Kawan-kawan kakcik

Ahad, 7 Jun 2015

Kembara Bali - banyak lagi tempat hendak disinggahi...

...sebenarnya banyak gambar yang boleh dikongsi, tapi disebabkan aku tidak mahu 'ruang blogku menjadi sempit', aku cantumkan sahaja gambar-gambar sesuka hatiku...


Hari ini mari kita singgah dulu di mana-mana toko yang disarankan oleh pemandu pelancong kita.  Singgah sebentar di Krisna.  Berlegar-legar dua tiga pusingan, tidak banyak yang menarik  untuk dibeli.  Dari Krisna, kami ke Joger Pabrik Kata-Kata.  Di sini banyak kata-kata sinis yang dipaparkan.  Kualiti pakaian yang dijual juga lebih baik.  Namun, aku tetap tidak membeli apa-apa kerana aku merasa kedekut untuk berbelanja lebih.  Bagaimanapun ada satu kata-kata yang menarik perhatianku (sebenarnya merakam gambar dalam toko ini adalah dilarang) - BELI ATAU TIDAK, TETAP DIUCAPKAN TERIMA KASIH. :)


Seterusnya kami dibawa ke tempat Sukan Air Tanjung Benoa. Sesiapa yang ingin mencuba sukan air seperti bermain bot pisang, paragliding atau luncur air, boleh sahaja dengan bayaran-bayaran tertentu dikenakan.  Tiada di antara kami yang mahu 'bermain' di sini. Sebaliknya kami bersetuju untuk ke Deluang Sari Turtle Farm dengan menaiki bot yang kononnya bot kaca di mana kami boleh melihat ke dalam air dari atas bot.  Ia adalah seperti yang dikatakan indah khabar dari rupa.  Pasrah sahaja sebab bayaran sebanyak Rp100,000 seorang telah dibuat.  Hendak masuk ke Turtle Farm itu sekali lagi terpaksa mengeluarkan biaya sebanyak Rp20,000 seorang.  Berkelana ke tempat orang, cerita kena sembelih ini memang biasa kalau kita tidak biasa, kan?

Keluar dari Tanjung Benoa ini, kami dibawa untuk menunaikan solat di Pura Mandala, Nusa Dua.  Pura Mandala ini adalah tempat di mana bangunan-bangunan tempat ibadah (Masjid, Kuil Hindu, Kuil Buddha, Gereja Kristian Katholik dan Gereja Kristian Protestant) dibina bersebelahan antara satu sama lain.  Masjid yang terdapat di sini diberi nama Masjid Agung Ibnu Batutah.  Di sini aku menyalin pakaian kerana seluar yang aku pakai sebelum ini telah basah dan berpasir...


Selesai menunaikan kewajipan, kami menuju pula
ke Pantai Pandawa. Di pantai ini aku hanya menjadi
seorang tua yang tidak berupaya.  Dengan berpakaian
jubah hitam dan dalam keadaan cuaca panas, aku hanya
duduk di tepi pantai memerhati mereka yang lebih muda
berenang, menyelam, mandi manda dan ke tengah ke tepi
bermain kayak.  Biarkan sahaja selagi keselamatan terjaga.

Hari ini kami ingin menyaksikan matahari terbenam
di Pura Uluwatu.  Ke sanalah destinasi kami.
Menyaksikan keindahan alam ciptaan Ilahi.  Ombak
yang menghempas pantai dengan warna biru kehijauan
serta langit yang mula kelam bersama sinar merah amat
mengkagumkan.  Segala puji bagi Allah yang menjadikan
keindahan itu untuk tatapan dan merasakan betapa
kerdilnya diri.  Bagaimanapun, awan agak tebal pada
petang ini.  Jadi tidak dapatlah menyaksikan bagaimana
matahari 'menyentuh' kaki langit yang bersambung dengan
laut.  Maghrib juga kian menghampiri dan kelihatan di atas
bukit upacara 'pemujaan' akan bermula.  Maka eloklah kami
melangkahkan kaki keluar dari kawasan ini...

Malam ini kami dibawa makan di restoran Ayam Kalasan Kremes Mbok Limbok.  Waduhhhhh... sambal yang disajikan bersama ulaman itu pedasnya ya ampunnnn... Aku makan laju-laju nasi yang masih panas untuk menghilangkan rasa pedas.  Habis segala air mata, air hidung, peluh jantan dan betina memercik keluar dari wajahku!  Berdesit-desit aku kepedasan...

Balik ke hotel, aku menempah tukang urut untuk datang ke bilik.  Ada yang keluar untuk berurut di spa berdekatan.  Tapi aku sudah tidak larat hendak berjalan.  Upah yang perlu aku bayar adalah Rp200,000 untuk sejam khidmat mengurut itu.  Sejujurnya, berurut di Manjakaki Tesco Ampang adalah lebih memuaskan hatiku...

...eh! ada sambungan lagi...

Kembara Bali - jom jalan-jalan lagi...

...bila pulang ke hotel pada waktu malam, ada yang mengambil keputusan untuk terus 'meneroka' kawasan sekitar Legian Street  hingga ke Hard Rock Cafe.  Akibatnya ada yang terpaksa memohon bantuan pihak hotel membukakan pintu bilik gara-gara isteri yang ditinggalkan tertidur mati akibat kepenatan setelah berjalan di waktu siang!

Aku juga tidak ke mana-mana di waktu malam kerana lutut kananku yang sakit membataskan pergerakanku...

Baiklah...mari kita terus melawat kawasan di hari berikutnya...

