Kawan-kawan kakcik

Khamis, 26 Julai 2018

Selama mana kita mampu menipu?...

Ikan gelama ikan kerapu
dimasak gulai dimakan bertiga
selama mana hendak menipu
akhirnya akan terdedah juga

Dimasak gulai dimakan bertiga
lebih seronok jika berempat
akhirnya akan terdedah juga
eloklah bertaubat sebelum terlambat

Lebih seronok jika berempat
bergelak ketawa di bawah cahaya
eloklah bertaubat sebelum terlambat
walaupun orang sukar percaya

Bergelak ketawa di bawah cahaya
bersukaria biar berpada
walaupun orang sukar percaya
kasih Ilahi sentiasa ada
 

 

Selasa, 24 Julai 2018

Masak lemak rebung madu...

Rebung madu ini jiran makcik yang bagi.  Makcik tanya kawan-kawan di facebook, rebung ini hendak masak apa?  Ramai yang bagi cadangan untuk buat masak lemak dengan daging salai atau daging tetel.  Ada juga yang cadangkan untuk dicincang dan buat ulam atau masak lemak putih sahaja.

Makcik kupas kulitnya dan ambil hanya bahagian yang lembut sahaja...

...kemudian makcik hiris nipis (tak lah nipis sangat)...

...dan rebus untuk melembutkan dan menghilangkan rasa pahitnya. Air rebusan itu dibuang dan jiruskan rebung yang telah direbus dengan air paip.

Sebiji bawang besar, seinci kunyit hidup dan enam biji cili api (cili api yang makcik guna ini memang sangat pedas) ditumbuk atau di kisar.

Dalam peti sejuk makcik tiada daging salai atau daging tetel.  Yang ada hanya isi ayam yang dah kejung.  Jadi makcik biarkan isi ayam itu lembut dahulu dalam air dan potong kecil-kecil.

Rebung, isi ayam, bahan kisar bersama dua keping asam gelugur (asam keping) dan dua batang serai, makcik masukkan ke dalam periuk.  Tambah segelas air dan jerang atas api hingga mendidih. Kemudian masukkan secawan santan pekat.  Masukkan juga garam secukup rasa...


...siap.

Isnin, 23 Julai 2018

KENDURIAN (Kenduri Durian)...


Bersama Makchaq
Menerima undangan dari Datin Azilah @ Makchaq (dah lupa password blog agaknya Makchaq ni) untuk hadir ke rumah beliau pada 22/7/2018 (Ahad).  Katanya ada majlis makan durian untuk kawan-kawan blogger (kebanyakannya bekas blogger rasanya sebab ramai yang sudah tidak lagi berblog).

Seperti biasa kalau dengan En Suami, jemputan  jam 11.30,  jam 11.00 kami sudah sampai.  Tapi tidaklah terus singgah.  Nampak ramai orang sudah ada di bawah khemah halaman rumah Makchaq tapi tiada yang kami kenali.  Jadi kami pusing dulu di kawasan sekitar sebelum masuk meletak kereta di belakang rumah. 

Rupa-rupanya Makchaq sedang melayan adinda Raja Perlis yang turut berkunjung ke rumah beliau.  Tak mengapa, kami sudah biasa layan diri...
Tengoklah pakcik tu.  Dah macam penjual durian!  600kg durian Pakchaq dan Makchaq tempah dari Batu Kurau, Perak.
 
Ada yang cantik isinya dan ada juga yang tidak.
Kami datang 3 beranak.  Selalunya anak-anak tidak suka hendak ikut.  Tapi disebabkan Si Bongsu sangat menggemari durian, jadi dia setuju untuk ikut pada kali ini walaupun dia siap pesan hendak balik awal untuk menyiapkan kerja sekolah.
Yang sebenarnya, majlis ini lebih kepada untuk mengeratkan silaturrahim bersama kami.  Memang semua blogger (atau bekas blogger) yang datang asalnya makcik kenali melalui dunia maya ini.  Tapi setelah sekian lama, hubungan kami masih rapat walau jarang sangat dapat bertemu.  Terima kasih Makchaq untuk majlis ini...
Bersama Nekcik 

Bersama Atuk Baik, Yunus Badawi dan Aizamia.

