Kawan-kawan kakcik

Jumaat, 18 Disember 2020

Muffin dan Mehit...

Muffin dan Mehit adalah dua ekor kucing berwarna oren.

Muffin diberi oleh seseorang kepada anak bujangku.

Mehit pula dibawa balik oleh anak yang sama dari padang permainan.

Waktu mula-mula Mehit dibawa balik, dia tidak disukai oleh Muffin.  Tapi sekarang mereka sudah boleh berkawan.  Kadang-kadang bercakar, kadang-kadang bergurau.

Mehit muda sedikit dari Muffin.




Saya Mehit


Sayalah Muffin

Masa jualan 12.12, yang dibeli adalah makanan mereka!



 

Jumaat, 30 Oktober 2020

Snowy...

Adakah yang masih ingat dengan Snowy?
Dengan izin Ilahi, sekarang Snowy sudah sihat dan tengoklah
badannya yang berisi dan gebu itu.  Sebelum ini, bulu-bulunya 
gugur hingga menampakkan kulitnya yang kemerah-merahan.
Selepas dia makan sejenis makanan kucing (yang sebenarnya dibeli
untuk kucing lain, tetapi tidak sesuai untuk kucing itu), bulu Snowy mula tumbuh semula.  Semuanya dengan jalan yang diberi oleh 
Allah Yang Maha Esa juga.  Alhamdulillah.


Lebih setahun yang lalu, Snowy pernah kemalangan.
Ceritanya ada DI SINI


Selasa, 27 Oktober 2020

Aku masih di sini...

...meniti waktu yang berlari
sesekali terpaksa berhenti
melepaskan lelah yang menusuk hati

tiada siapa yang akan bertanya
tentang sebeban sengsara
tertanggung di atas kepala
menambah berat kaki dihela

bersendirian mengadu
kepada Dia Yang Maha Tahu
agar hidup ini tetap ada hala tuju
dan berakhir penuh syahdu...

 

Rabu, 14 Oktober 2020

Jalan-jalan, makan-makan...


Sarapan pagi di Kuala Sepetang
 


Makan tengahari di Parit Buntar

Kembali ke Kuala Sepetang untuk makan malam.
 Gambar :  Kuey Teow Udang

Mee Udang

Senyummmmm

Tidaklah mahal sangat, tapi dari segi rasa,
eloklah cuba sendiri, ya?

Jumaat, 9 Oktober 2020

Menginap di Kimal Hotel @ Jalan Tupai, Taiping...

 Dengar kadar lebih kurang RM85.00 semalam, rasanya sangat berbaloi menginap di sini untuk 3 hari 2 malam.  Mungkin sebab masih baru (baru dibuka pada Ogos 2020), keadaannya serba serbi kelihatan baru dan bersih.

Peralatan yang disediakan pun serba ada yang asasnya.  Menginap pun untuk tidur, mandi dan solat.  Sesuai dengan peruntukan yang makcik dan pakcik pencen ada.

Makcik tak perlukan pun pengering rambut 😃

Kalau hendak bancuh air panas, kena ambil air dari mesin
Coway yang disediakan di laluan ke bilik.

Masih adakah yang menggunakan WiFi percuma?

Katil yang selesa

Jangan lupa kunci pintu bila mandi kalau berkongsi bilik 😀


Bab tangga inilah yang melemahkan makcik sebab tiada lif.


Isnin, 5 Oktober 2020

Antara sejarah yang ada di Taiping, Perak...

Muzium Perak merupakan muzium yang pertama dan tertua di Malaysia.  Diasaskan pada tahun 1883 oleh Sir Hugh Low yang merupakan Residen British ke empat di Perak.


Muzium Telegraph Taiping.
 
Melalui Taman Tasik Taiping ini, pasti terasa tenang.  Kawasannya luas dan terjaga kebersihannya.  Nanti bila makcik ke sana lagi, makcik akan turun untuk bergambar.  Dah tua-tua ni, keinginan untuk bergambar semakin kurang walaupun sesekali rasa teringin juga...
 
 
Gambar-gambar di atas ,makcik rakam semula dari gambar-gambar yang tergantung di laluan ke bilik Hotel Kimal Jalan Tupai Taiping di mana makcik dan pakcik menginap baru-baru ini.

Isnin, 28 September 2020

Makan di Restoran Kak Siti, King Mee Kolok...

Sementara menanti cucu-cucu menamatkan sessi tadika mereka, suami mengajak makan di dahulu di Restoran Kak Siti, King Mee Kolok si The Atmosphere, Seri Kembangan ini.

Boleh tahan juga makanannya.  Sedap.  Tapi sekarang hendak tulis banyak-banyak pun, serba-salah juga, kan? 😅😅

Jom tengok apa yang kami makan...

Sotong kangkung (saja letak beg duit di sebelah, untuk tunjukkan saiz piring)
Berselera pakcik makan

Mee kolok
Sotong kangkung (atau kangkung sotong?)

Inilah restorannya.  Ada banyak juga pilihan makanan di sini.
Makcik hendak kata sedap, takut tidak pula rasa di tekak orang lain.  Hendak kata tidak sedap, bagi tekak makcik, sedap saja...

Selasa, 22 September 2020

Rindu...

 

Telah sekian lama berlalu

 Entah bila lagi dapat bertamu

Hanya Allah juga Yang Maha Tahu

Semoga masih ada peluang buatku

Sebelum terpisah jasad dan rohku.

