Kawan-kawan kakcik

Rabu, 5 Julai 2017

Apalah guna berwajah cantik...

Ilham untuk catatan (pantun) kali ini di dapati dari : HARIAN METRO ONLINE


Apalah guna berkain batik
Jika tidak diikat kemas
Apalah guna berwajah cantik
Jika tidak pandai mengemas

Apalah guna tanaman berjajar
Jika tidak menghasilkan buah
Apalah guna pandai belajar
Jika rumah bersepah-sepah

Apalah guna berbaju kelawar
Jika tidak berjahit di rusuk
Apalah guna cantik di luar
Jika di dalam kotor dan busuk

Apalah guna mengutip cendawan
Jika hanya letak di pinggir
Apalah guna bersikap tuan
Jika sendiri malas berfikir.



Selasa, 4 Julai 2017

Ibarat rumah lama dicat baru...

'Ibarat rumah lama dicat baru, nampak cantiklah walaupun sebenarnya dah reput',  itulah kata-kata En Suami (yang disambut dengan gelak ketawa kerana tahu dan faham sikapnya yang suka bergurau) bila ada yang mengatakan wajahku nampak muda dan berbeza selepas disolek oleh anak saudaraku (perempuan berusia 19 tahun).

Wajahku yang hanya beroleskan
sedikit gincu bibir

Wajahku di 1 Syawal selepas
disolek oleh anak saudaraku

8 Syawal - juga selepas disolek.  Nampaklah muda sedikit, kan?
Tidaklah seperti selalunya orang cakap aku nampak lebih tua
dari En Suami walaupun dia lebih tua dariku (setahun setengah
saja pun bezanya...hahaha)

Setiap yang baru pastinya akan menjadi lama seiring anjakan masa. Disolek bagaimanapun, kematian tetap akan mendekati kita. Jangan terpedaya dengan hati dan nafsu yang sentiasa ingin muda, sedangkan masa untuk kita setiap detik kian singkat langkah ke sana...

Isnin, 3 Julai 2017

Cerita Hari Raya...

Seperti beberapa tahun kebelakangan ini, hari raya tahun ini juga tiada apa yang menarik hendak diceritakan...

Kampung masih ada , namun bila kedua orang tua sudah kembali kepada Pencipta dan saudara-mara yang rapat juga hampir semuanya sudah mengikut jejak mereka, apalah lagi kegembiraan yang ada untuk kembali ke sana.

Duit raya - buat pertama kalinya untuk tahun ini aku tidak menyediakan walau seringgit pun 'duit raya'.  Tiada untuk anak-anak saudara mahu pun untuk cucu yang dua orang cuma.  

Pakaian raya - untuk dua orang anak bujangku yang masih belajar, aku dan suami sepakat memperuntukkan sejumlah wang untuk mereka masing-masing membeli pakaian mengikut citarasa mereka. Untuk kami sendiri, memang tiada sehelai pun yang kami beli. Syukurlah Along dan Kaklong sudi membelikan kami pakaian baharu.  Alhamdulillah.

Hari raya - 1 Syawal, seperti biasa, adik-adikku dan keluarga mereka berkumpul di rumahku.  Kami tiada rancangan apa-apa. Aku masak mee kari.  Anak ketigaku buat kuah lodeh untuk dimakan dengan nasi impit.  Adikku dan adik iparku buat daging masak hitam.  Ada juga lemang yang dibeli.  Sedikit biskut yang tetap dalam bekas sebagaimana waktu dibeli (tidak disalin ke dalam bekas-bekas comel).  Kami gembira dengan cara kami sendiri.

2 Syawal - aku dan suami menghantar adik lelakiku dan keluarganya ke KLIA2 pada jam 4.00 pagi.  Mereka sekeluarga akan balik untuk berhariraya dengan keluarga adik iparku di Kuching.  Jam 8.00 pagi, dengan  menggunakan kereta adik iparku yang telah pulang ke Kuching itu kami sekeluarga memulakan perjalanan ke Utara.  Along bersama isteri dan dua anaknya menaiki kereta mereka sendiri.  Adik perempuanku sekeluarga menanti kami di pertengahan perjalanan.

Bergerak dengan tiga kereta, persinggahan pertama kami di Sekinchan.  Singgah di rumah kawan Kaklong (Huda), kami dihidangkan dengan set nasi lemak yang sedap.  Anak-anak remaja sibuk ingin bergambar di tengah sawah dengan pemandangan yang indah.

Seterusnya kami ke Sabak Bernam.  Berhariraya di rumah ibu mertua adik bongsuku. Makan dan minum lagi.  Selepas menunaikan kewajipan, kami bergerak pula ke Teluk Intan.  Kali ini disertai adik bongsuku dan keluarganya. Singgah menyantui ibu mertuaku. Kami tidak berlama-lama di rumah ibu mertua kerana rumahnya yang tidak begitu luas sudah penuh dengan anak menantu dan cucu-cucu yang lain.  Yang penting, membawa kegembiraan di hatinya.

Dari Teluk Intan, kami ke Ipoh pula.  Jalan sedikit sesak dan perut yang sudah di isi kembali lapar.  Sampai sahaja di rumah bekas adik iparku di Ipoh, kami makan bagaikan orang yang sudah berbulan kelaparan.  Hidangan (walau hanya nasi impin dan lemang berserta rendang dan kuah kacang) ditambah berulang kali. Seronoknya berhariraya...hahaha...

Bergerak balik dari Ipoh ke Kuala Lumpur pada jam 11.00 malam. Lebuhraya agak sesak dan di satu dua tempat kenderaan bergerak selaju 10 ke  30km/jam sahaja.  Tiba di rumah pada jam 3.00 pagi bersama badan yang lesu tapi hati gembira.

Hari-hari Syawal yang berikutnya, tiada apa-apa aktiviti pun walaupun anak-anak dan suami masih bercuti.  Cuma pada 3 Syawal, aku dan suami bersama dua anak bujang dan seorang anak saudara ke Kuala Selangor.  memberi peluang kepada bujang-bujang itu bergambar di Bukit Malawati dan terus ke Sg. Besar, singgah di rumah blogger CikPuanLawa.

Pada Ahad (8 Syawal = 2 Julai), kami sekeluarga ke Putrajaya. memenuhi keinginan anak-anak untuk bergambar di sana. Sayangnya, aku agak terkilan kerana anak keduaku tidak sempat menyertai sessi bergambar kami pada kali ini...






Mak dan ayah dah 'tenggelam'




Keluarga adik perempuanku turut menyertai kami

Itulah sahaja ceritanya.  Pasti tidak semeriah cerita hari raya orang lain tapi gembira itu datang dengan cara bukan direkacipta.  Hanya hati sendiri yang mengiya atau menidakkannya...