Bersama Azieazah (blog dah masuk muzium kot)

Antara yang hadir.  Ada Mimiey, Acu Sayang, Rai Ourkizuna, Azian Elias, Junaina, Ida Mahmud dan Wangi.

Ada juga GadisBunga dan CikPuanLawa.  Makcik balik sebelum sempat jumpa beberapa orang lagi yang datang kemudian.  Bagaimanapun, semoga ukhwah akan terus berpanjangan.  Kepada Makchaq dan Pakchaq (Datin dan Dato'), jangan serik untuk menjemput kami lagi.  Keikhlasan kalian sangat-sangat kami hargai.  InsyaAllah selepas ini kita akan berjumpa lagi.

Rabu, 18 Julai 2018

Bila cili masuk ke mata...


Pagi tadi makcik masak rendang ayam (ya, makcik tak ada masa tertentu hendak merendang, bila teragak nak buat, makcik akan buat).

Sedang asyik mengacau rendang, tiba-tiba...PAP... kuah rendang yang sedang menggelegak itu terpercik dan terus masuk tepat ke mata kiri makcik.

AllahhuAkbar.   Bayangkanlah, kuah yang panas dan pedas itu setepek masuk ke mata.  Rasa nak putus nyawa!

Makcik teringat sebelum ini pun mata makcik pernah masuk cili sewaktu menumbuk sambal belacan.

Apa yang makcik buat?.  Makcik terus berzikir ALLAHHUMASOLLI'ALA SAIYYIDINA MUHAMMAD berulangkali tanpa henti sambil jiruskan air dari paip di sinki melalui mata yang kena percik itu.

Alhamdulillah.   Seperti sebelum ini juga, tak sampai 2 minit, mata makcik pulih semula dan langsung tidak pedih atau sakit.

YAKIN pada kuasa Ilahi dan tanamkan cinta pada Nabi (SAW), InsyaAllah kesakitan hilang dan jiwa pun tenang.

Isnin, 16 Julai 2018

Bertemu seketika dengan rakan-rakan blogger...






Tarikh 15 Julai 2018, kami bertemu di kediaman Prof Dato' Dr Abdullah Al-Hadi (blogger Luah Fikiran)  sempena majlis akikah cucu beliau.

Tidak lama pun kami bertemu kerana dari pagi makcik memang kurang sihat.  Jika tidak didesak oleh Along suami-isteri, memang rasanya makcik tak larat nak pergi.  Tapi kalau tengok muka dalam gambar tu, hilang seketika sakit makcik sebab seronok bertemu kawan-kawan.  Kesemua kawan-kawan ini makcik kenali melalui dunia blog.   

Kebanyakan mereka sudah pun meninggalkan dunia blogger atas alasan-alasan yang tersendiri.  Ada yang kenal mereka tak?

Jumaat, 13 Julai 2018

Restoran Beriani Asif Cawangan Taman Nirwana sudah dibuka...

Bagi mereka yang telah pernah makan di Restoran Beriani Asif Bukit Bintang pasti tahu tentang keenakan makanan asli Pakistan yang dihidangkan di situ.  

Masalahnya bila datang ke restoran di Bukit Bintang ini, hendak meletakkan kenderaan bukannya mudah.  Tempat letak kenderaan yang berhampiran sentiasa penuh dan jika ada, bayarannya agak mahal.  Kawasannya juga agak sesak dengan pembinaan yang sedang dilakukan.

Di restoran cawangan Taman Nirwana, tempat letak kenderaan agak banyak, selesa dan percuma (setakat catatan ini ditaip).  Jika di Bukit Bintang, restoran hanya dibuka hingga jam 10.00 malam, di Taman Nirwana ia dibuka hingga jam 11.00 malam.

Menu yang dihidangkan di restoran cawangan ini adalah sama seperti yang terdapat di Bukit Bintang.

Terletak bersebelahan Restoran Jahheit (dulu Me'nate)

Sebenarnya sewaktu 'bersiar-siar' di kawasan ini, makcik sedang berpuasa.  Tapi sebab terserempak dengan En. Asif, pakcik turun menyapa beliau.

Ini alamatnya.  Ada nombor telefon di situ sekiranya ingin membuat tempahan awal.

Suasana dalam restoran yang luas, selesa dan bersih.

Antara menu yang ada...

...cubalah. Makcik suka sangat Chana Masala tu...

