Kawan-kawan kakcik

Selasa, 30 Januari 2018

Berjanji dengan bekas menteri...

Catatan ini adalah berdasarkan pengalaman yang makcik lalui sendiri pada 29/01/2018...


berjanji dengan bekas menteri
kesabaran memang kena tinggi
jam empat waktu diberi
jam tujuh dia tak muncul lagi

dia kata hendak jumpa di sini
persiapan pun dibuat dengan rapi
tiba-tiba dia kata dia ada temujanji
dengan orang yang berjawatan lebih tinggi

bolehlah jumpa seketika
di persimpangan jalan yang terbuka
sebab dia pun tergesa-gesa
sempatlah bergambar walau lima minit cuma

yang hendak 'menderma' itu adalah dia
maklumlah pilihanraya akan tiba
tapi dibuatnya pembekal bagai tidak berharga
ditolak ditarik ikut suka hati dia

depan rakyat senyum bukan main
'pilihlah saya jangan pilih yang lain'
'saya berkhidmat bagaikan lilin'
'badan terbakar demi menerangkan yang lain'

susunan ayat memang sedap
sebab tak ikhlas kadangkala jadi gagap
rakyat sekarang bukan lagi bodoh dan lembab
buktikan kau boleh buat seperti yang kau cakap!



gambar hiasan
Renungan seorang YB (Yang Bersara)

Isnin, 29 Januari 2018

Kata Pok Ya Cong Codei...

Antara kata-kata Pok Ya yang menarik perhatianku :

** 'kalau semua benda aku kena ambil tahu, baik aku jadi menteri'

** 'kalau bini aku kena culik, ke hujung dunia pun aku cari.  Tapi kalau dia lari, bersembunyi belakang rumah pun aku tak akan cari'

** 'cari bini muda lagi senang dari cari bini yang lari dari rumah'

Siapa sebenarnya Pok Ya Cong Codei ini?  Boleh baca  sinopsisnya seperti yang tercatat di laman ASTRO AWANI ini

Semuanya kerana satu watak yang dibawakan oleh Sabri, Pok Ya Cong Codei, seorang gedebe dari Kelantan yang datang ke Kuala Lumpur untuk melaksanakan tugas mencari anak seorang Datuk yang kononnya dilarikan lelaki.

Di Kelantan, watak seperti Pok Ya itu memang wujud malah perkataan 'Cong Codei' pernah menjadi bualan masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang satu masa dahulu.

Pok Ya Cong Codei bukan samseng atau gengster walaupun dia seorang yang berani, mempunyai ramai pengikut dan sangat dihormati serta disegani, tetapi Pok Ya Cong Codei memberi makna sebenar 'gedebe' yang sekian lama disalah erti oleh ramai pihak.
Gedebe satu istilah yang berasal dari Selatan Thai merujuk kepada Tok Nebe atau Tok Penghulu, satu sosok yang sangat dihormati dan disegani serta mampu menyelesaikan banyak masalah antaranya pergaduhan melibatkan kumpulan samseng dan hal lain di kawasan sekitarnya. Mengikut kata Sabri, istilah gedebe hanya muncul di Kelantan sekitar era 70-an.

Dalam drama yang disiarkan di Astro CITRA itu pun, watak Pok Ya Cong Codei bukanlah kaki gaduh yang hanya tahu mahu mengamuk dan marah-marah, sebaliknya Pok Ya Cong Codei menyelesaikan masalah Datuk Sahak dengan caranya dan membantu Rashdan (lakonan Fikry Ibrahim) menyelesaikan masalah mendapatkan wang untuk merawat ibunya serta mendamaikan Halim Kampung Pasir (Saidi Sabri) dan Nasir Badak atau Nasir Chow Kit (Ku Hanafi Ku Harun).

Itulah watak gedebe sebenar, bukan samseng atau gangster yang hanya tahu bergaduh semata-mata atau memukul orang lain yang tidak setuju dengannya. Pok Ya Cong Codei sanggup meminta maaf bila dia sedar bersikap kurang ajar ketika cuba meminta bantuan seorang lelaki berkaki palsu.

Pok Ya Cong Codei juga mempunyai sikap mulia, memberikan wang berjumlah RM40,000 yang sepatutnya menjadi upah untuk dia kepada Rashdan supaya mengubati ibunya yang berdepan masalah jantung.