Kami dibawa singgah di sini - Cening Bagus.  Sessi
berlagak bagaikan jutawan dan mengempiskan dompet
pun bermula.  Bagiku, selepas membuat perbandingan
harga, berbelanja di sini lebih berbaloi dari di Krisna.
Mungkin sebab aku hanya membandingkan harga 
satu dua barang yang memang aku perlukan...

Kemudian singgah di perusahaan perak dan emas ini.
Memang kalau masuk ke tempat sebegini, aku hanya
akan meninjau-ninjau tanpa ada niat pun hendak membeli.

Singgah makan di Rumah Makan Ulam-Ulam.  Sangat nyaman
dan menenangkan tempat ini.  Berada dalam suasana kehijauan
dan tenang.  Seperti biasa, alunan muzik bali mengiringi suasana.

Perjalanan diteruskan ke Bali Culture Centre, Ubud.
Di sini kami disambut meriah.  Dihidangkan dengan
minuman ringan dan kuih serta tarian tradisional.
Dibawa juga melawat demonstrasi membuat minyak
kelapa dan persembahan wayang kulit.  Keluar dari
sini, kami bertujuan mencari masjid untuk solat.
Disebabkan masjid yang akan dituju berlainan dengan
jalan menuju tempat lawatan seterusnya, pemandu
merangkap 'pengurus pelancongan' kami, Mas Bolong
atau Guruh Ilyas Husodo (beliau seorang Muslim),
meminta satu ruang di BCC ini dibersihkan untuk
kami menunaikan solat.  Alhamdulillah

Destinasi seterusnya adalah sawah bertingkat di Ubud.
Kami tidak begitu lama di sini kerana hari sudah semakin
petang.  Ada tiga peringkat padi sewaktu kami tiba.  Padi
yang sudah dituai, padi yang masih menguning dan padi
yang baru disemai.  Ramai juga pelancong dari barat 
berkunjung ke sini. Bersama denganku itu adalah Mbak
Wayan  (wayan bermakna sulung atau Along)yang 
menjadi pemandu pelancong kami untuk 2 hari.

Perjalanan kami untuk hari ini
berakhir dengan makan malam
di tepian pantai.  New Furama.
Makan bertemankan cahaya bulan,
cahaya lilin dan desiran ombak.
Sebenarnya makan di sini
menambahkan sakit lutut kananku
kerana aku terpaksa menahan
dan mengimbangi berat badan
dalam keadaan kerusi terbenam
ke dalam pasir dan kedudukan
yang tidak seimbang berikutan
pantai yang landai tidak sekata...

...bersambung lagi...

Jumaat, 5 Jun 2015

Kembara Bali - mari kita mula mengembara...


Ini adalah peta Pulau Bali.
Nampak tak bentuknya yang bagaikan ayam togel?


Sebelum mula 'mengembara', mari kita
menjamu selera agar tidak kelaparan.

Inilah bas mini yang membawa kami.  Oleh kerana rombongan kami mengandungi 14 orang dan tidak selesa untuk dimuatkan
kesemuanya dalam bas ini, maka satu avanza juga digunakan.

Dalam perjalanan ke Pura Ulun Danu Bratan, kami singgah
di tempat ini.  Ada yang mengambil kesempatan untuk bergambar
dengan haiwan yang ada di tempat ini termasuklah ular.  Tempat ini mengingatkan aku ke pada Kundasang di Sabah.  Jalannya yang berliku dan suhunya yang dingin serta berkabus, memang mirip sekali dengan Kundasang.

Bagi kita yang beragama Islam, tidak ada apa yang hendak kita banggakan dengan tempat ini kecuali menikmati pemandangan - laut, ombak dan langit ciptaan Yang Maha Berkuasa.  Tidak jauh dari sini terdapat sebuah masjid yang terletak di atas bukit.
Masjid Besar Al-Hidayah.  Kami singgah di sini untuk bersolat.
Rasa sangat bangga dan terharu dapat menjadi tetamu di sini.  Maklumlah, di sepanjang perjalanan mata disajikan dengan pemandangan candi/pura/temple/kuil (sebutan berbeza untuk benda yang sama), bertemu dengan masjid adalah sangat-sangat 'menyamankan' jiwa dan perasaan.


Usai menunaikan solat, kami dibawa untuk menjamu
selera di Rumah Makan Saras, Bedugul.  Nampak tak
hidangan yang bermacam-macam itu.  Ianya terjadi
kerana sedikit salah faham di kalangan anggota rombongan.
Bisalah kan?  Di mana-mana pun kita boleh berjumpa
dengan orang yang akan 'menunjuk pandai', walaupun
sepatutnya kita patuh kepada ketua rombongan.
Jika Allahyarham datukku masih ada, mungkin
beliau akan mengeluarkan pantun dua keratnya:
bukan papan tapi tarah
bukan makan tapi mentekedarah!
Dah macam sawa kenyang!

Selepas makan, perjalanan diteruskan ke Pura Tanah Lot.  Ramainya manusia berkunjung ke sini. Sekali lagi, bagiku tiada yang menarik selain dari awan dan ombak. Menjelang Maghrib, persembahan Kecak Dance seperti yang diadakan di Pura Uluwatu turut diadakan di sini. Bagaimanapun, kami sepakat untuk tidak menunggu apatah lagi menonton tarian yang berkaitan dengan ritual agama Hindu tersebut.


Keluar dari sini, kami terus menuju ke hotel kedua yang merupakan hotel penginapan kami sehingga tarikh berangkat pulang.  Hotel Amaris Lebak Bene yang cukup selesa - sekadar untuk tidur, mandi, menukar pakaian dan solat.  Bagusnya di kedua-dua hotel yang kami menginap, arah kiblat ada ditunjukkan di siling walaupun rata-rata pekerja hotel adalah penganut Hindu.



...bersambung lagi...