Rabu, 11 Julai 2018

Sudah lama tidak berpantun...

Jangan ditarik akar seruntun
biarkan ia matang dahulu
sudah lama tidak berpantun
sesekali menggamit rindu di kalbu

Biarkan ia matang dahulu
bolehlah nanti dijadikan ubat
sesekali menggamit rindu di kalbu
ilham pula kian berkarat

Bolehlah nanti dijadikan ubat
ubat tradisi zaman berzaman
ilham pula kian berkarat
tambahan lagi tidak berteman

Ubat tradisi zaman berzaman
orang sekarang mencari semula
tambahan lagi tidak berteman
bercakap seorang bak orang gila...


Isnin, 9 Julai 2018

Hujung mingguku...

Sabtu (7/7/2018) - hari ulangtahun kelahiran Angah.  Tiada sambutan pun, hanya doa sahaja mengiringi perjalanan hidupnya.

Ada beberapa jemputan pada hari ini (Sabtu 7/7/2018).  Yang pertama, makcik dan suami ke Taman Batu Muda.  Majlis bermula jam 11.30 pagi, tapi jam 10.30 pagi kami dah tiba.  Biasalah pakcik, dia bukan suka keluar lambat-lambat...

...memikirkan ada lagi majlis yang akan kami hadiri, makcik ambil makanan seadanya sahaja.

Kemudian kami ke Putrajaya untuk memenuhi undangan majlis perkahwinan Abil Fikri Ahmad (Warkah Buat Isteri)...

...walaupun dalam kad tertulis ketibaan pengantin pada jam 12.30 tengahari, tapi waktu kami tiba pada jam 1.00 petang, pengantin belum sampai.  Ambil gambar di sini sebagai bukti sahaja.

Seterusnya kami ke Taman Medan, Petaling Jaya memenuhi pula undangan rumah terbuka keluarga suami Aizamia...

...dan di sini makcik hanya mampu minum sirap dan makan sebiji pulut periuk kera ini.  Perut sudah penuh...

Ahad (8/7/2018).  Selepas solat Subuh, kami suami isteri keluar ke pasar Chow Kit untuk beli bahan-bahan bagi menyediakan kuah lodeh (lontong) yang ditempah.  Balik dari Chow Kit, suami kata 'jom sarapan dulu' sebelum singgah pula beli bahan-bahan lain di pasaraya berhampiran.  Eh...tiba-tiba makcik ternampak gerai Nasi Lemak Saleha Kg Pandan sudah dibuka semula.  Singgahlah kami untuk mengisi perut.

Ada bebarapa undangan hari ini.  Takdirnya dalam perjalanan, kereta anak menantu yang kami tumpang tertusuk benda tajam dan tayar bocor.  Berhenti agak lama di stesyen minyak berhampiran bagi menyelesaikan masalah.  Telefon Angah minta datang untuk bawa kami balik dan cadangnya kereta akan ditunda oleh trak penunda.  Datang seorang lelaki menawarkan bantuan untuk 'menutup' tayar yang bocor itu (rupa-rupanya kereta yang dibeli anak menantu tiada tayar gantinya).  Dengan bayaran RM30.00, tayar yang bocor itu boleh digunakan.  Angah bawa balik kereta itu dan kami guna kereta suami yang Angah bawa tadi.  Perjalanan ke Bukit Mahkota dibatalkan dan kami terus sahaja ke Bandar Baru Bangi.  Rezeki dapat berjumpa kawan-kawan yang sudah lama tidak bersua termasuk  Acik Erna dan  Dr. Anyss yang comel.

Bertudung kelabu itulah puan rumah - Dr Hanie yang dulunya seorang blogger tapi entah sudah hilang ke mana blognya...

Sempat juga bertemu dengan Junaina serta anak gadisnya yang sekarang mengusahakan perniagaan katering secara separuh masa...

Isnin, 2 Julai 2018

Murah ke mahal?...

Laksa Johor (RM14.90) Teh O Halia (RM3.50) Watermelon Lychee (RM6.50)

Nasi Lemak Pandan Ayam Goreng (RM13.90) Sirap Ros Selasih (RM4.90)

Cucur Sayur Ikan Bilis (RM5.90)

Sup Tulang (RM13.90) Air Kosong - tiada dalam gambar (RM0.80)