Kawan-kawan kakcik

Rabu, 20 Jun 2018

Sesungguhnya Dia tahu segalanya...

...tentang senyumku yang penuh pura-pura
tentang hatiku yang menanggung duka
biarpun di hari raya
kutelan segala duri dan kaca...

Isnin, 4 Jun 2018

Lontong Ohsem By Chef Min...

Dua periuk kuah yang penuh 'isi' sedang dimasak

Susunan bekas berisi nasi impit


Sambal yang ditumis sehingga betul-betul garing



Antara tempahan yang diterima (sebanyak 70 bekas)

Terima kasih kepada yang sudi menempah

Antara maklumbalas yang diterima...

Alhamdulillah...
Kami menyediakan khidmat penghantaran dengan sedikit caj tambahan...


Jumaat, 1 Jun 2018

Berbuka puasa di Hotel Istana...

Menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Prince Court Medical Centre apabila En Suami menerima jemputan.

Meja telah disediakan buat para tetamu.  Mungkin disebabkan jalan yang sesak dan hujan di sebelah petang, ramai tetamu yang lewat tiba.  Tetapi suasana di dalam dewan ini sangat tenang.

Antara juadah yang disediakan - nasi kerabu



Sayang melihat banyaknya makanan yang berbaki sehingga habis majlis.  Kalaulah boleh dibungkus dan disedekahkan kepada mereka yang memerlukan, alangkah bagusnya...
Tidak banyak gambar yang dirakam kerana rasa 'segan' kepada tetamu-tetamu lain yang hadir bersama.  Kebetulan pula duduk semeja dengan beberapa orang doktor pakar (tetapi mereka sangat mesra seolah-olah sudah kenal lama), tingkah laku kena juga dijaga.  Hehehe...apahal makcik tua asyik ambil gambar melebihi anak-anak muda, kan?

Banyak sebenarnya hidangan yang disediakan.  Antaranya laksa, nasi beriani, satay, kuih-muih, sup tulang dan pelbagai lagi.  Alhamdulillah.

Seperti biasa, tidak banyak yang mampu hendak dijamah.  Cukuplah sekadarnya sahaja.

Isnin, 28 Mei 2018

Doa hari ke 12 Ramadan...

Assalamu'alaikum... apa khabar kalian?
Sekejapan sahaja hari ini sudah 12 Ramadan kan? 
Mudah-mudahan kita sempat bertemu Syawal dan ini bukanlah Ramadan terakhir buat kita.

"Ya Allah, hiasilah diriku dengan penutup dan kesucian. Tutuplah diriku dengan pakaian kesederhanaan dan kerelaan. Tempatkan aku di jalan keadilan dan keikhlasan. Amankan diriku daripada setiap perkara yang aku takut, dengan penjagaanMu, wahai penjaga orang yang takut."
Amin Ya Rabbal 'Alamin

Selasa, 22 Mei 2018

Tahniah Para Menteri...


...atas tanggungjawab yang telah dipersetujui
namun jangan pula lupa diri
bukan masa untuk memenuhi nafsu sendiri
tapi ini adalah amanah dari para pengundi

dari atas DIA memerhati
dari bawah rakyat menghakimi
jika tersilap langkahan kaki
akibatnya nanti tanggunglah sendiri...

Selasa, 15 Mei 2018

Tunggu dulu...

...sebelum menularkan sesuatu perkara
siasat dulu sahih tidaknya

jangan kerana ingin menjadi antara yang pertama
kita menyebarkan perkara yang tidak kena

mungkin hal itu senada dengan selera kita
lalu berkobar-kobarlah berkongsi gembira
rupa-rupanya ia hanya berita dusta
secara tak langsung kita turut menempah dosa...

Isnin, 14 Mei 2018

Tolong beri saya ruang...

Ya, ada apa-apa soalan?

Sekejap ya...ada yang perlu saya semak dulu...

Baiklah...ianya begini, saya ni minum pun tak sempat lagi. Banyak soalan dari kanan dan kiri.  Bukan saya hendak melarikan diri, tapi saya kena berhati-hati.  Saat sedikit silap pun orang akan cari dan teliti, saya kena bertindak agar semua orang puas hati.  Berilah saya sedikit ruang agar tiada yang saya terlepas pandang...

Jumaat, 11 Mei 2018

Sedikit coretan di hari mengundi...

