Kawan-kawan kakcik

Khamis, 21 September 2017

Jadilah orang yang tahu menghargai...

...kerana suatu hari nanti setelah kau mati, kau tak mungkin berjalan ke kubur sendiri.


Walaupun jika jasadmu tidak ditemui, kau tetap perlukan doa untuk mengiringi...

Rabu, 20 September 2017

Miskin itu ujian, kaya juga ujian...


Pergi ke seberang dengan berenang
tidak perlu disediakan rakit
bila sudah biasa senang
diuji susah pastinya sakit

Air tasik kelihatan tenang
tidak setenang air di lombong
dari susah menjadi senang
jangan pula bersikap sombong

Anak sendiri pasti disayang
anak orang tidak ditolak
harta yang ada jangan ditayang
kelak nanti menjadi riak

Usah ketawa terbahak-bahak
orang melihat tidak selesa
harta yang ada bukanlah hak
hanya pinjaman dari Yang Esa...

Isnin, 18 September 2017

Muhasabah diri...


Catatan ini telah kuterbitkan di facebookku pada 17/09/2017

Kita...
Cepat menjatuhkan hukum bila bukan kita yang terkena

Kita...
Merasakan keluarga kita sangat sempurna
Hanya kerana kita belum diuji Yang Maha Kuasa

Kita...
Terlupa yang kita juga pernah berdosa

Kita....
Kadangkala menjadi pendusta yang hanya diketahui Yang Maha Esa

Kita...
Jangan sekadar bertanya-tanya
Tentang apa yang dibuat oleh ibubapa
Saat anak-anak tiada di hadapan mata
Kerana kita tidak juga menyangka
Anak yang baik di mata kita
Entah bagaimana tingkahlaku mereka
Saat berada di luar pandangan kita

Kita...
Dalam sibuk berkata-kata
Bila tiba sesuatu bencana
Sudahkah bertanya apa peranan kita
Untuk menguis gajah di hadapan muka
Atau masih sibuk dengan kuman di seberang sana

Kita...
Ingatlah bahawa Allah juga sandaran kita
Dia memberi peringatan dalam pelbagai cara
Bukan hanya untuk mereka yang diduga
Tapi juga untuk kita yang hanya pandai berkata-kata

Jumaat, 15 September 2017

Hargailah teguran yang diterima...

...kadangkala kita terlalu dikuasai oleh ego diri.  Bila orang tegur, walaupun teguran itu betul (apalagi kalau tidak betul), pantas sahaja  hati kita berdetik mengatakan orang itu 'menyibuk sahaja'. Janganlah begitu, orang menegur tanda ambil berat (ada pula yang kata 'tiada siapa yang suruh ambil berat.  Suka hati akulah')

Cuba sesekali kita membuat teguran dan teguran kita tidak dipeduli malah ditambah dengan jelingan benci.  Apa kita rasa?  Mesti terasa hati, kan?  Tidak salah kita bermuka manis bila ditegur walaupun hati hanya Tuan Yang Maha Mengetahui...

Suatu hari, aku ke pasaraya.  Seperti biasa aku akan bawa bersama beberapa beg untuk mengisi barang yang akan dibeli nanti.  Beg-beg itu aku 'sumbat' ke dalam satu lagi beg yang agak 'cantik' dan sekali lihat macam beg tangan.  Kebiasaannya juga, aku akan gantungkan beg itu di troli barang. Telefon bimbit dan beg duit aku simpan dalam poket seluar yang aku pakai.

Tiba-tiba seorang wanita Cina yang berpakaian agak seksi menegurku dengan suaranya yang lembut 'is that your bag?'. Bila aku jawab 'yes', dia terus berkata, 'don't put like that.  It's dangerous'. Aku hanya senyum sambil mengucap 'thank you'.  Aku ambil beg itu dan menyandangnya di bahu. Pasti dia puas hati kerana tegurannya diterimabaik.  Beberapa kali sewaktu berpusing-pusing dalam pasaraya itu, aku terserempak dengan wanita tersebut.  Melihat aku menyandang beg berkenaan, dia tersenyum.

Beg itu tidaklah begitu berharga, tapi menggembirakan hati wanita tersebut lebih berharga.


Inilah begnya... (^_^)

Rabu, 13 September 2017

Motorsikal RM2,600.00, Nombor Pendaftaran RM74,000.00...

