Kawan-kawan kakcik

Selasa, 13 Ogos 2019

Apa itu SAKA?...

Allah SWT berfirman dalam Surah Al Jin Ayat 6 yang bermaksud...

“Dan bahawasanya ada beberapa lelaki dari kalangan manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dari kalangan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan…”

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang tanda-tanda seseorang yang mempunyai SAKA, boleh klik pautan ini :  https://mediamaklumat.com/tanda-tanda-seseorang-itu-mempunyai-saka-sila-ambil-tahu-untuk-pengetahuan/

Generasi sekarang mungkin kurang pengetahuan atau tidak tahu langsung tentang kewujudan SAKA ini.  Ia lebih diketahui sebagai 'sesuatu yang mendampingi seseorang' (seseorang ini biasanya orang paling tua dalam sesebuah keluarga) sehingga orang itu mungkin dilihat sangat kuat dan bertenaga walaupun sudah lanjut usia.  Satu hal lagi, SAKA biasanya dikaitkan bila seseorang itu sangat sukar hendak meninggal dunia walaupun sudah sekian lama terlantar (nak kata sakit, memang nampak sakit tapi kadangkala masih 'banyak kehendak' dan masih kuat makan).  
Bagi penjelasan lebih lanjut tentang SAKA - gejala, pewaris dan sebagainya klik PAUTAN INI.   Mungkin ia dapat memberikan gambaran tentang apa yang bermain di fikiran kita tentang SAKA.

Apa yang wujud di dunia ini semuanya dengan izin Allah.  Tiada yang lebih berkuasa dari DIA.  Dari DIA kita datang, kepadaNYA kita kembali.  Yang penting kena ada usaha dan yakin kepadaNYA.  Setiap yang bermula pasti akan berakhir.  Sekuat mana pun SAKA, pasti akan pergi kerana tiada yang kekal di dunia ini selain dari Maha Pencipta...

Gambar dari :  SINI



Sabtu, 10 Ogos 2019

Antara adab bila bersin...

Tapi ada juga orang yang bila bersin dia tak peduli tentang adab atau maruah.  Lepaskan sesuka hati walaupun di hadapan makanan yang sedang terhidang.

Kita mungkin tak boleh menahan bersin, tapi kita boleh mengawalnya.  Cepat tutup mulut dengan tangan sekiranya kita tidak bersedia membawa sesuatu seperti sapu tangan.

Jangan lepaskan bersin seolah-olah satu kebanggaan lebih-lebih lagi bila tiada yang menegur bahawa perbuatan itu adalah sesuatu yang kelihatan 'sangat kurang ajar'!

Entah berjangkit dari mana, makcik juga mula bersin dan membawa kepada sesak nafas sehingga ditahan di wad selama 3 hari 3 malam...

Khamis, 1 Ogos 2019

Entah apalah nasib mereka nanti...

Membaca tentang KES BUNUH ZULFARHAN,  tanpa sedar airmataku meleleh keluar.  Sedih membayangkan betapa siksanya keadaan Allahyarham sebelum nyawanya berpisah dari jasad 😢😢.

Walaubagaimanapun, ketika ini dengan izin Allah Yang Maha Penyayang, mudah-mudahan roh Allahyarham sedang berbahagia di syurgaNya. Salam takziah untuk ibu ayah dan adik-adik Allahyarham.  Hati siapa yang tidak sedih dan sakit bila kejadian begini menimpa.  Namun, waktu tidak akan berpatah kembali...

Kepada 'rakan-rakan' yang telah menganiaya Allahyarham, bagaimana pula masa depan kalian?  Hanya Allah juga Yang Maha Mengetahui.  Bagaimana pula perasaan ibu ayah dan keluarga kalian?  Agama dan negara kita ada undang-undang yang jelas.  Setiap kesalahan pasti ada hukumannya.  Tapi dek kerana kadangkala kita lebih suka menggunakan 'undang-undang sendiri', maka padahnya kenalah juga ditanggung sendiri.

Nasi yang menjadi bubur, InsyaAllah masih boleh dimakan.  Tapi nasi yang hangit dan rentung, dicampak ke tanah, ayam pun tak sudi hendak menjamah...

Damai dan tenanglah di sana, anakanda Zulfarhan Osman Zulkarnain.

...masih tertanya-tanya juga, apakah khabar dan nasib Acap (Mohammad Ashraf Hassan)...

Jumaat, 26 Julai 2019

Sejauh mana sayangnya kita kepada ibu bapa?...

Gambar sekadar hiasan.