Mula-mula keluar sebelum 8.00 pagi bersama anak kedua dan suami.  Wah...panjangnya barisan orang beratur sehingga melimpah ruah.  Balik dululah.  Keluar semula sebelum jam 10.00 pagi, nampak macam dah kurang orang.  Eh...rupa-rupanya orang ramai sudah masuk berbaris di dalam.

Makcik mengundi di saluran 10.  Terletak di tingkat 3,  Allahu... tapi makcik gagahkan juga diri untuk terus berbaris demi satu undi...
 
×× terpengaruh dengan mesej yang tular mengatakan tak boleh pakai selipar, makcik pun pakailah kasut. Mujur dalam dompet makcik sentiasa ada beg plastik. Sudahnya kasut itu duduk dalam beg plastik dan makcik hanya berkaki ayam sehingga ke pintu bilik mengundi! Lebih satu jam berbaris woiiii...

×× waktu berbaris, ada calon datang menyalami para pengundi. Makcik tanya wanita Cina di hadapan makcik tentang siapa calon itu. Dia jawab 'saya tak tahu siapa dia tapi saya tahu saya mahu pangkah apa'. 😊

×× tersangatlah ramainya pengundi pada pagi ini. Tapi dalam kelompok 20 ke 25 pengundi Cina hanya terselit 2 ke 3 orang pengundi Melayu/India.




Selasa, 8 Mei 2018

Pilihlah dengan bijak...

..tapi tanpa kesepakatan, pilihan kita mungkin tak akan ke mana-mana...

namun...
setidak-tidaknya kita telah bersuara
walau tanpa kata-kata
hanya coretan di kertas semata-mata

yang penting...
biar jelas pihan kita
bukan kerana termakan dengan kata cinta
tidak juga kerana pemberian yang datang bersama

kerana...
hidup kita mungkin sudah tak lama
fikirkan mereka yang akan mewarisi tinggalan kita
atau kita memang tak rasa apa-apa
yang hidup nanti pandai-pandailah mereka

jangan pula...
kerana pilihan yang tidak sama
kita mencaci menista
memutuskan ikatan saudara
sakit pening kita
yang datang bukan orang yang tak kenal kita
tapi mereka yang telah lama bersama kita...

Isnin, 7 Mei 2018

Ke mana akhirnya...




Melihat bendera yang berkibaran itu, aku terfikir 'apa akan jadi pada bendera yang banyak itu sebaik habis musim pilihanraya?'.  Rasa sangat membazir andai ia akhirnya berakhir sebagai sampah yang tidak bernilai sama sekali.

Ramadhan akan menjelang tidak lama lagi.  Selepasnya muncul pula Syawal.  Mungkin ada keluarga yang jangankan hendak bermimpi berpakaian baharu, hendak membeli kain pun tidak mampu.  Jangan pula suruh mereka kutip bendera yang bergumpalan itu untuk dijadikan pakaian.  Undi mereka ditagih tapi kehidupan mereka disisih dan diperlekeh.

Cikgu Hani ada cadangan yang mungkin boleh dipertimbangkan tentang apa yang boleh dibuat dengan bendera-bendera itu...

Hari ini (07/05/2018) adalah hari ulangtahun kelahiran yang ke 21 Bangcik.  Sayangnya walaupun tarikh mengundi dua hari lagi, dia belum layak mengundi kerana belum berdaftar sebagai pengundi...

Semoga Allah SWT merahmati dan memberi segala kebaikan buat Bangcik Muhammad Muhaimin.  Aamiin...

Sabtu, 5 Mei 2018

Menutup aurat?...

Definisi menutup aurat :  Di SINI

 Sedutan dari instagram Adam Corrie :

Jangan tag sesiapa , sebut nama sesesiapa dan brand sesesiapa dengan tujuan nak buat org lain terasa dan diaibkan. Itu bukan cara Rasulullah SAW berdakwah.

“Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka”. (An-Nur : 31),

“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anakmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka menghulurkan (melabuhkan) jilbabnya (tudung kepala yang labuh menutupi dada) ke tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenal dan tidak diganggu. Dan ALLAH adalah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Ahzaab: 59)

Kita fahamkan ayat yg Allah turunkan ini, ayat ini ditujukan pada para suami dan bapa. Para suami dan bapa bertanggungjawab memastikan isteri dan anak-anak perempuannya berpakaian yang mengikut syariat.

