Kawan-kawan kakcik

Rabu, 21 Jun 2017

Zayyan bersama Fattah dan Fazura (Fattzura)...

Wah...tengok siapa yang sedang mendukung Zayyan tu... Gambar ini dirakam di Mood Republik, PWTC baru-baru ini.  Mummy dan Daddy Zayyan buka ruang niaga (booth) Darwish Rich Design di sana...


Zayyan bukan kenal pun siapa mereka.
Sebab itu Zayyan menangis 😅😅

Mummy Zayyan kata Fazura ini
cantik sangat orangnya. 😁😁

Nenek Zayyan bukan minat pun dengan pelakon-pelakon sekarang. Kalau hendak buat perbandingan, nenek lebih suka dengan lakonan aktor Faizal Hussein...hehehe


Selasa, 20 Jun 2017

Berbuka puasa di Makan Kitchen...

Disebabkan buat masa ini makcik belum bersemangat hendak menulis, tapi masih mahu 'menghidupkan' blog ini, makcik letaklah sedikit gambar sewaktu makcik mengikut En Suami berbuka puasa di Makan Kitchen, Double Tree by Hilton Hotel baru-baru ini.

Jemputan datangnya dari Hospital Pantai Ampang.  Kalau ikutkan, makcik bukannya rajin hendak berbuka di luar.  Iyalah, dengan keadaan kaki makcik yang masih tidak hilang sakitnya (walaupun sudah melakukan rawatan/prosedur dengan dua doktor pakar di dua buah hospital swasta), segan rasanya hendak bercampur gaul dengan orang.




Makcik makan sahaja tanpa banyak karenah apa yang En Suami
tolong ambilkan...


Selain dari makanan-makanan dalam gambar ini, ada juga makcik
ambil kuih dan satay selepas solat Maghrib.  (Dua buah bilik hotel
diubahsuai menjadi surau sementara.  Alhamdulillah. Selesa.) 

Duduk semeja dengan Dato' Dr Makmur dan isterinya yang
sangat ramah.  (Gambar dirakam oleh CEO Hospital Pantai Ampang)

Selasa, 13 Jun 2017

Mihun Goreng Kencana yang ringkas dan mudah...

Anakanda minta dibuatkan mihun goreng Singapura. Memandangkan bahan-bahan yang ada tidak menepati syarat untuk membuat mihun goreng Singapura, maka makcik gunakan apa yang ada dan makcik namakan Mihun Goreng Kencana sempena nama taman perumahan tempat tinggal makcik...

Inilah mihun goreng kencana yang makcik masak

Bahan-bahannya :

Sepeket (400gm) mihun - direndam atau celur dengan air panas untuk melembutkannya
2 sudu biji lada hitam           )
5 ulas bawang putih              )  dikisar bersama sedikit air
5 ulas bawang merah            )
2 sudu ikan bilis - bersihkan )
2 ekor sotong (yang makcik guna saiznya agak besar) - dihiris nipis
2 biji telur ayam
setengah cawan sayur campur (mixed vege)
garam secukup rasa
minyak untuk menumis
Bawang goreng dan hirisan cili merah

Cara-caranya :

- panaskan minyak di dalam kuali
- masukkan bahan kisar
- setelah bahan kisar agak garing dan wangi, masukkan sotong dan sayur campur serta garam secukup rasa
- masukkan mihun dan kaupbalikkan agar sekata dengan bahan tumis
- setelah sekata, pecahkan telur di tepi kuali dan kacau biar hancur
- bila telur sudah hancur, gaulkan (menggunakan sudip) dengan mihun
- jika ada sayur (seperti sawi), bolehlah masukkan dan kaupbalikkan bersama mihun
- sudah siap bolehlah matikan api dan salin mihun ke dalam mangkuk
- taburkan bawang goreng dan cili merah yang telah dihiris sebagai hiasan 

# mungkin ada yang suka mihunnya basah, bolehlah masukkan secawan air selepas bahan tumis agak garing tadi

# jika masukkan garam diakhir sekali, dibimbangi ia tidak sekata dan menyebabkan mihun ada yang masin ada yang tawar

Sabtu, 10 Jun 2017

Khamis, 8 Jun 2017

Telur goreng berkuah kicap...

telur goreng berkuah kicap
lauk sahurku yang sangat sedap
ditambah bawang yang digoreng sekejap
menjadi rezeki, syukur tak terucap



bagi kalian yang masih berselera
makanlah apa sahaja yang kalian suka
namun nanti di suatu masa
mungkin kalian rasa apa yang kurasa

dulu aku juga pernah marah-marah
bila orangtuaku merungut tak sudah-sudah
makanan yang kuhidang diendah tak endah
semuanya buat mereka rasa hendak muntah

mereka mahukan lauk 'biasa'
ikan bilis, cili dan bawang digoreng bersama
itu sudah cukup membuka selera
makan boleh bertambah sepinggan dua

kini giliranku sudah tiba
melihat lauk pelbagai terasa loya
telur, kicap, bawang dan cili sebiji dua
cukuplah sekadar itu sahaja

Islam mengajar kita bersederhana
Ramadan untuk kita mendidik jiwa
bukan makan selagi ada
maka keinsafan apa yang akan kita rasa?

