Kawan-kawan kakcik

Isnin, 26 Mac 2018

Bagaimana boleh terjadinya 'USUS MALAS'...

Mengikut doktor pakar yang merawat (dan membedah) anakku, beliau juga tiada jawapa yang pasti untuk soalan itu.  Kemungkinannya ada beberapa sebab.  Di antaranya :
- usus memang bermasalah sejak pesakit masih kecil
- kerana ubat-ubatan yang pernah ditelan
- kerana tabiat pemakanan (makanan yang diambil sebenarnya tidak sesuai untuk usus seperti ubat pelawas yang menyebabkan usus 'malas bekerja'.  Bila makan makanan itu memang akan mudah buang air besar tetapi usus tidak berfungsi seperti yang sepatutnya).

Bagi kes anakku, aku sendiri tidak tahu akan kemungkinan yang mana menyebabkan ususnya jadi begitu.  Di awal rawatan, doktor memberikannya serbuk serat (fibre) untuk dimakan dua kali sehari.  Untuk tiga minggu, dia boleh membuang air besar seperti biasa.  Minggu seterusnya, serat itu tidak lagi berfungsi.  Ubat-ubatan lain termasuk jenis cecair juga tidak membantu.  Akhirnya doktor membuat keputusan untuk memotong usus besar yang tidak berfungsi itu.

Masuk wad dari hari Sabtu untuk tujuan pemantauan dan dari sehari ke sehari tiada perubahan, lalu pada hari Khamis, pembedahan dilakukan.  4/5 dari usus besarnya dipotong dan dikeluarkan...

Inilah usus yang dipotong dan dibuang itu.
Selepas pembedahan, anakku ditempatkan di Unit Pemantauan Rapi bagi tempoh 24 jam kerana sewaktu hendak dibedah dan selepas pembedahan dia mengalami kekejangan.  Syukur Alhamdulillah, tiada kejadian yang tidak diingin berlaku sepanjang tempoh pemantauan rapi itu.

Bila masuk semula ke wad biasa (wad 4 katil), aku meminta untuk menunggu anakku di waktu malam.  Waktu siang memang tiada masalah menunggu, tapi biasanya hanya wad untuk seorang sahaja yang boleh ada peneman.  Atas budi bicara jururawat yang bertugas, aku dapat menunggu anakku selama 4 malam berturut-turut (kebetulan hanya ada seorang sahaja pesakit lain dalam wad berkenaan).  Aku kena tunggu sebab mudah untukku menguruskan anakku bila dia hendak buang air kecil dan memantau jumlah air yang diminumnya.  Jururawat yang bertugas cuma ada 3 orang di waktu malam.

4 malam aku hanya 'tidur-tidur ayam' dengan duduk di atas kerusi yang keras dan sesekali berteleku di 'pagar' katil anakku.  Jam 5.30 pagi, suami akan ambil aku untuk balik seketika.  Jam 10.00 pagi, aku akan berada di hospital semula hingga Maghrib dan balik seketika untuk mandi dan menukar pakaian.  Mujur juga rumah tak jauh mana.

Kasih ibu sepanjang hayat, biar separah mana hatinya kau siat.

Bagi mereka yang kerap mengalami masalah untuk membuang air besar (3 ke 4 hari sekali), eloklah melakukan pemeriksaan di hospital.  Kita mungkin menyangka bahawa kita mengalami masalah sembelit atau kita kurang makan.  Rupa-rupanya ada masalah lain yang tidak kita ketahui.  Syukur juga anakku ini tidak mempunyai masalah yang lebih serius seperti kanser usus atau ketumbuhan.  Na'uzubillahhiminzalik...

8 ulasan:

  1. Allahu...moga anak kakcik segera pulih dari luka pembedahan...

    BalasPadam
  2. Semoga anak kakcik akan segera sembuh dan kembali pulih seperti biasa.

    BalasPadam
  3. moga diberi kekuatan dan kesembuhan ye buat anak kakcik....
    begitulah kasih seorang ibu, tetap setia menemani susah sakit anak nya...

    BalasPadam
  4. Seram SA tgok usus tu mak..sama la dengan SA temankan mak kat hospital waktu malam sebab SA yang single..adik beradik lain smeua dah ada keluarga dan anak kecik..jadi bergilir2 la jaga..

    BalasPadam
  5. Ada seorag kawan yang terkena penyakit usus malas ni.
    Kalau makan sawi, keluar pun masih sawi.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mmg malas sungguh tu WP hihi.... tu bukan usus je yg malas tu WP, kunyah pun malas tu haha

      Padam
  6. Ohhh ..... puncanya susah nak buang air besar je ye KC. Macam macamlah sekarang ni. Ada je citenya. Makan buah pun tak jalan jugak ye KC. Ada kemungkinan tak sebab tabiat suka tahan buang air besar KC?

    BalasPadam

Catatlah apa sahaja asalkan tidak menyinggung sesiapa.

Komen-komen yang tiada kena mengena atau sengaja dilontarkan untuk menyindir, akan kakcik buang. DIMAKLUMKAN JUGA, ADALAH HAK TUAN PUNYA BLOG INI SEPENUHNYA UNTUK MEMBUANG MANA-MANA KOMEN YANG DIRASAKAN TIDAK PERLU ADA ATAU DIBERI RUANG BERLEGAR DI SINI.

Ada pertanyaan dan segan nak letak komen? Sila emel ke : kakcikseroja@gmail.com