Lelaki dan wanita kena saling membantu menjaga maruah diri dan keluarga. Tak perlu tag kawan-kawan kalau nak tegur mereka. Nak tegur kawan-kawan biarlah berhikmah.. jaga air muka kawan-kawan kita. Kita tutup aurat sempurna bkn hak utk mengaibkan kawan kita. Kita bukan nak mengumpat dan aibkan sesiapa. Doakan mereka itu lebih baik daripada mengaibkan mereka. Hidayah itu milik Allah. Senyum selalu dan selalu bersangka baik.
InsyaAllah hati tenang.

Jumaat, 4 Mei 2018

Muhammad Qaid Darwish 4 tahun hari ini...

Makin bijak.  Makin petah.  Sudah lancar baca surah Al Fatihah.

Sudah boleh jadi model DRD bersama adiknya.
Nenek dan Atuk tidak mampu mememberi hadiah berbentuk kebendaan.  Hanyalah doa kami yang tidak putus buat Qaid dan Zayyan agar terus membesar dengan sihat, bijak dan soleh.  Diberikan Ilahi kejayaan di dunia dan kesejahteraan di sana nanti...

Rabu, 2 Mei 2018

Ada ni...belum mampu hendak ke mana-mana...






Gambar-gambar di atas dirakam sekitar jam 7.00 pagi dari Bukit Ampang.  Sebab tidak mampu hendak bercuti ke tempat yang jauh dan tidak dapat hendak merakam gambar-gambar yang menarik perhatian, cukuplah dapat pergi yang dekat-dekat dengan  rumah sahaja.

Sabarlah... pasti ada sesuatu di sebalik ujian yang tidak henti mengunjungi.  Allah Maha Mengetahui.  Yakin padaNya.  Yakin dengan ketentuanNya.  Hikmah tidak datang dengan diminta-minta, tapi datangnya dengan tidak disangka-sangka...

Khamis, 26 April 2018

Alhamdulillah...

Melihat dia kembali sihat, adalah hadiah dari Allah buat mak dan ayah juga dirinya.
Dari sekian banyak doa dan harapan yang kita mohon serta nantikan dari Allah SWT, kita tak akan pernah tahu bila ianya (doa dan harapan itu) akan menjadi kenyataan atau di makbulkan.

Kita selalu tidak sabar.  Buat kebaikan, kita harapkan balasan kebaikan itu akan datang sekelip mata.  Membaca kisah orang bersedekah dan mendapat 'pulangan' segera, kita pun cuba bersedekah sama dengan harapan akan dapat mendapat pulangan juga.  Sedangkan Allah tidak pernah tidur atau terleka.  Dia tahu apa yang kita perlu. 

Sabar dan jangan berhenti berdoa serta berharap juga berusaha.  Jangan juga lupa bila kita dapat apa yang kita mahu bahawa sebenarnya kita pernah meminta-minta.  Ucapkan syukur atas rahmat dan nikmat yang dikurniakanNya.

Selepas lebihkurang 40 hari Bangcik menjalani pembedahan dan menderita kesakitan, akhirnya pada 25/4/2018, melalui ujian ultrasound di Hospital Ampang, tompokan cecair (yang tidak dipastikan sama ada darah, nanah atau entah apa) sebesar 7cm x 8cm di sekitar usus yang dipotong itu, SUDAH TIADA.  AllahuAkbar!

Bayangkanlah seminggu sebelumnya dia mengelupur dan meraung kesakitan kerana sesuatu yang tidak diketahui bagaikan menusuk-nusuk di rusuk kiri dan perutnya.  Muntah tanpa henti.  Dihantar oleh Angah ke  Wad Kecemasan Hospital Ampang (syukur Allah mengaturkan Angah balik sekejap pada hari Khamis itu sedangkan En. Suami di pejabat).

Ketika menjalani ujian imbasan, dikatakan tompokan cecair itu sudah menjadi keras di sekelilingnya.  Hanya yang melalui situasi begini, tahu bagaimana risaunya hati seorang ibu.  Apakah? Apakah? Apakah?