Selasa, 11 Ogos 2020

Ingatkah lagi kepada dia?...

9/8/2020 = hari ulangtahun kelahirannya yang ke 19.  Masih belajar (baru masuk belajar semula pada 10/8/2020 - sehari selepas hari ulang tahun kelahirannya selepas beberapa bulan 'bercuti' akibat virus Covid19 yang sedang menular).

Tengoklah betapa tingginya dia.

 

10 tahun lalu dia selalu menjadi 'penghias' blog maknya ini. Budak tembam bermata sepet...

Masa anak-anak masih kecil, ibulah kawan baik mereka.  Tapi semakin meningkat remaja dan dewasa, persekitaran sekeliling  banyak mempengaruhi sikap dan tingkah laku.  Sebenarnya, tidak boleh menyalahkan pengaruh sekeliling 100% atas perubahan sikap seseorang.

Andai iman dan jiwa kukuh dan teguh, pasti sukar hendak terpengaruh  terutama ke arah yang boleh merosakkan diri sendiri.  Tidak mengapa jika  mengikut yang elok dan baik.  Jika sebaliknya, tanyalah iman sendiri - 'betulkah apa yang aku ikuti ini?'

Isnin, 10 Ogos 2020

Aku masih di sini...

...mengintai-intai sesekali

rupanya masih ada yang sudi

singgah dan meninggalkan jejak diri

terima kasih daun keladi

InsyaAllah akan ada cerita suatu hari nanti...

 

Rabu, 29 Julai 2020

Selepas lama tidak bersua...

Pertama kali mengenali wanita yang 'pangkat' anak kepadaku ini semasa kami sama-sama bercuti ke Bali pada 2015.  Dalam tahun yang sama, kami bercuti bersama lagi ke Kashmir.  Selepas itu adalah beberapa kali kami bertemu.

Baru-baru ini beliau telah membuka peniagaan di restoran yang diberi nama Rumah Makan Rizqi Ibrahim.  Nama yang diambil semnpena nama anak sulungnya yang kini berusia hampir setahun.

Semoga peniagaan yang Nadia jalankan akan terus berkembang maju sehingga mampu membuka cawangan nanti.  InsyaAllah.

Antara hidangan yang disediakan adalah nasi ayam.

Nyamannya minum air kelapa.

Di hari lain, kami bertemu lagi di restoran Nadia.  Malangnya makcik tak dapat berlama-lama kerana ada urusan yang perlu diselesaikan.


Hidangan belum sampai, kita bergambarlah dulu. 
Rumah makan Rizqi Ibrahim ini menyediakan hidangan seperti nasi ayam penyet, nasi kerabu, nasi ayam, sup dan lain-lain lagi.  Ia terletak betul-betul berhadapan dengan pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kg. Bharu, Kuala Lumpur.

Jumaat, 17 Julai 2020

Dagu berlapis?...

Biarlah... Perasan cantik sendiri. Hendak tunggu dagu runcing, rasanya tak akan jadi pun... 

Khamis, 16 Julai 2020

Semalam di Kuala Kangsar...


Cadangan untuk bermalam di Ipoh juga dibatalkan bila pakcik kata 'kita bermalam di Kuala Kangsar'.  Maka tempahan pun dibuat atas talian.  Tetap juga memilih Hotel dan Restoran Seri Kangsar di mana kami pernah menginap sebelum ini.  Dapat juga bilik yang sama di aras bawah dengan bayaran RM98.00 untuk satu malam (tak perlu bayar deposit).

Selepas membersihkan diri dan menunaikan kewajipan kepada Ilahi, kami keluar untuk makan malam.

Makan malam di Restoran Megazu.  Satu-satunya restoran yang buka di deretan kedai yang ada di kawasannya.  Pelanggan agak ramai dan terpaksa tunggu hingga ada meja kosong.  Alhamdulillah, makanannya tidak mengecewakan dan harga pun berpatutan. Daging halia itu pun lembut untuk dikunyah.


Sabtu (11/07/2020)
Seawal 7.00 pagi kami bergerak ke Pekan Karai.  Pekan kecil tempatku dibesarkan.  Bangunan sudah banyak yang usang. Suamiku turun bersarapan di sini sedangkan aku sendiri hanya menunggu di kereta.  Tiada sesiapa yang kukenali untuk disapa...

Selepas suami bersarapan, kami masuk ke kampung di mana rumah pusaka peninggalan orangtuaku masih ada. Setiap kali singgah ke rumah ini, hati akan menjadi sayu.  Rumah yang sudah sekian lama disewakan ini, bagai tidak terjaga.  Sangkar burung tergantung merata-rata.  Bawah rumah bersepah-sepah.  Betapa dulu orangtuaku menjaga rumah ini dengan baik dan bersih, semuanya hanya kenangan yang tidak berulang...

Semak!

Pokok rambutan di hadapan rumah.




Terlihat deretan kereta di tepi jalan dan ada beberapa khemah di dalam kebun berdekatan.  Aku agak ada penggambaran...


Warung Pak Jabit!  Pastinya sinonim dengan Mamat Khalid...

Nampak tak Victoria Bridge di belakang itu?

Selamat tinggal kampungku.  InsyaAllah nanti kita bertemu lagi...