Gambar dan rencana dari KOSMO ONLINE



IPOH – Nombor pendaftaran AKU 8055 yang berjaya dibida dengan harga RM74,000 oleh seorang ahli perniagaan dari Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini digunakan pada sebuah motosikal jenis Demak EX-90 yang hanya berharga kira-kira RM2,600.
Keputusan pemilik nombor AKU 8055 yang menjadi rebutan ramai mencetus tular di media sosial terutamanya Facebook apabila ramai yang terkejut dan rata-rata memberi komen bahawa nombor tersebut disifatkan sebagai tidak sepadan dengan motosikal Demak EX-90.
Pemilik AKU 8055 yang mirip perkataan AKU BOSS berjaya dibida oleh Ch’ng De Wei selepas bersaing dengan ramai kenamaan lain termasuk artis dan bintang sukan.
Selepas berita nombor pendaftaran AKU 8055 didaftarkan pada motosikal Demak EX-90 menjadi tular di media sosial, De Wei menerusi jurucakapnya yang mahu dikenali sebagai Bob tampil membuat penjelasan.
Menurut Bob, ahli perniagaan yang berjaya membida nombor tersebut sebenarnya mempunyai perancangan lebih besar iaitu menjual motosikal tersebut dengan harga RM400,000.



Makanlah, tapi biar berpada-pada...

...tambahan kita yang sudah di hujung usia
bermacam makanan sudah kita rasa
sesekali berlagak macam  orang kaya
sedangkan sedapnya setakat tekak cuma...

Sotong kangkung nama diberi
rasanya tidak seperti dahulu lagi
zaman sekolah kuterkenang kembali
sepinggan limapuluh sen sekarang mana nak cari

Jemput-jemput kucai kubuat sendiri
waktu rajin digoreng bulat sebiji-sebiji
namun rajin hanya datang setahun sekali
yang hendak makan pun diri sendiri

Daging korban banyak didapati
sudah tak tahu hendak masak apa lagi
rendang, sup mahupun kari
sudahnya digoreng bersama halia dan cili

Tilapia goreng idaman suami
sudah tentu di kedai makan ia dinikmati
hendak makan masakan isteri
pelbagai alasan yang dia bagi

Lele itu sebenarnya keli
yang ini jadi habuan siisteri
ada orang katanya geli
tapi bagiku sedap sekali

Entah apa mimpi di suatu pagi
hantu rajin menyapa isteri
maka terhasillah hidangan ini
untuk dimakan mereka yang sudi

Nasi lemak beras basmathi
bila masak panjang sekali
boleh tambah berkali-kali
kalau sedap boleh buat lagi

Seringkas ini lauk yang ada
tetap kusyukur pada Yang Kuasa
janganlah hendak mengada-ngada
kenangkan nasib pelarian sana...

Selasa, 12 September 2017

Dari Allah kita datang...

...kepadaNya kita kembali.  

Sembah takziah kepada Kerabat Almarhum DYMM Sultan Kedah khususnya dan rakyat negeri Kedah amnya...

Grafik dari : Harian Metro


Petang semalam juga (11/9/2017), sewaktu En Suami pergi ke pasaraya Tesco Seksyen 13 Shah Alam, beliau melihat seorang lelaki Bangladesh tiba-tiba rebah dan menemui ajalnya.  Janji Allah itu pasti. Saat tiba waktunya, sesaat tidak akan dicepatkan mahupun dilewatkan.  Innalillahhi wainnailaihi rojiun...

Gambar-gambar berikut dirakam oleh En Suami :








Isnin, 11 September 2017

Kalau benar kamu sayang...

...tunjukkanlah di waktu susah bukan hanya di waktu senang
bukan sekadar menjadi bayang-bayang
muncul ketika cahaya terang
bila gelap ia turut sama menghilang

kalau benar kamu sayang
bukan bermanis kata tika sesuatu ingin kau minta
saat tiada keperluan yang kau terasa
lemah-lembutmu hilang entah ke mana
tak kau peduli hati yang terluka

kalau benar kamu sayang
jaga hatinya agar tenang sentiasa
walau pedih tidak terlahir di muka
tak mungkin sedikit pun tidak dapat kau rasa
betapa dia sudah hilang rasa bahagia

kalau benar kamu sayang
tika hadirnyalah dia kau tatang
bukan kelak setelah dia hilang
kata yang sama kau ulang-ulang
konon betapa rindumu bukan kepalang

Jumaat, 8 September 2017

Aku yang tak tahu diuntung...

Bila hendak berjumpa orang :

awal lagi aku bersiap
mandi, gosok gigi, berhias diri
berpakaian selengkapnya
berjam-jam di hadapan cermin
melihat apa lagi yang tidak puas di hati

Bila hendak berjumpa DIA :

bangun tidur cuma berkumur dan cuci muka
kemudian berwuduk seadanya
pakaian pun tidak ditukar
cuma sarung telekung yang sekian lama tidak dibasuh

Aku memang tak tahu diuntung.

bertemu orang entah apa faedah yang bakal diterima
entah orang tak perasan pun aku tampil penuh gaya

sedangkan bila aku bertemu DIA
padaNya aku boleh mengadu segala 
tapi aku buat dengan sambil lewa


Bila hendak bermesyuarat dengan orang :

tidak mengapa aku menunggu
manalah tahu nanti ada 'markah' lebih buatku
dari rasa senang hati orang itu
boleh aku meminta sesuatu yang berfaedah buatku

