Kawan-kawan kakcik

Isnin, 30 Jun 2014

Ramadhan - bulan 'berpesta-pestaan'?....

Maka...

bagaimana hendak menimbulkan keinsafan

bagaimana hendak merasai penderitaan

bagaimana hendak menghayati perasaan mereka yang kelaparan

Bilamana...

saban hari difikir apa yang hendak dimakan

balik nanti apa hendak dibeli di Pasar/Bazar Ramadhan

petang nanti hidangan apa yang akan penuh dipinggan

atau akhirnya nanti banyak mana akan berlaku pembaziran

Puasa...

hanyakah untuk berlapar dan dahaga

hanyakah untuk berseronok bila di hujungnya ada hari raya

lalu terlalu kita jauh menyimpang dari ajaran agama

dan ganjaran yang dikejar bagaimana hendak berjumpa....

Jumaat, 27 Jun 2014

Orang yang sedang menerima siksa Allah SWT...

...adalah orang yang merasa sangat berat bila diajak melakukan kebaikan dan kebajikan.   Sebaliknya sangat ringan bila diajak melakukan perkara-perkara yang tidak baik.

Begitu juga dengan orang yang sentiasa tidak cukup dengan rezeki yang ada.  Apa yang kita ada bergantung dengan niat.  Sekiranya segala perkara baik yang kita lakukan, kita mulakan dengan niat dan menyebut kerana Allah, maka Allah akan memelihara kita dan mencukupkan segala keperluan kita.

Sedikit peekongsian dari ceramah Ihya Ramadhan yang kuhadiri tadi.

Khamis, 26 Jun 2014

Kita tak boleh jadi PANDA, tapi kita boleh jadi PANDAI...

macamana hendak jadi pandai?

...kenalah belajar tanpa jemu

Bila sudah pandai,  kita tahulah bagaimana jalannya untuk menjadi senang

Panda boleh senang tanpa belajar kerana ada yang sayang

Kita pun ada yang sayang,
Dia akan beri kita kesenangan kalau kita tak jemu mencari dan berusaha...

Jadi - berusahalah.  Semoga kita menjadi sentiasa pandai untuk merebut peluang dan menjadi senang untuk dunia nyata mahupun dunia yang kekal abadi nanti...

Selamat menyambut kedatangan Ramadhan 1435H kawan-kawan.

Selasa, 24 Jun 2014

Mengenang Ramadhan yang lalu...

...aku jadi rindu pada -

Mak dan pak (semoga roh mereka dicucuri rahmat) -

terdengar-dengar suara mak membaca ayat-ayat suci Al Quran.  

terbayang-bayang pak menunggang motosikal pergi dan balik ke/dari surau.

terngiang-ngiang juga suara pak berleter sambil menyapu dan memerun sampah berselang-seli dengan suara mak yang bercakap terjerit-jerit kerana pak sudah hilang pendengaran...

Aku juga rindu dengan kehadiran imam-imam solat tarawikh (anak-anak belasan tahun dari sekolah tahfiz yang diambil oleh surau-surau berdekatan) yang menginap di rumahku sepanjang Ramadhan.   Mereka berbuka dan bersahur bersama keluargaku. 

Sewaktu aku dan suami ke pejabat dan anak-anakku ke sekolah, mereka tinggal di rumah dan menghidupkan rumahku dengan alunan ayat-ayat suci Al Quran.

Kini mereka entah di mana.  Hanya seorang dua yang masihku ingat rupa dan namanya.

Setelah Along dewasa dan berumahtangga,  tiada lagi imam-imam muda bertamu ke rumahku sepanjang Ramadhan...

Dalam gambar di bawah adalah anak angkatku bersama Bangcik.  Anak yang ini berusia 24 tahun (sebaya Angah).  Baru sebulan balik dari Mesir setelah belajar di sana selama beberapa tahun.  Sekarang bertugas di Seksyen 8, Shah Alam...

