Kawan-kawan kakcik

Rabu, 15 Julai 2020

Jalan-jalan ke Cameron Highlands...


Jumaat = 10/07/2020.  Mengikut perancangan asal, kami suami isteri akan keluar dari Kuala Lumpur / Selangor agar suami boleh menunaikan solat Jumaat di negeri yang peraturan untuk menunaikan solat di masjid tidak begitu ketat.  

Setelah berbincang begitu begini dan memandangkan jam sudah menunjukkan pukul 11.00 pagi, kami menuju ke Utara - tepatnya ke negeri Perak dengan mencongak waktu tiba.  Suami kata, kami perlu tiba ke mana-mana masjid selewat-lewatnya pada jam 12.30 bagi memastikan dia dapat menunaikan solat Jumaat.


Hanya beberapa minit sebelum 12.30, kami tiba di Masjid Jamek Sungkai.  Masih senang untuk mendapat tempat letak kereta dan para jemaah belum begitu ramai yang tiba.

Beberapa minit kemudian, semakin ramai yang datang. Yang tua dan yang muda, berbaris menanti giliran untuk diambil suhu badan dan mencatat kedatangan.  Ramai juga yang akhirnya terpaksa balik kerana kuota sudah penuh.

Selepas solat, suami mencadangkan agar kami terus sahaja ke Cameron Highland.  Syukurlah kerana di dalam kereta sudah tersedia pakaian kami beberapa pasang yang belum dibawa keluar sewaktu ke Temerloh sehari sebelumnya.
Kami naik ke Cameron Highland melalui Tapah.  Jalannya tetap begitu sejak dahulu - berliku-liku.  Tambah menguji kesabaran bila kereta di hadapan dipandu dengan begitu perlahan dan kereta di belakang tidak sabar hendak memotong.  Kenderaan dari hadapan pula adakalanya berselisih dengan mendebarkan jiwa raga bila kelajuannya tidak diduga!
\

Alhamdulillah.  Akhirnya kami sampai di sini.

Pemandangannya mengingatkanku kepada Bali.

Keindahan yang kadangkala tidak dihargai kerana 'ia bukan di luar negara'.  Begitu juga mungkin orang luar lebih menghargai pandangan begini dan kita pula lebih suka tempat mereka...

Hairan betullah - kenapa makcik ini tak tahu hendak senyum😏

Macam itulah juga wajah dia.  Harapkan muka selebar nyiru!

I πŸ’“ Cameron Highland.  Malangnya kami tidak jadi bermalam di sini kerana tidak membuat tempahan awal, lagipun harga bilik penginapan di luar kemampuan kami 😟


Singgah untuk tengok-tengok dan beli sedikit bekalan.  Eh... makcik itu senyum pula.  Mungkin sebab ada pakcik di sisi.

Keledek manis kukus.

Jagung kukus.

Sayur-sayuran dan buah-buahannya memang segar tapi agak mahal bagiku.  Iyalah, kita hanya nak 'jalan-jalan' bukan hendak membeli-belah...


Dah masam balik muka dia!

Kami turun semula melalui jalan ke Simpang Pulai...

...pemandangan kabus meliputi bukit dan gunung memang menarik pandangan.  Makcik cakap pada pakcik : 'saya suka pandang kabus itu, mengingatkan saya kepada Kundasang'.  Beberapa minit selepas itu, kabus memang sangat-sangat tebal berserta hujan menutupi pandangan.  Bagaimanapun perjalanan tetap diteruskan kerana tiada tempat yang sesuai untuk berhenti.  Alhamdulillah, kami selamat sampai ke Simpang Pulai dan bercadang untuk bermalam di Ipoh...


Selasa, 14 Julai 2020

Bertemu kawan lama...

Tahukah anda bahawa sekeping ikan patin ini berharga RM30.00?

Kami dibawa makan di restoran SZ Rahmah ini oleh bekas rakan serumahku sewaktu masih gadis dulu dan suaminya. Kami bertemu semula dengan izin Ilahi melalui fb.  Walaupun sudah makan sebelumnya, demi menghormati pelawaan seseorang yang pernah menjadi kawan sewaktu suka duka, kami pergi makan lagi!

Inilah kawanku suami isteri.  Kami sudah lama putus hubungan bila masing-masing sudah berumahtangga dan ada kehidupan sendiri. Mereka juga meluangkan masa seketika membawa kami 'pusing-pusing' ke restoran-restoran ikan patin yang menjadi tumpuan pelanggan di sekitar Temerloh.  Ada restoran yang terletak jauh ke dalam kebun getah tapi diserbu pelanggan sehingga sukar hendak masuk!

Entah bila dapat berjumpa lagi.  Jujurnya, di mataku kawanku ini semakin cantik walaupun kami sebaya.  Aku pula kian gemuk dan semakin tidak tahu cara untuk senyum 😞

Sebelum bergerak balik ke Kuala Lumpur, singgah dulu di sini untuk menunaikan kewajipan kepada DIA yang memberi rezeki dan memudahkan semua urusan kami...

Isnin, 13 Julai 2020

Seketika di Temerloh - Titik Tengah Semenanjung...

Selain dikenali sebagai Bandar Ikan Patin, Temerloh juga adalah
merupakan Titik Tengah Semenanjung Malaysia. Siri jalan-jalan Malaysia makcik dan pakcik ke sini pula. (Khamis = 9/7/2020)
Teruk betul raut wajah makcik tu!

Jalan-jalan sekejap di tepi sungai...

...dan makcik itu masih berwajah cemberut!

Jomlah isi perut dahulu.  Walaupun baru sekitar jam 11.00 tapi perut sudah lapar kerana belum makan dari pagi.  Kami keluar rumah pun lebih kurang jam 7.00 pagi.

Pakcik dan cendol / ABC berpisah tiada.

Kami makan di sini sebab kedai kesukaan pakcik hanya bersedia menerima pelanggan pada jam 12.00 tengahari.

Licin licau...