Kawan-kawan kakcik

Sabtu, 30 Disember 2017

Terpesong akidah?...

Gambar ini dirakam beberapa tahun lepas
di lobi sebuah hotel.  Budak dalam gambar ini sekarang
sudah tidak montel lagi.  Sudah kurus dan tinggi.
Mujurlah ibu budak ini bukan seorang artis.  Jika
tidak, mungkin gambar ini akan tular dan dikecam
dengan kata-kata 'tidak pandai menjaga akidah anak'.
Entahlah...mak budak ini bukannya orang yang arif
sangat dan dia pun tertanya-tanya, apakah dengan
sekadar bergambar begini, boleh terpesong akidah?
Siapa boleh tolong jawab?

Jumaat, 29 Disember 2017

Tarikh bayaran gaji kakitangan awam 2018...


Berikut adalah tarikh bayaran GAJI kakitangan awam 2018 
Sumber : SINI

● JANUARI 2018 : 25/1/2018 (Khamis)
● FEBRUARI 2018 : 8/2/2018 (Khamis)
● MAC 2018 : 22/3/2018 (Khamis)
● APRIL 2018 : 25/4/2018 (Rabu)
● MEI 2018 : 24/5/2018 (Khamis)
● JUN 2018 : 7/6/2018 (Khamis)
● JULAI 2018 : 25/7/2018 (Rabu)
● OGOS 2018 : 14/8/2018 (Selasa)
● SEPTEMBER 2018 : 25/9/2018 (Selasa)
● OKTOBER 2018 : 25/10/2018 (Khamis)
● NOVEMBER 2018 : 22/11/2018 (Khamis)
● DISEMBER 2018 : 24/12/2018 (Isnin)


Opssss...tarikh bayaran pencen belum ada...tapi selalunya akan awal dua atau tiga hari dari tarikh pembayaran gaji...

Khamis, 28 Disember 2017

Sepanjang 31 tahun ini...

...tiada pantai yang tidak dilanda ombak
...tiada bumi yang tidak ditimpa hujan

tapi kenalah tahu...

...bagaimana hendak melindungi pantai dari terhakis
...bagaimana hendak menjadikan bumi tidak basah

bila sidia menjadi api...
jangan sesekali kita menjadi angin

iya, menuturkan kata-kata memang amat mudah
hakikatnya yang tertusuk tetap merasakan sakit
yang terluka tetap terasa pedihnya

ujian di mana-mana
mungkin bukan dari pasangan
tapi dari orang yang memandang
ada sahaja mereka rasa tidak senang
tapi ingat semula - yang menempuh segalanya adalah kita

ujian mungkin juga dari anak-anak
yang tiada, mendambakannya
yang ada, menghadap pula segala karenah mereka

ujian itu tak pernah sama
walau nampak serupa tapi ia tetap berbeza
jangan apa orang ada
kita pun hendak juga
sedangkan kemampuan kita seadanya
jadi cukuplah sekadar berpada-pada

apa saja ulangtahun :
kelahiran
perkahwinan
mahu pun perkenalan...

jika sidia tak ingat, maafkan sahaja
kehidupan seharian itu lebih penting
ketidakabaiannya terhadap keluarga lebih utama
kita bukan sesiapa
yang hendak menunjuk-nunjuk segala

mungkin sidia banyak kekurangan berbanding kita
tapi Allah jadikan untuk kita saling melengkapi dan bekerjasama
jangan ungkit apa yang kita ada dia tiada
kerana di sebalik kekurangan pasti ada kelebihannya
bersikap jujurlah pada pasangan
walau mungkin pada perkara-perkara yang menyakitkan

cukuplah Allah sandaran kita
mengadu padaNya tanpa putus asa
kerana Dia tak pernah alpa
apa yang terjadi pasti ada hikmah sebalinya...

Rabu, 20 Disember 2017

Kay's Steak & Lobster...

