Kawan-kawan kakcik

Selasa, 23 Mei 2017

Berkelah mangga harum manis...

Tarikh : 21/05/2017 (Ahad)
Waktu : Selepas solat Asar (lebihkurang mulai jam 5.00 petang)
Tempat : Rumah Makchaq di Kg Merbau Sempak, Sg Buloh. 

Aku menerima undangan melalui whatsapp dari Makchaq untuk datang ke rumahnya.  Katanya dia baru balik dari Perlis dan ada membeli mangga harum manis untuk dimakan bersama kawan-kawan.

Jam 4.00 petang, aku dan suami keluar dari rumah dengan niat untuk menunaikan solat Asar di masjid berhampiran rumah Makchaq.  Kami tiba beberapa minit sebelum masuk waktu Asar. Selepas menunaikan kewajipan, kami menuju ke rumah Makchaq. Setibanya, kami lihat belum ada tetamu yang datang.  Kami berpusing-pusing dulu melihat rumah-rumah di kawasan tersebut. Kali kedua, terlihat Dato' Zaki (Pakchaq @ suami Makchaq) ada di hadapan rumah.  Beliau mempelawa kami masuk.

Dipendekkan kisah, ramai juga tetamu pada petang tersebut termasuk kenalan dan saudara mara Makchaq juga Pakchaq yang hadir.  Blogger yang datang selain aku adalah Aizamia dan Cikgu Akuzle bersama keluarga masing-masing.

Jom tengok gambar...

Ini bukan harum manis tetapi mangga pemberian kawan Pakchaq.

Harum manis yang telah dipotong oleh
blogger Aizamia dan suaminya.







Gigi siapa lebih cantik? 

Terasa besarnya aku bila bersebelahan dengan Aizamia ini.

Sudah lama juga aku tidak bertemu dengan Ayu.  Tapi
jarang bertemu bukan bermakna hubungan terputus begitu saja.


Bagi aku secara peribadi, yang benar-benar harum manis dalam pertemuan ini adalah ketinggian budi dan kerendahan hati Makchaq suami-isteri dan anak-anak serta menantu mereka.  Semua tetamu dilayan sama.  Pangkat dan gelaran bukan batasan persahabatan. Suami isteri ini lebih senang  dikenali dengan nama mereka dan panggilan mesra yang biasa sahaja.

Seperti yang pernah aku catatkan sebelum ini : Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan Dia berhak untuk mengambil balik apa yang telah diberiNya bila-bila masa sahaja.  Maka kebanggaan apa yang hendak kita tunjukkan sehingga meletakkan jurang sesama insan...

Isnin, 22 Mei 2017

Resepi asam rebus ikan kembung...

Tak tahulah kenapa, semakin hari semakin hilang semangat hendak mengemaskini blog. Bukan tiada ilham, buka tiada masa, tapi.........


Sama malasnya hendak mengemaskini blog, begitulah malasnya
hendak memasak.  Maklumlah, memasak pun bukan banyak
resepi yang makcik tahu.  Masak asam rebus ini, tak perlukan
kemahiran pun...

Bahan-bahannya :

4 ekor ikan kembung
10 - 15 biji cili api
5 biji bawang merah
3 batang serai
4 - 5 keping asam gelugur
garam secukupnya
2 cawan air
sedikit serbuk kunyit
10 batang bendi (jika suka)

Caranya :

Tumbuk cili api bersama bawang dan garam.
Serai dititik-titik sahaja.
Masukkan semua bahan ke dalam periuk
kecuali bendi. Masak hingga menggelegak
(ikan cukup masak).
Setelah menggelegak baru masukkan bendi.

Rasa masam masinnya agar sesuai dengan selera,

Siap.

Jumaat, 19 Mei 2017

Sesekali, kita mungkin perlu DITAMPAR...

Isu apa yang sedang hangat diperkatakan sekarang? 

Ooooo...isu tampar ya?  Hingga tenggelam isu harga petrol dan diesel naik semula.  Begitulah kita dilekakan mungkin sehingga kita tak mampu lagi mengerakkan kenderaan baharulah kita sedar bahawa ada isu yang lebih penting untuk kita ambil peduli...

Kita selalu berfikiran bahawa 'halaman kita hak kita'.  Suka hati kita hendak tanam apa atau hendak biarkan macam mana. Akhirnya kita terlupa bahawa tanaman kita sudah masuk ke halaman orang atau setidak-tidaknya menyakitkan mata dan hati orang.  Namun kita tetap tak peduli walau akhirnya ular sawa pun boleh beranak pinak di halaman itu dan mengancam kehidupan kita.