#padanmukaaku
#takpernahcubafahamhatiayahibu
#Allahtakpernahlupamengingatkankita
#apakitaberiakankitaterimasemula


Rabu, 7 Jun 2017

Resepi Bawal Masam Manis yang ringkas dan mudah...

Jangankan di bulan puasa, di bulan-bulan lain pun, hendak menyediakan hidangan kepada keluarga saban hari kadangkala menjadi masalah kepada seorang isteri / ibu.

Kalau yang bekerja, di pejabat lagi sudah memikirkan apa hidangan hendak disaji kepada keluarga.  Kalau keluarga tak banyak karenah, mungkin ringan sedikit 'beban' yang dirasa. Masak telur goreng, potong bawang dan cili, curah kicap.  Makan dengan nasi panas, Alhamdulillah.

Kadang-kadang duduk depan peti ais pun termanggu-manggu memikir nak masak apa.  Kalau ada bahan secukupnya, capai sana-sini, campak dalam periuk atau kuali, siaplah satu dua jenis lauk.

Jom makcik bagi resepi bawal masam manis yang ringkas dan mudah ikut bahan yang ada di dapur makcik...


Bunga melati mekar di taman
tempat bermain si pari-pari
masak dari hati masak dengan iman
semoga rezeki Allah berkati

Bahan-bahannya :

- 2 ekor ikan bawal (dibersihkan, lumur dengan garam kunyit dan digoreng garing)
- sebiji bawang besar dipotong dadu
- 5 ulas bawang putih dicincang
- 2 biji cili merah dipotong-potong
- 2 biji tomato dipotong dadu
- 5 sudu makan sos tomato
- 5 sudu makan sos cili
- secawan air
- garam dan gula secukup rasa

Cara-caranya :

- Ikan bawal yang telah digoreng diletak dalam pinggan yang sesuai.
- panaskan 3 sudu makan minyak di dalam kuali
- tumiskan bawang besar, bawang putih dan cili
- setelah layu dan wangi bahan tumisan, masukkan sos tomato dan sos cili 
-  masukkan air dan kacau hingga menggelegak
- masukkan tomato (kalau suka boleh tambah timun dan nanas yang dipotong dadu juga)
- masukkan garam dan gula secukup rasa
- bila bahan-bahan di atas sudah sebati dan cukup rasanya, matikan api dan tuangkan kuah ke atas ikan tadi
- siap

Sebenarnya kebelakangan ini makcik sudah kekeringan ilham untuk dicoretkan.  Itu yang merapu meraban letak resepi entah apa-apa.  Semata-mata untuk mempastikan blog ini tidak kehilangan nyawa...


Isnin, 5 Jun 2017

Resepi : Rendang udang dengan kacang buncis...

Rendang udang dan kacang buncis yang aku masak petang semalam

Bahan-bahannya :

1/2kg udang - bersihkan (buang kepala dan ekor)
300gram kacang buncis - potong serong
10 biji bawang merah 
2 batang serai
halia sebesar dua ibu jari
20 tangkai cili kering
2 helai daun kunyit
3 keping asam gelugur
2 sudu makan kerisik
semangkuk santan
garam secukup rasa

Cara-caranya :

Bawang merah, halia dan serai - di hiris halus dulu dan kemudian tumbuk kasar supaya keluar rasanya nanti (kalau malas, kisar sahaja semua bahan ini)

Cili kering dikisar halus

Masukkan udang, kacang buncis dan semua bahan kisar ke dalam kuali.  Masukkan juga asam keping dan kerisik.  Masak sehingga agak sejat dan masukkan santan.  Masukkan garam dan sesuaikan rasanya. Biarkan menggelegak (kalau hendak berkuah, tutup api. Sebaliknya kalau hendak rendang kering, masaklah sehingga kuahnya sejat). 

Akhir sekali masukkan daun kunyit yang telah di hiris halus dan kaupbalikkan untuk mendapat bau yang wangi.

Siap.

