Ingat!
kamu naik kerana undi
kamu dipilih atas harapan
agar kamu menjadi wakil yang boleh diharapkan
kamu jangan salah menduga
jangan ingat 'wakil' itu maknanya kamu boleh kaut semua
wakil bermakna masalah orang menjadi agenda utama
kamu bawa ke 'atas' agar kekusutan dilerai bersama
kamu jangan jadi kaduk
menaiki junjung melepaskan pucuk
lalu kamu terlupa
belitan akarmu yang membawa derita
jangan bila kamu kononnya digelar YB
kamu pun mula lupa diri
kamu upah pengawal peribadi
hingga kamu sukar didekati
yang kamu mahu hanya keistimewaan
orang memandang kamu mesti memberi penghormatan
kalau petak meletak kereta tiada kekosongan
kereta sedia ada mesti dikeluarkan
konon kereta kamu mesti diberi keutamaan
jadah apa yang kamu fikirkan?
kamu diangkat kemudian kamu lupa daratan
lalu perlukah kamu dicampak ke tengah lautan
agar kamu sedar betapa susah untuk berenang kembali ke tepian?
apakah kamu benar-benar sibuk
hingga tiada masa hendak menjenguk
mereka yang dulunya pernah kau pujuk
'bila nanti saya menang awak tak lagi tinggal di rumah buruk'?
kemudian bila kau dapat jawatan
kelibat kamu tak lagi kelihatan
kononnya sibuk di majlis anjuran menteri dan sultan
masalah marhaen tak lagi kau pedulikan
tunggulah hampir waktu mengundi lagi
tika itu senyummu memenuhi pipi
sanggup kau suapkan nasi ke mulut yang tak bergigi
dan 'keprihatinanmu' diwar-warkan ke seluruh negeri
kamu jangan lupa
orang ramai tidak akan bodoh selama-lama
sekali dua mereka terkena
kesannya nanti kamu juga yang akan merasa...