
Apa pula alasan pemandu kereta kuning?

Isnin, 9 Oktober 2017

Ke Majlis Perkahwinan Blogger Yeop Maz dan Mia Namia...

Tarikh : 7/10/2017 (Sabtu), makcik menerima undangan untuk menghadiri majlis meraikan pernikahan pasangan blogger di Shah Alam.  Walaubagaimanapun, macik tak pasti sama ada dapat menghadirinya atau tidak kerana pakcik terlebih dahulu telah menerima undangan di Rembau.

Makcik cuma 'sebut-sebut' sahaja hendak hadir ke Shah Alam.  Pakcik kata 'InsyaAllah sempat.  Nanti dari Rembau kita ke Shah Alam'.

Lebihkurang 10.30 pagi, makcik dan pakcik bergerak dari rumah.
Melepasi tol Sg Besi, jalan sudah bukan main sesak.  Alamak!
Makcik buka waze untuk mengetahui kenapa jalan sesak sangat.
Mengikut laporan waze, ada major accident di hadapan.  Pakcik
kata, kalau 'tak boleh lepas', kita keluar sahaja di mana-mana
simpang dan terus ke Shah Alam.

Aduhai... mujur juga pihak Lebuhraya cepat bertindak
dengan membuka laluan bertentangan.  Dapatlah kami menyusuri
jalan tersebut walau dengan sangat perlahan.

Rupa-rupanya ada lori membawa muatan kayu terbakar!
Bagaimanapun akhirnya kami sampai juga ke Rembau.  Wah...
memang meriah majlis di sini dan jemputan pun memang ramai
termasuk YB (dalam perjalanan keluar makcik nampak kereta
Undang Rembau menuju arah majlis).  Makcik langsung tidak
mengambil gambar di majlis tersebut.  Makan lagi penting!


Jam 2.30 petang kami sampai juga di Shah Alam.
Sudah tidak ramai tetamu yang ada. Pengantin pun
sedang melayan tetamu yang ingin bergambar
dengan mereka.  Makcik pun menyelit sama!
Sempat juga makcik bertemu dengan beberapa orang blogger
yang masih ada di situ.  Antaranya blogger dan usahawan
Akma Omar yang kecil molek ini. Makcik memang seriau
bila bergambar dengan orang yang comel...hehehe

Bertemu juga dengan blogger yang dah pencen kot dari dunia
blog
, Cikgu Roshidayu Che Mat dan keluarganya.

Bertegur sapa dengan Tn Haji Amir Hassan,
pemilik dan pengasas Denaihati Network.  Melalui majlis
Sepetang Bersama Blogger yang dianjurkan oleh pasukan
Denaihati sebelum ini, makcik mengenali ramai blogger
hebat walaupun makcik sendiri masih di takuk lama.

Kepada Yeop Maz @ Khairil Mazri dan Mia Namia @ Hanis Halid, mak doakan agar mahligai yang baru kalian bina utuh dan kukuh walau apa sahaja dugaan yang melanda.  Hidup berumahtangga bermakna hidup berkongsi segala-galanya.  Kejujuran dan kesabaran adalah teras yang tidak boleh diketepikan.  Hiduplah dalam landasan berpandukan aturan yang ditetapkan Allah dan Rasulnya.  Susah senang biar bersama.  Semoga kalian berbahagia dalam jalan menuju ke syurga.  Aamiin Ya Rabbal Alamiin...


Jumaat, 6 Oktober 2017

Buaian cucu...



Buaian untuk cucu
tergantung sepi di situ
di ruang rumah yang bercelaru
sesepi hati seorang atuk yang tertunggu-tunggu

Seorang atuk memandang sayu
di dalam hatinya ada rindu
namun dia tetap tahu
tetaplah 'anak orang' walau dipanggil cucu

#catatansajasaja
#asalnyacerpenkurombaksemula
#takterluahbilahatisudahcedera

Khamis, 5 Oktober 2017

Sambutan Hari Ulangtahun Kelahiran...

Sebenarnya sudah tidak tahu hendak menulis apa.  Belek-belek telefon, terjumpa gambar-gambar masa anak menantu buat sambutan hari lahir 'sekali gus' untuk anak-anak mereka dan juga makcik tua ini.  Kebetulan sambutan dibuat pada 26/08/2017 iaitu dua hari selepas makcik menyambut ulangtahun kelahiran yang ke 56 pada 24/08/2017.