Baru-baru ini makcik dan pakcik singgah ke Kay's Steak & Lobster yang terletak di Putra Heights, Subang Jaya...

terletak di alamat :
12A-G, Jalan Putra Mahkota 7/6B
Putra Heights, Subang Jaya
47650 Selangor

Telefon : 03-58871081
Berdua-duaan seperti biasa...



Pakcik pesan Grass Fed Sirloin (RM39.00)...

...dan makcik pesan Mango Cheese Cake (RM13.00)

Bersama Chef Amer Reazal.  Kami kenal chef ini sudah lama,
sejak beliau bekerja di Moon's Kitchen Pandan Indah.

Walaupun hanya dua jenis hidangan sahaja yang kami pesan berserta air minuman, tapi kesedapannya sangat terasa dan menyerlah.  InsyaAllah jika ada rezeki, kami pasti akan datang makan lagi.

Kay's Steak & Lobster ini dahulunya adalah Moon's Kitchen Putra Heights.  Sekarang sudah bertukar milik dan sajian yang dihidangkan juga agak berbeza dengan sajian Moon's kitchen.

Kepada yang berminat untuk mengetahui menu yang disediakan di sini, boleh klik PAUTAN INI.

Restoran ini dibuka pada waktu berikut :

Selasa hingga Jumaat = 5.00 ptg - 10.00 mlm
Sabtu dan Ahad = 12.00 tghari - 10.00 mlm
Tutup pada hari Isnin


Selasa, 19 Disember 2017

Di sebalik kemegahan...


kain yang buruk dibuang jangan
saat terdesak bolehlah digunakan
di sebalik kemegahan yang memukau pandangan
ada kisah duka yang tidak tersuarakan

pergi meminang membawa persalinan
tetamu datang meriah diraikan
pembangunan terancang memacu kemodenan
rakyat kelaparan jangan dipinggirkan

pergi ke sungai membawa joran
tak mungkin balik membawa tenggiri
tinggal bersesak tak kenal jiran
susah senang ditanggung sendiri

rumah kecil bukanlah istana
di situlah tinggal anak dan isteri
masalah ada di mana-mana
pandai-pandailah membawa diri

Selasa, 12 Disember 2017

Restoran Beriani Asif...

Sudah lama rasanya tidak membawa anak-anak makan di Restoran Beriani Asif, Bukit Bintang.  Pakcik kata hendak bawa anak-anak makan di sini bila ada rezeki.

Jadi, pada malam minggu (Ahad = 10/12/2017), kami bawa mereka ke restoran ini.  Pilihlah apa yang mereka hendak makan...

Asalnya dulu hanya satu pintu, sekarang sudah dua pintu.
Ruang dalamnya kemas, bersih dan selesa.

Masing-masing tak lepas dengan telefon tangan.


Mango Lassi = RM18.00


Beriani kosong.  Semangkuk untuk 2 orang = RM10.00
Lamb Masala di sebelahnya itu RM15.00

Chana Masala = RM6.00

Lamb Shank = RM24.00

Double Cheese Naan = RM9.00 sekeping dipotong lapan

Lamb Grilled = RM20.00


Berdiri di belakang itu adalah En. Asif, pemilik restoran
yang sentiasa ramah melayani para pelanggannya.  Beliau juga
adalah chef utama di restoran ini.

Jika anda ingin menikmati makanan asli Pakistan yang enak dengan harga yang berpatutan, singgahlah di :

Restoran Beriani Asif
No. 9, Jalan Padang Walter Grenier
off Jalan Imbi
55100 Kuala Lumpur.
Telefon :  012-2498764 / 03-21103220

Jumaat, 8 Disember 2017

Kebebasan bersuara...

Iya, bebas bila kita sesama kita
jangan sampai terdengar oleh mereka
nanti macam-macam yang mereka kata
seolah-olah kita ini langsung tidak berguna

Jangan merungut tentang barang yang naik harga
jangan mengeluh jika duit tak cukup sentiasa
salahnya tetap pada kita
yang suka berbelanja walau sedar kemampuan tiada

Mereka mungkin tidak pernah rasa
tentang peritnya hendak membeli sekilo gula
hendak mengisi minyak berkira-kira
bagi mereka salahnya kita boros berbelanja

Pusinglah ikut mana
balik-balik ke situ juga
menjeritlah macam mana
yang salah kita juga....