Patin Tempoyak Kg Baru...

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Saat aku sangat-sangat teringin hendak makan Patin Tempoyak, aku mendapat peluang untuk makan di Restoran Patin Tempoyak Kg Baru. Syukur Alhamdulillah.

Aku pergi selepas waktu Maghrib.  Alamak! jalan sesak pula. Akhirnya jam 8.30 malam barulah aku tiba ke tempat yang dituju. Suami hanya menghantarku kerana dia kurang sihat.

Restoran Patin Tempoyak Kg Baru ini adalah penjenamaan semula dari restoran asalnya iaitu Samudra Exotic River Fish Restaurant. Restoran baru ini terletak hanya beberapa meter dari lokasi lamanya.  


Mengikut alamat, restoran ini terletak di Jalan Raja Abdullah.
Bagaimanapun, kita kena masuk sedikit ke Jalan Raja Ali
dan ianya terletak beberapa langkah setelah memasuki
jalan tersebut.
Masuk sahaja ke restoran ini, aku bertemu dengan pemiliknya En. Kamarul yang sangat ramah tamah orangnya. 

Biasalah, kan?  Blogger mana boleh melepaskan peluang
untuk bergambar.  Eh... macam adik beradik pulak!

Melihat makanan yang terhidang di meja, memang serta merta perut menyanyi-nyanyi minta diisi.  Jomlah kita makan dulu...


Aduhai...bagaikan kemarau setahun lenyap disirami hujan sehari.
Betapa enaknya patin tempoyak ini dapat dirasai sebaik sahaja
masuk ke mulut dan mencecah lidah.  Ditambah pula dengan
masak lemak pucuk ubi.  Cukup semua rasanya.  Lembut,
masin, masam dan lemak bersatu. Langsung tiada rasa hanyir,

Selain dari ikan patin, restoran ini juga menyediakan lain-lain jenis ikan sungai (yang didatangkan terus dari Sungai Pahang @ Temerloh).  Bagi mereka yang tak makan ikan sungai, ikan laut juga disediakan dan akan dimasak mengikut permintaan.  



Mari lihat apakah yang ada di restoran ini.  Antaranya :


Ikan putih / Ikan lampam goreng

Masak lemak ikan sungai

Haaa... inilah 'mercu tanda' restoran ini.
Patin Tempoyak yang sangat sedap. Isi ikannya cukup lembut

dan ada rasa lemak.  Kuahnya pun cukup masam masinnya.

Asam Pedas Ikan Tenggiri

Ikan sungai bakar

Masak lemak pucuk ubi yang likat melekat kuahnya.
Pucuk ubinya pun cukup lembut untuk dikunyah.

Masak lemak rebung

Urap / kerabu pucuk paku

Pekasam ikan sungai

Pelbagai jenis sambal.
Ada sambal kicap. budu, sambal belacan dan sambal tempoyak

Boleh sahaja jika mahu makan nasi goreng...

...atau mee goreng mahupun kuey teow goreng

Ada ayam goreng kunyit juga...

...dan pelbagai jenis pencuci mulut.

Harga ikan yang dijual di sini adalah 10% lebih murah dari di restoran asalnya.  Mungkin bagi setengah orang, mereka merasakan harga ikan sungai terutamanya patin, jelawat dan kerai adalah agak mahal.  Sebenarnya, ikan-ikan yang dijual, dimasak dan dihidangkan di Restoran Patin Tempoyak Kg Baru ini adalah didatangkan terus dan segar dari Sungai Pahang (Temerloh) yang dijamin kualitinya.

Sempena bulan Ramadhan, restoran ini juga mengadakan hidangan secara buffet untuk berbuka mulai jam 6.30 petang. Harga buffet adalah :

RM65.00 (bersih) untuk dewasa
RM30.00 (bersih) untuk kanak-kanak

Walaubagaimanapun, bagi mereka yang ingin membeli secara 'a-la carte' untuk dibawa pulang, tempahan dibuka mulai jam 4.00 petang.

Untuk tempahan awal, bolehlah menghubungi sendiri En Kamarul di talian :

018-2916250 (telefon)
019-6116933 (whatsapp sahaja)

Sekali lagi, untuk yang ingin datang berbuka di sini, bolehlah datang ke alamat : 

63D, Jalan Raja Abdullah
50300 Kg Baru
Kuala Lumpur.

Restoran ini boleh memuatkan 60 (enam puluh) orang pelanggan pada satu-satu masa.