Dalam drama itu, Sabri juga memberitahu penonton, sehebat mana pun seseorang, dia tetap memerlukan orang lain untuk membantu dalam banyak perkara, contohnya Pok Ya perlu menunggu Halim dan Sero tiba untuk memesan makanan kerana dia tidak tahu menggunakan khidmat pesanan dari bilik hotel.

Menerusi sisi naif Pok Ya inilah penonton akan ketawa biarpun tidak memahami dialog dalam loghat Kelantan.

Pok Ya juga digambarkan sebagai satu sosok yang mempunyai prinsip dan  sangat komited dengan tugas yang telah dipersetujui.

Drama Pok Ya Cong Codei juga membuktikan watak utama tidak semestinya perlu diserahkan kepada pelakon muda dan kacak semata-mata. Malah dua pelakon yang mempunyai wajah 'boleh jual', Uqasha Senrose yang memegang watak Aina dan Fikri Ibrahim tenggelam dek penangan Pok Ya Cong Codei.

Biarpun ditenggelamkan oleh Pok Ya Cong Codei, Uqasha dan Fikri memberikan lakonan yang hebat, begitu juga Mustapha Kamal dan pelakon-pelakon lain termasuk Zee Khan Hussein yang memegang watak Siti, isteri yang baru sebulan dinikahi Pok Ya.

Sabtu, 27 Januari 2018

Rabu, 24 Januari 2018

Pada tarikh ini 3 tahun lalu...

... buat pertama kalinya selepas bergelar seorang pesara, makcik berpeluang ke luar negara atas izin En Suami.  Sebelum itu, paling jauh pun kami berdua berpeluang ke Tanah Suci Mekah dan Madinah untuk menunaikan ibadah Umrah.

Kenangan sewaktu di Tanah Suci.

Kebiasaannya, bila makcik meminta izin dari pakcik untuk mengikut kawan-kawan bercuti, pakcik akan kata : 'sabar, nanti ada rezeki kita pergi bersama'.  Tapi setelah bersara, mungkin ada rasa belas di hati pakcik kepada makcik (kalau dalam Malaysia, semua negeri hingga ke Sabah dan Sarawak pakcik sudah bawa makcik menjelajah).

Bila adik angkat makcik ajak bercuti ke Ho Chi Minh City, pakcik lantas memberi izin.  Maka pada tarikh ini di tahun 2015, makcik pun sampai ke Ho Chi Minh City seperti catatan di sini :




Di tahun 2015, beberapa kali makcik berpeluang ke luar negara.  Selepas ke Ho Chi Minh City, makcik ke Beijing, Bali, New Delhi (3 kali) dan Kashmir.  Dalam perjalanan-perjalanan itu, hanya dua kali bersama pakcik.  Selebihnya hanya bersama kawan-kawan.

Selepas tahun 2015, dunia makcik kembali hanya di rumah.  Sesekali pakcik bawa (tidak lagi sekerap dulu kerana beliau juga sudah kurang ke luar daerah) mengikut beliau. Hanya di Semenanjung.  

Di hati kecil makcik, masih ada rasa ingin untuk 'ke mana-mana'.  Namun menyedari kemampuan kewangan dan kesihatan yang terbatas, makcik pasrah dengan segala aturan Allah.

Ada izinNya, adalah.  Terutama untuk ke Tanah Suci semula...

Dah kenapa tu makcik?

Jumaat, 19 Januari 2018

Pantun Anak Gajah...

Assalamu'alaikum dan Salam Jumaat buat yang sudi singgah dan membaca...

Khamis (18/01/2018), makcik ikut pakcik ke Kuala Selangor.  Pakcik ada sedikit tugasan di sana.  Disebabkan kami tiba awal, kami singgah sekejap di Bukit Malawati, Kuala Selangor.  Makcik minta pakcik ambilkan gambar makcik duduk dekat meriam.  Huhuhu...pakcik bila ambil gambar makcik memanglah hasilnya agak tidak memuaskan hati makcik yang perasan comel ini.  Dah rupa macam anak gajah saja...hahaha...

Maka, makcik dapat ilham untuk mencipta pantun (makcik ada letak pantun ini di facebook makcik)...


Anak gajah berbaju batik
duduk termenung di tepi meriam
ada orang perasan cantik
padahal terjun terus tenggelam!