Sewaktu keluar dari wad di Hospital Ampang dua minggu sebelumnya, Bangcik dibekalkan dengan antibiotik yang perlu ditelan 2 dan 3 kali sehari (berjumlah 14 biji sehari).  Sepanjang tempoh itu, walaupun dia sudah boleh keluar ke pusat membeli belah, tetap juga muntah-muntah 2 hingga 3 kali sehari. Sehari sebelum masuk semula ke wad pada 24/4/2018, antibiotiknya habis.  Setelah tidak menelan antibiotik, dia tidak lagi muntah atau cirit-birit.

Menunggu keputusan ultrasound, bagai menunggu hukuman mati dijatuhkan.  Doa dan harapan tak pernah berhenti.  Bukan hanya mak, ayah juga tak senang hati.  Akhirnya, keputusan dikeluarkan.  Allah Ya Allah.  Tompokan itu sudah tiada lagi.  Hanya ada sedikit (sangat sedikit kata doktor) tompokan di bawah kulit bekas pembedahan itu.  Mudah-mudahan yang itu juga akan hilang segera.  Insya Allah.

Temujanji akan datang dengan Pakar Pembedahan Hospital Ampang awal Julai nanti.  Semoga Allah SWT terus mengurniakan kesihatan yang baik dan pulih sepenuhnya dari sebarang kasakitan buat Bangcik dan juga adik-beradiknya yang lain.
Aamiin Ya Rabbal Alamiin.

Kepada semua yang turut mendoakan sama ada secara langsung atau tidak langsung buat Bangcik selama ini, hanya Allah juga yang dapat membalasnya.  Semoga kalian juga dirahmati dan dikurniakan kesihatan yang baik.  Tidak terhingga ucapan terima kasih dari kami buat anda semua...

Isnin, 23 April 2018

Putik juga akan gugur...

Putik manggis ini nampak segar dan gagah, namun siapa dapat menahannya dari gugur ke tanah bila Allah kata dia tak akan sempat tua untuk dinikmati oleh manusia?

Putik ara ini juga kelihatan segar bergantungan, tetapi di bawah bersepah-sepah yang seusianya menyembah tanah...

Ini pula pisang muda yang boleh dikategorikan sebagai masih putik.  Sudah ditebang pokoknya maka tak sempat juga ia tua.


Maka...siapakah yang boleh memberi jaminan bahawa usia kita yang masih ada ini dengan tubuh yang masih sihat, tidak akan dipanggilNya untuk kembali pada bila-bila masa?

Rabu, 18 April 2018

Khatam Al Quran berulangkali, tetapi...

...adakah kita memahami makna apa yang kita baca?
Tidakkah segala hukum hakam terang dan nyata?
Mengapa kita masih juga menidakkannya?

Kita bangga...
bila dapat bercerita
tentang betapa lancarnya Quran kita baca
namun tegahan dan larangannya
kita langgar sesedap rasa

Disuruh menutup aurat
kita dedahkan juga kerana kita rasa kita hebat
bila ditegur dituduh pula mengumpat
zikir di bibir setiap saat
bahawa Quran di hati terpahat

Hadis dan firman hafalan sentiasa
usah dipertikai pahala dan dosa
yang bertudung belum tentu ke syurga
yang telanjang boleh bertaubat bila-bila masa

Nafas dan nyawa bukan milik kita
semuanya pinjaman yang sementara
entahkan masih ada masa
untuk kita memohon ampun dariNya... 

#akutidaksempurna
#masihcubamembaikidiri

Selasa, 17 April 2018

Sakitnya masih terasa...

...tak lama lagi hari mengundi akan tiba.  Tidak sampai sebulan lagi.  Bendera berkibaran di sana sini.  Ada yang kelihatan meriah.  Ada yang kelihatan sepi.

Yang boleh mengundi, undilah.  Pilihlah sama ada calon atau parti yang bertanding.  Setiap orang ada alasan tersendiri atas pilihan yang mereka buat.  Ada yang pilih calon tanpa mengira parti mana yang 'dibawanya'.  Ada yang memilih parti tanpa peduli siapa calonnya.  Pilihan kita sebaiknya biarlah calon yang benar-benar mewakili suara dan kehendak rakyat, bukan yang mewakili rakyat untuk merembat selagi ada yang boleh dirembat dan senyap-senyap kenyang sendiri.