Isnin, 23 Jun 2014

Mak, jangan buatku begini...

mak, aku kedinginan...
peluklah diri ini
atau setidak-tidaknya selimutkanlah aku

mak, aku lapar...
bukan makanan mewah yang kuinginkan
cukuplah seandainya perut ini dapat diisi
walau hanya secebis telur dan sesuap dua nasi

mak, hancing dan hanyir di sekelilingku...
bukan bilik seumpama hotel yang kuidamkan
kalau ianya bersih pun cukuplah buatku

mak, tadi ku terbau wangian
aku tahu mak sedang bersiap-siap untuk berpergian
aku juga terbau nasi
tapi tanganku kaku untuk menggapainya ke mulut ini

mak, kenapa begini kau perlakukanku...
bukan pintaku untuk menyusahkanmu
andai aku diberi pilihan
biarlah aku damai dalam dakapan Tuhan...

Namun ku punya hati...

(Lirik lagu dari Kumpulan Revolvers)...

Jumaat, 20 Jun 2014

Hancur luluh hatiku...

...bila akhirnya kutahu
segala yang kau taburkan adalah palsu

kau kata kau kasih
tapi hatiku kau racih-racih

kau kata kau sayang
namun jiwaku kau cincang-cincang

kau kata kau ambil berat
di masa yang sama kau tusukkan besi berkarat

kau suapkan makanan ke mulutku
bersamanya kau gaulkan racun bersatu

kini usah kau tanya lagi
hati dan jiwaku telah pun mati

usah berpura-pura menunjukkan simpati
kerana bagiku tiada yang tinggal lagi

hanyalah sisa-sisa waktu
membawaku hanyut untuk bertemu Yang Satu...

Rabu, 18 Jun 2014

Dalam kepalaku terasa bagaikan ada rongga...

...dan di dalam rongga tersebut, ulat-ulat sedang berpesta...

Kawan-kawan, aku tak tahu berapa banyak masa lagi yang aku ada.  Andainya blog ini tidak lagi bernyawa dalam tempoh yang lama,mungkin ia membawa petanda bahawa aku juga sudah hilang upaya.

Mohon maafkan salah silapku...

Selasa, 17 Jun 2014

'Mak, janganlah sumpah anakmu...'

Aku tak tahu apa yang tak kena
hadirku dalam hidupmu bagai kau tak redha
apa saja cuba kubuat mak tak pernah suka
bagaikan aku ini membawa malapetaka

Mak

Janganlah gunakan syurga sebagai senjata
benarlah bagi anak di kakimu terletaknya syurga
tapi syurga itu bukan diletak saja-saja
ada syarat ada aturannya
kalau mak pun hanya tahu mencerca
panduan apa yang mak hendak tunjuk pada saya
bila akhirnya saya tidak menjadi manusia
bahang kemarahan mak makin menyala-nyala

Mak

Sumpahanmu itu akan menjadi ikatan
dalam hidupku menongkah masa depan
bila doamu tiada hijab dengan Tuhan
pasti hidupku sering tak keruan

Mak

Ampunkan aku bila hadirku tanpa restumu
pedih pilu hati ini hanya aku yang tahu
kutahu kasihmu bukan buatku
namun dalam doaku tetap terselit namamu

Kerana tanpamu siapalah aku...

Isnin, 16 Jun 2014

'Mak ni dah kenapa?'...

Dulu kalau aku tak mahu makan pun, mak tetap akan memasak.  Walau hanya nasi putih dan ikan bilis goreng campur bawang besar dan sebotol kicap, mak tetap sediakan.

Aku tak nampak mak makan, tapi masakannya mak letak bawah tudung saji.  Aku tahu, mak harap aku akan makan untuk mengalas perutku.

Selalu juga aku memberontak - 'mak tak tahu masak benda lain ke?'. Balik-balik mak masak benda yang sama.  Bila aku tak mahu makan, mak sanggup memujuk dan dengan muka sedih yang aku buat-buat tak nampak,  mak cuba suapkan makanan ke mulutku.  Antara mahu dan tidak, aku buka mulut dan telan juga makanan yang mak suap.

Aku tak pernah ingin tahu apa yang mak rasa.  Mak sedih atau lapar, itu mak punya pasal. Tugas mak, membesarkan aku dan memberi semua keperluanku.  Kalau mak tak mampu, kenapa mak perlu ada aku?

Mak tak perlu nak mengada-ngada atau mengeluh mengharapkan simpati sesiapa.  Aku tahu apa yang aku hendak, mak kena adakan.

Tapi... mak ni dah kenapa?

