Kawan-kawan kakcik

Khamis, 26 April 2018

Alhamdulillah...

Melihat dia kembali sihat, adalah hadiah dari Allah buat mak dan ayah juga dirinya.
Dari sekian banyak doa dan harapan yang kita mohon serta nantikan dari Allah SWT, kita tak akan pernah tahu bila ianya (doa dan harapan itu) akan menjadi kenyataan atau di makbulkan.

Kita selalu tidak sabar.  Buat kebaikan, kita harapkan balasan kebaikan itu akan datang sekelip mata.  Membaca kisah orang bersedekah dan mendapat 'pulangan' segera, kita pun cuba bersedekah sama dengan harapan akan dapat mendapat pulangan juga.  Sedangkan Allah tidak pernah tidur atau terleka.  Dia tahu apa yang kita perlu. 

Sabar dan jangan berhenti berdoa serta berharap juga berusaha.  Jangan juga lupa bila kita dapat apa yang kita mahu bahawa sebenarnya kita pernah meminta-minta.  Ucapkan syukur atas rahmat dan nikmat yang dikurniakanNya.

Selepas lebihkurang 40 hari Bangcik menjalani pembedahan dan menderita kesakitan, akhirnya pada 25/4/2018, melalui ujian ultrasound di Hospital Ampang, tompokan cecair (yang tidak dipastikan sama ada darah, nanah atau entah apa) sebesar 7cm x 8cm di sekitar usus yang dipotong itu, SUDAH TIADA.  AllahuAkbar!

Bayangkanlah seminggu sebelumnya dia mengelupur dan meraung kesakitan kerana sesuatu yang tidak diketahui bagaikan menusuk-nusuk di rusuk kiri dan perutnya.  Muntah tanpa henti.  Dihantar oleh Angah ke  Wad Kecemasan Hospital Ampang (syukur Allah mengaturkan Angah balik sekejap pada hari Khamis itu sedangkan En. Suami di pejabat).

Ketika menjalani ujian imbasan, dikatakan tompokan cecair itu sudah menjadi keras di sekelilingnya.  Hanya yang melalui situasi begini, tahu bagaimana risaunya hati seorang ibu.  Apakah? Apakah? Apakah?

Sewaktu keluar dari wad di Hospital Ampang dua minggu sebelumnya, Bangcik dibekalkan dengan antibiotik yang perlu ditelan 2 dan 3 kali sehari (berjumlah 14 biji sehari).  Sepanjang tempoh itu, walaupun dia sudah boleh keluar ke pusat membeli belah, tetap juga muntah-muntah 2 hingga 3 kali sehari. Sehari sebelum masuk semula ke wad pada 24/4/2018, antibiotiknya habis.  Setelah tidak menelan antibiotik, dia tidak lagi muntah atau cirit-birit.

Menunggu keputusan ultrasound, bagai menunggu hukuman mati dijatuhkan.  Doa dan harapan tak pernah berhenti.  Bukan hanya mak, ayah juga tak senang hati.  Akhirnya, keputusan dikeluarkan.  Allah Ya Allah.  Tompokan itu sudah tiada lagi.  Hanya ada sedikit (sangat sedikit kata doktor) tompokan di bawah kulit bekas pembedahan itu.  Mudah-mudahan yang itu juga akan hilang segera.  Insya Allah.

Temujanji akan datang dengan Pakar Pembedahan Hospital Ampang awal Julai nanti.  Semoga Allah SWT terus mengurniakan kesihatan yang baik dan pulih sepenuhnya dari sebarang kasakitan buat Bangcik dan juga adik-beradiknya yang lain.
Aamiin Ya Rabbal Alamiin.

Kepada semua yang turut mendoakan sama ada secara langsung atau tidak langsung buat Bangcik selama ini, hanya Allah juga yang dapat membalasnya.  Semoga kalian juga dirahmati dan dikurniakan kesihatan yang baik.  Tidak terhingga ucapan terima kasih dari kami buat anda semua...

Isnin, 23 April 2018

Putik juga akan gugur...

Putik manggis ini nampak segar dan gagah, namun siapa dapat menahannya dari gugur ke tanah bila Allah kata dia tak akan sempat tua untuk dinikmati oleh manusia?

Putik ara ini juga kelihatan segar bergantungan, tetapi di bawah bersepah-sepah yang seusianya menyembah tanah...