Khamis, 7 Disember 2017

Kisah Budak Sepet...

(Dari catatan facebook hari ini 7/12/017)

Hari ini hari ketiga sibongsu ini bekerja di sebuah hotel di Bangsar.

Sepanjang cuti sekolah ini, dia tak duduk diam.  Kerja di hotel ini adalah kerjanya yang ke 3.  Sebelum ini pernah kerja mengecat bangunan dengan upah RM50 sehari. Dapatlah dia RM300. Sebahagian dari duit itu dia gunakan untuk beli kasut dan stokin futsal.

Kemudian dia kerja di gerai mangga susu dengan upah RM25 sehari.  Hanya 4 hari bekerja di situ kerana tuan gerai kata nak cari pekerja tetap (alasan la agaknya).  Duit upah itu dia beli topi keledar.

Di hotel ini tak tahu berapa lama dia akan bekerja.   Tak tahu juga upah itu nanti dia hendak beli apa pula.  Semalam balik, minta maknya urutkan kaki.  Sakit tapak kaki kerana berdiri lama katanya.

Cuma satu, dia tak tahu risau hati mak dia.  Sudah dipesan, sampai tempat kerja, bagitahu mak.  Tapi, dia senyapppp saja. WhatsApp pun tak balas 😣.

Apa-apa pun mak tetap doakan segala yang terbaik buat Adik. Begitu juga dengan abang-abang Adik.  Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan anak-anak mak dan lindungi serta dijauhkanNya dari segala bencana.

Aamiin Ya Rabbal Alamiin.

Rabu, 6 Disember 2017

Bulan yang tidak pernah tersenyum...

Setiap kali aku memandangnya
aku melihat wajahnya yang suram terluka
di sebalik cahaya yang dipuja-puja
yang aku nampak segaris duka

mungkinkah hanya aku berperasaan sebegitu rupa
sedangkan yang lain melihatnya berbeza
wajah yang membawa cerita ceria
wajah yang menggambarkan rasa cinta

pandangan kita mungkin ke arah yang sama
namun membawa pengertian berbeza
begitu juga dengan citarasa
yang aku suka tak semestinya kamu pun suka

Selasa, 5 Disember 2017

'Berseri-seri wajah Puan bila bercakap tentang anak'...

Itulah kata-kata yang diucapkan oleh seorang jujurawat berusia 27 tahun (sebaya Angah) yang melayanku di wad kecemasan baru-baru ini...

Seperti biasa, sebelum masuk ke wad, beberapa jam kenalah 'berehat' dahulu di wad kecemasan.  Dalam tempoh itu, aku dilayan oleh seorang jururawat terlatih (staff nurse) yang sangat peramah.  Masih bujang.  Banyak juga yang kami sembangkan.  Dari situ, aku dapat tahu ibunya sudah kembali ke rahmatullah. Innalillahhiwainnailaihirojiun.

Kebanyakannya kami bercerita tentang keluarga.  Bila aku ceritakan tentang anak-anakku, dia tiba-tiba berkata 'nampak sangat wajah Puan berseri-seri bila bercerita tentang anak-anak'. Aku jawab balik 'itulah hati seorang ibu'.

Iya, biarlah serenyuk mana hatiku diramas anak-anak, aku mahu orang tahu yang baik-baik sahaja tentang mereka.  Biar lukanya aku tanggung sendiri, jangan sampai darahnya dilihat orang.  Suatu hari nanti, mereka akan merasai apa yang aku rasa sekarang.  Bukan itu doaku buat mereka, tapi sejarah selalu berulang...

Selagi mampu dan selagi terdaya, semuanya biarlah yang baik-baik sahaja.

Isnin, 4 Disember 2017

Bersantai di Al Rawsha...