Adakah rasa 'sayang' itu hanya muncul bila kita perlukan mereka?  Maksudnya bila kita perlukan khidmat atau sumbangan kebendaan dari mereka semata-mata?  Bila dapat yang diperlukan, mereka kita lupakan sehingga timbul keperluan-keperluan seterusnya pula...

Tanya dengan jujur pada hati dan diri sendiri, kerana kita boleh sahaja berlakon begitu begini di hadapam mata orang lain.  Hakikatnya Allah SWT mengetahui setiap detik hati dan denyut nadi kita.

Begitu juga hubungan kita dengan Yang Maha Berkuasa.  Adakah kita hanya akan solat, berdoa dan menangis di hadapanNya hanya bila kita dalam keadaan sukar dan melupakanNya sebaik sahaja kita diberikanNya kesenangan?

Khamis, 18 Julai 2019

Sekiranya panjang umur...

...begitu agaknya rupa wajahku 😂😂

Tak kisahlah bagaimanapun rupa, asalkan masih sihat dan dapat melakukan amal ibadat serta tidak menyusahkan sesiapa, kan?  Tapi... wajah 'masa muda' tu sesuci lebaran la pulak! 😎


Rabu, 17 Julai 2019

WW : Daulat Tuanku...

Suka tengok pasangan DiRaja ini terutamanya Tuanku Permaisuri.  Kerendahan hati budi Baginda memang mengagumkan.

Jumaat, 12 Julai 2019

Aku seorang menantu dan aku juga seorang mertua...

Sewaktu hendak berkahwin dulu, aku cakap pada bakal suami, 'susah atau senang biar kita tinggal di rumah sendiri walau hanya menyewa rumah yang sempit'.  Alasannya, aku tidak mahu serumah dengan keluarga mertua mahupun keluarga sendiri.  Apa yang terjadi antara kita, biar hanya kita dan Allah yang tahu.  Jangan ada campur tangan sesiapa pun.  Makan atau tidak, kita tanggung sahaja seadanya.


Bukan aku sombong tidak bertempat.  Tapi saat kita baru hendak belajar mengemudikan layar rumahtangga, janganlah ada nakhoda lain yang mengarah-arahkan haluan sehingga kita hilang pertimbangan. Elok-elok jalan sudah lurus akhirnya hilang arah dan terlanggar karang yang membinasakan.  Kita belajar dan terus belajar bagaimana hendak menetapkan haluan.  Boleh sahaja mengambil iktibar dan panduan tapi jangan sampai terikat hingga tidak tahu membuat keputusan.

Setelah menjadi mertua, begitu juga.  Aku lebih senang jika anak-anakku keluar membina rumahtangga mereka sendiri.  Jika perlukan bantuan, nasihat atau teguran, boleh sahaja aku hulurkan tapi bukan sesuka hatiku membuat keputusan bagi pihak anak-anak.  Mereka sudah matang untuk membuat pertimbangan.  Jangan sampai sikap tunjuk pandaiku dengan alasan terlebih dahulu makan garam, membawa kebinasaan kepada kehidupan mereka.

Keempat-empat anakku adalah lelaki.  Boleh sahaja aku berkata kepada mereka 'ibumu adalah lebih utama dari isterimu.  Maka dalam apa juga keadaan, kamu kena mendahulukan ibumu ini'.  Tapi, adilkah aku untuk berkata begitu?  Bagaimana jika ibu mertuaku berkata yang sama kepada suamiku (anak lelakinya)?  Apa pula perasaanku?  Adakah aku ini menantu yang baik?  Yang sentiasa mengingatkan suamiku agar sentiasa mendahulukan ibunya sebagaimana aku mahu anakku berbuat kepadaku?

Jika aku sendiri gagal untuk mengingatkan suamiku agar sentiasa menyantuni dan medahulukan ibunya (atau mendoakan roh orangtuanya seandainya mereka sudah tiada), layakkah aku berlagak kejam terhadap menantuku dengan merebut suaminya agar sentiasa patuh padaku?   Pastinya aku juga tidak layak...

Apa yang penting, sebagai ibu, doakanlah yang baik-baik untuk kehidupan anak-anak agar mereka tenang mengendalikan rumahtangga mereka dan dapat membawa keluarga menuju syurga.  Apa pun status kita, kita hanyalah hamba.  Dari Allah kita datang, kepadaNya juga kita akan kembali.  Tiada yang dapat kita bawa bersama selain ilmu yang bermanfaat, sedekah yang berterusan dan doa dari anak-anak yang soleh (bagaimana anak akan menjadi soleh andai hidup mereka asyik terganggu dengan sikap ibu yang mengada-ngada?) 