Ini pula pisang muda yang boleh dikategorikan sebagai masih putik.  Sudah ditebang pokoknya maka tak sempat juga ia tua.


Maka...siapakah yang boleh memberi jaminan bahawa usia kita yang masih ada ini dengan tubuh yang masih sihat, tidak akan dipanggilNya untuk kembali pada bila-bila masa?

Rabu, 18 April 2018

Khatam Al Quran berulangkali, tetapi...

...adakah kita memahami makna apa yang kita baca?
Tidakkah segala hukum hakam terang dan nyata?
Mengapa kita masih juga menidakkannya?

Kita bangga...
bila dapat bercerita
tentang betapa lancarnya Quran kita baca
namun tegahan dan larangannya
kita langgar sesedap rasa

Disuruh menutup aurat
kita dedahkan juga kerana kita rasa kita hebat
bila ditegur dituduh pula mengumpat
zikir di bibir setiap saat
bahawa Quran di hati terpahat

Hadis dan firman hafalan sentiasa
usah dipertikai pahala dan dosa
yang bertudung belum tentu ke syurga
yang telanjang boleh bertaubat bila-bila masa

Nafas dan nyawa bukan milik kita
semuanya pinjaman yang sementara
entahkan masih ada masa
untuk kita memohon ampun dariNya... 

#akutidaksempurna
#masihcubamembaikidiri

Selasa, 17 April 2018

Sakitnya masih terasa...

...tak lama lagi hari mengundi akan tiba.  Tidak sampai sebulan lagi.  Bendera berkibaran di sana sini.  Ada yang kelihatan meriah.  Ada yang kelihatan sepi.

Yang boleh mengundi, undilah.  Pilihlah sama ada calon atau parti yang bertanding.  Setiap orang ada alasan tersendiri atas pilihan yang mereka buat.  Ada yang pilih calon tanpa mengira parti mana yang 'dibawanya'.  Ada yang memilih parti tanpa peduli siapa calonnya.  Pilihan kita sebaiknya biarlah calon yang benar-benar mewakili suara dan kehendak rakyat, bukan yang mewakili rakyat untuk merembat selagi ada yang boleh dirembat dan senyap-senyap kenyang sendiri.

Berbalik kepada tajuk - iya, sakitnya itu masih aku terasa.  Setelah dia dipilih, rupa-rupanya dia menjadi duri dalam daging.  Eh...aku tidak mengundi dia.  Tapi, dia jiranku.  Masih dikira dalam lingkungan jiran kerana kami tinggal di taman yang sama.  Hanya terpisah oleh satu lorong sahaja.

Anakku tersingkir dari jawatan di  masjid angkara dia juga.  Tulisannya bertebaran di sini sana untuk memburukkan suasana.  Sebagai IBU, aku yang lebih terasa.  Iya, rezeki itu Allah yang tentukan.  Tapi kesombongan 'wakil rakyat' itu membuatkan aku bagai tidak boleh melihat walaupun hanya kelibat dia. 

Siapa yang bakal aku undi nanti.  Biarlah ia menjadi rahsiaku sendiri.  Jika masih diizinkan Ilahi, aku akan keluar mengundi.  Tengoklah bagaimana nanti.  Harap-harap namanya tidak melintas di kertas undiku.  Biar apapun lambang yang akan dia wakili, untuknya undiku tertutup rapi...

Isnin, 16 April 2018

Dia tetap ibu...

...walau siapa pun kamu
sama ada seorang kuli
atau seorang yang berjawatan tinggi
darjatnya tetap di atas kamu

tak perlu kau suarakan apa-apa
dia tahu apa yang kau rasa
dalam debar yang menggoncang dadanya
dia tahu apa yang tidak kena

jangan sembunyikan dukamu
kerana dia membacanya dari riak wajahmu
bercahaya atau redup sinar matamu
sekilas pandang dia akan tahu

saat kau bergembira ria
dan seketika kau lupakan dia
namun dia tetap bahagia
kerana sukamu adalah sukanya juga

bila kau berduka dan berpatah kembali
tidak dia ambil kesempatan untuk memerli
kerana di setiap detik yang berlari
anak-anaknya tetap sijantung hati

Rabu, 11 April 2018

Ibu tetap ada di sisi...

Mungkin sakitmu tidak ibu rasai, tapi gelisahmu ibu mengerti.