Aku tahu bahawa suamiku itu baik orangnya.  Syukur atas kurniaan Allah SWT untuk kurniaanNya yang satu ini.  Mungkin ada orang (malahan anak-anak sendiri) tidak memahami sikapnya.  Kebaikan yang dilakukannya memang akan tenggelam kadangkala dek tuturkatanya yang tidak difahami (bukan kerana dia gagap, sukar bertutur atau yang sewaktunya dengannya), sebaliknya kerana kadangkala maksud di sebalik apa yang dituturkan itu orang tak faham.   Dia sendiri pun kadangkala lain yang orang maksudkan, lain yang dia faham!

Dari dulu dia memang baik terhadapku.  Kebelakangan ini aku dapat rasakan sikap baiknya itu bertambah-tambah.  Iya, dia tidak mampu menghadiahkanku dengan sebarang bentuk hadiah.  Cuma, bila dia ada sedikit lebihan wang, dia akan ajak aku membeli 'pakaian-pakaian murah' yang aku suka.  Dia juga akan membawa aku keluar bersiar-siar walau hanya sekitar Lembah Klang setelah kebanyakan masa aku hanya terperap di rumah sahaja.  Biarlah orang kata 'baik ada makna tuuuuu', janji aku dapat merasakan kebaikannya.  Dia tahu hatiku sedang terluka, cuma mungkin dia tidak tahu bagaimana hendak membalut kelukaan itu...

Suatu petang, dia mengajak aku untuk 'minum-minum' di Restoran Al Rawsha, Kg. Pandan.  Aku selalu sahaja tidak bersetuju untuk 'bersantai' di tempat yang aku rasakan agak mahal.  Aku tahu sejauh mana kemampuan kewangan kami.  Tapi setelah diajak berkali-kali, aku ikutkan sahaja...

Inilah yang kami pesan setelah membelek-beluk buku senarai hidangan (menu) yang ada...

Aku pesan 'Shawarma Chicken Sandwich' - RM8.00
Wah...memang mencungap aku hendak menghabiskannya.

Kosong...kosong...kosong...

Ini yang suamiku pesan.  Tak silap aku, hummus itu
berharga RM10.00.  Roti itu aku tak pasti.

Sebenarnya kami sepakat memesan seteko 'Arabic Mint Tea'
yang berharga RM10.00 dan dikongsi berdua.  Jenuh juga
hendak menghabiskan teh itu...

Hati seorang ibu, apa dimakan pasti anak-anak tidak dilupakan.  Jadi, aku pesan tiga set 'Shawarma Chicken Kebab' yang setiap satunya berharga RM10.00 untuk mereka. 

Tidak sampai satu jam pun rasanya kami suami-isteri bersantai di restoran ini.  Sempat jugalah suami menunaikan solat Asarnya di surau restoran.  Aku pula solat setelah tiba di rumah.  Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati kehidupan kami suami-isteri dan mudah-mudahan anak-anak akan lebih mengerti isi hati kami...

Sabtu, 2 Disember 2017

Melalui jalan/jambatan tertinggi di Malaysia...

Jalan/jambatan ini baru dibuka/dirasmikan beberapa hari sebelum pakcik bawa makcik melaluinya pada petang hari Jumaat 1/12/2017.
/
Agak lengang jalan ini mungkin kerana ramai yang 'takut' untuk
melaluinya bila dimomokkan dengan rasa gayat dan seram...

...hakikatnya, hanya perasaan biasa seperti kita menaiki kereta
di mana-mana jalan atau lebuhraya.


Makcik cuba ambil gambar pemandangan di bawah melalui
cermin tingkap yang dibuka.  Eh...buatnya terjatuh telefon bimbit
makcik, menangis tak berlagulah jawabnya...


Pemandangan memang agak cantik...

Nampak tak betapa tingginya tiang itu?

Cuaca redup dan gerimis mula turun.  Jomlah kita balik.
Kalau norang bercerita, kita boleh kata kita telah pun melaluinya...:)