Semoga aku menjadi menantu yang bukan hantu dan mertua yang tidak bersikap dewa...



Rabu, 10 Julai 2019

25 tahun BERNAS - Aliff Satar pun ada...

BERNAS adalah singkatan untuk Padiberas Nasional Berhad (tempat kerja @ cari makan En Suami).  7/7/2019 (anak keduaku lahir pada 7/7/1990) adalah merupakan hari ulangtahun penswastaan BERNAS yang ke 25 tahun (sebelumnya ia dikenali sebagai Lembaga Padi dan Beras Negara @ LPN)


Semua pegawai dan kakitangan memakai pakaian korporat BERNAS

Eh...eh...ehhhh

Kata En Suami, Aliff Satar ni bagus orangnya.  Pandai menghormati orang lain.

Kalaulah En Suami boleh bawa balik... hahaha

Pemakaian 'pin' sebagai simbol pekerja lama yang masih berkhidmat.  Mengikut rekod, En Suami menyertai LPN (kemudiannya BERNAS) pada 7/7/1980.  Huhuhu..dah boleh berlumut!  Masuk sebagai pekerja 'bergaji hari' dan Alhamdulillah, sekarang kedudukannya agak selesa walaupun tidak menjadi orang yang ternama dan berkuasa 😄😄.  InsyaAllah, Februari 2020 nanti dia akan bersara.

Selasa, 9 Julai 2019

Pantun Berkait : Rahsia Hati...

Atas pelantar menjemur peria
Peria dibawa dengan perahu
Riak wajah tergambar ceria
Luka hatinya siapa yang tahu

Peria dibawa dengan perahu
Perahu disewa dari Pak Taib
Luka hatinya siapa yang tahu
Andai dicerita membuka aib

Perahu disewa dari Pak Taib
Upah dibayar tidak berlengah
Andai dicerita membuka aib
Dipendam lama menjadi nanah

Upah dibayar tidak berlengah
Tidak ditangguh walau sedikit
Dipendam lama menjadi nanah
Akhirnya membusuk jadi penyakit

Tidak ditangguh walau sedikit
Janji dibuat hati ke hati
Akhirnya membusuk jadi penyakit
Rahsia disimpan bawa ke mati


Gambar sekadar hiasan...

Rabu, 3 Julai 2019

WW : Sibongsu dengan gaya rambut pendek...

Masa pendaftaran, rambut bahagian atas masih panjang.  Bila pelajar lama (senior) tolong gunting pendek, dia tak puas hati.  Pergi 'betulkan' di kedai gunting.  Begitulah hasilnya 😊

Isnin, 1 Julai 2019

Bertemu kawan-kawan di hari-hari terakhir Syawal ...

... gembira walaupun berjumpa seketika dan kemesraan tetap terasa...

29/6/2019, makcik buat makan-makan sikit di rumah.  Tak jemput ramai pun sebab makcik masak seorang diri dan tak pandai masak banyak-banyak 😏


Makcik cuma buat mee kari dan nasi impit makan dengan kuah kacang / rendang ayam.  Ringkas sangat.
Yang datang beberapa orang kawan zaman aktif berblog tapi masih kekal bersahabat sehingga kini (kami mula kenal melalui blog sekitar tahun 2009)...




Selain itu beberapa orang kawan sewaktu bekerja dulu juga ada datang bersama keluarga mereka.  Alamak! gambar jiran yang datang tak ada pula...







30/6/2019...ke Bandar Baru Bangi. Sudah lama sangat rasanya tidak berjumpa dengan Prof Dato' Dr Abdullah dan Datin walaupun sesekali kami masih berhubungan melalui whatsapp...

Jalan agak sesak...

Bukan makanan yang penting, tapi ukhwah yang tetap terjalin.

Alhamdulillah.  Gelaran, pangkat dan darjat bukan penghalang dalam persahabatan ini...

Rabu, 26 Jun 2019

WW : Raja Berjiwa Rakyat...

Pertama kali rasanya sepanjang hidup ini, makcik membaca tentang seorang YDPA sanggup berhenti untuk membantu...

Selasa, 25 Jun 2019

Bila si bongsu sambung belajar...

...maknya tiba-tiba rasa sunyi 😐.  Sedangkan sewaktu belum sambung belajar pun, bukannya dia 'lekat' sangat di rumah.  Lepas SPM saja, dia sibuk bekerja sambilan sana-sini.  Dapat duit dia kumpul, lepas tu dia 'kerjakan' motorsikal ayahnya...