Sekarang mak seolah-olah tak peduli pada aku lagi.  Riak wajah mak pun susah hendak aku teka.  Kadang-kadang aku tengok mak bagai situa yang tak berdaya. Matanya tiada cahaya.  Senyum di bibirnya sudah lama tiada.

Mak bagai dalam dunianya yang tersendiri.  Mak tak peduli lagi sama ada aku makan atau tidak.  Mungkin sebab mak rasa aku dah cukup dewasa untuk menguruskan diriku sendiri.

Tapi... mak ni dah kenapa?

Aku tiba-tiba rasa kehilangan!

Khamis, 12 Jun 2014

Ramadhan di ambang pintu...

...namun masih belum tahu bagaimana kedatangannya hendak dialu-alu

kehadirannya dulu
masih ada hutang belum dilangsai

lalu dia pergi
wah...aku berhariraya berhari-hari
bagai lepas sesak dan beban
lekalah aku berpesta-pestaan

bagaimana akhirnya aku mahu sedar
kalau yang wajib kumasih engkar
kepada yang tak berkemampuan kononnya aku bersimpati
tapi meletakkan diri di tempat mereka jauh sekali

Tidak diturunkan sesuatu aturan
andai tiada nilainya di sisi Tuhan...

Rabu, 11 Jun 2014

Hampir dua jam bersama DIM Abil Fikri Ahmad...

...siapa yang belum kenal dengan DIM (Duda Idaman Malaya) ini,  bolehlah jengah ke blog beliau yang di'bina' asalnya untuk isteri kesayangan beliau Warkah Buat Isteri.

Semalam Abil datang menziarahiku di hospital.  Banyak yang kami sembangkan.  Sembang santai adik-beradik mencakupi pelbagai topik termasuk mengumpat sesama sendiri!

Bersembang dengan Abil memang tidak menjemukan.  Sikap selambanya juga sangat menyenangkan - sampaikan biskut atas mejaku pun hampir habis dimakannya...hahaha

Tidak hairan ramai yang ingin 'meminang' Abil sama ada untuk anak gadis mereka atau untuk diri sendiri!

Rupa-rupanya ada juga 'yang tak tahu apa-apa' cemburu dan sanggup menyiasat apakah hubungan sebenar antara aku dan Abil.

Aduhai... kemonlaaaa.  Abil tu tak lebih seorang adik bagiku dan suamiku.  Hubungan yang terjalin antara kami kerana Allah semata-mata.   Ia terjalin berpunca dari Allahyarhamah Fauziah binti Siti Esah iaitu isteri kesayangan Abil yang sudah pun jatuh sakit sewaktu kami mula berhubungan...

Seandainya ada jodoh buat adikku Abil, semoga wanita yang bakal menjadi isterinya bukanlah kerana terpesona dengan keglamouran Abil.  InsyaAllah.

Selasa, 10 Jun 2014

Balaslah kejahatan dengan kebaikan. ..

Dengan izin Allah SWT,  kelak perlahan-lahan kebaikan itu akan memakan kejahatan bagaikan air menyiram api.

#ingatanuntukdirisendiri

Jumaat, 6 Jun 2014

Kalau kasih enggan kau terima...

...apa lagi yang kuterdaya
- harta ku tak punya
- simpanan langsung tiada
- rumah dari pinjaman yang belum dibayar sepenuhnya...

Maka kalau kau rasa kasihku hanya sia-sia -

pergilah kau ke mana sahaja
walau ke hujung dunia
aku takkan lagi bertanya
hanya kan kutitipkan namamu di dalam doa
agar kau bertemu dengan apa yang kau puja-puja...

Khamis, 5 Jun 2014

Menangislah duhai alam...

...hamburkanlah kesedihanmu
basahilah bumi ini dengan airmatamu
gegarkanlah dengan sedu-sedanmu
andainya boleh, hanyutkanlah segala kemungkaran bersama amukanmu

dunia di hujung usia ini
dalam ramai yang ingin kembali kepada agama
tidak kurang pula yang tanpa segan silu menjaja agama
tak peduli tergadai akidah mereka
asal sahaja boleh bermewah dengan selesa

menangislah duhai alam
satukan tangismu bersama tangisku
agar tiada siapa yang tahu
di sebalik senyumanku
ada hati yang telah hancur menjadi debu...