Berbalik kepada tajuk - iya, sakitnya itu masih aku terasa.  Setelah dia dipilih, rupa-rupanya dia menjadi duri dalam daging.  Eh...aku tidak mengundi dia.  Tapi, dia jiranku.  Masih dikira dalam lingkungan jiran kerana kami tinggal di taman yang sama.  Hanya terpisah oleh satu lorong sahaja.

Anakku tersingkir dari jawatan di  masjid angkara dia juga.  Tulisannya bertebaran di sini sana untuk memburukkan suasana.  Sebagai IBU, aku yang lebih terasa.  Iya, rezeki itu Allah yang tentukan.  Tapi kesombongan 'wakil rakyat' itu membuatkan aku bagai tidak boleh melihat walaupun hanya kelibat dia. 

Siapa yang bakal aku undi nanti.  Biarlah ia menjadi rahsiaku sendiri.  Jika masih diizinkan Ilahi, aku akan keluar mengundi.  Tengoklah bagaimana nanti.  Harap-harap namanya tidak melintas di kertas undiku.  Biar apapun lambang yang akan dia wakili, untuknya undiku tertutup rapi...

Isnin, 16 April 2018

Dia tetap ibu...

...walau siapa pun kamu
sama ada seorang kuli
atau seorang yang berjawatan tinggi
darjatnya tetap di atas kamu

tak perlu kau suarakan apa-apa
dia tahu apa yang kau rasa
dalam debar yang menggoncang dadanya
dia tahu apa yang tidak kena

jangan sembunyikan dukamu
kerana dia membacanya dari riak wajahmu
bercahaya atau redup sinar matamu
sekilas pandang dia akan tahu

saat kau bergembira ria
dan seketika kau lupakan dia
namun dia tetap bahagia
kerana sukamu adalah sukanya juga

bila kau berduka dan berpatah kembali
tidak dia ambil kesempatan untuk memerli
kerana di setiap detik yang berlari
anak-anaknya tetap sijantung hati

Rabu, 11 April 2018

Ibu tetap ada di sisi...

Mungkin sakitmu tidak ibu rasai, tapi gelisahmu ibu mengerti.

Tiada masa hendak bergaya, bila resahmu lebih utama.

Selasa, 10 April 2018

8 jam di wad kecemasan...

Gambar dirakam secara curi-curi oleh En Suami.

Mungkin kerana terlalu penat dan kurang tidur, akhirnya makcik turut rebah.  Sedari hari Sabtu malam, makcik batuk tak berhenti tapi masih enggan ke klinik atau hospital.

Akhirnya pada Ahad (8/4/2018) jam 4.00 pagi makcik tiba di Zon Kuning Hospital Ampang.  Keadaan sangat teruk sehingga makcik rasa masa untuk makcik kembali kepada Pencipta sudah tiba.  Selepas diberi sedutan gas kali pertama, makcik langsung tidak rasa lega.  Sebaliknya nafas berbunyi dengan kuat tanpa dapat makcik kawal.  Leher rasa dicekik dan bila buka mata, hanya nampak bayangan yang kabur sahaja.

Sedutan gas diberi lagi.  Ubat dimasukkan.  Denyutan jantung dipantau.  Tekanan darah agak rendah dan kandungan mineral dalam darah juga rendah. Makcik sangat bimbang sekiranya terpaksa ditahan di wad.  Banyak kerja rumah belum diselesaikan berikutan beberapa hari makcik berulangalik dan bermalam di hospital menjaga anakanda. Sepanjang berada di wad kecemasan ini makcik diberi 4 kali sedutan nebulizer.  Dengan tekak kering dan perut lapar, badan menggigil semahunya.  Mujur juga suami datang menjenguk sekejap sekitar jam 10.00 pagi, dapatlah makcik minta dia belikan milo panas untuk makcik teguk.

Syukurlah akhirnya pada jam 12.00 tengahari makcik dibenarkan keluar dengan dibekalkan sejumlah ubat-ubatan.  Walaupun tidak begitu sihat, makcik gembira dapat balik ke rumah semula.  Andainya makcik ke hospital swasta, sudah tentu makcik ditahan setidak-tidaknya untuk 3 hari 2 malam... 

Ujian demi ujian, tidak membuatkan makcik patah semangat.  Sebaliknya makcik yakin Allah SWT menyediakan sesuatu kebaikan yang tersembunyi di sebalik semua ini.  Setidak-tidaknya mungkin untuk meringankan beban dosa yang terlalu banyak makcik pikul.