Tiada masa hendak bergaya, bila resahmu lebih utama.

Selasa, 10 April 2018

8 jam di wad kecemasan...

Gambar dirakam secara curi-curi oleh En Suami.

Mungkin kerana terlalu penat dan kurang tidur, akhirnya makcik turut rebah.  Sedari hari Sabtu malam, makcik batuk tak berhenti tapi masih enggan ke klinik atau hospital.

Akhirnya pada Ahad (8/4/2018) jam 4.00 pagi makcik tiba di Zon Kuning Hospital Ampang.  Keadaan sangat teruk sehingga makcik rasa masa untuk makcik kembali kepada Pencipta sudah tiba.  Selepas diberi sedutan gas kali pertama, makcik langsung tidak rasa lega.  Sebaliknya nafas berbunyi dengan kuat tanpa dapat makcik kawal.  Leher rasa dicekik dan bila buka mata, hanya nampak bayangan yang kabur sahaja.

Sedutan gas diberi lagi.  Ubat dimasukkan.  Denyutan jantung dipantau.  Tekanan darah agak rendah dan kandungan mineral dalam darah juga rendah. Makcik sangat bimbang sekiranya terpaksa ditahan di wad.  Banyak kerja rumah belum diselesaikan berikutan beberapa hari makcik berulangalik dan bermalam di hospital menjaga anakanda. Sepanjang berada di wad kecemasan ini makcik diberi 4 kali sedutan nebulizer.  Dengan tekak kering dan perut lapar, badan menggigil semahunya.  Mujur juga suami datang menjenguk sekejap sekitar jam 10.00 pagi, dapatlah makcik minta dia belikan milo panas untuk makcik teguk.

Syukurlah akhirnya pada jam 12.00 tengahari makcik dibenarkan keluar dengan dibekalkan sejumlah ubat-ubatan.  Walaupun tidak begitu sihat, makcik gembira dapat balik ke rumah semula.  Andainya makcik ke hospital swasta, sudah tentu makcik ditahan setidak-tidaknya untuk 3 hari 2 malam... 

Ujian demi ujian, tidak membuatkan makcik patah semangat.  Sebaliknya makcik yakin Allah SWT menyediakan sesuatu kebaikan yang tersembunyi di sebalik semua ini.  Setidak-tidaknya mungkin untuk meringankan beban dosa yang terlalu banyak makcik pikul.

Isnin, 9 April 2018

Cucu- cucu juga masuk wad...

Semoga segera sihat sepenuhnya.
Pada hari anakanda dibenarkan keluar dari Hospital Ampang, kedua-dua cucu makcik pula dimasukkan ke wad di Hospital Pantai Ampang (7/4/2018).

Muhammad Qaid Darwish mendapat jangkitan virus HFMD  dari rakan sekelasnya di tadika tempat dia belajar.  Muhammad Zayyan Darwish pula mendapat jangkitan dari abangnya.

Sehingga hari ini (9/4/2018), kesihatan Qaid beransur pulih manakala Zayyan masih demam.  Nenek pula tak dapat nak jenguk mereka di hospital gara-gara kesihatan sendiri pun masih belum pulih sepenuhnya.

Semoga rahmat Allah sentiasa bersama makcik dan keluarga makcik.  Dia tahu apa yang terbaik buat kita.  Saat kita rasa sakit, ada orang lain yang sedang nazak.  Jangan pertikaikan kenapa kita diuji kerana ujian tanda kita tidak dilupai...

Dari Hospital Pantai Ampang ke Hospital Ampang...

Lanjutan dari catatan ini : http://kakciknurseroja.blogspot.my/2018/03/pembedahan-memotong-usus-besar.html, anakanda  perlu membuat beberapa temujanji susulan dengan doktor untuk melihat perkembangan kesihatannya.

Seminggu selepas keluar dari wad, kesihatan anakanda tidak begitu baik.  Dia sering demam malam.  Dia merasa sejuk menggigil tetapi berpeluh dan bila dirasa dengan tangan, badannya panas tetapi tangan dan kaki sejuk.