Masakan di restoran ini disediakan sendiri oleh kakak En Kamarul
iaitu Puan Hamizatun.  Masakannya adalah masakan Pahang asli
kerana mereka adik beradik memang berasal dari Pahang.
Seorang lagi adik En Kamarul yang mengusahakan bersama
restoran ini ialah En Hishammudin.

Untuk merasai sendiri keenakan masakan patin tempoyak dan lain-lain lauk-pauk, sama ada masak tempoyak, masak lemak atau asam pedas, jemputlah datang ke Restoran Patin Tempoyak Kg Baru.

Bila kesedapan masuk ke tekak, harga  bukanlah menjadi masalah...

Sabtu, 3 Jun 2017

Cucu-cucu nenek...

Cucu-cucu nenek, manja memang manja.  Bila buat salah, nenek marah juga.  Bukan kerana tak sayang, tapi nenek mahu kalian menjadi 'orang'.






Nenek baru ada dua orang cucu.  Nenek tak tahu sama ada nenek sempat atau tidak untuk menimang cucu-cucu yang akan datang. Nenek juga tak tahu sampai bila nenek sempat untuk melihat dua cucu yang ada sekarang membesar.

Orang kata, sayangnya atuknenek kepada cucu melebihi sayang makayah kepada anak.  Nenek tak tahu sama ada hendak mengakui atau menafikan.  Cuma yang boleh nenek katakan, dulu masa dapat anak, nenek masih muda.  Tenaga masih banyak.  Suara masih kuat. Tapi bila dapat cucu, nenek sudah pun dimamah usia.  Tenaga makin kurang, suara makin perlahan. Sudah lebih banyak 'tak kuasa' dari 'menunjukkan kuasa'.  

Namun di dalam doa, nenek pohon agar Allah Yang Maha Kuasa melindungi cucu-cucu nenek dari segala mara bahaya.  Semoga cucu-cucu nenek menjadi anak-anak soleh yang mendoakan kesejahteraan ibubapa.  Agar menjadi insan yang berjaya di dunia serta sejahtera di dunia 'sana'...

Khamis, 1 Jun 2017

Resepi : ikan masak taucu dan bendi berlada...

Ini lauk yang aku masak beberapa hari lepas.
Ada yang minta resepinya di instagramku.
Ini lauk yang sangat mudah untuk disediakan.

Resepi ikan masak taucu :

Bahan-bahannya :

- beberapa potong ikan tenggiri (atau beberapa ekor ikan kerisi / ikan kembung) - digoreng
- 2 sudu makan taucu
- secawan air asam jawa
- halia / bawang merah / bawang putih (dihiris halus untuk bahan tumis)
- sebiji timun saiz sederhana (belah memanjang kepada 6 bahagian, buang bijinya dan potong serong)
- 10 biji cili hijau (belah dua tapi tak putus)
- sebiji bawang besar (hiris bulat)

Cara-caranya : 

- panaskan 3 sudu makan minyak masak dalam periuk @ kuali
- tumis halia / bawang merah / bawang putih hingga wangi
- masukkan taucu - kacau sebentar
- masukkan air asam jawa - kacau sebentar
- tambahkan dua cawan air - masak hingga menggelegak
- masukkan ikan goreng
- masukkan cili hijau / timun dan bawang besar
- kalau kurang kuah, boleh tambah air
- tak perlu tambah garam kerana ikan sudah dilumur garam kunyit sebelum digoreng dan taucu pun sudah masin.  Tapi kalau rasa kurang masin lagi, tambahlah garam secukup rasa dan juga sedikit gula (makcik masak tak guna ajinomoto dan yang sewaktu dengannya, jadi makcik letak sedikit gula)

*lauk ini tidak pedas, jadi bagi yang suka pedas mungkin boleh tambah cili api yang ditumbuk sewaktu menumis atau boleh dimakan dengan sambal belacan.


Resepi bendi berlada :

Bahan-bahannya :

- 10 hingga 15 bendi (apa penjodoh bilangan untuk bendi, ya?. Batang kot) dipotong serong (sebatang dipotong 2 atau 3)
-  10 tangkai cili kering **
-   3 biji bawang merah **
-   2 ulas bawang putih **
(yang bertanda ** dikisar bersama hingga halus)
-   2 keping asam gelugur (asam keping)
-  sedikit ikan bilis
-  garam dan gula secukup rasa

Cara-caranya :

- panaskan 2 sudu makan minyak di dalam kuali
- tumis bahan kisar sehingga pecah minyak
- masukkan ikan bilis
- masukkan asam keping
- tambahkan sedikit air
- masukkan bendi
- tambah garam dan gula secukup rasa
- kaup balikkan sehingga bendi betul-betul masak
- siap