Kawan-kawan kakcik

Sabtu, 31 Mac 2018

Aku tak kuat, tapi aku kena kuat...

kadangkala rasa hendak menjerit
menjerit sekuat-kuat hati
luahkan segala yang terbuku
muntahkan segala yang terpendam

tapi aku tetap begini
kupendam dalam diam
dengan kudrat yang sengaja dikuatkan
dengan tenaga yang sengaja diadakan

atas izin Ilahi
aku bernafas di setiap detik yang berbaki
apa sahaja yang aku tak puas hati
kuadukan kepada Dia Yang Maha Mengetahui

sungguh...
aku tak kuat lagi
sehingga aku terfikir untuk 'lari'
tapi ke mana harus aku pergi
membawa segala duka dan resah jiwa ini...

Khamis, 29 Mac 2018

Bertemu blogger 'Pangkin Nenek'...

Buat macam mana pun, tak boleh nak 'tutup' wajah makcik yang bulat itu...

Terima kasih Kak Rose @ Kak Yon atas undangan
Menerima undangan dari Kak Rose pemilik blog Pangkin Nenek untuk menghadiri majlis akikah cucu beliau pada hari Sabtu 24/3/2018.  Undangan dibuat melalui pesanan peribadi (PM) di facebook.

Hari yang sama juga, anakku ada temujanji di hospital.  Jadi, tidaklah pasti sama ada undangan dapat dipenuhi atau tidak.  Kak Rose kata, tak mengapa datang lambat asalkan boleh bersua.  Lagi pun jarak rumahku ke Shah Alam tidaklah jauh mana.  Memang saban waktu kami (aku dan suami) berulang ke sana.  Lagi pun pejabat suami memang di Shah Alam dan universiti tempat anakku belajar juga di Shah Alam.

Kak Rose, wanita yang peramah dan sangat lemah lembut orangnya.  Pertama kali bersua bagaikan sudah biasa berjumpa.  Sedangkan selama ini hanya bertegur sapa di dunia maya.  Di usianya awal 60an, beliau masih sihat dan nampak jauh lebih muda dari usianya.

Mudah-mudahan Allah SWT permudahkan segala urusan Kak Rose seisi keluarga.  Selamat berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah umrah tidak lama lagi.  Doakan agar kami juga dapat menyusul ke sana lagi...  

Selasa, 27 Mac 2018

Bila peruntukan insurans melebihi had...

Anakku 'menginap' di hospital selama 11 hari (ikut bil 9 hari).  Aku dan suami sudah mula bimbang bila diberitahu oleh bahagian pengebilan bahawa jumlah yang dikenakan sudah melebihi had insurans yang layak.  Anakku ini masuk hospital dengan menggunakan kemudahan insurans yang disediakan oleh syarikat tempat suamiku bertugas.  Kadar kelayakan 'pesakit dalam/rawatan pakar' hanya RM35,000.00 setahun bagi pekerja dan tanggungan.  (Syukur ke hadrat Ilahi kerana anakku yang kedua bekerja di syarikat yang sama dengan bapanya, jadi aku dan bapanya boleh 'menumpang' insurans yang diperuntukkan buatnya).

Anakku yang ini ada sejarah pembedahan jantung sewaktu usianya 7 hari.  Bukan jantung berlubang, tapi saluran jantung yang tidak berada pada tempat yang sepatutnya.  Atas alasan itu, tiada syarikat insurans yang mahu menerimanya sebagai pemegang polisi.  Sudah buat surat akuan dari Institut Jantung Negara pun, tiada syarikat insurans yang sudi menerima.
Aku suarakan kegelisahanku kepada doktor yang merawat.  Jururawat-jururawat juga menyuarakan kebimbangan mereka.  Jumlah bil sudah meningkat kepada RM34,000.00, sedangkan pihak insuran syarikat memberi amaran bahawa jumlah yang boleh digunakan kali ini tidak melebihi RM29,000.00!  Rawatan sebelum ini telah menggunakan beza amaun yang ada.  Kami memang tiada simpanan untuk saat kecemasan seperti ini.  Suami terpaksa menebalkan muka memohon bantuan dari kawan-kawannya (benarlah bahawa kawan ketawa senang dicari....).  Sedikit simpanan yang ada juga dikeluarkan sepenuhnya.  Terima kasih kepada yang sudi membantu termasuk doktor pakar tersebut (Dr G. C. George) yang memberikan potongan harga (diskaun) atas perkhidmatannya (lebih RM1,000.00)

Lupa hendakku ceritakan, asalnya jumlah pembedahan ini dijangka hanya sekitar RM20,000.00 ke RM25,000.00 sahaja.  Jadi memang cukup dengan had kelayakan insurans yang ada.  Cuma tidak disangka, penginapan di hospital itu mengambil masa yang lama termasuk caj yang agak tinggi sewaktu di Unit Pemantauan Rapi.