Bahasa mudahnya begini :

Kita sudah terlalu selesa berkata-kata atau menulis sesuatu yang pada anggapan kita semua orang suka.  Kita maki hamun pun, kita gunakan kata-kata kesat pun, kita rendah-rendahkan kebolehan orang lain pun, nampaknya ramai sahaja yang suka.  Kita lupa bahawa dalam ramai-ramai itu, ada yang lebih pandai dari kita dan ada yang begitu senang tersentuh hati dan perasaannya.  Namun mereka hanya diam.  Tak suka, mereka tak baca.  Tapi selama mana semua orang mampu bertahan?  Setiap manusia ada batas kesabaran.

Maka, pada suatu hari yang kita tak jangka, tamparan itu pun tiba. Adakah kita masih hendak mempertahankan apa yang kononnya kita kata hak kita itu?  Atau sudah tiba masanya kita mengkaji semula akan benar atau tidak, baik atau tidak apa yang kita lakukan selama ini?

Sama seperti kita sentiasa gunakan waktu sihat dan senang kita untuk berleka-leka.  Suatu hari, Allah Yang Maha Berkuasa menurunkan sakit atau musibah kepada kita.  Masa itu baru kita tersedar akan banyaknya masa yang kita sia-siakan.  Kita merayu dan berdoa agar kesihatan kita pulih dan berjanji untuk berubah menjadi lebih baik.  Allah Yang Maha Penyayang kemudiannya mengembalikan kesihatan kita atau menghilangkan segala musibah. Apakah kita akan bersyukur atau kembali kepada tabiat lama? Fikirlah sendiri...

Begitulah juga bila kita berada di kedudukan yang lebih atas dari orang lain.  Kita rasa kita berhak untuk merendah-rendahkan atau memerintah orang bawahan kita.  Kata-kata tolong dan terima kasih tak pernah ingin kita ucapkan apabila meminta atau selepas inginkan sesuatu daripada mereka yang di bawah kita.  Kita lupa bahawa kedudukan yang kita ada itu tak akan selamanya menjadi milik kita.  Dengan apa-apa sebab sahaja ia akan terlucut juga.

Jadi kebanggaan apakah yang ingin kita tunjukkan.  Sentiasa ingat bahawa setiap sesuatu itu 'dari Allah ia datang, kepada Allah ia kembali'.

Sesungguhnya 'ular yang menyusur akar itu tak akan hilang bisanya'.  Jadi janganlah tunggu sampai terkena tamparan baharu kita ingin tersedar (itu pun kalau tersedar!)

Selasa, 16 Mei 2017

SBB2017 - Perkongsian seterusnya (Personal Branding)...

Lanjutan dari catatan INI, seterusnya adalah perkongsian pengalaman dari Cik Lily Putih (Lifestyle Blogger) dan En Mahamahu (Food Blogger).   Perkongsian tentang bagaimana mereka boleh berada di tahap sekarang hingga boleh 'meletakkan harga' untuk beriklan di blog mereka.

Mahamahu, Tn Hj Amir Hassan dan Cik Lily Putih.

Mereka juga bermula sebagai blogger yang 'kosong'.  Bertahun-tahun menghadiri 'review' secara percuma (tidak menerima bayaran) tapi tetap menerbitkan artikel di blog secara konsisten dan memberikan sepenuh komitmen sehingga akhirnya dikenali dan dihargai.

Menjawab persoalan sama ada bolehkah seseorang blogger meletakkan harga untuk sesuatu 'review', jawabnya memang boleh. Tetapi sebelum meletakkan harga, kita kenalah mengenalpasti kekuatan atau keupayaan blog kita menarik pembaca.  Sejauh mana blog kita dikenali, berapa 'pageview' atau 'unique view' yang mampu dicapai oleh blog kita.  Adakah berbaloi harga yang dibayar oleh pengiklan untuk beriklan?

Seterusnya adalah perkongsian yang ringkas tapi padat dari Norman Danish (Misi Viral) tentang Personal Branding untuk mereka yang menggunakan platform facebook bagi menjalankan perniagaan.  Untuk membina Personal Branding yang baik dan boleh menarik pelanggan, hendaklah :

- menggunakan gambar sendiri (gambar yang paling cantik dan menarik) sebagai gambar profile dan 'cover photo'.  Elakkan dari meletak gambar-gambar yang tidak berkaitan seperti bunga, kucing mahu pun produk yang dijual.

