Kawan-kawan kakcik

Khamis, 7 September 2017

Kesian Qaid, sampai hati kepalanya 'dipotong' :(...

Gara-gara peniaga yang ingin buat kerja mudah dan tidak mahu mengeluarkan kos bagi membayar model atau jurugambar, maka gambar Qaid adalah yang telah menjadi mangsa. Kalau pun tidak mahu bayar model dan jurugambar, di zaman ini dengan menggunakan telefon bimbit pun boleh merakam gambar sesuka hati.  Apa masalahnya hingga sanggup 'mencuri' gambar orang lain tanpa rasa bersalah?  

Kalau sanggup mengubungi pemilik asal gambar dan berbincang pastinya masalah tidak akan dipanjang-panjangkan.  Ini jangankan hendak berbincang, 'kredit' pun tidak diberi.   Muhammad Qaid itu lelaki, sanggup dia 'diperempuankan' sesuka hati!  Nenek Qaid betul-betul marah tau!

Gambar-gambar yang menggunakan wajah Qaid :




Gambar asal Qaid :

Saya tahulah saya comel.  Kalau hendak
ambil saya jadi model, hubungi mummy
saya.  Hendak hubungi nenek saya pun boleh!


Setelah disiarkan di facebook dan Mummy Qaid dapat menghubungi 'seseorang', akhirnya gambar yang menggunakan wajah Qaid itu telah pun dipadamkan. Ha... ini juga pengajaran untuk peniaga-peniaga lain ya.  Tiada jalan mudah untuk mengaut keuntungan!

Rabu, 6 September 2017

Dulu kau sangka kita tak layak berkawan...

...kerana kau anak majikan 
aku pula anak pekerja bawahan

kau leka dengan segala kemewahan
bilikmu penuh aneka permainan
riang ria kau berlari di taman
sedang aku hanya mampu memerhatikan

kemudian kita meningkat dewasa
hidupmu masih penuh gaya
kau dapat apa sahaja yang diminta
sedangkan aku kena terus berusaha

kau tak pernah kenal erti susah
kau meraung walau hanya air yang tumpah
kau kata aku yang membuat sepah
tanpa sebab aku disumpah

namun aku tetap sedarkan diri
hidup menumpang membuatkan aku berhati-hati
biar dilayan bagai anak tiri
sebulat hati kuserah pada Ilahi

dunia ini hanya pinjaman
bumi yang bulat aturan Tuhan
tidak selamanya aku dibiar dalam kesedihan
Dia tahu apa yang aku perlukan

bila hidupmu tidak keruan
tidak pula aku ingin memberi balasan
harta yang ada sia-sia kau habiskan
akhirnya kau kenal mana kawan mana lawan

maka ingatlah wahai kawan
tiada kekal pangkat mahupun gelaran
biarlah seadanya hidup ini kita bawakan
akhirnya di sana juga tempat yang berkekalan

#catatansajasaja
#catatandirekareka
#agarblogterusbernyawa

Selasa, 5 September 2017

'Mak masih berblog lagi?'...


...begitulah pertanyaan GB

lalu makcik jawab begini :

iya, mak masih berblog lagi
cuma sudah tidak kerap dikemaskini
maklumlah sekarang lebih banyak menyendiri
ilham pun sukar hendak mendekati

bertambah lagi perlu berhati-hati
bukan semua boleh dicoret di sini
walaupun ada yang terlintas di hati
ia tetap perlu ditapis-tapisi

dapat mak rasai
blog ini ada yang memerhati
datang sebagai pembaca senyap sunyi
entah apa yang mereka cari

walau blog tiada catatan berhari-hari
jumlah kunjungan masih ada tidak terhenti
dari situ dapat mak ketahui
blog ini masih ada tarikan tersendiri

kadang-kadang kita menulis sekadar berkongsi
rupa-rupanya ada yang tidak senang di hati
dari itu biarlah kita sedar diri
menulis hanya sekadar berbasa-basi


Gambar hiasan :  terperangkap berjam-jam dalam kesesakan
di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Ipoh ke Tapah.
Moralnya :  gagal merancang bermakna merancang untuk gagal.