Namun, bersangka baik dan bergantunglah sepenuhnya dengan Allah SWT.  Dia akan beri apa yang kita perlu dan bukan apa yang kita mahu. Bil keseluruhan akhirnya hanya lebihkurang RM30.000.00... Sekarang kami cuma perlu sediakan wang untuk rawatan susulan (follow up) memandangkan peruntukan pesakit luar juga sudah semakin susut.

15/3/2018 - ditolak ke bilik pembedahan

17/3/2018 - masih lemah di wad biasa

Selepas maknya lapkan badan dan bagi pakai pakaian biasa
Berlatih berjalan pada jam 2.00 pagi kerana tak boleh lena.


Luka yang masih mengeluarkan cecair sehingga kini
Buat masa ini, anakku terpaksa menangguhkan pengajian peringkat ijazahnya untuk satu semester berikutan keadaan kesihatannya tidak membolehkan dia bergerak lasak ke sana sini...

Isnin, 26 Mac 2018

Bagaimana boleh terjadinya 'USUS MALAS'...

Mengikut doktor pakar yang merawat (dan membedah) anakku, beliau juga tiada jawapa yang pasti untuk soalan itu.  Kemungkinannya ada beberapa sebab.  Di antaranya :
- usus memang bermasalah sejak pesakit masih kecil
- kerana ubat-ubatan yang pernah ditelan
- kerana tabiat pemakanan (makanan yang diambil sebenarnya tidak sesuai untuk usus seperti ubat pelawas yang menyebabkan usus 'malas bekerja'.  Bila makan makanan itu memang akan mudah buang air besar tetapi usus tidak berfungsi seperti yang sepatutnya).

Bagi kes anakku, aku sendiri tidak tahu akan kemungkinan yang mana menyebabkan ususnya jadi begitu.  Di awal rawatan, doktor memberikannya serbuk serat (fibre) untuk dimakan dua kali sehari.  Untuk tiga minggu, dia boleh membuang air besar seperti biasa.  Minggu seterusnya, serat itu tidak lagi berfungsi.  Ubat-ubatan lain termasuk jenis cecair juga tidak membantu.  Akhirnya doktor membuat keputusan untuk memotong usus besar yang tidak berfungsi itu.

Masuk wad dari hari Sabtu untuk tujuan pemantauan dan dari sehari ke sehari tiada perubahan, lalu pada hari Khamis, pembedahan dilakukan.  4/5 dari usus besarnya dipotong dan dikeluarkan...

Inilah usus yang dipotong dan dibuang itu.
Selepas pembedahan, anakku ditempatkan di Unit Pemantauan Rapi bagi tempoh 24 jam kerana sewaktu hendak dibedah dan selepas pembedahan dia mengalami kekejangan.  Syukur Alhamdulillah, tiada kejadian yang tidak diingin berlaku sepanjang tempoh pemantauan rapi itu.

Bila masuk semula ke wad biasa (wad 4 katil), aku meminta untuk menunggu anakku di waktu malam.  Waktu siang memang tiada masalah menunggu, tapi biasanya hanya wad untuk seorang sahaja yang boleh ada peneman.  Atas budi bicara jururawat yang bertugas, aku dapat menunggu anakku selama 4 malam berturut-turut (kebetulan hanya ada seorang sahaja pesakit lain dalam wad berkenaan).  Aku kena tunggu sebab mudah untukku menguruskan anakku bila dia hendak buang air kecil dan memantau jumlah air yang diminumnya.  Jururawat yang bertugas cuma ada 3 orang di waktu malam.

4 malam aku hanya 'tidur-tidur ayam' dengan duduk di atas kerusi yang keras dan sesekali berteleku di 'pagar' katil anakku.  Jam 5.30 pagi, suami akan ambil aku untuk balik seketika.  Jam 10.00 pagi, aku akan berada di hospital semula hingga Maghrib dan balik seketika untuk mandi dan menukar pakaian.  Mujur juga rumah tak jauh mana.

Kasih ibu sepanjang hayat, biar separah mana hatinya kau siat.

Bagi mereka yang kerap mengalami masalah untuk membuang air besar (3 ke 4 hari sekali), eloklah melakukan pemeriksaan di hospital.  Kita mungkin menyangka bahawa kita mengalami masalah sembelit atau kita kurang makan.  Rupa-rupanya ada masalah lain yang tidak kita ketahui.  Syukur juga anakku ini tidak mempunyai masalah yang lebih serius seperti kanser usus atau ketumbuhan.  Na'uzubillahhiminzalik...