- latar belakang (biografi) - catatkan dengan terperinci tentang kelayakan, kemahiran dan kebolehan kita.  Begitu juga dengan produk.  Nyatakan dengan jelas apa kelebihan dan sebagainya. Perkara ini penting untuk menarik keyakinan bakal pelanggan.

- rajin-rajin 'like' dan komen perkongsian dari 'sahabat-sahabat' yang muncul di facebook kita semoga mereka juga berminat untuk melihat dan membaca status kita.

- rajin-rajinlah mengemaskini status sekurang-kurangnya tiga kali sehari (pagi / petang / malam) agar 'kewujudan' kita disedari.

- elakkan 'meroyan' atau menulis perkara-perkara negatif, sebaliknya tulis perkara yang baik-baik sahaja dan yang menjadi kepakaran kita,

- Jangan berhenti atau malu untuk memperkenalkan produk sendiri.

- Kunci untuk mencipta jenama sendiri (Personal Branding) adalah fokus, konsisten dan sabar.

Satu lagi pesan Norman :
bila kita menghulurkan kad perniagaan
(business card) kita, hendaklah pastikan
nama kita pada kad terletak di sebelah
atas supaya orang yang menerima boleh
terus membacanya.

p/s :  bermanfaat atau tidak catatan ini?  Jika ada manfaatnya, ambillah.  Jika sebaliknya, tinggalkan sahaja.  InsyaAllah, jika aku rajin, nanti aku sambung lagi...

Isnin, 15 Mei 2017

Apa yang aku dapat di SBB2017?...

Sambungan dari catatan INI.

Ketika sampai, kawasan di hadapan Saloma Bistro kelihatan lengang.  Izwa kata (melalui whatsapp) pendaftaran di hadapan dewan berhampiran surau.  Aku bertemu seorang blogger lelaki yang masih muda.  Aku kenal wajahnya tetapi aku tak tahu namanya.  Aku sapa dia dan aku ikut langkahnya.  Beberapa langkah kemudian, aku nampak Suria Amanda yang sedang menonong berjalan bersendirian.  Aku panggil namanya.  Mujur dia dengar.  Aku mengekorinya ke tempat pendaftaran.  Selepas mendaftar, aku bertemua dengan beberapa orang blogger yang belum pernah aku jumpa sebelum ini...

Bersama Namia Cinta.
Kami pernah bertemu sebelum ini.

Bersama Suria Amanda.
Pertama kali kami bertemu di SBB2014

Bersama Ana Jingga
Akhirnya kami bertemu di sini.

Bersama Eny Yusnizar Abdullah
Pertama kali juga kami bersua di sini

Bersama Arz Moha
Selepas bersapa di blog dan fb,
takdirnya bersua di SBB

Bersama Izwa yang kurang sihat
Pertama kali kami bersua muka di SBB2016

Bersama Nooraini Zubir
Juga pertama kali bersua di SBB2016

Alhamdulillah.  Mereka yang kutemui sangat baik dan ramah sehingga aku tidak merasa terasing. Mereka sudi bergambar dan berbual denganku walau untuk seketika kerana ramai lagi kawan-kawan yang perlu mereka temui.

Perkongsian ilmu pada petang itu tentulah datangnya dari pengasas Denaihati sendiri iaitu Tuan Haji Amir Hassan.  Beliau menceritakan bagaimana beliau membangunkan jenama Denaihati dari tiada apa-apa sehingga menjadi sebuah syarikat yang dikenali. Antara pesannya yang paling aku ingat ialah orang yang berjaya adalah orang yang cepat merebut peluang.  Selain itu, tiada jalan mudah untuk mencapai kejayaan.  Semua orang yang berjaya sekarang adalah mereka yang pernah mengalami jatuh bangun namun tidak pernah serik untuk meneruskan langkah.


Tuan Haji Amir Hassan
(ambil gambar dari jauh, beginilah jadinya...)

Hmmm... nanti sambung lagilah.  Biar sedikit tapi ada isi, dari banyak tapi kuah sahaja sehingga isinya tidak dijumpai, kan? 😊😊

Kenapa aku hadir di SBB2017?...

Apakah itu SBB?  SBB adalah singkatan untuk Sepetang Bersama Blogger.  Satu acara yang dianjurkan oleh pasukan Denaihati Network untuk para blogger.  Acara ini telah menjadi acara tahunan sejak tahun 2012.  Aku sendiri telah menghadiri acara ini sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2014, tahun 2016 dan tahun 2017. Khabarnya SBB2017 ini mungkin yang terakhir diadakan. 😲😲

Kenapa aku hadir di SBB2017?  