Jom tengok gambar :

Terima kasih CPL yang sanggup datang awal dalam perjalanannya
pulang ke kampung.  Geram tengok FattahC yang comel ini.

Rumah kecil.  Jadilah ada sedikit tempat
untuk anak-anak yang datang bermain.

Qaid dah 3 tahun

Zayyan sudah setahun

Nenek mereka sudah 56 tahun.  Entah berapa
tahun lagi agaknya Allah pinjamkan nyawa.

Eh...eh...terselit pulak gambar ini! (^_^)

Anak-anak tahfiz juga dijemput...

...bersempit-sempit mereka di ruang yang terhad.

Makanlah seadanya apa yang ada...

Rabu, 4 Oktober 2017

Cantiknya Puteri Julia Nabila...

Oh...dia bukan Puteri dari mana-mana kerabat diraja.  Namanya Puteri kerana ayahnya Megat.  Nama begini biasa di Negeri Perak tempat asal makcik.  Kalau ayah bernama Megat, anak perempuan biasanya akan diletak nama Puteri...

Memang cantik anak gadis Dato' Ziela Jalil ini.  Bukan sahaja cantik, malah cerdik dan perwataknnya pun nampak baik. Alhamdulillah.


Puteri Julia sudah pun bergelar Doktor selepas menamatkan pengajiannya di Royal College of Surgeon, Ireland.

Jom tengok gambar-gambar gadis ini yang makcik ambil laman web Oh Bulan...





Selasa, 3 Oktober 2017

Di Lenggeng sahaja...

Bila makcik mengikut pakcik ke kebun sahabatnya berhampiran Kg Sg Jai, Lenggeng, Negeri Sembilan, kami akan melalui satu jalan yang sunyi.  Jarang kami terserempak dengan kenderaan di sini.  Jalan ini terletak di sebelah kiri (dari Nilai / Kuala Lumpur) sebelum lampu isyarat tidak jauh dari Balai Bomba Mantin.

Makcik suka melalui jalan yang redup dengan rimbunan pohon-pohon yang menghijau ini.  Sampai makcik terfikir, 'kalaulah penggiat filem Bollywood buat penggambaran di sini, pasti akan nampak lagi cantik dengan hero dan heroinnya menari-nari sambil menyanyi'...

Jom tengok.  Cantik ke idok?






Kita sering mengkagumi keindahan yang ada di luar negara tetapi kita lupa menghargai apa yang ada di hadapan mata...

Isnin, 2 Oktober 2017

Makan tengahari di rumah Makchaq...

Sabtu (30/9/2017), makcik menerima jemputan dari Makchaq untuk makan tengahari di rumah beliau.  Katanya ada menjemput beberapa orang rakan dan jiran-jiran beliau juga. Kata orang, rezeki jangan ditolak.  Maka makcik pun ajaklah pakcik untuk ke rumah Makchaq di Kg Merbau Sempak, Sg. Buloh.

Bila sampai, nampak ada khemah terpasang di hadapan rumah Makchaq.  Rupa-rupanya Pakchaq ada buat majlis makan-makan untuk menyambut pelajar sekolah dari kampung beliau bagi program lawatan muhibbah (kalau tak silap makcik).

Dah rupa nyamuk je makcik dan pakcik ni...

Makchaq (Datin Azilah) yang sangat merendah diri orangnya.
Kami kenal melalui blog dan akhirnya bertemu sudah beberapa
kali dan menjadi mesra.  Cuma Makchaq belum sampai ke rumah
kecil makcik.  Nanti jemputlah datang bila-bila masa, ya.

Tapai pulut dan serimuka.  Sedap.

Sambal belacan dan ulam-ulaman.  Juga sedap.

Selain sambal goreng jawa dan daging masak lemak ini, ada
juga ayam masak mentega, ikan kering dan sayur campur.
Semuanya sedap belaka.  (Mujur tak minta nak bawa balik!)

Sempat juga makcik bertemu dengan Rai Ourkizuna yang
tetap kecil molek walaupun sudah punya 5 cahayamata.
Terasa sangat betapa besarnya makcik!

Terima kasih Makchaq atas jemputan.  Jangan serik untuk menjemput lagi ya... :)