Mengikut doktor pakar yang merawat (dan membedah) anakku, beliau juga tiada jawapa yang pasti untuk soalan itu. Kemungkinannya ada beberapa sebab. Di antaranya :
- usus memang bermasalah sejak pesakit masih kecil
- kerana ubat-ubatan yang pernah ditelan
- kerana tabiat pemakanan (makanan yang diambil sebenarnya tidak sesuai untuk usus seperti ubat pelawas yang menyebabkan usus 'malas bekerja'. Bila makan makanan itu memang akan mudah buang air besar tetapi usus tidak berfungsi seperti yang sepatutnya).
Bagi kes anakku, aku sendiri tidak tahu akan kemungkinan yang mana menyebabkan ususnya jadi begitu. Di awal rawatan, doktor memberikannya serbuk serat (fibre) untuk dimakan dua kali sehari. Untuk tiga minggu, dia boleh membuang air besar seperti biasa. Minggu seterusnya, serat itu tidak lagi berfungsi. Ubat-ubatan lain termasuk jenis cecair juga tidak membantu. Akhirnya doktor membuat keputusan untuk memotong usus besar yang tidak berfungsi itu.
Masuk wad dari hari Sabtu untuk tujuan pemantauan dan dari sehari ke sehari tiada perubahan, lalu pada hari Khamis, pembedahan dilakukan. 4/5 dari usus besarnya dipotong dan dikeluarkan...
|
Inilah usus yang dipotong dan dibuang itu. |
Selepas pembedahan, anakku ditempatkan di Unit Pemantauan Rapi bagi tempoh 24 jam kerana sewaktu hendak dibedah dan selepas pembedahan dia mengalami kekejangan. Syukur Alhamdulillah, tiada kejadian yang tidak diingin berlaku sepanjang tempoh pemantauan rapi itu.
Bila masuk semula ke wad biasa (wad 4 katil), aku meminta untuk menunggu anakku di waktu malam. Waktu siang memang tiada masalah menunggu, tapi biasanya hanya wad untuk seorang sahaja yang boleh ada peneman. Atas budi bicara jururawat yang bertugas, aku dapat menunggu anakku selama 4 malam berturut-turut (kebetulan hanya ada seorang sahaja pesakit lain dalam wad berkenaan). Aku kena tunggu sebab mudah untukku menguruskan anakku bila dia hendak buang air kecil dan memantau jumlah air yang diminumnya. Jururawat yang bertugas cuma ada 3 orang di waktu malam.
4 malam aku hanya 'tidur-tidur ayam' dengan duduk di atas kerusi yang keras dan sesekali berteleku di 'pagar' katil anakku. Jam 5.30 pagi, suami akan ambil aku untuk balik seketika. Jam 10.00 pagi, aku akan berada di hospital semula hingga Maghrib dan balik seketika untuk mandi dan menukar pakaian. Mujur juga rumah tak jauh mana.
|
Kasih ibu sepanjang hayat, biar separah mana hatinya kau siat. |
Bagi mereka yang kerap mengalami masalah untuk membuang air besar (3 ke 4 hari sekali), eloklah melakukan pemeriksaan di hospital. Kita mungkin menyangka bahawa kita mengalami masalah sembelit atau kita kurang makan. Rupa-rupanya ada masalah lain yang tidak kita ketahui. Syukur juga anakku ini tidak mempunyai masalah yang lebih serius seperti kanser usus atau ketumbuhan. Na'uzubillahhiminzalik...