Kawan-kawan kakcik

Khamis, 31 Disember 2015

Hadiah hujung tahun 2015 dari Nuffnang...

...bukanlah hadiah apa pun, cuma tiba-tiba ada banyak iklan masuk semula.  Tapi, hasil kutipan dari setiap iklan sebenarnya hanyalah beberapa sen sahaja.  Maklumlah, blog sejuk beku macam ini faham-faham sendirilah...

Apa-apa pun, seperti selalu orang kata, dari tiada biarlah ada. Sedikit-sedikit, lama-lama ada juga duit ...


Hidangan hujung tahun...

...mudah-mudahan tahun hadapan dapat menyediakan hidangan yang lebih baik asalkan jangan sampai tiada apa yang mampu dihidangkan...

Rabu, 30 Disember 2015

Bercanda di Hutan Lipur Sg Tua, Hulu Yam...

En Suami hendak sangat bawa anak-anak mandi.  Puas dia memintaku meninjau mana-mana hotel yang bersesuaian kolam mandinya untuk mandi beramai-ramai.  Hendak mandi di air terjun katanya risau sekarang ini musim hujan dan takut kalau tiba-tiba datang 'kepala air'. Aku tidak begitu setuju dengan cadangannya itu sebab kalau menempah hotel pastinya perlukan ringgit yang nilainya beratus-ratus...

Aku pun tak pasti macamana akhirnya kami semua boleh bersetuju dan berkumpul dalam tempoh beberapa jam berbincang untuk mandi dan berkelah di Batang Kali (pelan asalnya - sebelum akhirnya dalam perjalanan, persetujuan dicapai untuk berhenti di Sg Tua sahaja).

Kami tiba pada jam 9.00 pagi.  Belum ramai pun orang yang kelihatan. Tetapi sebaik kami dapat tempat, tiba-tiba sahaja ramai pula pengunjung lain yang sampai.  Tiket masuk untuk seorang dewasa berharga RM1.00 dan kanak-kanak cuma RM0.50 sahaja.

Syukurlah tempat ini kelihatan berjaga. Ada pagar yang baru dipasang.  Sungainya juga bersih dengan air yang jernih serta ada binaan-binaan yang disediakan untuk pengunjung bersantai...

Papan tanda ini pun kelihatan sudah tua!
Jom layan gambar-gambar kemeriahan keluargaku dan adik-adikku bercanda dengan gembira walaupun aku sendiri malas hendak membasahkan pakaian di badan...



















Anggota keluarga yang paling muda setakat ini
(berusia 1 tahun) pun bukan main suka...

Selasa, 29 Disember 2015

Syiling - siapa peduli dengan kehadirannya?...

berat ni...
...tapi nilainya mungkin tak seberapa.

Zaman aku masih anak-anak hingga belasan tahun dulu, jumpa wang syiling sekupang dua (sepuluh duapuluh sen) sudah rasa sangat besar nilainya.  Kalau duit itu 'berkarat', akan diletak atas tanah dan di'twist' menggunakan tumit hingga nampak bersih.

Dapat berbelanja lebih dari 20 sen di sekolah, kaya sangat rasanya.  Boleh berlagak dengan kawan-kawan.  

Sekarang?

Bersepah duit syiling atas lantai pun, anak-anak buat tak nampak.  Belanja sekolah setakat seringgit dua ringgit bagai sudah tidak relevan.  Apatah lagi kalau sekadar dua tigapuluh sen.

2016 akan muncul beberapa puluh jam sahaja lagi.  Sekolah akan mula dibuka. Perbelanjaan untuk anak-anak yang akan melangkah semula atau mula melangkah ke sekolah, bukan sedikit.  Jangan cerita suruh berbelanja secara berhemah, suruh beli yang paling murah kerana sehemah mana atau semurah mana pun, duit tidak datang terbang melayang.  Ada BR1M?  Hmmmm... (jawablah secara jujur diam-diam dalam hati sendiri)

Ibubapa, mulalah berfikir untuk buat lebih dari satu kerja!  Kerja maksudnya yang boleh mendatangkan wang.  Kerja yang ada gaji atau upah.  Dua kerja bermaksud mungkin satu kerja waktu siang sebagai kerani pejabat dan kerja kedua di waktu malam sebagai pengawal keselamatan (sekadar contoh).  Jika berani dan yakin, pilihanraya akan datang cuba-cubalah masuk bertanding, mana tahu boleh jadi PEMIMPIN!

Isnin, 28 Disember 2015

Tidak perlu percutian mewah atau hadiah mahal...


...berkumpul bersama keluarga dan semua adik-adik serta seluruh ahli keluarga mereka sudah cukup membuatkan aku rasa bahagia...

26/12/2015 : di rumahku...

Inilah keluarga kami...