Anak gajah duduk termenung
memandang monyet sedang menari
badan gemuk hati pun murung
hendak tersenyum tidak berseri

Sudah bertahun-tahun makcik tidak memakai baju kurung batik begitu.  Apatah lagi setelah tidak bekerja.  Waktu kerja dulu pun makcik lebih suka menyarung jubah.  Semalam sewaktu buka almari, makcik nampak baju itu dan setelah dicuba, masih boleh dipakai...

Isnin, 15 Januari 2018

Memang dingin sekarang, tapi...

...tidaklah sampai perlu pakaian tebal dan berlapis-lapis
seperti waktu makcik ke Beijing pada 14/02/2015 dulu...

...atau dapat bermain salji seperti di
Pahalgam, Kashmir pada 07/11/2015 ini.

Walaupun  begitu, syukur kepada Allah SWT yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia merasai pengalaman cuaca dingin ini (di Kuala Lumpur, suhu paling rendah dicatatkan mengikut yang terpapar di skrin telefon makcik ialah 23C).  Kelakar juga melihat kreativiti sesetengah orang yang memuatnaik gambar seolah-olah salji turun di beberapa kawasan.

Tapi, kreatif tu kreatif la juga kan?  Janganlah pula sampai menggunakan gambar orang lain sewenang-wenangnya tanpa meminta izin atau memberi kredit kapada tuan punya gambar seperti yang berlaku kepada Abah Zino ini.  Tak baik tau.  Gambar itu ada tuannya.  Hendak mendapatkan gambar itu pun bukan sedikit belanja yang telah dikeluarkan sebelumnya.  Kita pula semudah menekan papan kekunci mengambilnya walau tanpa niat mencuri...

Mungkin bil elektrik bulan ini akan berkurangan sebab tidak perlu memasang kipas atau pendingin hawa waktu tidur untuk beberapa hari ini.

Jumaat, 12 Januari 2018

Sudah lebih 48 jam hujan turun tanpa henti...

...namanya manusia.
hujan mengeluh
panas pun mengeluh

tapi aku suka cuaca dingin ini
badanku tidak berpeluh
dan aku juga tidak perlu memasang kipas sepanjang waktu

cuma...
eh - perut ini kenapa?
sudah makan, seketika nanti lapar lagi
kain di ampaian kering tetapi dingin
tak mengapa, 
asal jangan berbau masam

semoga hujan itu turun bersama rahmat
semua tempat berada dalam selamat
setiap sesuatu yang Allah jadikan untuk kita beringat
bahawasanya kita tidak berkuasa mahupun berkudrat

mata memang mudah mengantuk
tapi tidur lama-lama pun tidak elok
nanti jadi malas dan terasa macam terlebih gemuk
hendak bangun tapi tersengguk-sengguk...


Rabu, 10 Januari 2018

Dia insan terpilih (cara kematiannya ku'cemburui')...

Sebaknya baca kisah dari HARIAN METRO ini...

DUA abangnya dijemput Ilahi ketika bersolat berapa tahun lalu, dan Khamis lalu, Aisyah Bahar, gadis cantik serta pintar menghembuskan nafas terakhirnya ketika membaca al-Quran di pangkuan bapanya pada usia baru 22 tahun.
Selepas selesai solat subuh berjemaah di masjid di kampungnya di di Kabupaten Bone dekat Makasar, Sulawesi Selatan, Aisyah membaca al-Quran, meminta bapanya membetulkan jika salah.
Ketika membaca surah Al-Mutaffifin, dia memeluk bapa, meminta diajarkan dua kalimah syahadah.
“Tiba-tiba ia memeluk saya, minta dipandu membaca syahadah. Selepas itu dia meninggal dunia,” kata bapanya Andi Bahar Jufri menceritakan detik anak kelimanya itu meninggal dunia 4 Januari lalu.