Isnin, 9 April 2018

Cucu- cucu juga masuk wad...

Semoga segera sihat sepenuhnya.
Pada hari anakanda dibenarkan keluar dari Hospital Ampang, kedua-dua cucu makcik pula dimasukkan ke wad di Hospital Pantai Ampang (7/4/2018).

Muhammad Qaid Darwish mendapat jangkitan virus HFMD  dari rakan sekelasnya di tadika tempat dia belajar.  Muhammad Zayyan Darwish pula mendapat jangkitan dari abangnya.

Sehingga hari ini (9/4/2018), kesihatan Qaid beransur pulih manakala Zayyan masih demam.  Nenek pula tak dapat nak jenguk mereka di hospital gara-gara kesihatan sendiri pun masih belum pulih sepenuhnya.

Semoga rahmat Allah sentiasa bersama makcik dan keluarga makcik.  Dia tahu apa yang terbaik buat kita.  Saat kita rasa sakit, ada orang lain yang sedang nazak.  Jangan pertikaikan kenapa kita diuji kerana ujian tanda kita tidak dilupai...

Dari Hospital Pantai Ampang ke Hospital Ampang...

Lanjutan dari catatan ini : http://kakciknurseroja.blogspot.my/2018/03/pembedahan-memotong-usus-besar.html, anakanda  perlu membuat beberapa temujanji susulan dengan doktor untuk melihat perkembangan kesihatannya.

Seminggu selepas keluar dari wad, kesihatan anakanda tidak begitu baik.  Dia sering demam malam.  Dia merasa sejuk menggigil tetapi berpeluh dan bila dirasa dengan tangan, badannya panas tetapi tangan dan kaki sejuk.

Di temujanji yang ketiga (2/4/2018), makcik minta doktor agar buat surat rujukan ke Hospital Ampang disebabkan oleh masalan ini :  http://kakciknurseroja.blogspot.my/2018/03/bila-peruntukan-insuran-melebihi-had.html.  Setiap kali temujanji, lebih RM200 diperlukan.   Mulanya doktor bagai tidak mahu membuat surat rujukan itu 'sekiranya tiada apa-apa masalah'.  Tetapi setelah membuat ujian ultrasound, didapati ada yang tidak kena dalam perut anakanda.  Ada tompokan cecair (mungkin nanah - yang menyebabkan dia demam) sebesar 6cm x 7cm.  Doktor bersetuju menyediakan surat ke Pakar Pembedahan Hospital Ampang.

Pembantu Doktor berkenaan memberitahu sekiranya surat rujukan dari hospital swasta dibawa ke hospital kerajaan, maka hospital kerajaan akan mengenakan caj yang sama seperti di hospital swasta kepada pesakit.  Makcik tergerak hati untuk menelefon Bahagian Hasil Hospital Ampang (Allah gerakkan hati makcik) untuk bertanya hal tersebut.  Iya, pesakit akan dicaj seperti caj hospital swasta.  Bagaimanapun, wanita yang menjawab panggilan makcik, meminta makcik ke Klinik Kesihatan dan mendapatkan surat rujukan dari Pegawai Perubatan di sana.

Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan.  Layanan di KK Cheras Baru sangat-sangat baik.  Pegawai Perubatan wanita berbangsa Cina di sana melayan dengan cekap dan pantas.  Hasil dari ujian darah, kandungan kuman anakanda didapati sangat tinggi.  Jarum untuk memasukkan ubat dan air terus dipasang ke tangan anakanda.  Pegawai  Perubatan tersebut memberitahu bahawa anakada akan dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans.
Makcik ikut naik ambulans ini dan gambar ini dirakam oleh pakcik yang mengikut rapat di belakang.

Sesampai di Hospital Ampang, anakanda terus disorong ke Zon Kuning (Zon Separa Kritikal). Maka bermulalah episod anakanda di Hospital Ampang dan makcik juga turut bermalam di sana. Syukur kepada Allah atas segala urusan yang dipermudahkanNya.  Seingat makcik, dulu-dulu hanya penjaga lelaki boleh menjaga pesakit lelaki.  Kini tidak lagi.  Ibu boleh jaga anak lelakinya (tapi terhad hanya seorang penjaga sahaja).