Bila hendak bermesyuarat dengan DIA :

eh...tidak mengapalah aku melewat-lewatkan masa
walaupun sepatutnya dari DIA aku merayu sepenuh rasa
kerana DIA akan sentiasa ada
dan DIA yang mengizinkan aku masih bernyawa

Aku memang tidak tahu diuntung.

bermesyuarat dengan orang
banyak agenda yang perlu mereka fikirkan
kehadiranku mungkin juga tidak dipandang
walau aku tersengih-sengih seperti kerang

bermesyuarat dengan DIA
sentiada ada ehsan jika aku tak jemu meminta
akan DIA beri walau aku tidak sedar saat ketika
dan aku terlupa pernah memohon sewaktu bantuanNya diterima

Balik-balik aku akan kata :

aku hanya insan biasa
kelemahanku tetap ada
nanti aku berubah bila sudah bersedia
tapi...tahukah aku bila ajal akan tiba???

Khamis, 7 September 2017

Kesian Qaid, sampai hati kepalanya 'dipotong' :(...

Gara-gara peniaga yang ingin buat kerja mudah dan tidak mahu mengeluarkan kos bagi membayar model atau jurugambar, maka gambar Qaid adalah yang telah menjadi mangsa. Kalau pun tidak mahu bayar model dan jurugambar, di zaman ini dengan menggunakan telefon bimbit pun boleh merakam gambar sesuka hati.  Apa masalahnya hingga sanggup 'mencuri' gambar orang lain tanpa rasa bersalah?  

Kalau sanggup mengubungi pemilik asal gambar dan berbincang pastinya masalah tidak akan dipanjang-panjangkan.  Ini jangankan hendak berbincang, 'kredit' pun tidak diberi.   Muhammad Qaid itu lelaki, sanggup dia 'diperempuankan' sesuka hati!  Nenek Qaid betul-betul marah tau!

Gambar-gambar yang menggunakan wajah Qaid :




Gambar asal Qaid :

Saya tahulah saya comel.  Kalau hendak
ambil saya jadi model, hubungi mummy
saya.  Hendak hubungi nenek saya pun boleh!


Setelah disiarkan di facebook dan Mummy Qaid dapat menghubungi 'seseorang', akhirnya gambar yang menggunakan wajah Qaid itu telah pun dipadamkan. Ha... ini juga pengajaran untuk peniaga-peniaga lain ya.  Tiada jalan mudah untuk mengaut keuntungan!

Rabu, 6 September 2017

Dulu kau sangka kita tak layak berkawan...

...kerana kau anak majikan 
aku pula anak pekerja bawahan

kau leka dengan segala kemewahan
bilikmu penuh aneka permainan
riang ria kau berlari di taman
sedang aku hanya mampu memerhatikan

kemudian kita meningkat dewasa
hidupmu masih penuh gaya
kau dapat apa sahaja yang diminta
sedangkan aku kena terus berusaha

kau tak pernah kenal erti susah
kau meraung walau hanya air yang tumpah
kau kata aku yang membuat sepah
tanpa sebab aku disumpah

namun aku tetap sedarkan diri
hidup menumpang membuatkan aku berhati-hati
biar dilayan bagai anak tiri
sebulat hati kuserah pada Ilahi

dunia ini hanya pinjaman
bumi yang bulat aturan Tuhan
tidak selamanya aku dibiar dalam kesedihan
Dia tahu apa yang aku perlukan

bila hidupmu tidak keruan
tidak pula aku ingin memberi balasan
harta yang ada sia-sia kau habiskan
akhirnya kau kenal mana kawan mana lawan

maka ingatlah wahai kawan
tiada kekal pangkat mahupun gelaran
biarlah seadanya hidup ini kita bawakan
akhirnya di sana juga tempat yang berkekalan

#catatansajasaja
#catatandirekareka
#agarblogterusbernyawa

Selasa, 5 September 2017

'Mak masih berblog lagi?'...


...begitulah pertanyaan GB

lalu makcik jawab begini :

iya, mak masih berblog lagi
cuma sudah tidak kerap dikemaskini
maklumlah sekarang lebih banyak menyendiri
ilham pun sukar hendak mendekati

bertambah lagi perlu berhati-hati
bukan semua boleh dicoret di sini
walaupun ada yang terlintas di hati
ia tetap perlu ditapis-tapisi

dapat mak rasai
blog ini ada yang memerhati
datang sebagai pembaca senyap sunyi
entah apa yang mereka cari

walau blog tiada catatan berhari-hari
jumlah kunjungan masih ada tidak terhenti
dari situ dapat mak ketahui
blog ini masih ada tarikan tersendiri

kadang-kadang kita menulis sekadar berkongsi
rupa-rupanya ada yang tidak senang di hati
dari itu biarlah kita sedar diri
menulis hanya sekadar berbasa-basi


Gambar hiasan :  terperangkap berjam-jam dalam kesesakan
di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Ipoh ke Tapah.
Moralnya :  gagal merancang bermakna merancang untuk gagal.