Rabu, 4 Jun 2014

Aku ada RM10.00...

...dengan subsidi-subsidi yang Kerajaan bagi, aku telah berangan-angan untuk membeli beberapa barangan mengikut kemampuan wang RM10.00 itu :

- sepeket garam halus - dulu boleh dapat 3 dengan harga RM1.00 - sekarang dah jadi 0.80sen satu
- sekilo tepung gandum -Tengok di web KPDNKK tahun bila entah - RM1.35sekg - sekarang dah jadi RM2.50sekg
- minyak masak sekg - RM3.30
- bawang merah beberapa biji - RM1.50
- segenggam penuh ikan bilis - RM5.00 (oh... ikan bilis ada yang berharga RM85.00sekg)
- telur dua biji - 0.60

Sekarang kita kira - garam tu bukan boleh dibeli secubit dan minyak bukan boleh dibeli sesudu dua, ya...

0.80 + 2.50 + 3.30 + 1.50 + 5.00 + 0.60 = RM13.70 

Alamak! macam mana nak buat cekodok bilis ni?

Baiklah - kita jangan letak telur dan ikan bilis kita beli RM2.00 saja

Sekarang = 13.70 - 0.30 - 3.00 = RM10.40

Ops... masih tak cukup 0.40sen

Ooooo... baiklah, kita kurangkan bawang merah.  Kita minta RM1.00 saja...

Yeayyyy... sekarang kita ada baki 0.10sen...

Boleh masuk dalam tabung.  Jadilah pengguna bijak!

Yang di atas itu baru angan-angan.  Angan-angan orang yang nak makan cekodok bilis.

Rupa-rupanya cerita belum habis.

Tiba-tiba, anak datang merengek :

'mak, cikgu suruh beli buku tambahan berharga RM3.00.  Cikgu kata siapa tak ada buku tu, cikgu tak boleh nak ajar.  Pen dengan pensel pun kena beli baru tau mak.  Yang ada tu semua dah tak boleh guna.  Duit belanja pun mak belum bagi lagi.  Takkan tiap-tiap hari nak bawa bekal cekodok bilis atau nasi goreng kosong.'

Jadinya????

Oh... ini hanyalah sebuah sketsa terpencil yang tidak mendatangkan apa-apa mudarat kepada sesiapa juga kecuali mereka yang terlibat dalam ini cerita...


Selasa, 3 Jun 2014

Kek dan biskut raya yang kita buat tu halal ke?...

...jangan nanti dah buat berlori-lori dan dah jual berkontena-kontena, keluar pulak kenyataan - mentega jenama tu ada babi, tepung jenama ini ada khinzir, pewarna yang sana ada kerbau pendek, berus sapu kuning telur tu buat dari bulu babi hutan...

Elok pula lagi sehari nak raya, ada kenyataan - eh... semua tu tiada, cuma kesilapan teknik saja.  😬😬😬

Halal...haram...haram...halal...haLam...

...ala... apa nak hairan...

Kita cuma sensitif pada babi je...

anjing pun dah ada umat Islam yang tak segan silu dijadikan kawan sampai atas katil!

Apatah lagi dengan dosa mendedahkan aurat yang disebut dalam Al Quran, rokok yang difatwakan haram atau riba dan rasuah yang ditegah agama...

Orang yang ada Ijazah dari Universiti yang ada nama ala-ala Islamik belum tentu faham atau berpegang kukuh dengan ajaran Islam.  Mungkin kursus yang diikuti pun bukan yang menjurus 100% pada agama.

Orang yang memegang urusan berkaitan agama pun bukan tak dibayar upah.  Kadangkala ketulusan dan ketelusan bekerja bergantung pada upah juga...

Apa-apa sajalah labu... 

Isnin, 2 Jun 2014

Aku bukan malaikat...

...sedangkan kucing yang manja dan dibelai saban hari pun tak mustahil menunjukkan garang andai ekornya dipijak...

Aku rasa sangat menyesal kerana tidak mempunyai keberanian memandu kereta.  Punya lesen yang hanya diperbaharui tahun ke tahun tapi tiada faedahnya.  Andai aku boleh memandu, tak perlu aku sakit kepala memikirkan untuk bersara awal...