Anakanda diberi antibiotik 3 kali sehari dan syukur sejak masuk ke hospital ini, dia boleh dikatakan langsung tidak demam.  Hanya sekali dua bacaan suhu badannya meningkat kepada 38.2 sahaja.  Selebihnya adalah suhu normal. 

Semoga akan segera sembuh sepenuhnya.

Masuk pada petang 2/4/2018 dan keluar pada 7/4/2018.  Berapa caj yang dikenakan?  Lebihkurang RM2.8K tapi jumlah yang perlu dibayar hanya RM116.00 sahaja.  Itu pun diberi penangguhan untuk membayar sehingga mendapat Surat Akuan Pelajar dari universiti disebabkan anakanda dikira masih di bawah tanggungan ibunya seorang pesara. Temujanji akan datang adalah pada 25/4/2018 dan kena masuk wad pada 24/4/2018.  Ujian akan dilakukan pada 25/4 tersebut untuk melihat sama ada tompokan cecair itu sudah surut atau belum...

Kasih seorang ayah mungkin tidak dapat 'dirasa', namun bimbang hatinya siapa dapat menduga...

Setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua petugas (pegawai perubatan, pembantu kesihatan, jururawat, pemandu ambulans dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung) di Klinik Kesihatan Cheras Baru dan Hospital Ampang yang telah memberikan khidmat terbaik dengan penuh dedikasi lagi mesra.

Anda semua adalah lambang kakitangan perkhidmatan awam era kini yang sangat boleh dibanggakan.  Syabas dan tahniah.

Jumaat, 6 April 2018

'Nasi Goreng Cendawan' katanya...

...tapi secebis cendawan pun tak ada!

Ini jangankan juri #masterchefuk tengok dan rasa, budak kecil pun tahu nak komen 'mana cendawannya'.

Bagaimanapun, selagi boleh makan kita makan.  Jangan 'hina' rezeki.  Bayangkan mereka yang sanggup mengais sampah setiap hari untuk memenuhi tuntutan perut yang perlu diisi...

Rabu, 4 April 2018

Sabtu, 31 Mac 2018

Aku tak kuat, tapi aku kena kuat...

kadangkala rasa hendak menjerit
menjerit sekuat-kuat hati
luahkan segala yang terbuku
muntahkan segala yang terpendam

tapi aku tetap begini
kupendam dalam diam
dengan kudrat yang sengaja dikuatkan
dengan tenaga yang sengaja diadakan

atas izin Ilahi
aku bernafas di setiap detik yang berbaki
apa sahaja yang aku tak puas hati
kuadukan kepada Dia Yang Maha Mengetahui

sungguh...
aku tak kuat lagi
sehingga aku terfikir untuk 'lari'
tapi ke mana harus aku pergi
membawa segala duka dan resah jiwa ini...

Khamis, 29 Mac 2018

Bertemu blogger 'Pangkin Nenek'...

Buat macam mana pun, tak boleh nak 'tutup' wajah makcik yang bulat itu...

Terima kasih Kak Rose @ Kak Yon atas undangan
Menerima undangan dari Kak Rose pemilik blog Pangkin Nenek untuk menghadiri majlis akikah cucu beliau pada hari Sabtu 24/3/2018.  Undangan dibuat melalui pesanan peribadi (PM) di facebook.

Hari yang sama juga, anakku ada temujanji di hospital.  Jadi, tidaklah pasti sama ada undangan dapat dipenuhi atau tidak.  Kak Rose kata, tak mengapa datang lambat asalkan boleh bersua.  Lagi pun jarak rumahku ke Shah Alam tidaklah jauh mana.  Memang saban waktu kami (aku dan suami) berulang ke sana.  Lagi pun pejabat suami memang di Shah Alam dan universiti tempat anakku belajar juga di Shah Alam.

Kak Rose, wanita yang peramah dan sangat lemah lembut orangnya.  Pertama kali bersua bagaikan sudah biasa berjumpa.  Sedangkan selama ini hanya bertegur sapa di dunia maya.  Di usianya awal 60an, beliau masih sihat dan nampak jauh lebih muda dari usianya.

Mudah-mudahan Allah SWT permudahkan segala urusan Kak Rose seisi keluarga.  Selamat berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah umrah tidak lama lagi.  Doakan agar kami juga dapat menyusul ke sana lagi...