Suatu petang...
rumahku dipenuhi dengan adik-adikku bersama suami/isteri dan anak-anak mereka.
Selepas Maghrib, kawan kepada menantuku datang untuk menghantar barang yang dipesan.
Menjelang Isyak, adik-adikku bersama keluarga mereka beransur pulang ke rumah masing-masing. Di luar masih ada sebuah kereta yang enjinnya masih hidup dan lampu hadapan dinyalakan. Rupa-rupanya ada seorang gadis di dalam kereta itu. Dia ialah kakak kepada kawan menantuku.
Kemudiannya aku diberitahu bahawa gadis itu enggan keluar dari kereta kerana dia berseluar pendek. Mulutku memang celupar dan laju berkata 'dia nak pinjam kain ke?'. Fikiranku laju sahaja membayangkan seluar yang dipakai oleh gadis itu hanya separas paha!
Setengah jam berikutnya, sewaktu suamiku hendak keluar, dia memanggilku agar mengajak gadis berseluar pendek itu masuk ke rumah. Bila aku turun, seorang gadis bertudung labuh, berbaju longgar dan berseluar hitam sedang masuk ke rumahku. Ternganga aku dibuatnya. Laju pula aku katakan berkali-kali kepadanya 'makcik ingat awak pakai seluar pendek paras paha!'
Balasnya : 'oh, saya dah tarik sikit seluar ini turun. Tadi saya tolong mak masak di rumah. Bila adik saya nak keluar, takkan saya nak biarkan dia sorang2 dah malam2 ni. Seluar saya ni atas buku lali, nak cepat saya terus keluar'.
Bila dia nak masuk jumpa adiknya, dia ternampak Along. Lantas langkahnya terundur ke belakang. 'Ada lelaki', katanya. 'Saya tak pakai stokin' sambungnya lagi. Aku masuk ke bilikku dan aku serahkan sepasang stokin hitamku kepadanya. Aku izinkan dia ambil terus stokin burukku itu.
Ya Allah! Baiknya gadis itu sedangkan andaian awalku terhadapnya sangat tersasar ketika aku belum melihatnya. Sangat jahatnya hati seorang manusia bernama aku yang menghukum tanpa melihat bukti...