Kawan-kawan kakcik

Isnin, 23 Mac 2015

RM50.00 yang menghantui fikiranku...

Gambar dari arkib Google

Pagi Jumaat lepas, suamiku memandu kereta Myvi Angah perlahan-lahan di sebatang jalan.  Hanya kami berdua di dalam kereta tersebut. Tiba-tiba, suamiku menekan brek dan mengundurkan kereta. Kufikirkan dia ingin menyapa seseorang yang berada di tepi jalan tersebut walaupun aku sendiri tidak mengenali orang itu (aku pasti orang itu adalah orang Indonesia walaupun dia sedang menghidupkan enjin motorsikalnya).

Suamiku menunjukkan sesuatu di atas jalan di hadapan kereta.  'Tu, nampak tu... duit limapuluh ringgit.  Pergi ambil' katanya. Jarak duit itu dengan lelaki itu membuatkan aku merasakan duit itu bukan beliau yang punya.  Dia pun nampak aku mengambil duit itu dan tidak berkata apa-apa.

Aku turun dan mengambil duit yang kelihatan masih keras dan baru itu dengan perasaan yang pelbagai.  Kemudiannya kami meneruskan perjalanan untuk membeli nasi lemak buat anak-anak. Selepasnya, suami memusingkan arah perjalanan menuju ke masjid yang berhampiran.  Wang RM50.00 itu aku masukkan ke dalam tabung masjid berkenaan dengan niat agar sekiranya ada pahala, pahala itu dikembalikan kepada empunya wang dan semoga Allah SWT menggantikan rezeki yang lebih baik buat beliau.

Yang membuatkan aku masih teringat-ingat ialah : waktu ini masih di 'pertengahan bulan'. Kebiasaannya, bagi yang bekerja, gaji belum lagi diterima.  Mungkin wang itu adalah 'wang terakhir' yang dia ada...

Yang kedua aku fikir begini : mungkin wang itu diserahkan kepada seorang anak untuk membeli barang keperluan.  Ibunya sedang menanti di rumah.  Alih-alih anak pulang dengan mengatakan 'wang sudah hilang'...

Bagaimanapun, aku yakin kepada Allah.  Dia Maha Mengetahui.  Apa yang terjadi, pasti ada hikmah yang tersembunyi...

Majlis perkahwinan anak blogger Abah Zino...

Bersama Abah Pengantin - blogger Abah Zino
(hai Abah Zino, bila nak kemaskini blog?) (^_^)
Bersama Ibu Pengantin yang comel lote.
Terasa sangat makcik macam rasaksa! huhuhu
Sebelum menghadiri majlis Abah Zino
di Bandar Tun Razak, kami suami isteri
ke Klang Perdana terlebih dahulu. Datang
atas undangan teman sebilik sewaktu
kami sama-sama mengerjakan ibadah
umrah pada tahun 2013 dahulu.
En Suami bersama Bapa Pengantin.
Sebelum keluar rumah, seawal 10.00 pagi semua hidangan ini
telah aku siapkan di atas meja makan.  Hidangan ini akhirnya
hanya habis dimakan di waktu malam bila adik-adikku datang
bertandang.  Anak-anakku menunggu kami pulang dari dua
majlis di atas sebelum kami sama-sama ke majlis menyambut
menantu jiran sebelah rumahku.
Hadir di majlis menyambut menantu Abah Zino bagaikan
satu perhimpunan pertemuan semula dengan ramai rakan-
rakan blogger sama ada mereka masih bergelar blogger
mahupun bekas blogger.  Antaranya blogger NurQaseh
(Hjh Azwa Kamar), Dak Jujie, Dak GadisBunga, Ida Mahmud,
Cik Darling Pya, Dak Iyra Mutalib dan Dak Anyss...
Ramai lagi sebenarnya yang datang dan sempat 'berlaga pipi'
tapi dek sibuk hendak bercerita dan sibuk mengejar masa,
sampai tak sempat hendak bergambar bersama.
Apa-apapun, untuk semua pasangan pengantin didoakan
semoga berpanjangan jodoh ke hujung usia dan berbahagia
bersama buat selamanya.  InsyaAllah.

Sabtu, 21 Mac 2015

Sabtu (21/3/2015) - sekurang-kurangnya ada enam jemputan ke majlis perkahwinan...

...amboiiii ... mengalahkan YB la pula kan?

InsyaAllah, akan pergi ke beberapa jemputan sekiranya sempat.

Antara jemputan :

Jiran sebelah rumah (dan menggunakan halaman rumahku juga)

Teman sebilik sewaktu mengerjakan ibadah umrah

Dua orang teman blogger

Bekas Ketua tempat bertugas dahulu

Dua pupuku di kampung...

JANGAN KAMI SUAMI ISTERI JADI LEBAI MALANG, SUDAHLAH!