Aisyah bersama ibu bapanya. - Foto Facebook (Liputan6)
Menurut laporan portal Liputan6, Aisyah Bahar, gadis cantik dan rajin melakukan ibadat adalah lulusan Universiti Hasanuddin dan bakal memulakan pekerjaan dengan pasukan makmal penternakan di universiti berkenaan.
Menurut bapanya, pada malam menjelang kematiannya, Asiyah yang dipanggil Ica, bangun menunaikan solat malam dan bersahur kerana akan berpuasa sunat keesokannya.
“Itu rutin biasa Ica, berpuasa Isnin dan Khamis. Ketika itu kami lihat keadaannya baik saja, tiada yang janggal,” katanya hari ini.
Ica, lulusan terbaik Fakulti Ternakan itu kemudian ke masjid untuk solat subuh berjemaah dan selepas itu meminta bapanya menemaninya membaca al-Quran, membetulkan bacaannya jika salah.
“Tidak pernah dia meminta ditemani seperti itu,” kata bapanya.
Menurut Andi Bahar, sebelum ini Ica mengadu sering sakit kepala namun pemeriksaan doktor tidak menemukan sebarang masalah.
Aisyah dikebumikan di tanah perkuburan Lembaga Dakwah Islam Indonesia (LDII) Moncongloe, Maros, Sulawesi Selatan, tidak jauh dari rumah keluarganya.
Menurut Andi Bahar yang mempunyai lapan anak, dua abang Aisyah, Andi Ibrahim dan Andi Astri, yang terlebih dahulu dijemput Ilahi juga meninggal dunia ketika bersolat, beberapa tahun lalu.
Menurutnya, Andi Ibrahim yang hafaz al-Quran, meninggal dunia dalam keadaan sujud ketika bersolat sunat Tasbih pada Ramadan 2009.
Anak keduanya, Andi Astri, meninggal dunia selepas selesai membaca tahiyat akhir ketika sedang bersolat malam di Pondok Gede, Jakarta, pada 2011.
Andi Bahar berkata, dia reda menerima ketentuan Allah dan amat bahagia kerana anak-anaknya meninggal dunia ketika sedang beribadat kepada Tuhan.



Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 7:05 PM

Innalillahhiwainnailaihirojiun...

Selasa, 9 Januari 2018

9 Januari 2018...



...dari pagi tadi
sekejap panas
sekejap hujan

hati pun begitu...
tapi lebih banyak getaran
dari ketenangan

mungkin agaknya...
aku kian menjauhkan diri dari DIA
ingat hanya pada ada ketika
dan selebihnya lebih banyak lupa

Allah...
bagaimanapun akhirnya
padaMu juga aku akan kembali.

Isnin, 8 Januari 2018

Terperap dalam sepi...

...yang tidak bertepi

tidak mengharapkan ada yang mengerti
kerana harapan sudah lama berlalu pergi

walau hati masih ingin menanti
tapi sedikit demi sedikit terhakis sendiri

betapa aku ingin keluar dari kepompong ini
menjadi rama-rama yang bebas ke sana sini

ia hanya terjadi dalam mimpi
hilang sirna seusai terbangun lagi...


Entah bila akan mampu terbang lagi...


Rabu, 3 Januari 2018

Azam? Yang ada cuma harapan...

Iya, aku sudah lama tidak punya apa- apa AZAM.

Azam untuk kurus?
Kurus untuk apa?

Kalau untuk sihat, tak mengapalah.
Tapi kalau kurus untuk kelihatan cantik di mata manusia,
ia mungkin menjadi sesuatu yang sia-sia.

Dulu masa badan berisi, hanya berjubah dan berabaya...
tapi bila sudah kurus, sibuk hendak berkain ketat dan berkebaya.

Mungkin dipuji dan dipuja manusia
tapi di 'mata' Ilahi, entah di mana nilainya...

Eh...

sudah terpesong jauh kata-kata

Aku cuma ada sedikit harapan dan impian

tahun lalu, hatiku sering menjadi debu
berterbangan mencari arah yang tak pernah ditemu

tahun ini, aku harap hati ini menjadi batu
keras walau ditusuk bertalu-talu

Allah,
aku mohon padaMu
semoga ketenangan dan kebahagian berpanjangan buatku
juga keluargaku
jadikan hati-hati kami sentiasa bersatu
walau apa sahaja yang datang mengganggu.

Isnin, 1 Januari 2018

Tarikh bayaran pencen 2018...

  BULAN                  TARIKH                 HARI

JANUARI              18/1/2018             RABU
FEBRUARI            07/2/2018            SELASA
    MAC                       21/3/2018        SELASA
  APRIL                    19/4/2018           KHAMIS
    MEI                        21/5/2018          KHAMIS
JUN                        06/6/2018          RABU
   JULAI                     19/7/2018          KHAMIS
OGOS                     13/8/2018           ISNIN
SEPTEMBER         20/9/2018             RABU
   OKTOBER             18/10/2018          SELASA
   NOVEMBER          21/11/2018           SELASA
DISEMBER            20/12/2018          RABU

Sumber : SINI