...keluargaku bersama keluarga empat orang adik-adikku
27/12/2015 : di kawasan perkelahan Hutan Lipur Sg Tua, Hulu Yam, Selangor...

masih ada kedamaian dan ketenangan di sini...
...bekalan makanan sekadarnya untuk mengalas perut...

anak-anak yang meningkat remaja / dewasa

kegembiraan itu tidak memerlukan kata-kata...

...aku tumpang gembira...

...entah berapa lama lagi
kami akan dapat bersama di dunia ini.

Rabu, 23 Disember 2015

Bila sampai masa, tiada siapa dapat menahannya...

Lapan hari sebelum besanku kembali ke Rahmatullah, suami kepada bekas pengasuh anak-anakku dijemput kembali oleh Ilahi.  Beliau juga telah beberapa tahun sakit dan sihat semula dan sakit lagi serta menjalani rawatan dialisis.

Majlis menyambut menantu untuk anak lelaki bongsunya telah dijadualkan betul-betul seminggu selepas tarikh kematiannya dan semua jemputan telah diundang...

Jam 12.00 tengahari - belum ramai tetamu yang tiba

Ada rasa sayu yang tak tahu hendak kuungkapkan


Anak-anak bujangku bersama sepupu mereka

Ini makanan yang diambil oleh anakku.
Aku hanya minum air sahaja

Along membacakan tahlil ringkas atas permintaan
balu dan anak-anak Allahyarham...

Detik demi detik, perkhabaran tentang kematian diterima - sama ada mereka yang kita kenali atau tidak.  Sebenarnya itu juga merupakan amaran bahawa masa untuk kita dijemput kembali mungkin sahaja akan tiba pada bila-bila masa...

Semoga roh Allahyarham Haji Basiron bin Jaapar ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh.  Aamiin.


Dari Dia kita datang, kepadaNya kita kembali...


Aku dan suami baru sahaja 'kehilangan' besan perempuan kami- Hajjah Ragayah binti Haji Sahak yang menghembuskan nafas terakhir pada 21/12/2015 jam 10.40 malam. Sebelum ini Allahyarhamah menjalani rawatan dialisis 3 kali seminggu dan pada hari-hari terakhirnya beliau mengalami sesak nafas dan dimasukkan ke wad di Hospital Serdang.

Malam beliau dijemput kembali, aku dan suami merasa agak resah dan merasakan 'sesuatu' kerana sebelumnya kami diberitahu keadaan besan kami tidak stabil sehinggalah kami mendapat panggilan dari Along.  Lebihkurang setahun setengah yang lalu, kami kehilangan besan lelaki (suami kepada Allahyarhamah).  Kini menantuku dan dua adiknya sudah menjadi yatim piatu.  Semoga mereka terus tabah menghadapi hari-hari mendatang dan redha dengan ketentuan Ilahi.

Di masjid ini jenazah dimandi, dikafan dan disolatkan.

Tanah Perkuburan Universiti Pertanian Malaysia.  Allahyarhamah  sebelum ini
adalah kakitangan UPM dan baru bersara awal tahun ini di usia 58 tahun.

Penghormatan terakhir...

Muhammad Qaid Darwish sudah tiada Atok dan Opah dari
sebelah mummy tapi masih ada Atok dan Nenek dari
sebelah daddy.  Qaid adalah cucu sulung dari kedua-dua
keluarga kecil kami...

Rumah terakhir...

Along bersama adik iparnya (satu-satunya anak lelaki dan anak bongsu Allahyarham)
Solat jenazah dan bacaan talqin dibawakan oleh Along.


Isnin, 21 Disember 2015

Bila anak-anak meningkat remaja...

...maknanya aku kian ke penghujung usia...
Anak-anakku bersama sepupu mereka...
Kalau dulu mereka didukung, sekarang mereka sudah mampu mendukung...

Karipap King Kong katanya....

Dulu namanya KARIPAP GERGASI dan harganya RM3.00
Sekarang sudah menjadi KARIPAP KING KONG dan harganya menjadi RM4.50
Bila tanya kepada penjual, katanya karipap king kong ini lebih besar dari karipap
gergasi, tapi bagiku saiznya sama sahaja.  Dulu aku dan suami sanggup ke
Kuala Selangor semata-mata ntuk membeli karipap gergasi, sekarang rasanya
tidak lagi kecuali kalau mengidam setengah mati...
Yang ini dibeli sewaktu kebetulan kami lalu di situ
dan menantuku yang sedang hamil teringin memakannya.
Saiznya pendek beberapa sentimeter dari saiz 'gunting dapur'
Dua biji sahaja.  Digoreng dan pastikan dimakan hingga habis.
Walaubagaimanapun, isinya memang penuh walaupun
mungkin lebih kentang dari ayam/daging.