Sebenarnya hatiku berbolak-balik sama ada akan hadir atau tidak. Jika aku mahu hadir, aku perlu mengeluarkan sedikit wang untuk bayaran yuran pendaftaran.  RM30 untuk hadir waktu petang sahaja dan RM50 untuk hadir petang hingga malam.  Dalam keadaan sekarang, wang itu sangat besar maknanya buatku.  Biasanya, dalam mana-mana acara pun, aku akan hadir bersama suami.  Jadi, aku perlu membayar untuk dua orang.

Dua hari sebelum acara berlangsung, aku minta izin dari suami untuk pergi sendiri.  Setelah mendapat izin, aku pun mendaftar untuk hadir.  Eh...sebelum itu, aku hantar pertanyaan kepada Izwa di facebook sama ada dia akan hadir atau tidak.  Aku perlukan seseorang yang dikenali kerana aku akan hadir sendiri (aku lupa bahawa mati pun nanti aku tidak akan berteman).  Bila Izwa kata dia pergi, aku rasa ada kekuatan untuk hadir.

Aku ingin pergi kerana aku ingin juga mengenali mereka yang pernah bertegur sapa denganku sama ada di blog atau di facebook mahupun di instagram.  Selain itu, aku juga ingin mendapatkan ilmu tentang berblog.  Ingin tahu bagaimana para blogger boleh menjana pendapatan melalui blog dan sebagainya.  Walaupun aku telah mula berblog dari tahun 2009, blogku ini masih terlalu 'kecil'. Ibarat setitis air di lautan luas yang hadirnya tidak disedari langsung.  Aku tahu bahawa aku mungkin akan jadi peserta tertua yang hadir, tapi aku kuatkan juga hati.

Jauh di sudut hati, pastinya aku mengharap agar menjadi peserta yang akan memenangi hadiah cabutan bertuah 😅😅

Akhirnya, dengan lutut yang berbalut dan diiringi hujan gerimis, aku sampai juga (dihantar suami) ke majlis yang diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di Jalan Ampang itu...


Adakah aku dapat apa yang aku cari di SBB ini?  Siapakah yang aku temui?  

Nantikan (eleh...perasannyaaaa) episod seterusnya...

Jumaat, 12 Mei 2017

Cencaru sumbat kelapa...

Assalamu'alaikum, Salam Jumaat dan Salam Nisfu Syaaban...

Sementara menanti ilham yang lebh baik untuk dikongsikan di sini, aku kongsikan dulu gambar ikan cencaru sumbat kelapa yang aku masak tengahari semalam :

Sebenarnya, anak-anakku lebih suka makan sambal kelapa
yang disumbat itu berbanding dengan isi ikannya.

Nak resepi sambal kelapa itu?

Mudah sangat.

Kelapa parut secukupnya
Cili api / cili merah ikut kepedasan yang disukai
Beberapa biji/ulas bawang merah
Sedikit air asam jawa
Garam

Tumbuk semuanya di dalam lesung batu
hingga sebati.  Lepas itu sumbat saja
ke belakang ikan cencaru yang telah
dibelah itu.  Goreng dalam minyak
panas yang banyak hingga garing.

Rabu, 10 Mei 2017

6 tahun berlalu bersama rindu...

10/5/2011 - 10/5/2017...

6 tahun berlalu dan rinduku tak pernah padam.

Tenanglah Pak (Mansor bin Hj Mohd) di sana bersama rahmat dan kasih Ilahi.

Aku rindukan leterannya
Aku rindukan pesanan-pesanannya
Aku rindukan segala-galanya...😩😩


Rabu, 3 Mei 2017

(WW) Diambil dengan Samsung Note 3...

Aku melihat banyak iklan begini di sekitar Kuala Lumpur.
Aku tak mampu untuk memiliki iPhone.  Aku hanya ada
Samsung Note 3 yang sudah lebihkurang 2 atau 3 tahun
aku gunakan.  Itu pun atas ehsan En. Suami.

Gambar di atas dan gambar-gambar di bawah ini, aku rakam semuanya menggunakan Samsung Note 3... Biar tak cantik di pandangan orang, asal sahaja cantik di mataku...








Selasa, 2 Mei 2017

Kemaluan yang kian hilang...

Apa punya tajuk tu?

Sepatutnya tajuk di atas berbunyi (atau dibaca) begini :  RASA MALU YANG KIAN HILANG.  Tetapi sengaja aku letak tajuk sebegitu kerana ia tetap ada kaitannya.