Khamis, 15 Mac 2018

Rabu, 14 Mac 2018

Sampai waktunya, terpaksa dilepaskan juga...

...sayanglah macam mana pun
tatanglah secermat mana pun
apa pun ia...
harta
pangkat
anak cucu
suami isteri
...
tidak akan menjadi milik yang abadi
sampai waktunya, semua diambil kembali

Hatta...
tubuh badan dan nyawa sendiri
tidak akan dapat kita tahan bila dipanggil Ilahi

Bersediakah kita?

Mungkin di satu ketika ia sangat disayangi dan lambang kemegahan diri, namun sekelip mata musnah dijilat api...

Selasa, 13 Mac 2018

Bertemu 'peminat blog'...

Tarikh :  11/03/2018 bertempat di Auditorium JPS Ampang.  Memenuhi undangan kenalan suami.  Ambil makanan dengan niat untuk dimakan, maka janganlah dipersia-siakan.

Dewan yang indah, tenang dan lapang.  Diiringi zikir puji-pujian terhadap Allah dan Rasulnya menambahkan kesyahduan.

Bagilah peluang makcik hendak berswafoto sekejap.

Saat makanan sudah dihabiskan dan ingin bangun untuk pulang, kami disapa oleh pasangan muda yang meminta izin untuk duduk bersama.  Wanita comel ini asyik tersenyum kepadaku.  Ketika aku bangun hendak bergerak, dia juga bangun menghulurkan tangan.  Dengan berbisik dia berkata, 'saya suka baca blog akak'.  Terkesima makcik tau...  Bagaimanapun, terima kasih buat Noor yang manis kerana sudi menyapa makcik.  Tak sangka, ada juga yang berminat dengan tulisan makcik yang penuh resah gelisah ini.  Iyalah, tulisan seorang pesara yang kini banyak masa dihabiskan di rumah sahaja.  Walau ada yang mencuit rasa, bukan semuanya sesuai dikongsi di dunia maya...

Isnin, 12 Mac 2018

Awan pun bersapa dan berdoa...

Tidakkah awan itu kelihatan bagaikan dua entiti yang saling bersapaan atau bersalaman?  Kita pula?  Kadangkala elok bersua tapi saling memaling muka seolah bermusuhan sedangkan tidak pula saling mengenali.  Mahal sangatkah untuk mengukir senyuman dan sekadar menunjuk rasa persahabatan...

Aku merakam gambar ini menjelang Maghrib di suatu senja.  Ia kelihatan seperti orang yang sedang berdoa.  Banyak diperkatakan bahawa 'Doa itu senjata orang Mukmin'.  Cuma kita yang sering lupa.  Diuji dengan masalah, kita akan lebih sering mengeluh berbanding mengadu dan berdoa kepada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Selamanya aku memang suka memerhatikan bentuk-bentuk awan di dada langit.  Tapi sejak tidak bekerja, masaku lebih banyak di dalam rumah dan jarang dapat menatap awan pagi dan petang (apalagi di tengahari) seperti dahulu.  

Walaubagaimanapun, kita mungkin memandang awan yang sama tapi kita melihat bentuk yang berbeza.  Begitu juga tafsiran kita terhadap sesuatu perkara.  Yang kita rasa indah itu adakalanya adalah sesuatu yang menyakitkan mata orang lain pula.  Jangan hanya kerana tidak sama pandangan, kita berbalah hingga berpecah-belah...

Jumaat, 9 Mac 2018

Bila bekalan air terputus...

...kedai dobi layan diri yang mempunyai bekalan air jadi tumpuan

Dipenuhi pelanggan

Bersusun menunggu giliran

Sabar dan jangan potong giliran

Selamba sahaja makcik itu memerhatikan.

Khamis, 8 Mac 2018

Ujian buat kita...

...dalam dunia yang luas terbuka
timbullah cerita demi cerita
berita demi berita
ada suka ada duka

kita yang mulanya tak tahu apa-apa
tiba-tiba ikut teruja
menjadi hakim tanpa perlu diiktiraf sesiapa 
mengadili dan menghukum sesedap rasa

masalah sendiri tidak terungkai
masalah orang hendak diselesai
tiba-tiba diri terasa pandai
walau sebenarnya tak tahu pucuk pangkal

sibuk dengan hal orang
hal sendiri tertinggal di belakang
sesama sendiri mula berperang
orang yang dibela atau dikutuk sedikit tak pandang

sudah-sudahlah menghakimi
kita juga ada cerita tersendiri
kita tidak semaksum Nabi
banyak lagi perlu diperbaiki...

Isnin, 5 Mac 2018

Senyuman...

Di sebalik senyuman itu, siapakah yang dapat meneka atau menduga tentang apakah yang sebenarnya tersirat di dalam hati?