Di temujanji yang ketiga (2/4/2018), makcik minta doktor agar buat surat rujukan ke Hospital Ampang disebabkan oleh masalan ini :  http://kakciknurseroja.blogspot.my/2018/03/bila-peruntukan-insuran-melebihi-had.html.  Setiap kali temujanji, lebih RM200 diperlukan.   Mulanya doktor bagai tidak mahu membuat surat rujukan itu 'sekiranya tiada apa-apa masalah'.  Tetapi setelah membuat ujian ultrasound, didapati ada yang tidak kena dalam perut anakanda.  Ada tompokan cecair (mungkin nanah - yang menyebabkan dia demam) sebesar 6cm x 7cm.  Doktor bersetuju menyediakan surat ke Pakar Pembedahan Hospital Ampang.

Pembantu Doktor berkenaan memberitahu sekiranya surat rujukan dari hospital swasta dibawa ke hospital kerajaan, maka hospital kerajaan akan mengenakan caj yang sama seperti di hospital swasta kepada pesakit.  Makcik tergerak hati untuk menelefon Bahagian Hasil Hospital Ampang (Allah gerakkan hati makcik) untuk bertanya hal tersebut.  Iya, pesakit akan dicaj seperti caj hospital swasta.  Bagaimanapun, wanita yang menjawab panggilan makcik, meminta makcik ke Klinik Kesihatan dan mendapatkan surat rujukan dari Pegawai Perubatan di sana.

Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan.  Layanan di KK Cheras Baru sangat-sangat baik.  Pegawai Perubatan wanita berbangsa Cina di sana melayan dengan cekap dan pantas.  Hasil dari ujian darah, kandungan kuman anakanda didapati sangat tinggi.  Jarum untuk memasukkan ubat dan air terus dipasang ke tangan anakanda.  Pegawai  Perubatan tersebut memberitahu bahawa anakada akan dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans.
Makcik ikut naik ambulans ini dan gambar ini dirakam oleh pakcik yang mengikut rapat di belakang.

Sesampai di Hospital Ampang, anakanda terus disorong ke Zon Kuning (Zon Separa Kritikal). Maka bermulalah episod anakanda di Hospital Ampang dan makcik juga turut bermalam di sana. Syukur kepada Allah atas segala urusan yang dipermudahkanNya.  Seingat makcik, dulu-dulu hanya penjaga lelaki boleh menjaga pesakit lelaki.  Kini tidak lagi.  Ibu boleh jaga anak lelakinya (tapi terhad hanya seorang penjaga sahaja).

Anakanda diberi antibiotik 3 kali sehari dan syukur sejak masuk ke hospital ini, dia boleh dikatakan langsung tidak demam.  Hanya sekali dua bacaan suhu badannya meningkat kepada 38.2 sahaja.  Selebihnya adalah suhu normal. 

Semoga akan segera sembuh sepenuhnya.

Masuk pada petang 2/4/2018 dan keluar pada 7/4/2018.  Berapa caj yang dikenakan?  Lebihkurang RM2.8K tapi jumlah yang perlu dibayar hanya RM116.00 sahaja.  Itu pun diberi penangguhan untuk membayar sehingga mendapat Surat Akuan Pelajar dari universiti disebabkan anakanda dikira masih di bawah tanggungan ibunya seorang pesara. Temujanji akan datang adalah pada 25/4/2018 dan kena masuk wad pada 24/4/2018.  Ujian akan dilakukan pada 25/4 tersebut untuk melihat sama ada tompokan cecair itu sudah surut atau belum...

Kasih seorang ayah mungkin tidak dapat 'dirasa', namun bimbang hatinya siapa dapat menduga...

Setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua petugas (pegawai perubatan, pembantu kesihatan, jururawat, pemandu ambulans dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung) di Klinik Kesihatan Cheras Baru dan Hospital Ampang yang telah memberikan khidmat terbaik dengan penuh dedikasi lagi mesra.

Anda semua adalah lambang kakitangan perkhidmatan awam era kini yang sangat boleh dibanggakan.  Syabas dan tahniah.

Jumaat, 6 April 2018

'Nasi Goreng Cendawan' katanya...

...tapi secebis cendawan pun tak ada!

Ini jangankan juri #masterchefuk tengok dan rasa, budak kecil pun tahu nak komen 'mana cendawannya'.

Bagaimanapun, selagi boleh makan kita makan.  Jangan 'hina' rezeki.  Bayangkan mereka yang sanggup mengais sampah setiap hari untuk memenuhi tuntutan perut yang perlu diisi...

Rabu, 4 April 2018