Kebelakangan ini, sudah beberapa kali aku menyaksikan perkara-perkara yang terjadi di hadapan mataku sendiri.  Namun aku sama sekali tidak merakamkan gambar-gambar kejadian itu, apatah lagi untuk ditularkan (diviralkan).

**  Suatu petang :  aku duduk di dalam kereta bersama suami sementara menanti anak kami selesai tugasan di tempat kerjanya. Sepasang manusia (lelaki dan perempuan) nampaknya seperti pelancong (bangsa asing dan menggalas beg di belakang mereka) sedang berjalan beriringan, tiba-tiba berhenti dalam hujan gerimis semata-mata untuk bercumbu dengan penuh nafsu seolah-olah tidak sempat hendak ke tempat penginapan.  Lama juga aksi mereka begitu seolah-olah hanya mereka berada di situ.  😡😡

**  Di suatu ketika yang lain : di persimpangan lampu isyarat. Kami berhenti kerana lampu isyarat berwarna merah.  Sepasang manusia (lelaki dan perempuan), aku tak pasti sama ada mereka warga tempatan atau pelancong, mengambil kesempatan untuk bercumbu-cumbuan penuh ghairah di persimpangan itu.  Mereka tidak memperdulikan puluhan pasang mata yang memerhatikan malah seolah-olah bangga dengan apa yang mereka lakukan.

** Di suatu pagi menjelang tengahari : aku dan suami melihat dari dalam kereta juga.  Di suatu kawasan tumpuan manusia dalam denyut nadi kota raya Kuala Lumpur.  Seorang wanita bertubuh kecil, berambut pendek dan memakai baju hitam separas paha sambil menghisap rokok.  Tiba-tiba, dia menyelak baju yang dipakainya sambil membuat gaya sedikit mengangkang, menunjukkan alat sulitnya yang langsung tidak bertutup kepada lelaki di hadapannya.  Seorang wanita bersama anak kecilnya seolah-olah terpaku melihat kejadian yang tiba-tiba itu.  Aku juga jadi terpempan.  Seorang anggota polis yang baru turun dari kereta peronda betul-betul di hadapan wanita itu, berpura-pura sibuk membetulkan topinya tanpa memandang kepada 'wanita yang sakit itu'.  Selepas tiada yang melayan, wanita itu terus berjalan sambil merungut-rungut.

Tiga peristiwa di atas, hanya secebis dari banyak lagi perlakuan yang tidak sepatutnya terjadi atau terlihat.  Berapa banyak manusia sesama jenis yang berjalan berpimpin tangan atau berpelukan pinggang dengan penuh mesra?  Perlakuan yang pastinya menimbulkan tanda tanya (tetapi sudah diketahui jawapannya).

Salah siapa bila anak-anak yang baru hendak mengenal dunia sudah lebih mengenali perlakuan 'yang tidak baik'?

Bukalah siaran televisyen sekarang.  Jangankan drama dari luar negara.  Drama Melayu pun sudah banyak adegan yang terlepas dari tapisan.  Jika satu waktu dahulu, drama/filem dari luar akan ditapis walau sekadar adegan bercium mulut (aku memang muak menonton adegan begini), sekarang jangankan bercium mulut, adegan dalam selimut pun selamba sahaja ditayangkan.

Apa gunanya diletakkan kategori U (Umum), 18 (untuk umur 18 tahun ke atas atau PG (tontonan dengan bimbingan ibubapa) bila alat kawalan jauh pun anak yang pegang?  

Bukan sekadar tontonan di televisyen sahaja, apakah ibubapa punya masa untuk memantau apa yang anak-anak mereka tonton di telefon bimbit mereka?

Sekarang pula sudah ramai manusia yang bersedia menyediakan tontotan percuma secara nyata di hadapan mata seperti kisah yang aku ceritakan di atas.  Tidak mustahil suatu hari nanti, bukan hanya kucing dan anjing sahaja melepaskan nafsu di tepi jalan, tapi manusia juga tiada segan silu untuk melakukan perkara yang sama.

Semua ibubapa mahukan yang baik-baik sahaja buat anak mereka. Kerana itulah, walaupun ibubapa tidak tinggi pengetahuan agama mereka, anak-anak dihantar untuk menuntut ilmu agama di institusi yang dirasakan dapat memberikan mereka bimbingan yang 'sempurna'.  Tapi, apakah apa yang diharap itu membuahkan hasil seperti yang diingini?  Hanya Allah juga Yang Maha Mengetahui...