Kawan-kawan kakcik

Khamis, 30 Januari 2020

Bersarapan di Putra Brasmana Hotel...

...tahun lepas punya cerita ni...

Untuk dua pagi kami bersarapan di cafe Putra Brasmana Hotel.  Alhamdulillah, makanannya tidak mengecewakan dari segi rasa dan cukup untuk mengenyangkan...

Puluhan tahun dahulu, suami berpesan : ambil makanan jangan banyak.  Ambil sedikit dan rasa dahulu.  Kalau sedap, boleh tambah lagi.  Kalau tak sedap, habiskan sahaja apa yang ada dalam pinggan.  Jangan membazir.  Dan aku pegang pesanan itu hingga kini.  Tak sedap bagi kita, mungkin ialah yang paling sedap bagi orang lain.

Alhamdulillah.  Walau hanya jemput-jemput dan telur dadar, ia sedap di tekakku.

Kuih-muih (bukan kuih dan muih, ya) juga secukup rasa.

Abang dan adik.

Anak saudara bongsu (setakat ini) bersama Pak Saudara Bongsu (confirmed)

Daku orang kampung 😁

Macam-macam ada termasuk bubur nasi, nasi lemak, mihun goreng, roti bakar dan lain-lain, tapi segan pula nak ambil gambar beriya-iya...

Hargai makanan, elakkan pembaziran.

Rabu, 22 Januari 2020

Penyejuk jiwa...


Mereka hadir membaca dan mengaminkan doa.   Malah sebelumnya seorang dari mereka melaungkan azan dan kemudian menunaikan solat Maghrib berjemaah.   Alhamdulillah.  

Tenang setenang-tenangnya jiwa. 

Selasa, 21 Januari 2020

Tempahan makanan dari Cik Jun Kitchen...

Bila Angah sudah menetapkan tarikh untuk menikah, ayahnya mula susah hati.  Bukan apa, kami bukanlah orang yang 'sebut sahaja terus ada'.  Banyak yang kena difikirkan.  Termasuklah jemputan dan hidangan.  Fikiran Angah adalah sama dengan fikiran emaknya - yang penting akad nikah dan mas kahwin.  Yang lain-lain itu, ikutlah kemampuan.

Memandangkan Angah bernikah pada hari Jumaat, dan Sabtu pula saudara-mara rapat ada hal yang tidak boleh dielakkan, kami mengambil keputusan untuk membuat Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sahaja pada sebelah malamnya.

Dalam termenung dan berfikir - cadangan asalnya hendak masak sendiri, tiba-tiba makcik teringat pada rakan blogger yang kini mengusahakan khidmat penyediaan makanan iaitu Puan Junaina Abdullah.


Makcik terus menghubungi beliau melalui whatsapp.  Mulanya hanya ingin menempah makanan untuk 50 orang sahaja.  Akhirnya jumlah yang ditempah adalah untuk 200 orang.  Jemputan hanya dari kalangan adik-beradik dan jiran-jiran setaman.  Ada juga anak-anak tahfiz yang dijemput.  Mereka azan dan solat Maghrib berjemaah di rumah makcik.  Alhamdulillah.

Jom tengok hidangan yang disediakan oleh Puan Junaina.  Semuanya menepati citarasa hinggakan ada tetamu yang menambah-nambah makan walaupun sedang berdiet...hahaha.

Buah-buahan

Ayam goreng berempah

Masak lemak nanas dengan ikan masih

Ikan bulu ayam


Ulam-ulaman dan sambal belacan


Yang di tengah itulah Puan Junaina

Bersama pengantin.

Selain dari hidangan di atas, Puan Junaina juga menghadiahkan sebekas kuih.  Termasuk juga dalam pakej adalah air sirap+oren dan teh panas yang sangat-sangat sedap.  Minum segelas rasa tak cukup tau...

Terima kasih Aina untuk perkhidmatan yang sangat-sangat memuaskan hati.  InsyaAllah sekiranya ada kenduri lagi selepas ini, kakcik tidak akan teragak-agak untuk menempah dari Aina.


Kad Perniagaan Cik Jun Kitchen.