24/06/2019, dia sambung belajar di Institut Kemahiran Mara (IKM), Kuala Lumpur yang jaraknya tak sampai pun sepuluh minit berkereta dari rumah (kalau jalan tak sesak lah).  Dia masuk kursus Kejuruteraan Teknologi Mekanik Industri untuk tempoh dua tahun (peringkat Sijil).  Mudah-mudahan dia akan berjaya dengan cemerlang dalam pengajiannya.  InsyaAllah.

Tapi yang peliknya, bila dia ditinggalkan untuk belajar, tiba-tiba sahaja maknya ini rasa macam kehilangan sesuatu.  Rasa sunyi dan sebak tiba-tiba... Sebelum ini, abang-abangnya bukan tidak pernah tinggal di asrama (kecuali yang nombor tiga - berulang-alik dari rumah).  Tidak pula maknya terasa sunyi sangat.  Mungkin sebab dia yang bongsu, agaknya.  Seminggu ini, telefon bimbitnya (dan semua pelajar) dalam simpanan pihak IKM, jadi memang tak boleh nak bertanya khabar...


Belajarlah bersungguh-sungguh.

Sewaktu pendaftaran.  Di mana dia duduk, maknya tak akan berada jauh.  Sentiasa mengintai, apa lagi yang mungkin diperlukan...

...hahaha...alahai mak... macamlah orang lain tak ada anak!
Siapa ingat budak comel ini? 😄

Selasa, 18 Jun 2019

Mee segera ... sesekali membuka selera...

Tumiskan bawang dan cili, tambah sayur dan telur.  Makan ketika masih panas, memang menyelerakan.  Tapi hanya boleh makan sesekali sahaja dalam beberapa minggu atau bulan... 

Sabtu, 15 Jun 2019

Duit Raya...

Sudah 11 Syawal hari ini.  Pasti ramai yang sudah selesai mengerjakan Puasa 6 di bulan Syawal.

"Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal maka pahalanya adalah sama seperti puasa sepanjang tahun.

Dalam hadis riwayat daripada Abu Ayyub Al-Ansari itu juga menyebut, puasa enam pahalanya sama seperti puasa penuh setahun, namun dengan syarat kita telah melengkapkan puasa sebulan Ramadan terlebih dahulu.

Antara kelebihan lain buat kita yang mengamalkan puasa sunat enam ini ialah ia melengkapkan kekurangan yang terdapat dalam ibadah puasa wajib bulan Ramadan."

Atas sesuatu sebab yang Allah turunkan, makcik baru berkesempatan berpuasa sebanyak 3 hari.  InsyaAllah akan bersambung minggu depan sekiranya tiada aral mendatang.

Mudah-mudahan Allah SWT memberikan keizinan untuk kami bersama dalam tempoh yang lebih lama lagi.  Susah senang bersama dan saling melengkapkan kehidupan di dunia ini.  Sakit yang dialaminya beberapa hari lepas membuatkan aku rasa 'takut'.

Eh... tajuknya DUIT RAYA.  Tapi lain pula kisah yang dicoretkan.  Iya, tentang duit raya... Tahun ini makcik ada menerima pemberian duit raya dari menantu, adik ipar bongsu dan juga dari Tn Haji Amir Hassan pengasas Denaihati Network (makcik tak tahu bagaimana beliau memilih penerima duit raya tersebut).  Jumlah kesemuanya, walaupun tidak beribu, tidaklah juga hanya RM5.00😛.  Yang penting keikhlasan mereka yang memberi dan rasa syukur kita yang menerima.

Makcik juga tidak menyediakan langsung pemberian duit raya walaupun untuk cucu makcik yang hanya dua orang itu.  Sebab itu juga, makcik 'takut' hendak menerima tetamu dari kalangan kanak-kanak.  Tetapi dengan anak-anak saudara, makcik berterus terang bahawa makcik tidak menyediakan sebarang duit raya.  Bagaimanapun, menantu dan anak-anak yang bekerja ada menyediakan sedikit duit raya buat sepupu-sepupu mereka 'yang di bawah umur'.  Alhamdulillah.

Sepatutnya di hari raya, anak-anak diajar untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan bukan datang berziarah untuk mengumpul duit raya, kan?  Sudahlah begitu, nanti nilai duit raya juga dijadikan bahan gurau senda dan perbandingan yang tidak sihat.  Eloklah kita mula mengajar anak cucu tentang nilai saudara dari nilai kebendaan semata-mata...