Kawan-kawan kakcik

Ahad, 30 September 2018

Buku Abah dan Mak Poi Iceland dan UK...

Buku ini adalah hasil catatan pengalaman blogger Abah Zino dan isteri beliau (Mak) yang berpeluang bercuti ke Iceland dan UK.  Bagi kita yang tak berpeluang ke sana, membaca buku ini membuatkan seolah-olah kita juga turut pergi bersama.

Makcik rasa agak bertuah sebab dapat tandatangan berserta sedikit kata-kata dari penulis dan juga dari editor buku ini.  Harga buku ini sebuah RM25.00.  Jika mahu dipos, kosnya tambah RM8.00.  Banyak catatan pengalaman yang dicatatkan dalam buku ini dan boleh dijadikan panduan sekiranya ada yang ingin pergi ke sana buat pertama kali.  Ada manfaat yang bukan sedikit dikongsikan.

Ada banyak gambar-gambar yang jelas dan menarik dimuatkan di dalam buku ini.  Antaranya ialah kapalterbang buruk di mana Shah Rukh Khan dan Kajol pernah berlakon di sini dalam filem Dilwale.  Kalau berpeluang ke sini, bolehlah berangan bagaikan SRK dan Kajol...

Ada juga gambar air terjun tapi airnya telah beku menjadi ais. Ops...dua gambar di atas ini sengaja makcik kaburkan.  Sebab?  Kalau nak tengok gambar yang memang jelas, terang dan cantik, belilah buku ini.  Tak mahal pun berbanding kalau hendak pergi sendiri ke Iceland dan UK, kan?  Macam mana nak beli buku ini?  Boleh hubungi Abah Zino melalui facebook beliau di SINI

Makcik dan pakcik bertemu sendiri dengan Abah Zino dan Mak untuk mendapatkan buku ini.  Bagaimanapun, ini bukanlah pertemuan pertama kali.  Sudah banyak kali kami bertemu sebelum ini.  Alhamdulillah.  Semoga ukhwah berpanjangan.

Jumaat, 28 September 2018

Menyantuni tetamu jauh...

Zubair ini adalah pemandu pelancong sewaktu makcik dan kawan-kawan bercuti di Kashmir pada tahun 2015 dulu. Gambar di atas ini sewaktu makcik bawa dia ke Mydin , Jalan Masjid India sebab dia hendak beli kopi dan biskut.

Sebenarnya ini kali kedua dia datang ke Malaysia.  Kali ini bila datang (19 hingga 26 September), kawan-kawannya di sini memang sudah ramai.  Setiap hari ada sahaja yang akan 'melayan'nya.  Makcik jumpa dia di hari terakhir dia di Kuala Lumpur.  Ambil dia di hotel penginapannya di Kota Damansara pada jam 10.00 pagi dan bawa dia bertemu kenalannya di Menara PNB, Jalan Tun Razak seketika.

Kemudian kami bawa dia untuk makan tengahari di Restoran Beriani Asif Cawangan Taman Nirwana, Ampang.  Suka dia dapat bersembang dengan En Asif dalam bahasa Urdu.  Waktu kami tiba sekitar jam 11.35 pagi, makanan belum siap.  Jadi tunggulah sekejap.

Berselera betul Zubair makan nasi beriani walau tanpa lauk.  Sedap betul katanya, cukup rasa dan macam masakan mak dia...

En Asif pun masih ingat yang kami pernah bawa Zubair makan di restorannya di Cawangan Bukit Bintang.

Bawa dia balik ke rumah sekejap sebelum ke KLIA2 sebab kami hendak menunaikan solat Zohor dahulu.  Tengoklah, selamba dia duduk atas katil sambil menonton Bajrangi Bhaijan yang makcik pasang.  Tapi tak sampai setengah jam pun singgah di rumah.  Kami keluar awal walaupun penerbangannya pada jam 7.00 petang.  Jalan ke lapangan terbang bukan boleh dijangka.  Terutama bila melalui Bandar Tasik Selatan yang sedang sibuk dengan kerja-kerja pembinaan.  Mahu menangis, kalau tersangkut.

Memang awal kami tiba di KLIA2.  Mujur juga ada kenalan Zubair menunggu di sini.  Jadi urusan untuk daftar masuknya memang lancar dan tiada masalah.  Selamat jalan Zubair, harap kita dapat berjumpa lagi di Kashmir jika ada rezeki makcik.

Selasa, 25 September 2018

Kisah seekor kucing...


Ada seekor kucing
manja dan jinak bukan main
pantang pintu terbuka 
laju sahaja dia menerpa

kucing ini bukan kami punya
tak tahu datangnya entah dari mana
bila dia mengiau minta makan
tidak pula kami hampakan

tapi kami tak bagi masuk ke rumah
sebab nenek dan cucu menghidap lelah
lagipun nenek bukan jenis rajin
takut nanti terpaksa basuh berak kencing

di luar rumah suka dia nak buat apa
lepak di sini tidur di sana
asal sahaja dia selesa
kami tak ganggu kesukaan dia

begitu juga kita manusia
bila diberi ruang dan peluang
jangan pula terlebih 'mesra'
tidak peduli keselesaan orang
habis semua hendak diteroka
akhirnya diam-diam kita dibuang