Kawan-kawan kakcik
Selasa, 8 Julai 2014
Tak lama lagi...
Isnin, 7 Julai 2014
7/7/2014 = ulangtahun kelahiran Angah yang ke 24...
Masih jelas rasanya pengalaman melahirkannya dulu -
Sabtu 7/7/1990 adalah hari bekerja separuh hari. Aku bekerja pada hari itu. Balik dari pejabat aku mula merasa sakit. Aku dibawa ke Hospital Bersalin Kuala Lumpur dengan menggunakan kereta jiran kerana satu-satunya kenderaan yang suamiku ada hanyalah sebuah motosikal.
Aku masih ingat dengan jelas segala-galanya apa yang berlaku pada petang itu :
- di bawa ke wad kayu belakang kuil Hindu kerana wad biasa penuh
- berulang-alik ke bilik air hingga rasa kehabisan tenaga
- pujukan jururawat China supaya aku bersabar dan meminta aku mengucap kerana katanya 'adik seorang Muslim'
- kemarahan seorang bidan beragama Islam yang katanya aku ini 'degil. Orang kata jangan angkat punggung, angkat juga. Banyak nak kena jahit'
- 'teman satu wad' yang riuh bercerita tentang perkahwinannya dengan orang katil sebelah. Kemudian menyanyi dengan kuat untuk anak yang baru dilahirkannya
Waktu kecil, Angah agak lasak dan tidak suka dipegang bila dibawa berjalan. Pernah patah tangan kerana terjatuh. Pernah juga dia jatuh ke dalam longkang di Taman Tasik Permaisuri. Bila dia basah, aku turut lencun kerana terjun menyelamatkannya.
Angah dapat adik ketika usianya 7 tahun. Kerana itu dia agak manja denganku. Dia agak lambat dapat bercakap dan membaca dengan betul. Sehingga darjah dua, dia masih merangkak-rangkak mengeja untuk membaca. Tudung disebutnya kudung. Kaki jadi taki.
Risau memang risau. Namun kami suami isteri tidak berputus asa dalam mendidik dan memberi pendidikan kepadanya.
Kini dalam usianya 24 tahun, Angah sudah bekerja dan memegang Diploma Pengurusan Teknologi Maklumat dengan CGPA melebihi 3. Bagaimanapun buat masa ini dia belum mahu menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Angah juga menjadi satu-satunya anakku yang sangat pendiam dan jarang dapat ditemui oleh kawan-kawan yang berkunjung ke rumahku.
Walauapapun, Angah tetap anak yang mak kandung, lahir dan besarkan mengikut kemampuan mak dan ayah. Doa mak buat Angah mahupun Along, Bangcik dan Adik tiada putusnya.
Semoga menjadi insan yang bermanfaat pada agama, bangsa dan negara.
Aamin.
